+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Vaksin Sebagai Program Kawalan Jumlah Penduduk Dalam Buku ‘Art Of Deception’ Tiada Kaitan Dengan Covid-19. Ia Diterbitkan Pada 2012 Sebelum Kewujudan Pandemik itu

Benarkah...

Satu penulisan dalam sebuah buku menyatakan vaksin digunakan sebagai program kawalan jumlah penduduk.

Sumber : Blog  / April 2022

Hasil

Buku diterbitkan pada 2012, sebelum virus Covid-19 tersebar dan tidak ada kena-mengena dengan pandemik itu.

28/04/2022 03:05 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan daripada buku bertajuk ‘Art of Deception’ menyatakan vaksin digunakan untuk mengawal jumlah penduduk.
  • Ia turut dikaitkan dengan vaksinasi Covid-19.
  • Carian mendapati buku dan bab tersebut wujud namun ia diterbitkan pada 2012, sebelum tersebarnya Covid-19. 
  • Penulis merupakan seorang bekas Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan.
  • Pemilik asal video telah membuat penjelasan mengatakan isu berkenaan tidak ada kena-mengena dengan vaksin Covid-19.

 


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Program vaksinasi bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan manusia.

Sejak lahir, seorang bayi sudah diatur jadual vaksinasi oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi membantu pertumbuhan bayi tersebut.

Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan (imun) mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa.

Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual imunisasi yang telah ditetapkan.

Kini, program vaksinasi yang dijalankan bagi mengekang penularan virus Covid-19 bukanlah sesuatu yang asing bagi kita.

Rata-rata negara di seluruh dunia sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Walaupun program vaksinasi ini telah dijalankan sehingga peringkat dos penggalak, namun masih isu-isu berbangkit mengenai inisiatif mengekang penularan virus ini.

 


Sumber: TikTok

 

Seorang pengguna TikTok dengan nama Nurulis Zain telah memuat naik satu video berserta kapsyen : “Dunia akhir zaman, depa (mereka) dah (sudah) rancang lama dah kita jaa yang IGNORANCE (tidak tahu)  #fyp #allahuakbar”. 

Video tersebut menunjukkan pengguna itu menyelak sebuah buku bertajuk 'Art of Deception' yang membawa ke halaman bertulis ‘vaksin digunakan sebagai kawalan jumlah penduduk’.

Walaupun pengguna ini tidak mengaitkannya dengan vaksin Covid-19, namun hantaran yang dimuat naik ketika Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sedang dijalankan itu sedikit sebanyak membuatkan warganet menyangka ia berkaitan vaksin Covid-19.

Benarkah dakwaan ini?

 

APA YANG KAMI TEMUI

Buku Wujud

Carian di Google mendapati buku yang bertajuk ‘Art of Deception Amerika, Freemason dan Zionis : Mereka menipu dunia’ memang wujud dan telah diterbitkan sejak 2012 lagi.

Buku penulisan Jerry D. Gray itu dikeluarkan oleh syarikat PTS Islamika.

Bagi mendapatkan ketepatan dalam laporan, MyCheck berusaha untuk mencari dan membeli buku ini secara dalam talian dan fizikal.

Malangnya buku tersebut sudah kehabisan stok. (Ini antara sebab laporan ini lambat disiarkan).

Bagaimanapun MyCheck bernasib baik kerana rakan sekerja mempunyai buku tersebut dan sudi meminjamkan kepada kami untuk membuat semakan lanjut.

Jadi, jom ikut MyCheck semak kandungan buku berkenaan dan dapatkan kesahihannya.

 


Sumber: Fact Checker MyCheck

 

Buku Merupakan Terjemahan Daripada Bahasa Indonesia

MyCheck mendapati buku tersebut adalah terjemahan daripada buku 'Art of Deception' terbitan Gema Insani Indonesia yang dikeluarkan dalam bahasa Indonesia.

Menurut maklumat yang terdapat di dalam buku tersebut, penulis Jerry D. Gray merupakan seorang bekas Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) yang telah memeluk Islam dan aktif melakukan aktiviti dakwah di seluruh Indonesia.

Berdasarkan semakan, penulis ini tidak mempunyai apa-apa latar belakang berkaitan perubatan.

 

Dakwaan Ada Dalam Salah Satu Bab

Hasil semakan lanjut menemukan dakwaan itu yang ditulis dalam salah satu bab pada buku tersebut.

Bab tersebut diletakkan di bawah bahagian tiga (Penguasaan Penduduk) yang bertajuk Pelbagai Program Pengendalian Jumlah Penduduk.

Menurut buku tersebut, vaksin merupakan sebahagian daripada rancangan pengawalan jumlah penduduk melalui New World Order, sebuah teori konspirasi kononnya satu pihak akan menguasai semua kerajaan di dunia ini.

Penulisan ini menyatakan beberapa kesan sampingan yang terjadi jika mendapat suntikan vaksin.

