+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Sabun Pencuci Pinggan BERKESAN Buang Kutu Kucing Namun BAHAYA Untuk ‘Si Bulus’

Benarkah...

Sabun pencuci berkesan membuang kutu yang terdapat pada kucing.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Mac & April 2022

Hasil

Ia didapati berkesan untuk membuang kutu pada kucing namun bahan kimia pada sabun pencuci pinggan boleh membahayakan haiwan itu.

04/05/2022 06:10 PM

Penyelidik : Ummu Khalidah, Pelatih Praktikal Dari UiTM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa sabun pencuci pinggan berkesan membuang kutu yang terdapat pada kucing.
  • Cara mudah itu mampu membunuh kutu haiwan namun akan memberi kesan sampingan kepada si bulus.
  • Menurut pakar veterinar, bahan kimia pada sabun pencuci pinggan boleh merosakkan kulit haiwan sehingga menjadi kering dan ruam di seluruh badan atau lebih bahaya boleh menyebabkan kematian haiwan peliharaan.


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Ramai rakyat Malaysia suka memelihara kucing sebagai ‘teman rapat’ kerana sifatnya yang dikatakan manja dan ‘setia’.

Menurut satu kajian, membelai si ‘comel’ selama 10 minit boleh menurunkan hormon cortisol (stres) dalam badan manusia kerana ia akan mencipta suasana yang santai kepada pemilik kucing selain tertawa dengan telatah si comel yang lucu.

Kedengaran seperti seronok untuk memelihara kucing, namun hakikatnya membela haiwan peliharaan itu tidaklah mudah selain menuntut masa dan tenaga.

Kucing memerlukan penjagaan rapi, selain pemakanan, kebersihan sangkar, aspek kesihatannya juga perlu diberi perhatian termasuk masalah kutu pada badan haiwan itu yang menyebabkan kucing berasa gatal dan tidak selesa.

Kutu yang banyak pada kucing jika tidak dirawat juga boleh menimbulkan masalah kepada pemilik kucing kerana parasit itu boleh menggigit manusia dan menyebabkan kegatalan, kemerahan dan iritasi pada kulit.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Twitter

 

Tular satu ciapan yang dimuat naik oleh seorang doktor veterinar (@drimavet) di Twitter yang berkongsi hantaran Facebook sebuah media hiburan Mingguan Wanita mengenai cara mudah untuk membuang kutu kucing menggunakan sabun pencuci pinggan.

Doktor berkenaan turut menulis kapsyen menegur Mingguan Wanita yang berbunyi :

Kalau nak raih readers pun , biar logicla admin. Jangan disebabkan post mengarut macamni, menambahkan pening kepala kami, doktor2 veterinar ni nak repair damage yang berlaku dikemudian hari,”

Benarkah sabun pencuci pinggan berkesan untuk membuang kutu kucing dan apakah kesannya terhadap si ‘meow’? MyCheck akan jelaskan di bawah.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hantaran, Laporan Asal Mingguan Wanita Di Facebook Dan Portal Telah Tiada

Langkah pertama, MyCheck mencari hantaran dan laporan asal yang dikongsikan Mingguan Wanita.

Kami telah menatal halaman Facebook Mingguan Wanita namun tidak menemukan hantaran dengan tajuk ‘Cara Mudah Buang KUTU KUCING Guna Pencuci Pinggan, Hasilnya Serta Merta’ seperti yang tular di Twitter.

MyCheck sebaliknya menemukan satu hantaran berserta pautan ke portal Mingguan Wanita mengenai petua menghilangkan kutu pada kucing bertajuk ‘Wanita Ini Kongsi Tip Berkesan Hilangkan Kutu Pada Badan Kucing’.

Apabila klik pada hantaran itu, ia membawa kami ke portal Mingguan Wanita namun laporan yang dikongsikan portal itu bukan petua penggunaan sabun pencuci pinggan tetapi petua menggunakan garam dan air.

