Risiko Jangkitan Covid-19 Daripada Bungkusan Makanan Tercemar Adalah Rendah, Boleh Dielakkan Dengan Sanitasi Tangan, Permukaan dan Persekitaran

24/03/2022 10:57 AM

Benarkah...

Virus Covid-19 dikesan pada bungkusan produk daging dan makanan sejuk beku terutama yang diimport dan boleh menyebabkan penularan jangkitan kepada manusia.

Sumber : Facebook / Oktober 2020

Hasil

Tiada bukti mengesahkan Covid-19 boleh menjangkiti individu melalui makanan atau bungkusan produk. Walaupun virus itu boleh berada pada bungkusan makanan sejuk beku di bawah suhu 20 darjah Celcius, namun ia boleh dihapuskan dengan sanitasi.

Penyelidik : Suziy C. Mat

SEKILAS FAKTA

  • Risiko untuk dijangkiti Covid-19 daripada permukaan tercemar terlalu rendah.
  • Aspek kebersihan yang tinggi dengan proses pembasmian mampu mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada permukaan tercemar.

(Nota: Artikel ini mengandungi maklumat mengenai isu yang tular pada 2020. Ia disiarkan di MyCheck sebagai arkib dan rujukan di masa depan.)

 

LATAR BELAKANG

Menyedari hakikat virus Covid-19 yang tidak kelihatan oleh pandangan mata kasar boleh berada di mana-mana sahaja di persekitaran kita, pastinya orang ramai terus dalam keadaan berwaspada.

Kebimbangan terhadap jangkitan pandemik yang masih belum berpenghujung itu mendorong ramai individu melakukan disinfeksi rumah atau premis persendirian termasuklah sanitasi setiap satu barangan yang dibeli di kedai.

Malahan pekerja penghantaran daripada syarikat kurier atau penghantar makanan ke rumah pelanggan turut ‘disembur’ dengan semburan nyah kuman sebagai langkah berjaga-jaga.

Tindakan itu perlu kerana dikhuatiri berlaku jangkitan sekiranya tersentuh permukaan barangan yang melekat virus Covid-19.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck menerima tangkap layar hantaran di laman Facebook oleh sebuah portal berita berpusat di New York (NBC News) menyatakan virus Covid-19 dikesan pada pek bungkusan produk daging dan makanan laut sejuk beku yang diimport.

Hantaran yang dimuat naik di Facebook NBC yang memiliki lebih 10 juta pengikut itu disertakan dengan kapsyen: 

3 Chinese cities have reported detecting coronavirus on imported frozen food over the span of 4 days, raising fresh concerns contaminated food shipments could lead to new outbreaks.

(Terjemahan) 3 bandar raya China telah melaporkan pengesanan Covid-19 pada makanan sejuk beku yang diimport dalam tempoh 4 hari, menimbulkan kebimbangan baharu penghantaran makanan tercemar boleh membawa kepada wabak baharu.

Hantaran itu turut disertakan dengan pautan berita bertajuk ‘Coronavirus found on imported frozen food packaging in three Chinese Cities’.

Walaupun hantaran yang dimuat naik oleh NBC itu adalah peringatan yang merujuk kepada warganegara China, tetapi warganet bimbang jika di Malaysia juga berdepan masalah yang sama kerana Covid-19 merupakan isu global.

Bagaimanapun untuk mengetahui sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut, jom MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck cuba membuat carian rawak menerusi enjin Google jika ada kes seumpamanya dilaporkan portal berita tempatan atau terdapat kes tempatan yang sudah dilaporkan berlaku di negara ini.

Bila ada informasi begini, orang ramai pasti berasa risau akan keselamatan mereka apabila virus ini didakwa dikesan pada pek bungkusan produk makanan. Tambahan pula Malaysia juga pengimport produk makanan sejuk beku dari negara luar.

 

Berita Tempatan Lapor Isu Yang Sama

Menggunakan kata kunci ‘Covid-19 dikesan pada pek bungkusan makanan sejuk beku import’, ternyata isu ini memang telah banyak dilaporkan oleh media tempatan sejak 2020 lagi. Hasil carian yang kami dapati seperti dalam gambar berikut.

