+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Insiden Kontena Tumbang Akibat ‘Gempa Bumi’ Sebenarnya Berlaku Di Belanda Akibat Taufan

Benarkah...

Kontena di Pelabuhan Klang tumbang akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter, di Sumatera, Indonesia pada 9.39 pagi, 25 Februari 2022.

Sumber : WhatsApp & YouTube / Februari 2022

Hasil

Ia berlaku di Pelabuhan Rotterdam, Belanda pada 19 Februari 2022 akibat taufan Eunice melanda negara itu serta bahagian lain di Eropah.

23/03/2022 10:37 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video insiden kontena tumbang yang didakwa berlaku di Pelabuhan Klang, akibat gempa bumi di Sumatera, Indonesia pada 25 Februari 2022.
  • Kejadian sebenar berlaku di Pelabuhan Rotterdam ekoran taufan Eunice pada 19 Februari 2022 dan tiada kaitan dengan gempa bumi di Sumatera.

  • Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) turut menafikan insiden berkenaan tidak berlaku di mana-mana terminal di Pelabuhan Klang.

 

LATAR BELAKANG

Satu kejadian gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter dilapor berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada 9.39 pagi waktu Malaysia, 25 Februari 2022.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) menerusi Facebook rasminya berkongsi kenyataan media tentang kejadian gempa bumi yang berlaku di koordinat 0.2 darjah Utara dan 100.0 darjah Timur manakala jaraknya 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan gegaran turut dirasai di bahagian Barat Semenanjung membabitkan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Kepulauan Riau dan Singapura turut merasai gegaran itu.

 


Sumber: Facebook MET Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan keadaan beberapa kontena yang disusun enam tingkat tumbang. Anda boleh lihat menerusi saluran YouTube di sini.

Rakaman video dalam keadaan gegaran itu didakwa berlaku di Pelabuhan Klang.

Terdapat kapsyen bertulis: “GEMPA BUMI 25-02-22‼️ KONTENA PUN BOLEH JATUH #shorts”.

Dalam video berkenaan boleh kedengaran bunyi angin bertiup kencang.

 

APA KAMI TEMUI

Susulan gegarannya turut dirasai penduduk di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka, ramai warganet berkongsi suasana dan pengalaman menerusi gambar dan video.

Anda boleh lihat sebahagian perkongsiannya di sini, di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini. Ini juga termasuklah perkongsian video tular mengenai susunan kontena tumbang. Lihat di sini.

Menurut laporan media sebelum ini, sejumlah wilayah Sumatera Barat digegarkan dengan dua insiden gempa bumi kuat pada hari kejadian.

Berdasarkan maklumat Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik Indonesia (BMKG) yang dipetik menerusi Berita Harian bertarikh 25 Februari 2022, gempa pertama berlaku pada kekuatan 5.0 skala Richter pada 8.35 pagi waktu tempatan.

Gempa kedua pula berlaku empat minit kemudian iaitu pada 8.39 pagi dengan kekuatan 6.2 skala Richter yang direkodkan berlaku pada kedalaman 10 km dan 17 km ke timur laut Pesaman Barat.

 

Insiden Kontena Tumbang Berlaku Di Luar Negara?

Untuk itu, pertama sekali MyCheck melakukan carian mudah di enjin carian dengan menggunakan kata kunci ‘kontena tumbang + gempa bumi’ serta ‘container + collapse + natural disaster’.

Apa kami temui adalah video kejadian susunan kontena perkapalan tumbang tersebut telah dinafikan oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) oleh Pengurus Besarnya Kapten K.Subramaniam dalam satu kenyataan ringkas kepada media tempatan.

Anda boleh baca di sini, di sini, di sini dan di sini.

Kami kemudiannya ‘membedah’ video tersebut menggunakan aplikasi InVID.

Menerusi tangkap layar daripada aplikasi itu kami lakukan carian imej berbalik dan mendapati beberapa video yang berkaitan telah ditemui dikongsikan di YouTube.

Video tersebut sememangnya benar, namun ia direkod enam hari sebelum kejadian gempa bumi di Sumatera yang turut dirasai di sebahagian semenanjung Malaysia dan Singapura.

Anda boleh lihat video asal yang kami temui di YouTube di sini, dan di sini. Malah portal hiburan 9Gag turut berkongsikan kejadian kontena tumbang.

Apa yang pasti, kejadian itu berlaku di Pelabuhan Rotterdam, Belanda pada 19 Februari lepas ekoran angin kencang taufan Eunice melanda beberapa negara di Eropah.

Rotterdam merupakan pelabuhan utama Eropah dan bandar kedua terbesar di Belanda.

Jika anda lihat video tersebut, susunan kontena perkapalan itu telah jatuh ekoran taufan Eunice yang merekodkan tiupan kelajuan angin sehingga 196 kilometer sejam atau 122 batu sejam.

Dalam kejadian di Belanda itu, empat orang awam terbunuh namun bukanlah disebabkan oleh kontena yang tumbang, sebaliknya dihempap pokok tumbang. Baca di sini dan di sini.

 


Sumber: Dutch News

 

Menurut laporan BBC, jumlah keseluruhan yang terbunuh dalam taufan Eunice yang melanda seluruh Eropah adalah seramai 16 orang.

 

Tempias Gegaran Gempa Masih Berskala Kecil Di Malaysia

Walaupun penduduk di Lembah Klang merasakan gegaran akibat gempa bumi Sumatera, namun sebenarnya gegaran itu masih dikira agak ringan jika hendak dibandingkan yang berlaku di Indonesia itu.

