+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kajian Otak Mengecut Akibat Covid-19 Belum Menyeluruh, Hanya Melibatkan Varian Alpha

Benarkah...

Virus Covid-19 berisiko merosak dan mengecutkan otak pesakit yang dijangkiti walaupun bergejala ringan.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Julai 2021

Hasil

Kajian tidak mewakili semua varian, kesan sampingan itu belum diketahui kekal atau sementara.

14/04/2022 08:02 PM

SEKILAS FAKTA

  • Sekumpulan pakar United Kingdom mendapati individu yang dijangkiti Covid-19 berisiko mengalami kesan otak mengecut sehingga dua peratus.
  • Kajian tertumpu kepada responden berusia antara 51 hingga 81 tahun dan dijalankan ketika varian Alpha dominan di United Kingdom.
  • Kajian itu tidak termasuk mereka yang dijangkiti varian Delta.
  • Covid-19 berisiko memberi kesan sampingan terhadap tahap kesihatan pesakit namun ia bergantung kepada faktor seperti tahap keseriusan jangkitan dan imun seseorang terutama individu yang lanjut usia.


Sumber: Canva

 

LATAR BELAKANG

Saban hari virus Covid-19 terus menjangkiti ramai orang walaupun individu itu sudah menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka, membasuh tangan dengan sabun dan menjaga jarak fizikal.

Mengikut rekod setakat 6 April 2022, jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini sudah mencecah 4.26 juta.

Tidak terkecuali mereka yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin tambahan (booster) turut dijangkiti virus tersebut.

Selain menyerang paru-paru, Covid-19 juga dikatakan memberi komplikasi jangka panjang atau ‘Long Covid’ pada kesihatan tubuh badan pesakit antaranya lemah badan dan sakit kepala.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Berita Harian Online

 

MyCheck menerima satu tangkap layar tertera tajuk berita yang mendakwa Covid-19 boleh merosakkan otak individu yang dijangkiti meskipun pesakit hanya mengalami gejala ringan.

Kapsyen gambar tersebut turut menyatakan Covid-19 berpotensi tinggi menyebabkan komplikasi otak termasuk kecelaruan, kerosakan saraf dan strok yang boleh membawa maut.

Laporan itu adalah dari luar negara berdasarkan kapsyen pada gambar yang tertera Paris, Ibu negara Perancis.

Memandangkan Covid-19 merupakan isu kesihatan global, tidak hairanlah perkara ini turut menjadi kebimbangan masyarakat di negara ini.

Pastinya ramai yang berasa gusar dengan tahap kesihatan masing-masing walaupun setelah bebas Covid sekiranya kesan sampingan serius seperti yang didakwa itu bakal ’menghantui’ mereka.

Apa pun biar kami semak dakwaan ini terlebih dahulu ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berdasarkan carian rawak menggunakan enjin Google, banyak dakwaan serupa dilaporkan media tempatan dan antarabangsa.

Selain laporan media dan portal, perkara ini juga ‘hangat’ menjadi perbincangan warganet.

Banyak juga 'cerita' yang dikongsikan bekas pesakit yang pernah dijangkiti Covid-19 yang rata-ratanya menyatakan mereka mengalami kesan sampingan iaitu masalah kesihatan seperti keletihan dan sakit kepala.

 


Sumber: Facebook

 

Kami cuba mencari maklumat lanjut berhubung perkara itu bagi memastikan sama ada kesan sampingan yang juga dikatakan sebagai 'Long Covid' itu ada kaitan atau tidak dengan dakwaan otak mengecut.

 

Kesan Sampingan Dialami Pesakit Covid-19

Berdasarkan laporan sebuah portal berita Singapura iaitu berita.mediacorp, sembilan daripada 10 pesakit yang pulih daripada Covid-19 mengalami kesan sampingan seperti lelah, kesan psikologi selepas jangkitan dan kehilangan deria bau dan rasa selepas pulih daripada penyakit itu.

Laporan tersebut berdasarkan sebuah kajian sekumpulan pakar dari Korea Selatan yang membuat tinjauan dalam talian ke atas 965 pesakit Covid-19 yang pulih.

Sebanyak 879 orang atau 91.1 peratus daripada keseluruhan responden berkongsi pengalaman bahawa mereka menderita sekurang-kurangnya satu kesan sampingan daripada penyakit tersebut.

Laporan berita itu turut memetik penjelasan Pegawai Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) Kwon Jun-Wook yang mengatakan lelah adalah kesan sampingan yang paling biasa dialami diikuti dengan kesukaran menumpukan perhatian.

Ia diakui 24.6 peratus daripada responden yang merupakan bekas pesakit yang pernah dijangkiti virus itu.

Kesan sampingan lain seperti psikologi atau mental dan kehilangan deria rasa atau bau turut dilaporkan.

 

Saiz Otak Mengecil Sehingga Dua Peratus

Laporan portal Reuters turut menyatakan bahawa Covid-19 boleh menyebabkan pengecutan otak serta kehilangan ingatan menurut kajian para saintis Universiti Oxford, England.

Bekas pesakit Covid-19 dilihat berpotensi mengalami anggaran purata saiz otak yang mengecil antara 0.2 dan dua peratus.

Kajian tersebut dikatakan mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan kondisi tidak normal pada otak bekas pesakit Covid-19 yang mana berlaku pengurangan bahan kelabu di kawasan yang mengawal emosi dan ingatan serta telah merosakkan kawasan yang mengawal deria bau.

Forbes.com melaporkan bahawa teori semasa mencadangkan kemungkinan terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada defisit fungsi otak ini.

