Aidilfitri 2022 disambut pada Isnin (2 Mei), bukannya Selasa (3 Mei) berdasarkan perkiraan syarat kenampakan Hilal Imkanurukyah tahun ini mengikut format baharu.
Sumber : WhatsApp & Facebook / April 2022
Makluman awal tarikh Aidilfitri sebelum keputusan rukyah pada 29 Ramadan adalah tidak sah. Tarikh sambutan Aidilfitri di Malaysia hanya sah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas cerapan anak bulan dilakukan di beberapa lokasi terpilih seluruh negara.
(Ini adalah kemas kini laporan. Laporan awal diterbitkan pada 27 Mei 2022, ketika itu cerapan anak bulan belum dilakukan dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja juga belum mengumumkan tarikh sambutan Aidilfitri).
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan umat Islam di seluruh dunia selepas menunaikan ibadah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.
Mengikut kalendar rasmi, tarikh Aidilfitri jatuh pada 3 Mei 2022 iaitu Selasa.
Di Malaysia, sambutan Aidilfitri tahun ini paling dinanti berikutan dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu mesej menerusi WhatsApp mendakwa Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal disambut sehari awal iaitu pada hari Isnin (2 Mei) berbanding Selasa (3 Mei) seperti yang tertera pada kalendar tahun ini.
Mesej yang dikatakan dihantar oleh individu bernama Dr A. Zaharim A. Aziz antara lain menjelaskan ia kononnya disebabkan perkiraan syarat kenampakan Hilal Imkanurukyah tahun ini mengikut format baharu.
Individu itu turut mendakwa penampakan anak bulan pertama Syawal tahun ini akan dilakukan pada penghujung 29 Ramadan (Ahad - 1 Mei) ketika matahari terbenam.
Mesej berkenaan kemudian menjadi tular di WhatsApp dan pelbagai platform antaranya sebuah blog iaitu ohviralnews sebelum dikongsi oleh pelbagai pengguna media sosial.
APA YANG KAMI TEMUI
Balai Cerap Al-Khawarizmi, Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam satu hantaran Facebook pada 26 April 2022 menafikan dakwaan yang tular itu.
Menurut hantaran berkenaan, kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab).
Rukyah dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443 H di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia dan keputusan rukyah akan dilaporkan pada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja.
Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam 29 Ramadan 1443 H sebelum keputusan kenampakan hilal akan diumumkan pleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Sehubungan itu, Balai Cerap Al-Khawarizmi menegaskan sebarang pemakluman awal berhubung tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri adalah TIDAK BENAR sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan.
Media Arus Perdana Dan Alternatif Lapor Penafian Mesej Tular
Beberapa media arus perdana turut melaporkan berhubung penafian daripada Balai Cerap Al-Khawarizmi termasuk Harian Metro, Berita Harian dan Utusan Malaysia selain beberapa media alternatif seperti Malakattribunenews dan bebasnews.my
Jakim Perjelas Isu Tular
Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff turut mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook rasmi Jakim hari ini bagi menjelaskan isu itu.
Jakim turut menasihati semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini.
Menurut Hakimah proses tersebut telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.
Anda boleh baca selanjutnya di sini dan di sini.
Selain itu Bekas Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz juga pernah mengeluarkan kenyataan sama pada 2010 menerusi portal MalaysiaKini.
Menurut Wan Mohamad, Malaysia menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanurukyah (kebolehcerapan) untuk menentukan awal Syawal.
Tegasnya, perbezaan penentuan tarikh hari raya antara negara-negara Islam termasuk Malaysia disebabkan wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan).
Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Majlis Muslim Council of Elders Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut berkongsi penjelasan secara terperinci berkenaan kaedah penentuan bulan Syawal dalam Islam, khususnya di Malaysia.
Anda boleh baca perkongsian itu menerusi Facebook rasminya di sini.
Mesej Tular Jadi Kenyataan. Penampakan Anak Bulan (Hilal) Di Salah Sebuah Lokasi Cerapan
Mesej tular berkenaan menjadi kenyataan selepas salah satu lokasi cerapan yang dilaksanakan pada Ahad (1 Mei 2022) mendapati wujudnya penampakan anak bulan (hilal).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad membuat pengumuman bahawa umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Selasa (2 Mei 2022).
Pengumuman berkenaan mengejutkan rakyat Malaysia yang terpaksa mengubah perancangan asal mereka dengan menyiapkan hidangan juadah raya serta pakaian hari raya pada malam terakhir Ramadan yang berakhir awal sehari.
Penjelasan Hari Raya Disambut Awal
Dalam pada itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah tampil menjelaskan kekeliruan umat Islam di negara ini berhubung tarikh hari raya awal sehari daripada dijangka itu.
Dipetik daripada Malaysia Gazette, Luqman memaklumkan perkara tersebut disebabkan berlaku penampakan anak bulan (hilal) pada salah satu lokasi yang diwartakan sebagai pusat mencerap anak bulan.
“Jadi pada kali ini, salah satu daripada 29 lokasi yang ada di negara kita ini telah melaporkan berlaku kenampakan anak bulan. Maka, sebab itulah diisytiharkan esok (hari ini) hari raya,” jelasnya selepas melakukan proses cerapan di Menara Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, pendakwah muda yang juga Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan menerusi akaun TikTok memaklumkan dua lokasi cerapan iaitu di Langkawi dan Labuan mendapati kewujudan anak bulan, sekali gus mengesahkan bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini SAH disambut pada 2 Mei 2022 (Isnin).
“Apa yang kita boleh belajar, yang menetapkan anak bulan itu bukan ustaz atau ulama, tapi yang menetapkan terbit dan terbenamnya (anak) bulan adalah Allah S.W.T, maka yang bagi cepatkan raya adalah Allah (S.W.T).
“Allah (S.W.T) cepatkan anak bulan itu timbul, jangan marahkan jabatan agama, ahli falak, mereka hanya mencerap, kekuasaan Allah S.W.T yakni terbitnya dan terbenamnya anak bulan, jadi esok (2 Mei) raya,” jelasnya menerusi akaun TikToknya yang mendapat lebih 1.3 juta tontonan, lebih 218 komen dan 1,367 perkongsian setakat laporan ini ditulis (2 Mei 2022).
KESIMPULAN
Mungkin selepas ini sebaiknya kita membuat persiapan awal jika mahu menyambut perayaan.
Persiapan awal bukan sahaja mengelakkan situasi kelam-kabut tetapi juga memudahkan jika tarikh hari raya jatuh lebih awal daripada yang tertulis di kalendar.
Janganlah kita menyalahkan ulama atau ahli falak sekiranya sambutan Hari Raya Aidilfitri dipercepatkan kerana yang menentukan terbit dan terbenamnya anak bulan adalah Allah S.W.T.
Apa yang penting, awal atau lewat, Aidilfitri tetap datang untuk kita raikan.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.