+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Cadangan KKM Tangguh Rentas Negeri Sempena Aidilfitri Adalah BERITA LAMA Pada 2021

Benarkah...

KKM cadang tangguh rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 3 dan 4 Mei ini

Sumber : Facebook & WhatsApp / April 2022

Hasil

Ia adalah kenyataan lama pada 15 April 2021 dan ditularkan semula. Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa tiada lagi sekatan pergerakan termasuk rentas daerah dan negeri kerana Malaysia telah memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April 2022.

25/04/2022 01:48 PM

Penyelidik : Ummu Khalidah, Pelatih Praktikal Dari UiTM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan rentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguhkan.
  • Ia adalah kenyataan lama yang dikeluarkan KKM pada 15 April 2021 namun ditularkan semula.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa tiada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjelang hari raya ini.

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Berbaki lapan hari lagi - bulan Syawal, yang dinanti seluruh umat Islam akan menjelang tiba.

Lagu raya yang berkumandang di corong-corong radio menyemarakkan suasana kedatangan Syawal.

Keterujaan menyambut Aidilfitri buat rakyat Malaysia pastinya berbeza kali ini setelah hampir dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman ekoran sekatan pergerakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelbagai persiapan telah dilakukan, berbelanja baju baru sedondon, bersengkang mata membakar kuih-muih dan tidak terkecuali bagi yang menggunakan pengangkutan awam, telah menempah tiket untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sebulan lebih awal.

Namun di sebalik keterujaan itu, timbul pula dakwaan bahawa KKM mengesyorkan rentas negeri ditangguhkan.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook

 

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Kak Kin Amaze telah berkongsi hantaran daripada laman Facebook rasmi KKM pada 16 April 2022.

Terpapar tajuk ‘KKM cadangkan rentas negeri untuk Sambutan Hari Raya Aidilfitri ditangguh - Dr Adham Baba' pada hantaran itu.

Pengguna Facebook berkenaan turut menulis kapsyen dalam loghat Kedah berbunyi : “Hampa qasa (rasa) apa wei… Gena (Bagaimana) nak balik kampung”.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck telah meneliti gambar yang tular itu dan menemukan dua petunjuk.

Kami tandakan petunjuk dalam bentuk nombor seperti di bawah dan penjelasan pada perenggan seterusnya.

 


Sumber: Facebook

 

1. Tarikh Lama (15 April 2021)

Di atas tajuk berita tersebut jelas tertera tarikh 15 April 2021, merujuk kepada tarikh artikel disiarkan.

Hantaran Facebook yang tersebar tertera ‘dateline’ 16 April (tanpa menyatakan tahun). Mengikut format yang digunakan laman sosial itu, tarikh yang disiarkan pada hantaran tanpa menyatakan tahun merujuk kepada bahan yang disiarkan pada tahun semasa.

Memandangkan tarikh asal artikel Astro Awani ini disiarkan pada 2021, maka kami yakin hantaran dalam tangkap layar yang tersebar dibuat selepas itu iaitu pada tahun ini (2022).

Oleh itu dapat kita simpulkan bahawa ada jarak selama satu tahun antara artikel Astro Awani ini disiarkan dengan hantaran Facebook yang dilakukan.

 

2. Dr Adham Baba Adalah Bekas Menteri Kesihatan

Untuk pengetahuan pembaca, ketika artikel ini disiarkan Astro Awani, Datuk Seri Dr Adham Baba masih memegang jawatan sebagai Menteri Kesihatan.

Namun berlaku beberapa pertukaran portfolio melibatkan beberapa menteri kabinet termasuk Dr Adham Baba.

Beliau kini diamanahkan memegang portfolio sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi manakala jawatan Menteri Kesihatan diambil alih oleh Khairy Jamaluddin.

Justeru laporan Astro Awani ini adalah benar ketika ia ditulis namun tidak lagi relevan pada tahun ini.

Beliau kini memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

 

3. Hantaran Dibuat Atas Dasar Gurauan

Selain itu MyCheck juga telah meneliti semula hantaran di Facebook tersebut dan mendapati pemilik akaun Facebook itu memuat naik tangkap layar berkenaan sebagai gurauan.

Ia berdasarkan komen pada hantaran tersebut yang kami sertakan di bawah :

 


Sumber: Facebook

 

PM Beri Jaminan Tiada Lagi PKP Dan Sekatan Untuk Rentas Negeri Berhari Raya

Bagi mendapatkan kepastian, MyCheck melakukan semakan dan menemukan satu video Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan negeri sempena sambutan Hari Raya nanti.

Sebaliknya kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekiranya berlaku peningkatan kes di sesuatu lokaliti.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan MyCheck, jelas di sini cadangan KKM itu adalah kenyataan lama yang dikeluarkan pada 2021.

Setakat laporan ini ditulis (21 April 2022), tiada sebarang makluman terkini daripada kerajaan berhubung sekatan pergerakan untuk orang ramai pulang berhari raya pada 3 dan 4 April ini.

Pesan MyCheck, ‘khabar jauh dengar-dengarkan, khabar dekat fikir-fikirkan’ bermaksud tiap khabar yang diterima hendaklah diselidiki supaya tidak tertipu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.https://www.facebook.com/100035529398357/posts/714949066366067/

2.https://twitter.com/IsmailSabri60/status/1485196853641879552

3.https://www.facebook.com/visioncrew.co

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.