+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Organ, Tisu Pesakit Covid-19 Yang Meninggal Dunia TIDAK Boleh Diderma Kerana Virus Covid-19 Berjangkit Dan Berisiko Menjangkiti Penerima

Benarkah...

Organ dan tisu pesakit Covid-19 yang meninggal dunia tidak boleh didermakan.

Sumber : Facebook / Mac 2022

Hasil

Organ pesakit Covid-19 yang meninggal dunia tidak boleh didermakan kerana ia mengandungi virus Covid-19 yang berisiko menjangkiti penerima.

06/04/2022 11:04 AM

SEKILAS FAKTA

  • Organ dan tisu pesakit Covid-19 yang meninggal dunia tidak boleh didermakan kerana virus tersebut dikategorikan sebagai penyakit berjangkit.
  • Virus Covid-19 berisiko menjangkiti penerima melalui organ dan tisu yang didermakan.
  • Ujian calitan Covid-19 sebelum prosedur perolehan organ dan tisu dilaksanakan kepada penerima organ.
  • Organ yang boleh didermakan selepas kematian di negara ini ialah jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang manakala tisu pula adalah kornea mata, injap jantung, tulang dan kulit.

 


Sumber: Astro Awani

 

LATAR BELAKANG

Kematian akibat jangkitan Covid-19 berlaku hampir setiap hari bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Pendermaan organ dan tisu bagi pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dilaporkan menjadi perbualan hangat sehingga ada yang mendakwa ia masih boleh digunakan ke atas individu yang memerlukan organ baharu bagi meneruskan kehidupan seperti biasa.

Seperti diketahui umum, pesakit Covid-19 yang meninggal dunia tidak akan diserahkan kepada waris keluarga, sebaliknya urusan pengebumian jenazah akan dilakukan sepenuhnya oleh pihak hospital bagi mengelakkan jangkitan virus berkenaan dalam kalangan waris.

Persoalan timbul mengenai isu berkenaan selepas segelintir pihak membuat andaian kononnya organ dan tisu pesakit Covid-19 yang meninggal dunia akan ‘dicuri’ dan ‘didermakan’ kepada mereka yang memerlukan.

Menurut laman sesawang Pusat Sumber Transplan Nasional, sehingga Februari 2022, seramai 503,227 individu telah berikrar untuk menjadi penderma organ.

Pusat Sumber Transplan Nasional sebelum ini memaklumkan bahawa seramai 4,924 pesakit masih menunggu untuk menerima pendermaan organ dengan buah pinggang adalah tertinggi iaitu 4,924 orang, diikuti hati (10) dan jantung (lapan).

 


Sumber: Pusat Sumber Transplan Nasional

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu dakwaan di Instagram Astro Awani yang mendakwa pendermaan organ tidak boleh dilaksanakan kepada individu yang memerlukan organ baharu.

 


Sumber: Astro Awani

 

APA  YANG KAMI TEMUI?

Pandangan Pakar

Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan Pusat Sumber Transplan Nasional Dr Hasdy Haron memaklumkan pendermaan organ dan tisu pesakit Covid-19 tidak boleh dilaksanakan kerana virus berkenaan adalah penyakit berjangkit yang berbahaya.

Beliau memaklumkan sekiranya pendermaan organ dan tisu diteruskan, ia dikhuatiri bakal mengundang risiko berbahaya kepada penerima organ berkenaan.

Dr Hasdy menerusi laporan Harian Metro mendedahkan penerima organ bakal berdepan kesan buruk termasuk risiko kematian sekiranya organ yang diterima oleh individu berkenaan tidak berfungsi dengan baik.

"Kita perlu tahu penerima organ perlu makan ubat 'immunosuppressant' (ubat antipenolakan organ) dan apabila makan ubat ini, sistem imun badan menjadi rendah.

"Sekiranya terlepas pandang perkara ini (penerima organ pesakit Covid-19), dia (penerima organ) boleh mendapat jangkitan yang teruk seterusnya mengakibatkan kematian," katanya.

Dr Hasdy pada masa sama turut menegaskan, semua bakal penderma organ disaran menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum prosedur perolehan organ serta tisu dilaksanakan bagi mengelakkan mereka daripada dijangkiti virus berkenaan.

Selain itu, jelasnya pendermaan organ dan tisu selepas kematian tertakluk kepada Akta Tisu Manusia 1974 (Akta 130) yang mana proses pendermaan organ hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kebenaran waris mereka yang meninggal dunia secara bertulis.

 

Pengesahan Larangan Pendermaan Organ Dan Tisu Oleh Media

Larangan pendermaan organ bagi pesakit Covid-19 yang sudah meninggal dunia sebelum ini banyak dilaporkan di beberapa akhbar arus perdana dan tempatan seperti  Astro Awani, Utusan Malaysia serta beberapa blog seperti syok.my, sumberkini.

 


Sumber: Astro Awani

 


Sumber: Utusan Malaysia

 

KESIMPULAN

Sebut sahaja perkataan ‘derma’ semua pasti arif ia merupakan pemberian ikhlas dan dipandang mulia bagi apa jua agama.

Pendermaan makanan, pakaian, waima wang tunai walau sekecil cuma pasti akan membuatkan pemberi merasa gembira, penerima pula bersyukur lega.

Selain darah, organ dan tisu badan selepas kematian juga tidak terkecuali didermakan, namun ia tidak sama dan tidak semudah seperti menderma barangan atau makanan.

Walaupun kebenaran dan persetujuan diterima daripada penderma, keluarga atau waris terdekat, pakar perubatan perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) pendermaan organ yang sewajarnya perlu dipatuhi.

Baik pemberi atau penerima, kedua-duanya pasti tidak mahu menjadi mangsa. Namun, janganlah kita khuatir kerana mereka yang arif dalam bidang pendermaan organ pasti membuat pertimbangan yang sebaiknya!.

-- MYCHECK.MY --


RUJUKAN

  1. Pusat Sumber Transplan Nasional

  2. Instagram Astro Awani

  3. Karut semata-mata.Diterbitkan oleh Harian Metro

  4. Organ, tisu individu meninggal akibat COVID-19 tidak boleh didermakan.Diterbitkan oleh Astro Awani.

  5. Dakwaan pengambilan organ pesakit Covid-19 tidak benar.Diterbitkan oleh Utusan Malaysia.

  6. Individu Yang Meninggal Dunia Akibat COVID-19 Tidak Boleh Dermakan Tisu.Diterbitkan oleh syok.my.

  7. Organ Individu Meninggal Akibat Covid-19 Tidak Boleh Didermakan.Diterbitkan oleh Sumber Kini.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.