 


Sumber: Google

 

Di media sosial juga dapat dilihat impak laporan berita tersebut termasuk reaksi orang ramai yang kebanyakannya berasa bimbang.

Tajuk-tajuk berita yang mendapat perhatian warganet antaranya seperti berikut:

 


Sumber: Berita Harian Online

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Berita Harian Online

 


Sumber: Facebook

 

Adakah Covid-19 Boleh Merebak Menerusi Makanan?

Menurut laporan portal Piawaian Makanan Australia New Zealand atau Food Standards Australia New Zealand (FSANZ), setakat ini tiada bukti yang boleh mengaitkan dakwaan Covid-19 boleh dijangkiti melalui makanan atau pek bungkusan produk berkenaan.

FSANZ menjelaskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan makanan antarabangsa Australia dan New Zealand juga telah menegaskan bahawa Covid-19 merupakan wabak yang menular melalui pernafasan.

Penjelasan oleh pertubuhan-pertubuhan badan antarabangsa itu mengukuhkan lagi bukti bahawa Covid-19 bukan penyakit bawaan makanan.

Malah, tiada bukti atau sebarang kes yang telah dilaporkan berkenaan individu yang dijangkiti Covid-19 adalah disebabkan sebarang makanan atau minuman.

Kajian oleh Institut Kesihatan Kebangsaan (National Institute of Health) mendapati virus tidak akan aktif dalam persekitaran yang berasid, iaitu keadaan sama seperti di dalam perut.

Keadaan ini dilihat sukar untuk mengaitkan Covid-19 sebagai punca kerana virus berkenaan besar kemungkinan tidak mungkin sampai ke saluran pencernaan (gastro-intestinal; GI) manusia dan menyebabkan seseorang itu boleh dijangkiti penyakit apabila menelan apa-apa makanan atau minuman.

Suruhanjaya Antarabangsa Spesifikasi Mikrobiologi untuk Makanan atau  International Commission on Microbiological Specifications for Foods (ICMSF) turut membuat kesimpulan tidak ada bukti dokumentasi bahawa makanan adalah penyebab kepada penyebaran Covid-19.

ICMSF merupakan sebuah Organisasi Bukan Kerajaan Global dan pemerhati kepada kod makanan 'Codex Alimentarius' atau garis panduan standard makanan antarabangsa.

Kebanyakan kajian dan nasihat kesihatan berkaitan Covid-19 juga menyatakan risiko utama penularan wabak tersebut adalah disebabkan seseorang itu mempunyai kontak rapat kepada orang yang dijangkiti.

Pendekatan efektif seperti yang dinyatakan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ialah dengan mengamalkan jarak sosial, menjaga kebersihan diri, membasuh tangan dengan sabun dan air secara berkala dan elakkan menyentuh wajah untuk mengurangkan risiko jangkitan.

 

Jaminan Keselamatan Bagi Produk Makanan, Daging

Ada pihak yang mengesyaki Covid-19 mungkin berasal daripada haiwan namun menurut portal Piawaian Makanan Australia New Zealand, penularan Covid-19 tidak mungkin berlaku melalui daging kepada manusia di Australia.

Di Australia semua proses pengeluaran daging mentah dikenakan kawalan ketat. Ini termasuk melarang penjualan atau pemprosesan daging yang berpenyakit sebagai produk makanan.

WHO pula mengesyorkan agar setiap makanan dimasak dengan sempurna khususnya daging agar mikroorganisma berbahaya yang terdapat pada makanan  dapat dibunuh.

Dalam masa yang sama WHO menjelaskan bahawa kajian menunjukkan bahawa memasak makanan hingga suhu 70 darjah Celsius dapat membantu memastikan makanan selamat untuk dimakan.

Makanan yang memerlukan perhatian khusus termasuk daging cincang, roti panggang, daging dan daging ayam.

