+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan JKM Beri Bantuan Raya Untuk Suri Rumah, Kanak-Kanak Dan Warga Emas Sempena Raya Adalah Palsu

Benarkah...

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan raya kepada suri rumah, kanak-kanak dan warga emas sempena Hari Raya Aidilfitri 2022.

Sumber : Facebook & TikTok / April & Mei 2022

Hasil

JKM tidak menyediakan bantuan raya membabitkan ketiga-tiga golongan itu seperti yang tular.

19/05/2022 02:51 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah Zol Azman, Pelatih Praktikal Dari UiTM

SEKILAS FAKTA

  • Tular hantaran di media sosial berkenaan informasi ‘Bantuan Raya JKM 2022’.
  • Antara senarai informasi bantuan yang tertera pada hantaran tersebut ialah Bantuan Suri Rumah RM480, Bantuan Kanak-Kanak RM1,000 dan Bantuan Warga Emas RM500.
  • JKM nafi menyediakan bantuan raya berkenaan.

(Nota: Artikel ini adalah mengenai isu yang tular sebelum sambutan Aidilfitri 2022. MyCheck menyiarkan artikel ini sebagai arkib dan rujukan di masa depan.)

 


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Apabila melibatkan wang ringgit dan bantuan kewangan, pastinya menjadi perkhabaran yang ditunggu-tunggu buat rakyat Malaysia.

Apatah lagi hantaran serta laporan mengenai bantuan ini muncul pula menjelang sambutan perayaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial mengenai ‘Tarikh Bantuan Raya JKM - Bantuan Suri Rumah RM480, Bantuan Kanak-Kanak RM1,000 dan Bantuan Warga Emas RM500’ sekitar pertengahan April 2022.

Hantaran berkenaan mencetuskan reaksi gembira pelbagai pihak yang beranggapan dakwaan itu benar kerana JKM cukup sinonim dengan pelbagai bantuan kebajikan termasuk berbentuk kewangan.

Apa pun, jangan teruja dulu ya, MyCheck semak untuk anda!

 

APA YANG KAMI TEMUI?

Langkah pertama MyCheck adalah menganalisis hantaran berkenaan termasuk setiap perincian yang tertera pada imej di hantaran tersebut.

MyCheck kemudian melakukan carian imej berbalik di Google dengan menggunakan kata kunci ‘Bantuan Raya JKM’.

Kami berjaya menemukan hantaran berhubung dakwaan itu di media sosial TikTok.

Seorang pengguna TikTok menggunakan nama mencari_cahayaa Ude Rahim telah memuat naik satu video berserta kapsyen ‘Bantuan Raya JKM bagi penerima yang berdaftar.. Share info ni ya guys..’.

Menerusi video itu, pengguna TikTok berkenaan turut berkongsi tarikh pembayaran bantuan dan jumlah yang akan diberikan JKM secara terperinci.

Hantaran itu telah mendapat 2,053 perkongsian, 248 komen dan 4,497 respons daripada pengguna TikTok (setakat laporan ini ditulis - 19 Mei 2022).

Selain itu, kami turut menemui dakwaan yang serupa turut dikongsikan pengguna di Facebook seperti di sini, di sini dan di sini. Kami mendapati kesemua dakwaan tersebut diambil dan dikongsikan dari portal Info Awam ataupun dari Portal Malaysia.

Kedua-dua portal itu sering berkongsikan info-info semasa dan carian kerja kosong.

 


Sumber: Portal Malaysia dan Info Awam

 

Carian Lanjut

Bagi mengenal pasti kesahihan pemberian Bantuan Suri Rumah daripada JKM ini, kami turut ke laman sesawang JKM dan melakukan semakan di bahagian Perkhidmatan.

Namun, hasil carian kami tidak menemukan skim Bantuan Suri Rumah seperti yang tular.

 


Sumber: Portal Jabatan Kebajikan Masyarakat

 

Selain itu, kami turut menyemak Skim Bantuan Kebajikan dalam laman sesawang yang sama tetapi masih tidak menemukan jawapan mengenai Bantuan Suri Rumah dengan kadar sebanyak RM480 itu.

 


Sumber: Portal Jabatan Kebajikan Masyarakat

 

MyCheck kemudian membuat carian secara rawak di Google dan kami dapati portal MyGovernment ada menyediakan informasi mengenai Bantuan Suri Rumah RM480.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh MyGovernment, Bantuan Suri Rumah merupakan Program Sukarela Insentif – iSURI iaitu program perintis yang digarap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan merupakan antara manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Ia bukanlah bantuan hari raya seperti yang tular.

 


Sumber: kwsp.gov.my

 

Bantuan iSURI didaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) dan mula berkuat kuasa pada 15 Ogos 2018 serta disalurkan di bawah caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah Kementerian Kewangan dan bukanlah dari JKM.

Jika diimbas kembali berkenaan bantuan iSURI ketika tampuk pemerintahan Pakatan Harapan, insentif bagi syarat kelayakan pemohon i-SURI perlu berdaftar dalam eKasih setakat 30 November 2020 serta mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun dalam akaun KWSP.

Bagi mengenal pasti maklumat terkini sama ada bantuan suri rumah masih boleh dimohon atau tidak buat penerima bantuan yang layak, laporan portal berita eCentral yang bertajuk ‘i-Suri KWSP: Daftar & Semak Status Kasih Keluarga Malaysia RM 480’ yang telah dikemas kini pada 11 Januari 2022 ada mengeluarkan informasi Bantuan Suri Rumah ini.

