Berus cat menggunakan kod 913 dan 680 adalah tidak halal kerana menggunakan bulu babi.
Sumber : WhatsApp & Facebook / Mac & April 2022
Ujian menggunakan peralatan berteknologi tinggi 'Fourier Transform Infra Red' (FTIR) mengesahkan kedua-dua sampel berus cat itu mengandungi bulu babi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Mengecat adalah cara paling mudah untuk mengubah suasana kediaman.
Apatah lagi menjelang sambutan perayaan, pastinya ramai bercadang mengecat kediaman bagi mengindahkan suasana.
Padanan warna cat yang sesuai mampu menaikkan seri dan mencipta suasana harmoni.
Sesetengah daripada kita lebih selesa melakukan kerja-kerja mengecat sendiri berbanding mengupah tukang cat. Selain dapat menjimatkan kos, melakukan kerja mengecat atas usaha sendiri turut memberi satu kepuasan.
Namun, dalam proses menyediakan kelengkapan bagi mengecat rumah, ada satu perkara yang perlu diutamakan iaitu pemilihan berus cat.
Selain bulu berus cat sintetik, ada juga bulu berus cat daripada jenis bulu babi di pasaran.
MENGENAI DAKWAAN
Tular sekeping gambar menunjukkan dua batang berus cat, masing-masing berwarna coklat dan hijau diikat di atas sekeping kadbod (kertas yang tebal dan keras yang digunakan untuk membuat kotak) dan di atas kadbod itu ditulis perkataan ‘tidak halal’.
Di sebelah kedua-dua berus cat itu turut ditulis nombor / kod 913 pada berus cat warna coklat dan kod 680 pada berus cat warna hijau.
Orang ramai diminta tidak membeli berus cat tersebut kerana dihasilkan daripada bulu babi.
APA KAMI TEMUI?
Pertama sekali, MyCheck melakukan carian imej berbalik di Google berserta penggunaan kata kunci ‘berus cat + bulu babi + jangan beli’.
Kami berjaya menemukan gambar tersebut yang merupakan perkongsian asal daripada Facebook Raja Azriffudin pada 9 Februari 2017 yang mengingatkan orang ramai terutamanya umat Islam untuk tidak sembarangan membeli berus cat.
Di ruangan komen Facebooknya, Raja Azriffudin turut memberitahu kedai yang mempamerkan berus cat tidak halal itu adalah kedai hardware ‘Sum Seng’ yang terletak di Tunjang, Jitra, Kedah.
Rakan Facebook Raja Azriffudin turut memuji tindakan pemilik kedai yang disifatkan prihatin terhadap sensitiviti umat Islam.
Hantaran Raja Azriffudin mendapat 271 respons dan lebih 339 perkongsian (setakat laporan ini ditulis - 5 Mei 2022).
Selain itu bagi mengesahkan kewujudan kedai hardware Sum Seng, kami cuba mencari lokasinya dan menemui kedai itu di Google Maps.
Kami juga turut menemukan gambar berserta hantaran yang hampir sama seperti di sini, di sini di sini, di sini dan di sini.
Malah menerusi carian di Google pula, kami turut menemui beberapa artikel termasuk laman sebuah blog yang menggunakan gambar tersebut. Anda boleh lihat antaranya di sini dan di sini.
Pengesahan Ujian Makmal
Keraguan pengguna Islam mengenai status halal pelbagai berus terjawab apabila ujian makmal mengesahkan memang ada alat yang dijual di pasaran menggunakan bulu babi. Ini dilaporkan oleh Berita Harian bertarikh 4 Februari 2017.
Sebenarnya Berita Harian telah membuat laporan khas selepas isu itu ditularkan di media sosial pada 2017.
Kisahnya mereka telah membeli dua sampel berus cat, enam jenama berus gigi serta satu set berus solekan sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM) untuk diuji.
Dalam laporan tersebut, Pegawai penyelidik IPPH-UPM Dr Yanty Noorzianna Abdul Manaf memberitahu hasil ujian menggunakan peralatan berteknologi tinggi 'Fourier Transform Infra Red' (FTIR) yang diperoleh mengesahkan dua sampel berus cat tanpa jenama buatan China yang menggunakan kod A913 dan A680, mengandungi bulu babi.
Berus Cat Kod 913 Dan 680 Sah Dibuat Daripada Bulu Babi
Rentetan daripada berita itu juga, MyCheck turut menemui Berita Harian telah membuat laporan khas susulan, bertarikh 9 Mac 2017 bertajuk ‘Peniaga patuh arahan label, asingkan berus bulu babi’.
Malah kami dapati salah satu gambar dalam artikel tersebut - seorang lelaki berbangsa cina yang merupakan pemilik kedai tersebut menunjukkan ‘berus cat tidak halal’ digantung di tiang kedainya bagi mengelakkan umat Islam terbeli.
Gambar Berita Harian itu mempunyai persamaan dengan gambar tular tersebut.
Kami turut menemui satu laporan berita daripada Astro Awani yang diterbitkan pada 6 Februari 2017 bertajuk Berus bulu babi: Kerajaan kaji kenakan permit import khas - Ahmad Maslan.
Datuk Ahmad Maslan yang ketika itu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pihaknya menerusi Halal Development Corporation (HDC) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menjalankan kajian bagi pelaksanaannya.