Pada masa sama di Malaysia, langkah waspada turut dilaksanakan dengan menjalankan pemantauan terhadap produk haiwan yang diimport termasuk ternakan domestik bagi memastikan ia bebas daripada Covid-19.

Menurut laporan Bernama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam menjelaskan pemeriksaan terhadap produk haiwan import seperti daging ayam dijalankan dengan mengambil sampel untuk ujian makmal sebelum dibenarkan dibawa masuk ke dalam negara.

Setakat ini tiada sampel produk tersebut yang dikesan positif Covid-19 serta tiada pelaporan atau bukti di peringkat antarabangsa yang ada kaitan dengan haiwan domestik secara langsung khusus pada Covid-19.

Beliau berkata tiada haiwan hidup yang dibawa masuk dari China ke Malaysia setakat ini, justeru risiko COVID-19 menerusi haiwan di negara ini adalah rendah.

Setakat ini juga tiada bukti jelas berhubung penularan virus dan transmisi Covid-19 membabitkan haiwan ternakan.

Difahamkan jabatan itu juga tidak menerima sebarang laporan terdapat haiwan ternakan tempatan diancam virus itu serta tiada haiwan hidup yang dibawa masuk dari China ke Malaysia.

Perkembangan tersebut ketika ini, menjelaskan bahawa risiko penularan Covid-19 menerusi haiwan adalah rendah di negara ini.

Malah, Time.com telah melaporkan bahawa CDC China menyatakan daripada 670,000 sampel makanan sejuk beku dan pek pembungkusan yang telah diuji untuk Covid-19 pada 15 September, hanya 22 daripadanya didapati positif.

 

Berapa Lama Covid-19 Mampu Hidup Di Permukaan?

Memetik laporan My Check bertajuk 'Kajian Varian Omicron Tahan Lebih Lapan Hari Di Permukaan Plastik Belum Dapat Dipastikan Sebagai Hasil Rasmi Kajian' mendapati Covid-19 dapat bertahan hingga 28 hari pada jenis permukaan yang bersifat rata dan licin pada suhu 20 darjah celsius.

Kajian yang diterbitkan pada 7 Oktober 2020 itu menjelaskan permukaan yang dimaksudkan antaranya wang kertas atau plastik, kaca seperti di skrin telefon bimbit dan keluli tahan karat.

Ia hanya mampu bertahan kurang daripada 24 jam iaitu sehari sahaja pada suhu 40 darjah celsius. Selain itu laporan MyCheck menerusi tajuk yang sama mendapati faktor suhu dan jangka hayat Covid-19 juga merupakan aspek yang diambil kira.

Pengarah ACDP Profesor Trevor Drew pula menjelaskan soal berapa lama Covid-19 dapat bertahan pada sesuatu permukaan adalah bergantung kepada kuantiti, jenis permukaan serta suhu persekitaran.

Sebagai contoh, kadar sentuhan dan titisan yang dikeluarkan ketika seseorang itu batuk merupakan faktor utama menilai tahap kebolehjangkitan virus itu melalui permukaan tercemar.

Kebanyakan kajian dan nasihat kesihatan berkaitan Covid-19 juga menyatakan risiko utama penularan wabak tersebut adalah disebabkan seseorang itu mempunyai kontak rapat kepada orang yang dijangkiti.

 

Pembasmi Kuman Berkesan Hapuskan Covid-19?

Covid-19 dapat bertahan di permukaan kulit manusia selama sembilan jam, menurut sepasukan penyelidik di Jepun.

Pasukan penyelidik itu juga mengkaji keberkesanan etanol ketika digunakan sebagai pembasmi kuman berasaskan alkohol.

Mereka menggunakan etanol pada kepekatan 80 peratus iaitu kadar sama seperti cecair disinfeksi yang terdapat di pasaran.

Tetapi pasukan para penyelidik yang disertai pakar epidemiologi Ryohei Hirose dari Universiti Perubatan Prefektur Kyoto mendapati virus itu boleh dinyahaktifkan dalam masa 15 saat dengan penggunaan bahan disinfeksi beralkohol atau etanol.

