+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bantuan Khas Bulanan RM200 Mulai Mei 2022 Hanya Kepada B40 Di Bawah Program Bantuan Latihan Perantis

Benarkah...

Rakyat Malaysia bakal menerima bantuan khas kewangan kerajaan sebanyak RM200 mulai Mei 2022.

Sumber : WhatsApp & Telegram / April 2022

Hasil

Ia adalah bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada golongan B40 yang layak, bukan skim bantuan khas baharu kepada semua rakyat Malaysia.

18/05/2022 01:39 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan kerajaan akan memberikan bantuan kewangan khusus sebanyak RM200 sebulan bermula Mei ini.
  • Bantuan tersebut khusus kepada golongan B40 yang layak di bawah program bantuan latihan perantis.
  • Skim bantuan berkenaan juga sudah diumumkan sejak 2020 dan boleh dipohon oleh mereka yang layak sepanjang tahun.

 


Sumber: Motif.my

 

LATAR BELAKANG

Berdepan pandemik Covid-19 sejak awal 2020 bukan tempoh yang mudah bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian.

Meskipun kini negara sudah memasuki fasa peralihan endemik, namun masih ramai yang berhempas pulas membina semula 'kehidupan' khususnya untuk mengukuhkan status kewangan.

Tidak dinafikan pelbagai saluran bantuan yang cuba disediakan serta ditambah baik oleh pihak berwajib termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk kemudahan rakyat.

Justeru sebarang bantuan yang dihebahkan mana-mana pihak pastinya membuat ramai yang 'berharap'.

Namun benarkan ada skim bantuan itu? Biar kami semak dahulu ya!

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima tangkap layar menerusi aplikasi WhatsApp berhubung hebahan bantuan RM200 oleh kerajaan bermula Mei 2022 ini.

Ramai pihak yang berasa gembira kerana beranggapan akan mendapat bantuan kewangan tambahan setiap bulan.

Menerusi tangkap layar itu juga terpapar gambar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kapsyen 'Kerajaan Umum: Bantuan RM200 sebulan bermula Mei' berserta pautan ke laman sesawang yang dipercayai mempunyai informasi berkenaan bantuan yang dimaksudkan.

Namun berdasarkan penelitian kami, ia bukan hebahan rasmi oleh pihak berwajib, kerajaan mahupun NGO.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pautan Membawa Ke Laman Sesawang Motif.my

Kami cuba masuk ke pautan yang tertera pada mesej di WhatsApp, yang kemudiannya membawa ke laman sesawang Motif.my iaitu laman bagi menghebahkan pelbagai bentuk bantuan untuk rakyat.

Namun, kami dapati laman tersebut bukanlah laman rasmi mana-mana pihak berwajib atau pertubuhan berkaitan. Jadi kami cuba menyemak status domain pautan tersebut di laman sesawang Whois Lookup dan mendapati ia adalah aktif.


Sumber: Motif.my

 

Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Kami kemudiannya meneliti satu persatu maklumat yang terdapat pada portal tersebut dan mendapati ia adalah benar.

Memang ada dijelaskan mengenai bantuan RM200 secara bulanan kepada golongan B40 menerusi bantuan latihan perantis di bawah Kementerian Kewangan (MOF) dan dikelolakan JKM.

 


Sumber: Kementerian Kewangan

 

Kami semak juga di portal Kementerian Kewangan (MOF) dan JKM, ternyata maklumat serta borang permohonan yang tertera di portal itu juga benar.

 


Sumber: Kementerian Kewangan

 

Tajuk Mencetuskan Kekeliruan

Daripada apa yang kami semak, bantuan tersebut memang wujud namun apa yang menjadi kekeliruan serta salah faham orang awam adalah tajuk yang digunakan portal berkenaan dalam menyampaikan maklumat.

Tajuk ‘Kerajaan Umum: Bantuan RM200 sebulan bermula Mei' seperti ini boleh difahami dari pelbagai sudut dan siapakah khalayak sasaran serta jenis skim bantuan yang dimaksudkan juga agak samar.

Biasanya teknik menulis tajuk berbentuk ‘click bait’ seperti ini bertujuan memancing orang ramai agar mengikuti pautan yang disertakan seterusnya menyertai kumpulan WhatsApp berkenaan.

 


Sumber : MyCheck

 

KESIMPULAN

Keseluruhannya, dapat kami simpulkan mengenai bantuan yang disebarkan bukanlah baharu tetapi telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sejak 2020.

Ia bukanlah bantuan kepada semua rakyat Malaysia tetapi kepada golongan B40  yang layak di bawah program bantuan latihan perantis.

Maklumat penuh mengenai bantuan berkenaan boleh dilihat di laman rasmi MOF dan permohonan boleh dibuat melalui mana-mana cawangan pejabat JKM berdekatan atau merujuk maklumat lanjut di portal JKM.

Usaha pihak yang ingin berkongsi maklumat bantuan amat baik dan seharusnya dihargai.

Namun, sebagai pengguna kita haruslah membiasakan diri untuk membuat semakan kesahihan suatu informasi yang diterima agar tidak terkeliru atau terpedaya.

Jangan terus percaya apa anda terima, MyCheck dulu okay!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Bantuan Kerajaan 2022 - RM 200 Sebulan Bermula Mei

  2. Bantuan Latihan Perantis  

  3. Bantuan Kewangan RM200 Sebulan Untuk Rakyat Malaysia | MYPORTALKINI! 

  4. Kumpulan WhatsApp Info Bantuan Kerajaan 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.