+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Keperluan Dos Penggalak Timbul Akibat Adanya Varian Baharu Covid-19

Benarkah...

Tiada keperluan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi mengekang varian Omicron.

Sumber : Facebook / Februari 2022

Hasil

Suntikan dos penggalak disahkan berupaya meningkatkan daya tahan sistem badan manusia daripada risiko jangkitan Covid-19 terutama varian Omicron yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

22/03/2022 10:45 AM

SEKILAS FAKTA

  • Varian Omicron mula dikesan buat pertama kalinya di Afrika Selatan dan Botswana pada pertengahan November 2021, sebelum kes pertama dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat pada 1 Disember 2021.
  • Kes pertama varian Omicron di Malaysia membabitkan seorang pelajar asing sebuah universiti swasta berusia 19 tahun dikesan positif Covid-19 pada 19 Disember 2021 hasil 74 sampel positif COVID-19 yang diambil di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA antara 11 hingga 28 November 2021.
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan varian Omicron lebih berbahaya (Variant of Concern) kerana menyebabkan kadar mutasi yang tinggi berbanding beberapa varian Covid-19 yang lain seperti Alpha, Beta dan Delta. 


LATAR BELAKANG

Penularan varian Omicron kini menjadi kebimbangan di seluruh dunia kerana sifatnya yang mudah merebak kepada individu lain dalam tempoh singkat.

Ketua Persatuan Perubatan Afrika Selatan Dr Angelique Coetzee yang dipetik menerusi laporan MSTAR mendedahkan gejala umum yang boleh dialami pesakit jangkitan varian Omicron adalah seperti keletihan dan sakit kepala, namun ia hanya gejala ringan dan boleh dirawat di rumah.

Beliau yang turut merawat pesakit di Afrika Selatan memaklumkan pesakit kebiasaannya akan mengadu berasa letih selama satu atau dua hari, selain turut menunjukkan beberapa simptom lain seperti sakit kepala dan badan selain kerongkong.

Dr Angelique bagaimanapun memberi peringatan bahawa walaupun gejala jangkitan varian Omicron tidak jauh beza dengan gejala Covid-19 yang lain, varian Omicron disahkan memiliki tingkat mutasi lebih tinggi sehingga penularannya cepat walaupun seseorang individu tersebut mengalami gejala ringan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Agensi berita antarabangsa dari Perancis, AFP pada September 2021 melaporkan bahawa tiada keperluan suntikan dos penggalak kepada manusia bagi mengekang penularan varian Omicron.

Laporan berkenaan menyatakan bahawa kajian yang dilakukan beberapa saintis termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)  turut merumuskan bahawa suntikan dua dos vaksin Covid-19 sudah mencukupi bagi merawat individu yang mengalami gejala Covid-19.

Ia mendakwa dua dos suntikan vaksin Covid-19 sangat berkesan terhadap gejala Covid-19 yang teruk merentasi semua varian virus utama termasuk Delta, walaupun mereka mempunyai kejayaan yang lebih rendah dalam mencegah individu tidak bergejala.

Hasil kajian berkenaan telah disiarkan oleh pelbagai portal berita antarabangsa serta beberapa media arus perdana pada waktu itu termasuk Berita Harian dan NST.

 


Sumber: AFP

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil carian kami mendapati pelbagai kajian dilakukan para saintis merumuskan bahawa suntikan dos penggalak adalah penting untuk membantu mengurangkan gejala teruk sekiranya seseorang dijangkiti sebarang varian Covid-19.

Menurut laporan yang dikeluarkan Reuters pada Disember 2021, kajian dilakukan sekumpulan penyelidik di makmal penyakit berjangkit terkemuka di Denmark iaitu Statens Serum Institut (SSI) mendapati suntikan dos penggalak memberikan perlindungan yang bagus kepada tubuh badan daripada dijangkiti Covid-19.

Kajian tersebut mendedahkan individu yang menerima dos kedua suntikan vaksin Pfizer mempunyai peratusan perlindungan masing-masing sebanyak 55.2 (vaksin BioNTech) dan 36.7 peratus (vaksin Moderna) daripada risiko jangkitan berbanding individu yang tidak menerima sebarang suntikan vaksin Covid-19.

Peratusan perlindungan terhadap varian Omicron dilaporkan akan meningkat kepada 54.6 peratus terutamanya kepada golongan warga emas berusia 60 tahun sekiranya mereka mendapat suntikan dos penggalak.

Golongan tersebut, bagaimanapun terlebih dahulu perlu melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sebelum memperoleh perlindungan maksium daripada jangkitan Covid-19.

