Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di sebuah lebuh raya di Ipoh, Perak
Sumber : Facebook / April & Mei 2022
Kejadian sebenar berlaku di Utara Taiwan pada 2010 dan gambar ditularkan semula menjelang Hari Raya Aidilfitri 2022.
SEKILAS FAKTA
(Nota: Artikel ini adalah mengenai isu yang tular sebelum sambutan Aidilfitri 2022. Ia juga pernah tular pada 2020 di Indonesia. Justeru MyCheck menyiarkan artikel ini sebagai arkib dan rujukan di masa depan.)
LATAR BELAKANG
Rakyat Malaysia akhirnya mampu mengukir senyuman riang kerana dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing selepas dua tahun beraya di perantauan ekoran sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.
Mereka yang bekerja di Lembah Klang telah mula ‘membanjiri’ kebanyakan lebuh-lebuh raya ke utara, selatan dan pantai timur secara berperingkat bermula 29 April lepas untuk pulang berhari raya.
MENGENAI DAKWAAN
Tular satu gambar di laman Facebook Malaysian Media mendakwa berlaku kejadian tanah runtuh di sebuah lebuh raya bertingkat di Ipoh.
Laman Facebook berkenaan yang menggunakan tulisan Cina turut menulis kapsyen : ini lah 在怡保高速公路
Berdasarkan Google Translate, kapsyen berkenaan apabila diterjemahkan ke bahasa Malaysia berbunyi : ini lah yang berlaku di Lebuhraya Ipoh.
Hantaran itu telah mendapat lebih 3,800 perkongsian, 612 komen dan 700 respons (setakat laporan ini ditulis - 10 Mei 2022).
Perkongsian terakhir adalah pada 4 Mei lepas, yang terus mencetuskan kebimbangan ramai kerana biarpun 1 Syawal telah berlalu namun umat Islam masih dalam suasana perayaan dengan aktiviti ziarah-menziarahi dan rumah terbuka.
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck mulakan semakan menerusi penggunaan enjin carian Yandex.
Hasilnya kami menemukan pelbagai gambar sama dengan gambar yang ditularkan oleh Facebook Malaysian Media.
Kami turut melakukan penelitian terhadap beberapa keping gambar tersebut dan hasilnya kejadian tanah runtuh itu sebenarnya berlaku di utara Taiwan pada 2010 yang menyaksikan kesemua jenis kenderaan tidak boleh melalui kawasan berkenaan selepas ia diliputi dengan tanah runtuh.
Menurut laporan stesen televisyen dari Amerika Syarikat, NBC News, bertarikh 26 April 2010, pasukan penyelamat menggiatkan usaha mencari mangsa yang dipercayai tertimbus dalam tiga kereta semasa kejadian tanah runtuh itu terjadi.
Seorang anggota bomba, Tang Cheng-yu memaklumkan kejadian tanah runtuh berkenaan yang berlaku pada Ahad dan berukuran sebesar dua buah stadium bola sepak telah “menenggelamkan” dua daripada laluan lebuh raya berkenaan.
Laporan berita Taiwan pula seperti Taiwan News dan CTS Taipei di YouTube memaklumkan empat individu dipercayai tertimbus di dalam kereta yang mereka naiki.
Gambar Sama Pernah Tular Di Indonesia Pada 2020?
MyCheck turut mendapati gambar yang sama juga pernah tular di Indonesia pada 2020 dengan dakwaan bahawa kejadian tanah runtuh telah berlaku di kedua-dua hala Jalan Tol Semarang-Solo Km 426+600 arah Jakarta.
Bagaimanapun Kementerian Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia telah menafikan dakwaan itu dengan mengatakan ia tidak benar.
Dipetik daripada laporan Antara News, PT Trans Marga Jateng (TMJ) yang merupakan pemilik konsesi lebuh raya berkenaan sebaliknya memaklumkan memang ada berlaku kejadian tanah runtuh di lokasi yang didakwa namun ia bukanlah seperti gambar yang tular berkenaan.
Kami juga menemui satu semakan fakta oleh AFP yang sebelum ini pernah membuat penafian pada 28 April 2021 tentang dakwaan yang hampir sama menggunakan gambar tanah runtuh itu namun ditambah imej sebuah rumah di atas runtuhan tanah berkenaan.
Anda boleh baca di sini.
KESIMPULAN
1 Syawal telah pun berlalu. Rakyat Malaysia yang berpeluang bercuti perayaan juga kebanyakannya sudah kembali ke kota.
Namun jangan dilupa pada mereka yang baru nak mula bercuti selepas terpaksa bertugas di Aidilfitri.
Kemeriahan Syawal yang belum berakhir masih dirasai dengan jemputan rumah terbuka.
Ketika umat Islam di Malaysia masih dalam suasana ziarah-menziarahi ini janganlah disebarkan kejadian atau tragedi tidak benar sehingga mencetuskan kebimbangan ramai.
Tidak kira apa bangsa, sama-samalah raikan sambutan apa jua perayaan dengan hati terbuka dan penuh rasa gembira.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.