+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bantuan Kewangan Raya Hanya Untuk Penjawat Awam Negeri, BUKAN Kepada Semua Rakyat Malaysia

Benarkah...

Semua rakyat Malaysia menerima bantuan raya melalui pengkreditan ke akaun bank masing masing.

Sumber : WhatsApp  / April & Mei 2022

Hasil

Bantuan raya hanya diberikan kepada penjawat awam kerajaan negeri, bukan kepada semua rakyat Malaysia.

11/05/2022 12:09 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa semua rakyat Malaysia akan diberikan bantuan raya.
  • Bantuan dikatakan akan dikreditkan ke akaun masing-masing.
  • Hasil carian mendapati peruntukan hanya diberikan kepada penjawat awam kerajaan negeri mengikut kadar yang ditetapkan oleh setiap negeri.

 


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Sudah dua tahun rakyat Malaysia tidak menyambut hari raya secara meriah.

Pastinya, kebenaran merentas negeri yang sudah diberikan sejak beberapa bulan lepas membangkitkan semangat untuk perantau pulang beraya di desa tercinta.

Desas-desus bahawa semua rakyat Malaysia akan diberikan bantuan raya berbentuk wang tunai juga menambah lagi keterujaan masing-masing.

Apatah lagi setelah ‘berbelanja sakan’ untuk membuat pelbagai persiapan raya termasuk pakaian baharu dan kuih-muih.

Ada juga ‘suara-suara’ menyatakan poket mereka sudah kering setelah pulang beraya dari kampung dan berharap adanya bantuan kewangan untuk menampung kembali poket mereka yang telah ‘bocor’ itu.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

Tular satu mesej melalui WhatsApp : ‘Hebahan Khas: Senarai Bantuan Raya Untuk Setiap Negeri’.

Mesej tersebut turut disertakan dengan ayat di bawah :

Alhamdulillah, bermula hari ini, rakyat Malaysia bakal menerima pengkreditan bantuan tunai ke akaun bank masing masing bersempena Sambutan Aidilfitri Tahun 2022/ 1443-1444 Hijrah.

Ini Senarai Bantuan Hari Raya 2022 yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri masing-masing:”

Mesej ini diteruskan dengan senarai negeri berserta jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap seorang dan pautan seperti di bawah.

 


Sumber: WhatsApp

 

Jika benar, hebahan ini mampu memberikan kelegaan untuk sesetengah pihak.

Tetapi, betul ke? Jom MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pautan Menjelaskan Secara Terperinci

Semakan MyCheck mendapati pautan yang disertakan bersama mesej tersebut memberikan maklumat lebih terperinci mengenai bantuan hari raya tersebut.

Sebenarnya, pemberian bantuan itu hanya kepada kakitangan awam kerajaan negeri dan bukan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang dinyatakan dalam mesej yang tular tersebut.

 

Apa Beza Penjawat Awam Negeri Dan Persekutuan?

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua kategori penjawat awam iaitu penjawat awam negeri dan penjawat awam kerajaan persekutuan.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2002, pegawai awam negeri bermaksud seseorang yang dilantik sama ada secara tetap, sementara atau kontrak oleh mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri.

Sementara itu pegawai awam persekutuan pula bermaksud seseorang yang dilantik sama ada secara tetap, sementara atau kontrak oleh mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Persekutuan.

 

Bantuan Mengikut Peruntukan Negeri

Apa yang kami temui pemberian tersebut hanya diberikan kepada penjawat awam yang bekerja di negeri-negeri seperti yang dinyatakan.

