Vitamin C jenama Redoxon mengandungi Aspartam iaitu sejenis pemanis tiruan pencetus kanser.
Sumber : Facebook & WhatsApp / Mac 2021
Aspartam merupakan sejenis bahan pemanis dalam vitamin C yang disahkan selamat digunakan menurut U.S.Food & Drug Administration (FDA).
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Biasa kita dengar nasihat daripada ramai orang yang berpesan supaya ‘makan vitamin C’ untuk badan sihat.
Vitamin C atau nama saintifiknya – asid askorbik, adalah sejenis vitamin larut air dan ia tidak akan disimpan di dalam badan dengan jumlah yang banyak kerana lebihan vitamin C akan dikumuh melalui air kencing.
Manusia boleh mendapatkan vitamin C daripada sumber makanan atau suplemen kesihatan yang diambil secara oral.
Banyak produk vitamin C di pasaran dan namun bahan semula jadi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber terbaik vitamin C untuk badan anda.
Antara jenis buah-buahan yang kaya dengan vitamin C ialah jambu batu, betik, buah sitrus (seperti oren dan limau gedang), kiwi dan strawberi manakala sayur-sayuran pula brokoli dan tomato.
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima tangkap layar berupa hantaran di laman Facebook Pisang Emas yang mendakwa vitamin C jenama Redoxon yang mengandungi aspartam (aspartame) berbahaya kepada kesihatan tubuh badan serta boleh menjadi penggalak kepada kanser.
Hantaran itu juga mendakwa aspartam bersifat karsinogenik atau penggalak kanser. Apa pun dakwaannya biar MyCheck semak dulu kesahihannya ya!
APA YANG KAMI TEMUI
Berdasarkan tangkap layar yang diterima, hantaran tersebut menyebut sumber dakwaan adalah daripada pemilik akaun Facebook menggunakan nama Noraliza Alwi.
MyCheck cuba menjejaki hantaran asal yang dibuat pengguna Facebook itu namun gagal menemukannya.
Terdapat beberapa pengguna Facebook menggunakan nama akaun Noraliza Alwi namun kami tidak dapat memastikan pemilik akaun manakah yang memuat naik hantaran berkenaan.
Tidak pasti sama ada pemilik akaun sebenar sudah nyahaktif akaunnya atau hantaran yang dibuat itu telah dipadam.
Seterusnya kami membuat carian rawak menggunakan enjin Google, untuk mengetahui sama ada terdapat laporan tempatan dan dakwaan sama yang dipetik oleh mana-mana portal berita.
Menggunakan kata kunci ‘Redoxon penggalak kanser’ tiada maklumat sepadan yang diperoleh.
Seterusnya kami menggunakan kata kunci ‘Aspartame in Redoxon’ dan mendapati memang terdapat isu sepadan yang mempersoalkan keselamatan kandungan aspartam di dalam vitamin C jenis tablet atau Effervescent (larut dalam air).
Kami juga melihat ke ruangan komen berkenaan dakwaan tersebut yang mendapat 176 komen dan 306 perkongsian.
Rata-rata warganet berasa bimbang kerana di musim wabak Covid-19 yang masih belum berpenghujung ketika ini, memang ramai yang mengambil suplemen vitamin C.
Apa Itu Aspartam?
Aspartam atau ejaan Bahasa Inggeris Aspartame adalah sejenis pemanis yang telah lama wujud dan ditemui pada 1965.
Ia terdiri daripada dua sebatian asid amino (L-Aspartic dan L-Phenylalanine) yang menjadikannya 200 kali ganda lebih manis berbanding gula biasa.
Aspartam juga dikenali sebagai pemanis tiruan yang sering ditambah ke dalam bahan atau produk minuman dan makanan.
Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, timbul persoalan kemungkinan aspartam membahayakan kesihatan disebabkan meningkatkan risiko kanser.
Pemanis Tiruan Atau Pengganti Gula Yang Terdapat Dalam Vitamin C Selamat Dimakan?
Menurut laman rasmi U.S.Food & Drug Administration (FDA), selain aspartam, terdapat banyak lagi jenama pemanis tiruan yang digunakan.
Antara yang popular ialah pemanis dikenali dengan nama sakarin (saccharin). Ia diluluskan untuk digunakan dalam makanan sebagai pemanis bukan berkhasiat.
Pemanis tiruan jenama sakarin termasuk Sweet and Low®, Sweet Twin®, Sweet'N Low® dan Necta Sweet®.
Ia adalah 200 hingga 700 kali ganda lebih manis daripada gula biasa (sukrosa) dan tidak mengandungi sebarang kalori.
Namun pada awal 1970-an, sakarin dikaitkan dengan perkembangan kanser pundi kencing pada tikus makmal, yang menyebabkan keperluan kepada kajian tambahan tentang sakarin dan kehadiran label amaran pada produk yang mengandungi sakarin sehingga amaran sedemikian boleh ditunjukkan sebagai tidak perlu.
Sejak itu, lebih daripada 30 kajian manusia menunjukkan bahawa keputusan yang ditemui dalam tikus tidak relevan kepada manusia dan sakarin selamat untuk dimakan manusia.
Pada 2000, Program Toksikologi Kebangsaan Institut Kesihatan Nasional menyimpulkan bahawa sakarin harus dikeluarkan daripada senarai karsinogen yang berpotensi. Produk yang mengandungi sakarin tidak lagi perlu membawa label amaran.
Aspartam Bahan Diluluskan Penggunaannya Oleh FDA
Adakah situasi aspartam sama keadaannya dengan sakarin?