Satu lagi laporan yang diterbitkan Reuters juga pada Disember 2021 melaporkan bahawa kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik daripada beberapa universiti di Amerika Syarikat mendapati keberkesanan tiga vaksin dikeluarkan negara berkenaan iaitu Moderna, Johnson & Johnson dan Pfizer dalam mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kembali menurun selepas beberapa bulan.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan supaya suntikan dos penggalak diberikan kepada mereka yang layak bagi mengembalikan semula perlindungan tubuh badan terhadap jangkitan Covid-19.

Kajian yang dilakukan oleh penyelidik daripada Hospital Umum Massachusetts, Universiti Harvard dan juga Institut Teknologi Massachusetts turut mendapati varian Omicron mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi berbanding beberapa varian Covid-19 yang lain termasuk varian Delta.


Sumber: Reuters

 

Jurnal perubatan WEBMD pada Januari 2022 memaklumkan suntikan dos penggalak mempunyai keberkesanan sehingga 90 peratus dalam memastikan individu yang mendapat jangkitan Covid-19 tidak dimasukkan ke hospital.

Laporan jurnal perubatan berkenaan turut menyebut suntikan dos penggalak juga boleh mencapai keberkesanan sehingga 82 peratus dalam mengelakkan mereka yang dijangkiti Covid-19 daripada dimasukkan ke wad kecemasan dan kritikal.

 


Sumber: Webmd.com

 

Pandangan Pakar Perubatan Tempatan

Kami turut menemui perkongsian beberapa pakar perubatan tempatan di laman Facebook yang mencadangkan agar mereka yang layak supaya mendapatkan dos penggalak bagi mengelakkan diri daripada jangkitan Covid-19.

Antaranya adalah hantaran di laman Facebook pegawai perubatan sarjana Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim yang mendedahkan bahawa manusia memerlukan suntikan dos penggalak memandangkan antibodi dalam badan akan menurun walaupun seseorang individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin.

Beliau pada masa sama turut menolak dakwaan segelintir pihak kononnya dos penggalak boleh menyebabkan serangan jantung dan juga angin ahmar.

Dr Megat Mohamad Amirul Amzar sebaliknya menambah terdapat beberapa vaksin penggalak lain seperti vaksin hepatitis B kepada individu yang kurang antibodi serta berisiko mendapat jangkitan penyakit selain dos penggalak tetanus kepada ibu mengandung.

 


Sumber: Facebook

 

Seorang pakar sakit puan, Dr Anna Liza Roslani menerusi perkongsian di laman Facebook turut menasihatkan golongan ibu mengandung supaya mendapatkan suntikan dos penggalak bagi memastikan mereka kurang berisiko daripada jangkitan Covid-19 selain tidak berdepan sebarang komplikasi apabila melahirkan anak nanti.

 


Sumber: Facebook

 

KESIMPULAN

Keperluan suntikan dos ketiga hadir kerana timbulnya varian baharu Covid-19. Walaupun pada peringkat awal kajian mendapati dua dos suntikan vaksin sudah mencukupi namun situasi sudah berubah selepas kehadiran varian Delta dan Omicron.

Kesan sampingan suntikan dua dos vaksin lengkap dan dos penggalak wujud dan kesannya berbeza antara satu individu dengan satu individu yang lain.

Suntikan dos penggalak tidak dinafikan mampu meningkatkan daya tahan badan manusia daripada jangkitan Covid-19 memandangkan keberkesanan suntikan dua dos vaksin terdahulu disahkan akan menurun selepas beberapa waktu.

Pakar perubatan sendiri turut mendapatkan suntikan dos penggalak kerana mereka sendiri berdepan dengan pesakit yang dijangkiti Covid-19 setiap hari.

Sanggupkah kita melihat orang yang kita sayangi menderita akibat jangkitan Covid-19?

Lindungi diri, lindungi semua, dapatkan dos penggalak!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Gejala varian Omicron mungkin ringan, tapi ketahui sebab mengapa ia berbahaya.Diterbitkan oleh MSTAR.

  2. No need for a vaccine third jab booster: study.Published by AFP.

  3. Tiada keperluan dos penggalak vaksin COVID-19 - Kajian.Diterbitkan oleh Berita Harian.

  4. Study: No need for a vaccine third jab booster.Published by NST.

  5. 'Significant increase' in protection vs Omicron from mRNA boosters, study says.Published by Reuters.

  6. U.S. study suggests vaccines may be ineffective against Omicron without booster.Published by Reuters.

  7. Booster Shots 90% Effective at Preventing Omicron Hospitalizations: CDC Data.Published by WEBMD.

  8. Facebook Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar

  9. Facebook Dr. Anna Liza Roslani

 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.