Berikut kami senaraikan antara laporan akhbar bagi bantuan negeri-negeri di Malaysia : 

1. Penjawat awam Selangor dapat bantuan raya minimum RM1,000

2. 3.69 juta rakyat Johor bakal terima bantuan raya,

3. Bantuan khas Aidilfitri minimum RM1,000 di Negeri Sembilan

4. Kelantan umum bantuan khas Aidilfitri RM1,000,

5. Kakitangan awam Kedah terima Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000,

6. Bantuan khas Aidilfitri RM1,200 untuk penjawat awam Pulau Pinang,

7. Kerajaan Perlis lulus bantuan khas RM500 kepada penjawat awam negeri,

8. Penjawat awam Melaka terima bantuan kewangan Aidilfitri,

9. Sarawak umum bonus Aidilfitri, Gawai RM500 kepada penjawat awam,

10. Penjawat awam Terengganu terima Bantuan Khas Aidilfitri RM500.

11. Penjawat awam Sabah terima bonus Aidilfitri dan Kaamatan RM500, pesara RM250.

Malah, merujuk kepada laporan-laporan ini, tarikh pemberian bantuan tersebut telah pun berlalu

Namun, MyCheck keluarkan juga laporan ini kerana ketika pulang beraya beberapa hari lepas dan sehingga kini, masih ada saudara-mara termasuk mak cik dan pak cik di kampung tertanya-tanya mengapa bantuan kewangan itu belum dimasukkan ke dalam akaun mereka.

Ini pasti kerana kapsyen “rakyat Malaysia bakal menerima pengkreditan bantuan tunai ke akaun bank masing masing” yang membuatkan mereka tertunggu-tunggu. 

Jadi selaras dengan objektif MyCheck untuk membanteras maklumat palsu terutamanya berkaitan isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat, kami terbitkan laporan ini untuk rujukan anda!

 

KESIMPULAN

Ternyata bantuan raya ini wujud. Namun pemberian ini hanya dikhususkan kepada penjawat awam negeri dan bukanlah untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kepada penyebar maklumat, inisiatif anda untuk menyampaikan maklumat itu kami puji, namun adalah lebih baik anda nyatakannya secara terperinci.

Perlu diketahui, sesuatu maklumat itu jika tidak benar atau tidak pasti, boleh menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pihak, mencetuskan ketegangan bahkan kadangkala boleh mengguris hati.

Kasihan mak cik dan pak cik yang tertunggu-tunggu bantuan kewangan itu, kan? Bagaimana kalau mereka itu adalah ibu bapa anda?

Jadi jangan sebar melulu, semaklah dahulu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Berita Harian. ‘Penjawat awam Selangor dapat bantuan raya minimum RM1,000’ diterbitkan pada  

  2. Sinar Harian. ‘3.69 juta rakyat Johor bakal terima bantuan raya’ diterbitkan pada 14 April 2022. 

  3. Astro Awani. ‘Sarawak umum bonus Aidilfitri, Gawai RM500 kepada penjawat awam’ diterbitkan pada 6 April 2022.

  4. Sinar Harian. ‘Bantuan khas Aidilfitri minimum RM1,000 di Negeri Sembilan’, diterbitkan pada 6 April 2022.

  5. Sinar Harian. ‘Penjawat awam Melaka terima bantuan kewangan Aidilfitri’ diterbitkan pada 5 April 2022

  6. Berita Harian. ‘Kelantan umum bantuan khas Aidilfitri RM1,000’ diterbitkan pada 20 April 2022

  7. Berita Harian. Kakitangan awam Kedah terima Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000, diterbitkan pada 6 April 2022.

  8. Terengganu

  9. Astro Awani. ‘Bantuan khas Aidilfitri RM1,200 untuk penjawat awam Pulau Pinang’ diterbitkan pada 14 April 2022.

  10. Astro Awani. ‘Kerajaan Perlis lulus bantuan khas RM500 kepada penjawat awam negeri’ diterbitkan pada 16 April 2022.

  11. Astro Awani. ‘Penjawat awam Terengganu terima Bantuan Khas Aidilfitri RM500’. Diterbitkan pada 15 April 2022.

  12. Astro Awani. ‘Penjawat awam Sabah terima bonus Aidilfitri dan Kaamatan RM500, pesara RM250’ Diterbitkan pada 6 April 2022.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.