+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pemakaian Pelitup Muka MASIH DIWAJIBKAN Untuk Bendung Jangkitan Covid-19

Benarkah...

Perdana Menteri maklumkan tiada keperluan pemakaian pelitup muka bermula 29 Mac 2022.

Sumber : Facebook / April 2022

Hasil

Kerajaan masih mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mengekang jangkitan Covid-19 walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April 2022.

13/04/2022 01:44 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu infografik di Facebook mengenai makluman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada lagi keperluan pemakaian pelitup muka bermula 29 Mac 2022.
  • Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan pemakaian pelitup muka masih wajib walaupun negara dalam fasa peralihan ke endemik.
  • Menurut Khairy pemakaian pelitup muka akan diteruskan terutama di kawasan tertutup.

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Pelitup muka mula digunakan secara meluas pada 2020 susulan penyebaran wabak Covid-19.

Kerajaan Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka apabila berada di tempat awam dan tertutup.

Terdapat pelbagai jenis pelitup muka di pasaran antaranya pelitup muka fabrik dan pelitup muka tiga lapis (3ply).

Pelitup muka tiga lapisan dan N95 paling sesuai digunakan untuk mencegah jangkitan Covid-19 kerana mampu menapis kira-kira 95 peratus virus.

Pelitup muka fabrik yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah menggunakan bahan bersifat menyerap air (hidrofilik), bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) yang diperbuat daripada bahan sintetik bukan tenunan dan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik).

Kegagalan mematuhi peraturan memakai pelitup muka akan menyebabkan seseorang individu boleh didenda sehingga RM1,500 di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

 


Sumber: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook dengan nama Puteri Beluran telah berkongsi satu paparan infografik makluman daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob bahawa rakyat tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka bermula 29 Mac 2022.

Hantaran itu dimuat naik pada 7 April 2022.

Tiada sebarang kapsyen disertakan bersama infografik yang tertulis : RAKYAT TIDAK WAJIB LAGI PAKAI PELITUP MULA BERMULA 20 MAC itu.

Infografik berkenaan mencetuskan tanda tanya warganet yang mempersoalkan kesahihannya.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Penguatkuasaan Pemakaian Pelitup Muka Bermula 1 Ogos 2020

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Julai 2020 yang ketika itu memegang portfolio Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) menerusi sidang media memaklumkan pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos 2020.

Ismail Sabri memberitahu bermula tarikh berkenaan, pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila seseorang itu berada dalam pengangkutan awam seperti bas, teksi, kenderaan e-hailing atau LRT dan KTM serta tempat-tempat awam yang sesak.

Kenyataan beliau itu boleh dibaca antaranya di portal berita Astro Awani dan portal berita Bernama.

 

Sudah 2022, Pelitup Muka Masih Wajib

Biarpun sudah dua tahun berlalu dan negara kini memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lepas, pelitup muka masih diwajibkan kepada semua.

Terbaharu pada 8 Mac lepas, Ismail Sabri turut mengulangi saranan supaya rakyat negara ini terus mengamalkan pemakaian pelitup muka walaupun negara kini dalam fasa peralihan endemik.

Anda boleh baca antaranya di portal berita Sinar Harian dan Berita Harian Online.

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi hantaran di Facebook pada 18 Mac lepas turut memaklumkan perkara yang sama.

Menurut KKM, endemik bermaksud kejadian penyakit atau agen pembawa penyakit yang sentiasa wujud di sesuatu tempat.

Penyakit ini dijangka sentiasa ada namun pada kadar stabil dan rendah seperti denggi.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Boleh Tidak Pakai Pelitup Muka Tetapi…

Pelitup muka boleh tidak dipakai namun ia hanya terhad kepada beberapa keadaan, antaranya kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Menurut portal mStar yang memetik kenyataan Khairy Jamaluddin, terdapat beberapa situasi pengecualian pemakaian pelitup muka yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Anda boleh baca selanjutnya di sini.

 

Infografik Tular Adalah Palsu

Badan semakan fakta sebenarnya.my serta Majlis Keselamatan Negara menerusi Facebook turut mengesahkan infografik yang ditularkan berkenaan adalah tidak benar.

 


Sumber: Facebook Majlis Keselamatan Negara

 

KESIMPULAN

Covid-19 adalah musuh yang tidak dapat dilihat. Tanpa kelibat ia melanda, membunuh jiwa dan meragut nyawa.

Melawan musuh tidak nampak ini tidak perlu pedang panjang atau kerambit tajam, hanya sekeping pelitup muka mampu menjadi ‘perisai’.

Pelitup muka yang dipakai dengan betul boleh melindungi saluran pernafasan daripada dimasuki virus Covid-19 dan mampu menyelamatkan anda serta yang tersayang.

Jadi, pakailah pelitup muka kerana Covid-19 masih ada.

Selain itu, berhentilah buang waktu untuk menyebar yang palsu, lebih baik berdoa moga Covid-19 cepat-cepat berlalu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Puteri Beluran

  2. Di mana kita wajib pakai pelitup muka?Diterbitkan oleh Astro Awani.

  3. Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

  4. Poster Bahawa Rakyat Tidak Wajib Memakai Pelitup Muka Bermula 29 Mac Adalah Tidak Benar.Diterbitkan oleh sebenarnya.my

  5. Facebook Majlis Keselamatan Negara

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.