+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kambing Biri-Biri Beltex BUKAN Kacukan Dengan Babi. Ia Merupakan Baka Khas Dari Eropah

Benarkah...

Kambing biri-biri Beltex merupakan kacukan dengan babi kerana bentuk fizikalnya yang pendek menyamai babi.

Sumber : Facebook / April 2022

Hasil

Kambing biri-biri Beltex bukan kacukan dengan babi. Ia merupakan baka khas yang mempunyai otot kaki tegap dan diternak secara meluas oleh peladang di Eropah untuk penghasilan daging.

19/04/2022 10:19 AM

SEKILAS FAKTA

  • Kambing biri-biri Beltex berasal dari Kepulauan Beltex yang terletak berhampiran Belanda, sebelum dibawa ke Pielsteert, Belgium untuk diusahakan secara meluas.
  • Ia bukan kacukan babi walaupun bentuk fizikalnya pendek.
  • Baka kambing biri-biri Beltex mempunyai otot yang tegap di kedua-dua belah kakinya selain dagingnya dikatakan memiliki kandungan lemak yang rendah.
  • Kambing ini juga mempunyai struktur tulang yang kecil disebabkan pemilihan baka yang bersesuaian oleh peladang Eropah.
  • Kambing biri-biri Beltex digunakan untuk proses mengawan dengan kambing biri-biri betina bagi proses pengeluaran daging.

 


Sumber: beltexsheep.com

 

LATAR BELAKANG

Kambing biri-biri jenis Beltex merupakan baka khas kambing biri-biri yang diternak di beberapa negara Eropah bagi tujuan proses pengeluaran daging.

Menurut laman sesawang Persatuan Kambing Biri-Biri Beltex United Kingdom Beltex Sheep Society, baka kambing biri-biri Beltex pada asalnya diternak sebagai Texel Belgium yang dipilih dan dibiakkan untuk mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada kambing biri-biri yang memiliki otot kaki berganda (culards).

Profesor Roger Hanset dari Universiti Liege, Belgium merupakan peneraju dalam bidang penyelidikan genetik otot berganda dan beliau juga memainkan peranan utama dalam pembangunan baka lembu Belgian Blue.

Beliau dibantu rakannya iaitu Profesor Pascal Leroy menjalankan penyelidikan mengesahkan ciri-ciri bangkai unggul baka baharu itu yang disifatkannya dalam laporannya sebagai Texel DM (Double Muscle) sebelum wujudnya kambing biri-biri Beltex.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Sanusie Ibrahim memuat naik satu video mengenai kambing biri-biri Beltex.

Video berkenaan disertakan dengan kapsyen : “Haiwan baru yang di klonkan…bernama KHANZAROF..dibuat di makmal Amerika dan Russia…dengan teknik mengklonkan kambing dan babi”.

Setakat laporan ini ditulis (18 April 2022) video itu telah mendapat lebih 1,200 tontonan.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pengesahan Mengenai Kewujudan Beltex

Beberapa laman sesawang mengenai pertanian terutamanya dari United Kingdom banyak membicarakan asal usul dan sejarah mengenai kambing biri-biri khas ini yang berasal dari Belanda.

Laman sesawang itu antaranya adalah modern farmer, roysfarm dan RNZ  yang tidak langsung mengaitkan kambing ini dengan kacukan babi dan sebagainya.

Berdasarkan semakan kami mendapati tiada perkataan “babi” dikaitkan dalam artikel berkenaan.

Kebanyakan penulis dalam artikel itu sebaliknya mendedahkan kambing biri-biri ini sebenarnya memang wujud dan dikomersialkan di Eropah secara besar-besaran bagi pengeluaran daging.

 

Kambing Biri-Biri Dan Babi Tidak Boleh Dikacuk

Menurut kongsiilmuternak, sebuah blog yang memaparkan maklumat berkaitan ternakan ruminan, baka babi tidak boleh dikacukkan dengan biri-biri memandangkan kedua-dua haiwan itu berlainan kromosom dan mustahil disenyawakan biarpun menggunakan kaedah sains.

Sumber veterinar berkata babi adalah haiwan monogastrik iaitu sistem pencernaan yang hampir serupa dengan manusia manakala biri-biri adalah ruminan iaitu memakan tumbuhan.