Jadi nampaknya ia merupakan laporan berbeza, bukan seperti yang tular.

 


Sumber: Facebook

 

Kami juga menemukan satu hantaran daripada akaun Facebook Klinik Haiwan Shanadz, sebuah klinik haiwan di Kuala Kangsar, Perak, yang berkongsi laporan daripada Mingguan Wanita seperti yang tular di Twitter.

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck kemudian klik pada pautan yang dikongsi itu dan membawa kami ke portal Mingguan Wanita namun laporan itu tidak ditemui dan yang tertera hanyalah : 

Ralat…..Masalah 404

Maaf, halaman yang anda cari tidak wujud

Anda boleh pergi ke LAMAN UTAMA

Berkemungkinan laporan itu telah ditarik balik.

 


Sumber: Portal Mingguan Wanita

 

Nampaknya hantaran dan laporan asal yang dimuat naik dan disiarkan portal berkenaan telah tiada, namun benarkah petua yang dikongsikan itu?

Biar MyCheck semak selanjutnya.

 

Efektif Tetapi Bahaya

Menurut (@drimavet) pada sambungan ciapannya mengenai sabun pencuci pinggan itu, individu yang memelihara haiwan peliharaan tidak sewajarnya menggunakan bahan kimia itu untuk membuang kutu kucing kerana ia akan memberi banyak kesan buruk.

Penggunaan pencuci pinggan terhadap kucing atau haiwan peliharaan lain akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti kerosakan hati, buah pinggang atau organ dalaman lain.

Jelasnya, kesan buruk dan masalah kesihatan itu hanya akan menyukarkan pemilik haiwan peliharaan sendiri kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk rawatan.

 


Sumber: Twitter

 

Selain itu menerusi carian rawak menggunakan kata kunci ‘sabun pencuci pinggan untuk kutu kucing’ di enjin Twitter (Tweetdeck), MyCheck menemukan satu ciapan pengguna akaun menggunakan nama @DrAfiqS yang menjelaskan bagaimana sabun pencuci pinggan mampu membunuh kutu kucing.

 


Sumber: Twitter

 

Dr Afiq yang merupakan seorang doktor haiwan menjelaskan bahawa sabun pencuci pinggan bukan sahaja mampu menanggalkan minyak pada bekas makanan malah lilin (wax) di atas permukaan kulit serangga.

Tambahnya lagi fungsi lilin serangga adalah untuk mencegah kutu daripada lemas dalam air, maka sabun pencuci pinggan sangat efektif untuk membuang kutu haiwan.

Bagaimanapun ini tidak bermakna ia selamat untuk digunakan kepada haiwan peliharaan.

Menurut Dr Afiq, kulit kucing mempunyai minyak semula jadi untuk mengekalkan kesihatan kulitnya.

Sekiranya dimandikan dengan sabun pencuci pinggan maka minyaknya akan tertanggal menyebabkan kulit kucing menjadi kering yang membawa kepada beberapa penyakit kulit.

 

KESIMPULAN

Apabila si comel jatuh sakit, tuannya pasti merasa risau dan berusaha mencari jalan untuk menyembuhkan sama ada mendapatkan rawatan di klinik haiwan atau secara tradisional.

Namun, dalam merawat haiwan peliharaan, janganlah kita memilih jalan mudah dan ingin berjimat sehingga memberi kesan jangka panjang yang buruk kepada mereka.

Jangan terburu-buru mengikut petua yang tidak disahkan secara saintifik oleh pakar dalam bidang berkaitan kerana khuatir ia hanya akan mendatangkan keburukan berbanding manfaat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.https://twitter.com/KKMPutrajaya/status/1153422956527099905?s=20&t=5GfOUGcy_9W2552Zt3R_hw

2.https://twitter.com/drimavet/status/1347287606954872832

3.https://twitter.com/DrAfiqS/status/1001220466206425088

4.https://twitter.com/drimavet/status/1347287614815043584

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.