Dakwaan sebegini juga pernah tular kembali pada peringkat awal program PICK dijalankan di Malaysia.

MyCheck pernah mengulas mengenai isu ini pada laporan TIADA Mikrocip Pengawal Pemikiran Manusia Dalam Vaksin Covid-19  pada 5 Mac 2021.

 

Dakwaan Sebelum Wujud Virus Covid-19

MyCheck dapati cetakan pertama buku ini adalah pada 2012 manakala cetakan kedua, ketiga, keempat dan kelima adalah pada tahun yang sama.

Cetakan keenam, ketujuh dan kelapan pula adalah pada 2013.

Setakat laporan ini ditulis, kami tidak menjumpai apa-apa cetakan terkini buku ini.

Jelas di sini, dakwaan dan buku ini ditulis sebelum wujudnya lagi virus Covid-19 yang menyerang dunia pada penghujung 2019.

 

Penulis Menulis Beberapa Buah Buku

Penulis buku tersebut didapati ada menulis beberapa buah buku sebelum dan selepas buku Art of Deception ini diterbitkan.

Kami dapati 2015 adalah merupakan tahun terakhir beliau menulis buku. Buku-buku tersebut bertajuk Rasullah Love Me, Trust No One dan Allah Loves me.

Jadi, tiada apa-apa kemas kini yang dikaitkan dengan Covid-19 dalam penulisan penulis tersebut selepas daripada penghasilan buku berkenaan.

 

Penulisan Artikel Mengenai Isu Sama

MyCheck menjumpai satu artikel yang juga ditulis oleh Jerry D. Grey mengulas tentang isu vaksin dan bayi.

Dikatakan vaksin melemahkan bayi sejak lahir.

 


Sumber: Facebook Dr Suhazeli Abdullah

 

Komen Doktor Perubatan

Seorang doktor perubatan yang aktif di media sosial, Dr Suhazeli Abdullah turut mengulas mengenai artikel yang ditulis Jerry D. Grey itu.

Doktor yang mempunyai seramai lebih 94,000 pengikut di Facebook dan sering mengulas mengenai isu perubatan dan Islam itu menjelaskan penulis tersebut seharusnya melihat kepada sejarah hitam dunia sebelum penemuan dan pemberian vaksin kepada generasi terdahulu.

Kejayaan pemberian vaksin harus dilihat secara menyeluruh dengan penurunan secara mendadak kes-kes penyakit berjangkit seperti penyakit Campak (Measles), Polio, Difteria, Cacar (Smallpox) dan beberapa jenis penyakit berjangkit bahaya lain lagi.

Menurut beliau, keberkesanan pemberian vaksin ini telah membuka mata banyak pihak dan telah memberi galakan ke arah penghasilan pelbagai polisi di pelbagai negara bagi menyelamatkan masyarakat daripada terbelenggu dengan penyakit-penyakit berjangkit.

Anda boleh baca penulisan selanjutnya di sini.

Secara ringkasnya, Dr Suhazeli menegaskan yang penulisan Jerry D. Grey ini tidak tepat dan vaksin sebenarnya mampu untuk mengawal populasi daripada terancam.

 

Penjelasan Daripada Pemilik Asal Video


Sumber: TikTok nuruliszain30

 

MyCheck berjaya menjejaki hantaran kesinambungan daripada video awal yang tular. Sebenarnya pemilik video berkenaan sudah memberi penjelasan mengenai hantaran beliau ini.

Dalam video yang diberi tajuk ‘Real Confession’ itu, pengguna ini mengatakan buku 'Art of Deception' yang diterbitkan pada 2012 itu tidak ada kena-mengena dengan vaksin Covid-19.

Beliau mengakui bahawa buku tersebut diterbitkan sebelum penyakit Covid-19 tersebar.

Pengguna TikTok itu juga berharap agar warganet berhenti membesarkan isu ini dan mengaitkanya dengan vaksin Covid-19.

 

KESIMPULAN

Dapat disimpulkan di sini bahawa dakwaan tersebut adalah bersifat tidak benar.

Meskipun buku tersebut tidak menyebut mengenai vaksin Covid-19, namun dakwaan mengenai vaksin digunakan sebagai mengawal jumlah penduduk juga tidak tepat.

Dalam menerima sesuatu perkhabaran, MyCheck menasihati anda semua untuk rujuk mereka yang lebih arif atau pakar dalam bidang berkaitan sebelum berkongsikan isu berkenaan.

Ingat, ‘Jangan sebar melulu, MyCheck dulu’.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Dr. Suhazeli. ‘Ulasan tulisan Jerry D Gray’. Dihantar pada 4 Mac 2019. 

  2. Tik Tok Nurulis Zain

  3. MyCheck TIADA Mikrocip Pengawal Pemikiran Manusia Dalam Vaksin Covid-19  diterbitkan pada 5 Mac 2021

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.