Keadaan tidak normal yang dikesan pada struktur otak mungkin disebabkan oleh jangkitan yang berlaku di tapak lain di sekeliling badan, termasuk fungsi sel epitelium untuk deria manusia termasuk menghidu.

 


Sumber: Google

 

Kajian Ketika Varian Alpha Sedang Dominan

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, mengkaji perubahan terhadap otak 785 peserta berumur 51 hingga 81 tahun.

Otak mereka diimbas dua kali iaitu imbasan kedua dilakukan secara purata 141 hari selepas imbasan pertama.

Bagaimanapun menurut laporan kajian berkenaan, perlu difahami bahawa kajian ini dijalankan ketika varian Alpha sedang dominan di United Kingdom dan tidak termasuk mereka yang dijangkiti varian Delta.

Kajian mendapati sesetengah orang yang dijangkiti Covid-19 mengalami ‘kabus otak’ termasuk gangguan perhatian, tumpuan, kekurangan kelajuan pemprosesan maklumat dan ingatan.

Kesan ini dikatakan lebih ketara pada mereka yang lebih tua dan pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan di hospital.

Namun, ketua pasukan penyelidik Universiti Oxford Profesor Gwenaëlle Douaud tidak menafikan yang kesan sama masih boleh berlaku pada pesakit Covid-19 kategori ringan atau bagi mereka yang tanpa gejala.

Menurut beliau, keputusan ini sedikit sebanyak membimbangkan ramai orang kerana 96 peratus daripada peserta kajian mengalami jangkitan ringan.

Bagaimanapun, beliau berharap akan ada dapatan yang menjelaskan keupayaan otak untuk membesar semula dan pulih dengan sendiri dari semasa ke semasa (kesan tidak kekal) dan mungkin kaedah merawat beberapa kerosakan yang berlaku pada otak bekas pesakit Covid-19.

Beliau turut menekankan bahawa tahap penelitian yang dilakukan ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil faktor selesema sahaja memungkinkan beberapa kesan yang serupa berlaku.

 

KESIMPULAN

Apa pun, jangan panik!

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, risiko yang memberi kesan kepada otak pesakit Covid-19 itu memang ada, cuma sejauh mana keseriusan dan tempoh masa sama ada jangka panjang atau sebaliknya adalah berbeza, bergantung kepada keadaan individu.

Ada yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom mahupun kesan sampingan.

Sebagaimana yang semua tahu virus yang menyerang kita semua ini masih ‘baru’ untuk kita kenali, jadi sebarang maklumat yang anda terima janganlah ‘ditelan’ bulat-bulat.

Semak dan imbang fakta anda terlebih dahulu.

Oh ya! Hakikat yang perlu kita terima juga adalah otak kita bukan sahaja berisiko untuk bermasalah akibat Covid-19 sahaja.

Sebaliknya perkembangan otak juga biasanya akan mulai menurun secara perlahan mengikut tahap peningkatan usia manusia.

Sistem badan kita memang sudah dengan sendirinya akan membentuk atau 'menghilangkan' fungsi sel saraf dan sel otak apabila kita semakin meningkat usia.

Memasuki umur 50 tahun, ingatan kita akan mulai menjadi lebih pendek atau lemah hingga mudah terlupa akan sesuatu.

Ini disebabkan penuaan semula jadi yang mengubah ukuran dan fungsi otak. Pada peringkat ini kemampanan otak menyusut dan risiko berbagai penyakit berkaitan otak lebih mudah berlaku misalnya Dimensia, Alzhimer, Parkinson dan Epilepsi.

Jadi MyCheck suka untuk kongsikan cara menyeronokkan yang boleh membantu kita merangsang otak agar terus sihat dan mampu menjalankan fungsinya secara optimum antaranya mendengar atau bermain muzik, pelajari pelbagai bahasa selain bahasa ibunda anda, membaca dan menghafal serta mengembara.

Paling penting bertenang dan elakkan tekanan! Anda boleh baca lebih lanjut di portal theAsianparent ni ya!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Covid-19 boleh sebabkan otak 'mengecut'- hmetro

2.COVID-19 boleh sebabkan otak mengecut, hilang ingatan- BH Online 

3.9 daripada 10 pesakit yang pulih COVID-19 alami kesan sampingan: Kajian Korea Selatan - Berita Mediacorp

4.Keletihan kesan sampingan utama dialami bekas pesakit COVID-19 - Kajian | Astro Awani

5.Pesakit COVID-19 alami kesan sampingan

6.Kesan sampingan selepas pulih covid- Hi doktor, saya bekas pesakit-DoctorOnCall

7.Bebas Covid-19 tapi masih ramai mengadu... ada kesan sampingan yang tetap dialami - Famili | mStar

8.Rambut gugur kesan sampingan jangkitan Covid-19 - Kosmo Digital

9.Ibu bapa perlu risau pada jangkitan COVID-19 bukan vaksin - ismaweb

10.“Ini Semuanya Kesan Covid” – Ashraf Muslim Kongsi Pengalaman Otot Kecut Selepas Jangkitan Virus Covid-19 | Buletin FM

11.Covid-19 ringan kecilkan saiz otak - Kajian saintis UK

12.Benarkah COVID-19 Bisa Menginfeksi Otak? Ini Riset yang Pernah Dilakukan

13. COVID-19 can cause brain shrinkage, memory loss - study | Reuters

14.SARS-CoV-2 is associated with changes in brain structure in UK Biobank | Nature

15.Brain shrinkage linked to COVID-19 | Live Science

16.Studi Ungkap Bagaimana Covid-19 Mempengaruhi Otak - Citizen6 Liputan6.com

17.Bagaimana Covid-19 Sebabkan Perubahan Otak? Studi Jelaskan Halaman all - Kompas.com 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.