+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Infografik Saranan Pengambilan Dos Keempat Adalah Palsu, Kerajaan Belum Rancang Vaksinasi Dos Penggalak Kedua Setakat Ini

Benarkah...

Orang awam disaran mendapatkan dos keempat vaksin Covid-19 kerana ‘varian Omicron akan merebak’ selepas Malaysia membuka semula sempadan pada 1 April 2022.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Mac & April 2022

Hasil

Setakat 14 April 2022, kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai rancangan untuk pengambilan dos keempat.

15/04/2022 01:10 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu infografik dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan dakwaan orang awam disaran mendapatkan dos keempat vaksin Covid-19 kerana ‘varian Omicron akan merebak’ selepas Malaysia membuka semula sempadan pada 1 April 2022.
  • KKM menafikan mengeluarkan infografik tersebut.
  • Setakat 14 April 2022, kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai rancangan untuk pengambilan dos keempat.



Sumber: Facebook dan Twitter

 

LATAR BELAKANG

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada awal Mac 2022 mengumumkan Malaysia akan membuka sempadan kepada semua pelancong yang telah divaksin sepenuhnya bermula 1 April 2022.

Menurut Ismail Sabri, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha negara yang kini memasuki fasa peralihan endemik selain meningkatkan ekonomi dan memulihkan sektor pelancongan Malaysia yang terjejas teruk.

Selaras dengan itu, kerajaan juga menarik balik beberapa sekatan dalam negeri melibatkan waktu operasi perniagaan, kapasiti pekerja serta had kapasiti solat di masjid dan rumah ibadat yang lain.

Untuk rekod, Malaysia menutup sempadannya sejak 18 Mac 2020 berikutan pandemik global Covid-19 dan sewaktu pengumuman pembukaan sempadan oleh Perdana Menteri itu, jumlah keterukan kes Covid-19 tidak tinggi namun jumlah jangkitan meningkat ekoran penularan varian Omicron.

Menurut Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), penduduk tempatan disaran menerima dos penggalak (dos ketiga) yang telah diperkenalkan sejak Oktober 2021 bagi meningkatkan tahap imunisasi yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas mendapat dos lengkap (dua dos primer) selain bertujuan memastikan tempoh perlindungan yang optimum diperoleh oleh penerima vaksin Covid-19.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber Facebook dan Twitter

 

Tular satu infografik dikeluarkan oleh KKM dengan dakwaan orang awam disaran mendapatkan dos keempat vaksin Covid-19 kerana ‘varian Omicron akan merebak’ selepas Malaysia membuka semula sempadan pada 1 April 2022.

 

APA KAMI TEMUI

Pertama sekali, MyCheck melakukan carian tentang berita pembukaan sempadan pada 1 April 2022 dan menemui berita itu adalah sahih dan telah dilaporkan oleh media tempatan antaranya Berita Harian dan Sinar Harian.

Malah MyCheck turut melakukan carian di laman sosial Facebook dan menemukan infografik sama turut dikongsi antaranya di sini dan di sini.

 

Ejaan Salah Pada Ayat Dalam Infografik

Sebelum menyemak dengan lebih lanjut, MyCheck meneliti infografik yang tular itu dan sekali imbas dapat mengesan beberapa kesalahan ejaan dan penggunaan bahasa yang tidak sesuai.

Pada baris pertama infografik itu terpapar perkataan Variant yang dieja dalam bahasa Inggeris sedangkan ayat lain sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

Pada baris yang sama juga jelas kelihatan perkataan dijangkan atau sebenarnya dijangka yang telah disalah eja.

Selain itu jika dibaca penuh, ayat ‘Gelombang Variant dijangkan akan merancak selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April 2022’ juga agak pelik bunyinya.

Rasanya tidak perlu menjadi guru bahasa Melayu atau pakar dalam bidang penulisan, sesiapa sahaja pasti akan berasa pelik dengan penggunaan ayat itu yang tidak sesuai seolah-olah ditulis tanpa disemak terlebih dahulu.

Kesilapan sebegini jarang berlaku pada infografik daripada agensi-agensi rasmi kerajaan atau swasta kerana ada pihak tertentu akan bertanggungjawab memastikan ejaan dan ayat yang tertulis adalah betul serta sesuai sebelum ia disiarkan kepada umum.

Jadi mungkinkah infografik ini hanyalah suntingan pihak tidak bertanggungjawab?

 


Sumber: Facebook dan Twitter

 

Penafian Pihak Berwajib

MyCheck kemudian menelusuri carian di media sosial dan Google.