Bagaimanapun kami tidak menemukan laporan susulan berkaitan usaha seterusnya daripada pihak kerajaan setelah isu berus cat bulu babi itu reda.
Tinjauan Terkini
Untuk kes ini walaupun ia didapati telah tular sejak lebih 5 tahun lepas, MyCheck tetap pergi melakukan tinjauan rawak ke beberapa kedai menjual perkakasan binaan (hardware).
Bermula sekitar Kuala Lumpur seperti di Kampung Baru dan Setapak sebelum meneruskan tinjauan ke beberapa kedai hardware di Ampang dan Hulu Langat, kami tidak menemui berus cat daripada bulu babi dijual tanpa diasingkan sebaliknya rata-rata peniaga menjual berus cat jenis sintetik, polyester dan nylon.
Bagaimana Hendak Bezakan Bulu Cat?
MyCheck difahamkan oleh peniaga bahawa berus cat murah yang diimport dari China dibuat daripada bulu babi.
Jadi bagaimana untuk membezakan, mengenali dan mengetahui rupa berus cat dan juga produk yang diperbuat daripada bulu babi agar kita dapat menggunakannya tanpa was-was?
Kami kemudiannya melakukan carian di Google dan menemui satu video milik ML Studios yang bertajuk ‘Macam Mana Nak Kenal Kulit dan Bulu Babi?’ di YouTube yang menjemput Panel Pakar Halal Negara Mohd Amri Abdullah bagi mengupas topik mengenai bulu babi itu.
Beliau yang turut dikenali sebagai Ustaz Amri Halal juga merupakan moderator tetap rancangan ‘MyHalal’ yang disiarkan di TV1 setiap 2 petang, Rabu.
Dalam video tersebut, Ustaz Amri Halal menerangkan beberapa kaedah untuk mengenal pasti ciri-ciri produk itu diperbuat daripada kulit babi dan bulu babi.
Ciri-Ciri Dan Kaedah Pengesahan Produk Daripada Bulu Babi
Menurut Ustaz Amri Halal, hanya bulu babi sahaja yang bercabang tiga di hujungnya manakala bulu haiwan lain biasanya berhujung tajam.
Kami juga menemui beberapa perkongsian seperti dari Facebook Mohd Sabri MohSa dan laman blog Halal Practice mengenai antara kaedah bagi mengenali penggunaan bulu babi pada berus cat.
Sebenarnya produk berasaskan bulu babi boleh dikenal pasti secara visual.
Kedudukan susunan berus yang bersilang antara satu sama lain dan bercabang pada hujungnya itu menunjukkan ia adalah bulu babi.
Jika sukar untuk kenal pasti, anda boleh menggunakan kaedah lain antaranya membakar sedikit hujung berus dan sekiranya anda menghidu bau seperti rambut terbakar bermaksud bulu itu adalah daripada haiwan.
Lazimnya berus yang dibuat daripada bulu babi dilabelkan sebagai Pure Bristle. Ini antara contoh bulu berus yang ada.
Bulu babi dipanggil ‘Bristle’ kerana membawa maksud bulu pendek, keras dan kasar.
Hukum Terguna Berus Babi?
Satu persoalan timbul seandainya kita telah mengecat rumah dengan berus cat yang dikhuatiri diperbuat daripada bulu babi, apakah yang patut dilakukan?
Adakah dinding rumah tadi bernajis? Apakah ibadah yang kita dan keluarga lakukan tidak sah kerana menyentuh dan memegang dinding berkenaan?
Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dipetik daripada Irsyad Al-Fatwa siri ke-328: mengecat rumah dengan berus cat yang disangka daripada bulu babi, memang haram hukumnya jika kita menggunakan dan mengambil manfaat daripada mana-mana bahagian tubuh babi.
Bagaimanapun, jika seseorang itu berada dalam keadaan darurat seperti membawa kepada kematian dan kecelakaan, maka dia dibolehkan untuk mengambil manfaat tadi.
Menurut kenyataan itu, jika kita hanya khuatir telah menggunakan berus cat bulu babi, iaitu melibatkan peringkat syak sahaja, usahlah kita hiraukan syak wasangka berkenaan.
Kaedah dalam Islam menyebut: “Keyakinan tidak terluput dengan syak.”
Bagaimanapun, seelok-eloknya hendaklah menukar berus cat tersebut dengan berus cat yang diyakini halal bagi mengecat baki bahagian yang belum dicat.
KESIMPULAN
Benarlah dakwaan berus cat kod 913 dan 680 menggunakan bulu babi.
Apa pun, kita perlu lebih berhati-hati sebelum membeli berus cat di kedai hardware atau di mana-mana sahaja.
Check dahulu berus cat sebelum dibeli, jangan sudah siap mengecat baru sibuk nak meneliti, anda juga yang menyesal nanti.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
3.SoZCyili. “Cara Mudah Mengenali Berus Yang Diperbuat Dari Bulu Babi” Diterbitkan pada Februari 2017.
4.Halal Practice. “Tahukah anda kulit atau bulu babi yang digunakan?” Diterbitkan 14 Mac 2012
6.Berita Harian. “Berus cat bulu babi” Diterbitkan pada 4 Februari 2017.
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.