Selain itu, untuk membantu mencegah penyakit bawaan makanan, penting untuk setiap daripada kita mengamalkan nasihat keselamatan makanan.

Paling penting, perlu kerap melakukan proses pembersihan dan nyah infeksi kaunter dapur secara berkala menggunakan produk pembasmi kuman yang terdapat di pasaran.

Selain itu, cecair pembasmi kuman juga boleh dibuat sendiri menggunakan bahan yang ada di rumah iaitu lima sudu besar cecair peluntur ke dalam satu gelen air atau empat sudu teh peluntur untuk setiap seliter air.

Menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) USA, membersihkan dan menyah kuman di dapur secara kerap menggunakan produk pembasmi kuman yang ada di pasaran sudah mencukupi untuk menghapuskan virus di permukaan.

Setelah membersihkan permukaan dapur dengan cecair tersebut, biarkannya selama kira-kira satu minit sebelum dibasuh dengan air. Setelah itu barulah boleh mula menyediakan makanan di dapur.

Namun perlu diingat bahawa kaedah ini tidak boleh digunakan pada makanan seperti, sayur-sayuran, buah-buahan atau bungkusan makanan.

Selain itu, jika terdapat dalam kalangan anggota keluarga di rumah yang sedang sakit, sila lakukan proses pembersihan dan menyahkuman di semua permukaan berisiko seperti yang mudah dipegang, suis lampu, dan tombol pintu secara lebih kerap.

 

KESIMPULAN

Janganlah kita mudah percaya dengan khabar berkaitan Covid yang tidak pasti kerana hanya akan menimbulkan kebimbangan yang melampau.

Benar, kita perlu berasa risau memandangkan ada maklumat yang mengaitkan virus berkenaan dengan barangan yang dibeli terutamanya produk makanan.

Suka untuk MyCheck kongsikan penjelasan Pakar Mikrobiologi di Rutgers School of Environmental and Biological Sciences Don Schaffner yang tidak menggalakkan semua barangan dapur dinyah kuman selepas dibeli.

Anda boleh baca mengenainya di sini.

Menurut pakar berkenaan, kebanyakan sabun dan apa jua bahan kimia pembersih bukanlah dibuat untuk mencuci makanan daripada kuman atau virus.

Bahkan jika kita termakan sisa sabun juga boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit.

Sebaiknya basuh tangan sebaik sahaja pulang dari kedai, selepas siap menyusan barangan dapur, semasa memasak dan sebelum makan. Ini yang kita wajib buat!. Tangan kita sendiri yang sebenarnya lebih berpotensi tinggi menyebarkan kuman.

Selain itu jangan lupa, beg kitar semula yang digunakan ketika membeli barang juga mustahak untuk dibersihkan, paling kurang seminggu sekali kerana ia termasuk dalam kategori barang yang kerap dipegang. Ingat ya! 

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Bernama.com COVID-19: Jabatan Perkhidmatan Verterinar pantau kemasukan produk haiwan import, haiwan ternakan. 

2.Aerosol and Surface Stability of SARS-CoV-2 as Compared with SARS-CoV-1 | NEJM 

3.COVID-19 and Food Safety: Guidance for Food Businesses 

4.ICMSF opinion on SARS-CoV-2 in relation to food - BAV Institut Offenburg 

5.The effect of temperature on persistence of SARS-CoV-2 on common surfaces | Virology Journal | Full Text  

6.Novel Coronavirus and Food Safety 

7.Coronavirus Persistence on a Plastic Carrier Under Refrigeration Conditions and Its Reduction Using Wet Wiping Technique, with Respect to Food Safety 

8.Kajian Varian Omicron Tahan Lebih Lapan Hari Di Permukaan Plastik Belum Dapat Dipastikan Sebagai Hasil Rasmi Kajian 

9.Risiko jangkitan COVID-19 daripada pembelian barang sangat rendah

10.“Keterlaluan! Tak Payah Sampai Rendam Barang Makanan Dalam Sabun Selepas Beli”- Pakar 

11.Primary Production and Processing (PPP) Standards (Chapter 4) 

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.