Kami dapati KKM telah mengeluarkan kenyataan di laman Facebook rasminya pada 11 Mac 2022 memaklumkan bahawa infografik yang tular adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh KKM.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Malah pada hari yang sama, akaun Twitter rasmi Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) turut berkongsikan satu kenyataan media dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

 


Sumber: Twitter Majlis Keselamatan Negara

 

"Orang ramai disaran untuk sentiasa merujuk laman sesawang media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini." menurut kenyataan media K-KOMM itu.

Media tempatan antaranya Bernama, Sinar Harian, Astro Awani, Harian Metro, Kosmo, The Sun Daily serta Free Malaysia Today turut melaporkan penafian itu.

 

Tiada Rancangan Untuk Dos Keempat

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media status terkini kes penularan Covid-19 di Putrajaya bertarikh 17 Februari 2022 mengesahkan tiada perancangan untuk memberikan dos keempat vaksin Covid-19 setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pemberian dos keempat vaksin Covid-19 sepertimana dilakukan di beberapa negara luar seperti Israel. Anda boleh baca berita itu di sini dan di sini.

Malah kami turut menemui satu kenyataan bertarikh 23 Mac 2022 bahawa Unit MySejahtera KKM yang antara lain menjelaskan dasar KKM buat masa ini.

Maklumat penting dalam kenyataan itu antaranya berbunyi :

Adalah menjadi dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas dan tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan.

MyCheck tandakan ayat itu dengan kotak merah seperti di bawah : 

 


Sumber: Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Anda juga boleh baca laporan berita tiada suntikan dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan di sini dan di sini.

Setakat laporan ini ditulis (14 April 2022) kerajaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai rancangan untuk pengambilan dos keempat.

 

Belum Banyak Negara Syor Pengambilan Dos Keempat

Statistik rasmi vaksinasi Covid-19 di Malaysia menunjukkan hampir 80 peratus daripada populasi dewasa negara telah menerima dos ketiga vaksin Covid-19, menurut laman sesawang COVIDNOW setakat 14 April 2022.

 


Sumber: Portal COVIDNOW

 

Walaupun banyak negara telah memberikan dos ketiga kepada warganya, kami dapati belum ramai mengesyorkan pengambilan dos keempat.

Namun, Sweden, Amerika Syarikat, Israel serta United Kingdom telah menyeru dan memulakan program pengambilan dos keempat terhadap sebahagian warganya, termasuk pekerja kesihatan dan warga emas.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan MyCheck, jelas bahawa dakwaan saranan pengambilan dos keempat tersebut adalah tidak benar dan kerajaan belum bercadang ke arah itu.

Maka, usahlah kita membuta tuli menerima dan menyebarkan maklumat yang sudah tentu tidak benar sehingga membangkitkan panik dalam kalangan masyarakat.

Selalu ingat di minda, “kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya” bermaksud sesuatu perkara itu hendaklah diteliti dengan saksama sebelum dibuat kesimpulan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Sinar Harian. “PM beri jaminan sempadan negara dibuka tidak lama lagi” Diterbitkan pada 24 Februari 2022.

2.Berita Harian. “Sempadan negara dibuka bermula 1 April ini” Diterbitkan pada 8 Mac 2022.

3.COVIDNOW. “Kes Covid-19 Aktif” Data setakat 13 April 2022.

4.Berita Harian. “Kes harian Covid-19 kembali bawah 10,000” Diterbitkan pada 11 April 2022.

5.Free Malaysia Today. “KKM nafi terbitkan infografik membabitkan dos keempat” Diterbitkan pada 11 Mac 2022.

6.Sinar Harian. “KKM nafi infografik pengambilan dos keempat vaksin Covid-19” Diterbitkan pada 11 Mac 2022.

7.Harian Metro. “Tiada suntikan dos penggalak kedua atau dos keempat” Diterbitkan pada 23 Mac 2022.

8.Euractiv. “Swedish health authorities recommend fourth dose for everyone over 80” Diterbitkan pada 15 Februari 2022.

9.CNN. “A fourth Covid-19 shot might be recommended this fall, as officials 'continually' look at emerging data” Diterbitkan pada 21 Februari 2022.

10.CNN. “Israel begins fourth Covid-19 dose vaccine rollout for people 60 and over as Omicron cases surge” Diterbitkan pada 22 Disember 2021.

11.CNBC. “CDC recommends fourth Pfizer and Moderna Covid vaccine doses for people age 50 and older” Diterbitkan pada 29 Mac 2022.

12.mStar. “Apa pendirian kerajaan mengenai dos ke-4, PKP? Ini jawapan Menteri Kesihatan” Diterbitkan pada 17 Februari 2022.

13.Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.