Jawapannya ia berbeza, kerana aspartam diluluskan oleh FDA untuk digunakan dalam makanan sebagai pemanis berkhasiat.
Antara jenama aspartam adalah Nutrasweet®, Equal®, dan Sugar Twin® yang mana ia memang mengandungi kalori dan kira-kira 200 kali ganda lebih manis daripada gula biasa.
FDA meluluskan aspartam pada 1981 (46 FR 38283) untuk kegunaan dalam keadaan tertentu, sebagai pemanis dalam gula-gula getah, bijirin sarapan pagi dan asas kering untuk makanan tertentu (iaitu, minuman, kopi dan teh segera, gelatin, puding dan inti serta produk tenusu).
Kemudiannya pada 1983 (48 FR 31376), FDA meluluskan penggunaan aspartam dalam minuman berkarbonat dan sirap minuman.
Seterusnya pada 1996, FDA meluluskannya untuk digunakan sebagai ‘pemanis tujuan umum’.
Aspartam juga merupakan bahan yang paling kerap dikaji secara menyeluruh dalam bekalan makanan manusia dengan lebih daripada 100 kajian yang menyokong bahawa penggunaannya adalah selamat.
Para saintis FDA telah menyemak data saintifik mengenai keselamatan aspartam dalam makanan dan membuat kesimpulan bahawa ia selamat untuk penggunaan umum.
Aspartam, yang diedarkan di bawah beberapa nama dagangan (contohnya NutraSweet® dan Equal®), telah diluluskan pada 1981 oleh FDA selepas banyak ujian menunjukkan bahawa ia tidak menyebabkan kanser atau kesan buruk lain pada haiwan makmal.
Bagaimanapun, kajian para saintis pada 2005 menimbulkan kemungkinan bahawa dos aspartam yang sangat tinggi boleh menyebabkan kanser limfoma dan leukemia pada tikus.
Kajian Klinikal Buktikan Aspartam Lebih Selamat
Tetapi selepas mengkaji kajian itu, FDA mengenal pasti banyak kekurangan di dalamnya dan tidak mengubah kesimpulan sebelumnya bahawa aspartam adalah selamat.
Pada 2005, Program Toksikologi Kebangsaan melaporkan bahawa pendedahan aspartam tidak menyebabkan tumor atau menjejaskan kemandirian dua jenis tikus yang diubah suai secara genetik.
Pada 2006, Institut Kanser Kebangsaan (NCI) memeriksa data Kajian Kesihatan lebih setengah juta pesara (kebarangkalian menggunakan bahan berasaskan aspartam bagi tempoh lama) iaitu peningkatkan penggunaan minuman yang mengandungi aspartam tidak dikaitkan dengan perkembangan limfoma, leukemia, atau kanser otak.
Kajian itu dibuat terhadap hampir 500,000 lelaki dan wanita berumur antara 50 dan 71 tahun tidak menunjukkan hubungan antara tahap pengambilan aspartam yang lebih tinggi dan kanser darah atau otak.
Metaanalisis 2013 dalam Arkib Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan melihat penyelidikan yang ada setakat ini dan menentukan bahawa aspartam tidak mempunyai kesan penyebab kanser pada tikus.
Kajian terhadap bukti epidemiologi juga mendapati tiada perkaitan yang konsisten antara penggunaan aspartam dan risiko kanser.
Golongan Tidak Sesuai Ambil Aspartam
Namun awas, aspartam tidak sesuai bagi penghidap fenilketonuria (PKU) atau penyakit kelainan genetik.
Ini kerana golongan PKU tidak boleh menghurai (metabolisme) badan mereka tidak dapat mencerna) bahan fenilalanin yang terdapat dalam aspartam.
Fenilalanin iaitu komponen dalam aspartam. Mereka yang mempunyai penyakit keturunan yang jarang berlaku ini harus mengehadkan pengambilan fenilalanin daripada aspartam atau mana-mana jenis sumber gula tiruan lain.
KESIMPULAN
Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, kandungan vitamin C yang mengandungi aspartam diperakui selamat untuk dimakan oleh manusia kerana ia diklasifikasikan sebagai pemanis atau pengganti gula berkhasiat tanpa kalori atau kadar paling minimum.
Oleh itu jika tidak dapat sumber vitamin C secara semula jadi daripada buah-buahan atau sayur-sayuran, janganlah anda bimbang kerana vitamin C dalam bentuk tablet atau effervescent (larut dalam air) yang terdapat di pasaran selamat untuk anda.
Namun kami di MyCheck berpendapat dalam apa juga perkara kita sewajarnya berpada-pada dan jangan mengambil secara berlebihan, cukup sekadar dos yang tertera pada bungkusan.
Paling penting jika mengalami kesan sampingan yang meragukan adalah lebih baik untuk segera berjumpa doktor tetapi pastikan bukan doktor tidak bertauliah di media sosial ya!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Ibu Mengandung WAJIB Ambil Vitamin C, Tapi Ada Dos Yang Perlu Dipatuhi!
Konsumsi Vitamin C Setiap Hari, Apakah Berbahaya? - Info Sehat Klikdokter.com
https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2020/04/08/vitamin-c-berlebihan
keluarga.my: Beli vitamin C jangan pilih banyak kandungan gula
MSU | AWAS! Kesan Vitamin C Berlebihan Pada Pesakit Buah Pinggang Kronik
Awas ya! Tiga bahan dalam suplemen boleh jadi punca masalah buah pinggang - Famili | mStar
Dianggap berbahaya, ini fakta lain aspartame pemanis buatan dalam jajanan anak
Mitos Tentang Bahaya Aspartam yang Sebenarnya Keliru • Hello Sehat
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.