Menurut laporan, nama program insentif i-SURI telah ditukar kepada Program Kasih Suri Keluarga Malaysia KWSP 2022 sejajar dengan gagasan dan aspirasi konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021.

Hasil carian kami di laman sesawang semakanstatus.com pula mendapati kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan Program Kasih Suri Keluarga Malaysia dan telah diperkenalkan ketika sesi pembentangan bajet 2022 menerusi peruntukan berjumlah RM80 juta yang boleh dimanfaatkan bagi suri rumah sehingga umur 55 tahun.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui laman sesawang budget.mof.gov itu ialah sumbangan khas kerajaan untuk suri rumah atau balu sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sebanyak RM5 atau RM480 setahun.

Hal ini menunjukkan terdapat kontradiksi yang boleh membawa kekeliruan ramai mengenai hantaran Bantuan Suri Rumah sempena hari raya daripada JKM.

Bantuan itu juga bukan dibayar secara sekali bayar (one-off) tetapi sebanyak RM40 sebulan seperti yang tertera di laman sesawang bajet 2022 Keluarga Malaysia.

Bagaimanapun bantuan suri rumah boleh didaftar melalui borang Kasih Suri Keluarga Malaysia atau pendaftaran di kaunter KWSP.

 

Bagaimana Pula Dengan Bantuan Kanak-Kanak RM1,000 Dan Bantuan Warga Emas?

Seorang pengguna Facebook dengan nama Amy King telah memuat naik hantaran pada 21 April 2022 berhubung perincian mengenai pembayaran bantuan raya JKM bagi Mei 2022 yang bakal dikreditkan kepada penerima bantuan bulanan bermula 25 hingga 30 April 2022.

Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM1,000 seperti tular melalui hantaran tersebut juga adalah tidak benar.

JKM sememangnya ada menyediakan bantuan untuk kanak-kanak tetapi hasil carian kami menemui jumlah bantuan tersebut ialah minimum RM150 dan maksimum RM1,000 sebulan mengikut pecahan seperti yang tertera di laman JKM.

Menurut laporan berita MalaysiaGazette di YouTube yang disiarkan pada 16 Oktober 2021, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengumumkan kenaikan kadar bantuan kanak kanak iaitu :

i. RM200 seorang bagi anak berumur 6 tahun dan 7 tahun ke bawah berbanding RM100 sebelum ini.

ii. RM150 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun berbanding RM100 sebelum ini.

iii. Kadar bantuan maksimum dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga sebulan.

Sementara itu, jumlah kadar pemberian bantuan pihak JKM bagi Bantuan Warga Emas (BWE) dinaikkan daripada RM350 kepada RM500 sebulan seorang yang diberikan mengikut kriteria kelayakan khusus yang disediakan oleh pihak JKM.

Kenaikan jumlah kadar bantuan ini telah diumumkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di bawah peruntukan Belanjawan 2021.

 

Penafian Pihak JKM


Sumber: Facebook Jabatan Kebajikan Masyarakat

 

MyCheck kemudian menelusuri carian di media sosial dan mendapati JKM telah mengeluarkan kenyataan di laman Facebook rasminya pada 24 April 2022 memaklumkan bahawa informasi yang tular berhubung Bantuan Raya kepada kanak-kanak, suri rumah dan warga emas adalah palsu.

Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) turut memaklumkan orang ramai disaran merujuk laman sesawang rasmi JKM untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan benar.

 

KESIMPULAN

Siapa sahaja yang tidak sukakan wang ringgit atau bantuan berbentuk kewangan kan, namun berita tanpa kesahihan sumber fakta boleh menjejaskan kredibiliti sebuah organisasi.

Sebagai pengguna media sosial yang berhemah kita seharusnya membuat usul periksa dan elakkan daripada terima ‘bulat-bulat’ setiap maklumat yang dibaca.

Pemikiran setiap pengguna digital juga perlu kritis dan bijak dalam mengenal pasti sesuatu maklumat.

Pastikan kita sentiasa mendapat informasi yang terkini dan janganlah kita mudah menghirup racun yang disangka madu sehingga mudah tertipu dengan kepalsuan berita yang boleh merugikan diri sendiri.

--MYCHECK.MY

 

RUJUKAN

1.     Laman Sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

2.     Astro Awani, ‘‘Tarikh Bantuan Raya JKM Mei 2022’ yang tular di media sosial adalah palsu.

3.     MyGovernment Gerbang Rasmi Kerajaan Malaysia

4.     Kumpulan Wang Simpanan Pekerja KWSP

5.     eCENTRAL i-Suri KWSP: Daftar & Semak Status Kasih Suri Keluarga Malaysia RM480

6.     SemakanStatus.com CARA DAFTAR PROGRAM KASIH SURI KELUARGA MALAYSIA KWSP 2022(Borang & Bayar)

7.     Budget.mof.gov.my, Kasih Suri Keluarga Malaysia

8.     MGNews: Buat Pertama Kali Bantuan Kanak-Kanak Dinaikkan - Rina Harun

9.     Facebook Info Bantuan Kerajaan

10.  Facebook Amy King

11.  Facebook Rasmi Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)

12. TikTok @UdeRahim

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.