+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Keperluan Vaksinasi BUKAN Dimansuhkan Sepenuhnya. Ia Hanya Melibatkan Had Kapasiti Pekerja Dan Rentas Negeri

Benarkah...

Keperluan vaksinasi Covid-19 telah dimansuhkan sepenuhnya

Sumber : Facebook & WhatsApp / Mac & April 2022

Hasil

Keperluan vaksinasi yang dimansuhkan hanyalah melibatkan had kapasiti pekerja dan rentas negeri.

26/04/2022 11:39 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman bahawa keperluan vaksinasi Covid-19 telah dimansuhkan.
  • Memang benar Ismail Sabri membuat kenyataan itu pada sidang media 9 Mac 2022, tetapi ia merujuk kepada keperluan vaksinasi untuk perjalanan rentas negeri dan had kapasiti pekerja.
  • Video sidang media telah disunting pendek durasinya dan diletakkan tajuk secara umum yang mengelirukan.



Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Mewajibkan vaksinasi adalah antara kaedah untuk memastikan perjalanan rentas negeri dan tempat kerja selamat daripada menjadi kluster penyebaran wabak kerana ia antara penyumbang kepada majoriti kes Covid-19 di negara ini sewaktu awal pandemik itu.

Walaupun tiada peruntukan memberi kuasa kepada majikan mewajibkan pekerja divaksin, asas utama sektor pekerjaan ialah majikan wajib memastikan keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain di tempat kerja.

Berdasarkan Seksyen 15 dan 16 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (AKKP), adalah munasabah jika majikan sebelum ini ada kuasa membuat dasar keselamatan dan kesihatan, seterusnya mengenakan syarat itu bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Namun, Perdana Menteri Ismail Sabri pada sidang media khas 8 Mac 2022 mengumumkan mulai 1 April 2022, Malaysia mula memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.

Dalam satu sidang media selepas mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan fakta terkini wabak Covid-19, perbandingan keperluan pembukaan sempadan dengan negara lain serta memudahkan perjalanan pengunjung dalam mahupun luar negara.

Peralihan fasa tersebut merupakan ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat Malaysia kembali ke kehidupan hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19 setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta selepas meneliti syor daripada menteri kuartet.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: Facebook

 

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Lieza MK telah memuat naik satu hantaran berserta video dengan kapsyen "Status Vaksinasi Dimansuhkan".

Video berdurasi 45 saat itu memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memberikan kenyataan media di Parlimen.

Di dalam video tersebut, Perdana Menteri diapit oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Kuartet Covid-19.

Teks yang tertulis pada video pula mengatakan ‘Status Vaksinasi Dimansuhkan’ selain turut tertera logo ‘Buletin TV3’.

Video tular tersebut juga ada tersebar menerusi ‘group’ WhatsApp.

 

APA KAMI TEMUI

Apa akan terlintas di fikiran anda jika melihat video tular ini?

MyCheck percaya sekali imbas, ramai menyangka bahawa Perdana Menteri telah memansuhkan sepenuhnya status vaksinasi.

Ia berdasarkan tajuk ‘Status Vaksinasi Dimansuhkan’ tertera pada video yang ringkas dan terlalu umum sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terutama bagi mereka yang hanya membaca tajuk sahaja tanpa melihat keseluruhan kandungan video.

Beberapa pengguna Facebook turut meninggalkan komen pada hantaran itu seolah-olah keliru dengan pengumuman berhubung status vaksinasi berkenaan.

 


Sumber: Facebook

 

Benarkah Video Itu Tulen?

Pertama sekali, MyCheck melakukan carian di Google tentang berita ‘keperluan vaksinasi Covid-19 telah dimansuhkan’ dan menemui berita itu telah dilaporkan oleh media tempatan seperti Utusan, Astro Awani, MalaysiaKini, Harian Metro, mStar serta Infografik Bernama.

 


Sumber: Tangkap layar himpunan berita-berita tempatan

 

MyCheck turut menemukan satu video penuh mengenai sidang media tersebut disiarkan di portal berita Astro Awani.

Dalam video berdurasi 15 minit 30 saat itu, Perdana Menteri mengumumkan sejumlah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, termasuk pembukaan semula sempadan negara.

Anda juga boleh lihat video penuh sidang media itu antaranya di sini, di sini, di sini dan di sini.

Jadi benarlah video itu tulen namun ia sebenarnya telah disunting, dipendekkan durasinya dan dipetik pada bahagian berkenaan vaksinasi sahaja. Kami akan huraikan sebentar lagi.

 

Apa Kisah Sebenar?

Bagaimanakah kenyataan ‘status vaksinasi dimansuhkan’ itu boleh timbul?