Pandangan sama turut dikongsikan dalam sebuah artikel yang disiarkan Harian Metro bahawa baka babi tidak boleh dikacukkan dengan biri-biri memandangkan kedua-dua haiwan itu berlainan kromosom dan mustahil disenyawakan biarpun menggunakan kaedah sains.

“Kedua-dua haiwan ini jika baka jantan dan betina disatukan masih tidak boleh disenyawakan kerana berlainan kromosom,” menurut artikel berkenaan.

Seorang pengguna Facebook, Faisal Faisal KS menerusi satu hantaran yang dimuat naik pada 30 Mei 2019 memaklumkan kambing biri-biri dan babi tidak boleh dikacukkan kerana terdapat perbezaan jumlah kromosom.

Faisal yang merupakan pengasas sebuah syarikat pertanian iaitu Agrolinks Worldwide Sdn Bhd mendedahkan kromosom kambing biri-biri adalah sebanyak 54, kambing biasa (60) manakala babi mempunyai sebanyak 40 kromosom.

Kromosom adalah makromolekul yang terdiri daripada molekul DNA yang diikat bersama protein histone membentuk gentian bebenang didalam sel nuklues. Kromosom berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘badan berwarna’.

 

Penafian Badan Semakan Fakta

Beberapa laman semakan fakta termasuk Masyarakat Anti Fitnah Indonesia MAFINDO dan AFP Periksa Fakta pernah mengeluarkan artikel mengenai isu yang tular ini.

Mereka turut menafikan bahawa kambing biri-biri Beltex merupakan kacukan di antara kambing biri-biri dan babi.

 


Sumber: MAFINDO

 

Lembaga Pengkajian Pangan dan Obat-Obatan Kosmetika Majelis Ulama Indonesia menerusi laman sesawang mereka iaitu halalmui.org turut menjelaskan mengenai dakwaan itu.

 

Maklumat penting dalam kenyataan itu antaranya berbunyi :

Sampai saat ini belum ada bukti keberhasilan persilangan antara genus yang berbeda. Babi adalah keturunan keluarga (genus) Sus dan merupakan kelompok ternak monogastrik, sedangkan domba keturunan genus Ovis merupakan kelompok ternak ruminansia.

MyCheck tandakan ayat itu dengan kotak merah seperti di bawah :

 


Sumber: Laman sesawang Majlis Ulama Indonesia

 

KESIMPULAN

Kecanggihan teknologi dan pertanian moden ketika ini memungkinkan penghasilan lebih banyak produk pertanian atau penternakan yang menarik dan unik untuk dikomersialkan.

Namun begitu, jika melibatkan kacukan antara haiwan, ia tidaklah mudah dan sewenang-wenang boleh dilakukan kerana ia memerlukan kajian mendalam.

Bahkan ada sesetengahnya adalah mustahil untuk dilakukan disebabkan perbezaan kromosom dan sebagainya. 

Jadi, janganlah sebar melulu. Pepatah ada mengatakan “takkan cempedak berbau nangka” bermaksud selidik dulu sebelum percaya!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Beltex, the story.Published by Beltex Sheep Society.

  2. Facebook Sanusie Ibrahim.

  3. Meet the Beltex, an Eternally Grumpy-Looking Sheep.Published by modern farmer.com.

  4. Beltex Sheep Characteristics, Origin & Uses Info.Published by Roysfarm.com.

  5. Double-muscled sheep breed offers meaty gains.Published by RNZ.

  6. Biri-Biri Kacukan Babi? Benar atau tidak.Diterbitkan oleh kongsiilumternak.blogspot.com.

  7. Memang Mustahil!Diterbitkan oleh Harian Metro.

  8. Facebook Faisal Faisal KS.

  9. [SALAH] Khanzarof : Hasil Cloning Dokter Hewan Amerika dan Rusia yang berasal dari Campuran Kambing dan Babi.Diterbitkan oleh MAFINDO.

  10. Betulkah “Khanzarof” Hasil Persilangan Babi dan Domba?Diterbitkan oleh Majlis Ulama Indonesia.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.