Menurut Presiden Persatuan Perunding Arkitek Malaysia (ACAM) Jafri Merican yang dipetik menerusi laporan Harian Metro, struktur bangunan di negara ini masih selamat walaupun mengalami gegaran kecil akibat gempa bumi di negara jiran.

Secara amnya bangunan di Malaysia tidak direka bentuk untuk menghadapi gempa bumi, kata Jafri sambil menambah Malaysia hanya mengalami gegaran atau 'tremors' akibat gempa bumi di negara jiran tetapi tidak pernah mengalami gempa bumi sebenar.

 

Sejauh Manakah Malaysia Masih Selamat?

Untuk rekod, Semenanjung Malaysia walaupun berada di luar Lingkaran Api Pasifik, masih berisiko berdepan bencana geologi akibat gempa bumi, kata seorang pakar geologi. Anda boleh baca laporan itu di portal Free Malaysia Today di sini.

Bukan MyCheck hendak menakutkan para pembaca, namun ia hakikat perlu diketahui agar lebih berpengetahuan dan berhati-hati di kemudian hari.

Erti kata lain, kejadian gempa bumi sememangnya sering berlaku di Indonesia kerana ia terletak dalam Lingkaran Api Pasifik cuma bezanya kuat atau tidak sahaja.

Gempa bumi kuat di Sumatera kerana berlakunya pertembungan tektonik yang teruk menghimpit plat kecil.

Utusan Malaysia bertarikh 14 Mac 2022 memetik kenyataan Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Ahmad Nizam Hasan memberitahu penubuhan Pusat Bencana Geologi dilihat sebagai keperluan mustahak bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, tanah runtuh dan banjir di negara ini.

Jelasnya peningkatan teknologi dan komunikasi sistem amaran awal penting ekoran kejadian tanah runtuh yang menunjukkan tahap luar jangka dalam aspek punca dan pencetus geologi serta geoteknik.

 

Apa Itu Lingkaran Api Pasifik?

Memetik artikel berbentuk ilmiah dari The Patriots yang bertajuk ‘Bumi Dan Lingkaran Api Pasifik’, Lingkaran Api Pasifik atau Ring of Fire adalah suatu lingkaran yang mengelilingi lembangan laut Lautan Pasifik yang sentiasa berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Lingkaran ini wujud kerana suatu fenomena yang dipanggil sebagai Pergerakan Plat Tektonik iaitu pergerakan dan perlanggaran kepingan kerak bumi.

Lingkaran ini berbentuk palam kuda yang bermula dari New Zealand, kepulauan Indonesia, Jepun, Alaska, Mexico sehingga ke Chile dengan kepanjangan 40,000 km. 


 


Sumber: Infografik dari The Patriots

 

Lingkaran ini sentiasa berlaku ekoran aktiviti bumi yang berterusan seperti pergerakan benua dan kelahiran gunung berapi. Ia terdiri daripada 452 buah gunung berapi yang mana hanya 75 peratus dalam status aktif. 

Anda juga boleh membaca artikel ilmiah tentang Lingkaran Api Pasifik dalam Bahasa Inggeris di ThoughtCo. Jangan lupa baca.

 

KESIMPULAN

Apa jua bencana alam, sama ada gempa bumi, letusan gunung berapi, taufan, banjir, atau tanah runtuh, pasti mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Bencana alam yang besar bukan sekadar mampu meranapkan kota dalam sekelip mata tetapi boleh meragut ribuan nyawa dan meninggalkan kesan trauma buat mereka yang terlibat.

Jadi janganlah kita dengan sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang berita mengenai bencana alam tanpa diketahui kesahihannya.

Pesan orang tua, jika tidak berupaya jadi garam, usahlah jadi langau yang bermaksud jika tidak mampu memberi manfaat, usahlah membawa kerosakan yang memudaratkan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Sinar Harian. “Kontena tumbang bukan berlaku di Pelabuhan Klang” Diterbitkan pada 25 Februari 2022.

2.Berita RTM. “Insiden kontena tumbang di Port Klang, palsu” Diterbitkan pada 25 Februari 2022.

3.Berita Harian. “7 maut puluhan cedera akibat gempa bumi di Sumatera” Diterbitkan pada 25 Februari 2022.

4.MalaysiaKini. “LPK nafi kontena tumbang di Pelabuhan Klang” Diterbitkan pada 25 Februari 2022.

5.Facebook MET Malaysia

6.Harian Metro. “Bukan berlaku di Pelabuhan Klang” Diterbitkan pada 25 Februari 2022.

7.YouTube Hafizdrawing Shorts

8.Free Malaysia Today. “Lingkaran Api Pasifik, namun masih berisiko berdepan bencana geologi, kata pakar” Diterbitkan pada 4 Mac 2022

9.Twitter Bernama

10.Dutch News. “Death toll rises to four, as storm Eunice moves into Groningen” Diterbitkan pada 18 Februari 2022.

11.NL Times. “Fourth death confirmed in Netherlands as Storm Eunice heads north” Diterbitkan pada 18 Februari 2022.

12.BBC. “Storm Eunice carves deadly trail across Europe” Diterbitkan pada 19 Februari 2022.

13.Utusan Malaysia. “Tubuh Pusat Bencana Geologi kesan bencana” Diterbitkan pada 17 Mac 2022.

14.Harian Metro. “Gegaran kecil tidak jejas struktur bangunan” Diterbitkan pada 25 Februari 2022.

15.The Patriots. “ Bumi Dan Lingkaran Api Pasifik” Diterbitkan pada 8 Oktober 2018.

16.ToughtCo. “Ring of Fire” Diterbitkan pada 22 Disember 2018.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.