MyCheck meneliti video penuh sidang media berkenaan dan mendapati banyak lagi pengumuman telah dibuat oleh Perdana Menteri semasa sidang media di KKM selain mengenai pemansuhan vaksinasi untuk had kapasiti pekerja dan perjalanan rentas negeri.

Berikut merupakan ringkasan pengumuman Ismail Sabri dalam video tersebut :

  1. Pemakaian pelitup muka masih wajib.

  2. Had waktu operasi premis perniagaan akan dimansuhkan – boleh beroperasi mengikut syarat lesen perniagaan. Ini bermakna tiada lagi sekatan had masa operasi kedai makan dan boleh beroperasi 24 jam.

  3. Pendaftaran MySejahtera masih diwajibkan untuk tempat tertutup, tidak pada tempat terbuka.

  4. Aktiviti agama boleh dilaksanakan tanpa perlu penjarakan fizikal – namun keputusan tertakluk kepada pihak berkuasa agama kerajaan negeri.

  5. Keperluan vaksinasi untuk perjalanan rentas negeri dan had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi – telah dimansuhkan, ini bermakna setiap perjalanan rentas negeri, had kapasiti pekerja tidak memerlukan kewajiban vaksin.

  6. Tiada lagi had kapasiti pengunjung dalam acara sosial.

  7. Sempadan negara akan dibuka pada 1 April 2022.

  8. Penerima 2 dos vaksin tidak lagi perlu jalani kuarantin kendiri – hanya perlu menjalani ujian kendiri dalam tempoh 24 jam sebelum/selepas perjalanan.

 

Ismail Sabri turut menerangkan bahawa menerusi penguatkuasaan tersebut, ia akan membantu Malaysia untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi tanpa membebankan mana-mana pihak dan rakyat Malaysia.

Pengumuman tersebut turut mendapat kesepakatan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

 

Video Dipendekkan Dan Diberi Tajuk Mengelirukan

Ya, benar. Video tular berdurasi 45 saat itu telah disunting dan dipendekkan.

Namun Kenyataan Ismail Sabri berhubung pemansuhan vaksinasi itu adalah benar tetapi tajuk yang ditulis pada video yang dipendekkan telah membuatkan ramai keliru.

Perdana Menteri juga jelas menyebut pemansuhan vaksinasi adalah melibatkan had kapasiti pekerja dan rentas negeri, bukan dimansuhkan sepenuhnya melibatkan semua aspek.

Kenyataan Ismail Sabri adalah seperti berikut : 

“Mengenai keperluan vaksinasi, had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.

“Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Jadi tidak timbul, ada booster ke, tidak ada booster ke, mereka boleh merentas negeri dan sebagainya, begitu juga dengan pekerja-pekerja yang sebelum ini dihadkan dari segi jumlah pekerja dan sebagainya, sekarang tiada had dan juga tanpa bergantung kepada vaksinasi yang mereka terima.”

 

KESIMPULAN

MyCheck mengklasifikasikan dakwaan bahawa video tular ‘status vaksin dimansuhkan’ adalah bercampur kerana memang benar Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengenai pemansuhan vaksinasi itu.

Namun ia hanyalah melibatkan had kapasiti pekerja dan rentas negeri, bukannya dimansuhkan sepenuhnya.

Latih diri kita untuk tidak hanya membaca tajuk semata-mata kerana kadangkala ia boleh mengelirukan dan disalah tafsir.

Adalah penting untuk meneliti sesuatu kandungan video atau membaca berita penuh sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

-- MYCHECK.MY --

 

 

RUJUKAN

1.Bernama. “Fasa Peralihan ke Endemik: 1 SOP, 9 Garis Panduan” Diterbitkan pada 9 Mac 2022.

2.Utusan. “Malaysia masuki Fasa Peralihan Ke Endemik – PM” Diterbitkan pada pada 8 Mac 2022.

3.Astro Awani. “COVID-19: Malaysia memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April 2022 - PM” Diterbitkan pada 8 Mac 2022.

4.MalaysiaKini. “Fasa 'Peralihan ke Endemik' mulai 1 April, sempadan akan dibuka semula” Diterbitkan pada 8 Mac 2022.

5.Harian Metro. “Lebih dua tahun perangi Covid-19, 1 April permulaan baharu untuk Malaysia” 8 Mac 2022

6.mStar. ”PM umum Malaysia buka sempadan bermula April... SOP lebih mudah, tak perlu kuarantin tapi ada syaratnya!” Diterbitkan pada 8 Mac 2022.

7.Berita Harian. “Majikan ada kuasa wajibkan semua pekerja divaksin” Diterbitkan pada 2 Sept 2021.

8.Facebook Lieza MK

9.YouTube Astro Awani.

10.YouTube Buletin TV3

11.YouTube TV9

12.YouTube Berita RTM

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.