+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Perubahan Warna Susu Ibu Daripada Putih Kepada Hijau BUKAN Disebabkan Covid-19. Susu Ibu Boleh Berubah Warna Kerana Beberapa Faktor Antaranya Pemakanan

Benarkah...

Susu ibu yang berwarna putih bertukar hijau disebabkan ibu mendapat jangkitan Covid-19

Sumber : Facebook & Instagram / Januari & Mei 2022

Hasil

Tiada bukti saintifik mengesahkan jangkitan Covid-19 mengubah warna susu ibu. Perubahan warna itu berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya pemakanan. 

20/05/2022 04:36 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan warna susu ibu berubah daripada putih kepada hijau kerana ibu berkenaan dijangkiti Covid-19.
  • Susu ibu boleh berubah kepada beberapa warna disebabkan pelbagai faktor termasuk pemakanan dan pengambilan ubat-ubatan.
  • Tiada bukti saintifik mengesahkan jangkitan Covid-19 boleh mengubah warna susu ibu.

(Nota: Artikel ini adalah mengenai isu yang tular pada Januari 2022. MyCheck menyiarkan artikel ini sebagai arkib dan rujukan di masa depan.)

 


Sumber: Instagram

 

LATAR BELAKANG

Susu ibu diketahui umum mempunyai pelbagai khasiat untuk bayi.

Menurut portal MyHealth susu ibu mengandungi kolostrum yang menguatkan sistem imuniti bayi, selain turut melindungi bayi daripada penyakit seperti cirit-birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.

Susu ibu juga mampu mencegah pelbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi selain ia turut mengandungi nutrien tertentu yang amat baik untuk perkembangan otak bayi.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang ibu muda dari New Jersey, Amerika Syarikat yang dikenali dengan nama Ashmiry_ menerusi laman Instagram berkongsi sekeping gambar perbandingan susu badannya yang berwarna putih bertukar hijau selepas dijangkiti Covid-19.

Beliau yang merupakan seorang jurulatih kecergasan mendedahkan suaminya iaitu Jesse dan dua orang anak perempuannya iaitu Ruby dan Mia terpaksa menjalani kuarantin di rumah selama 11 bulan selepas dijangkiti Covid-19.

Ashmiry mendakwa walaupun susu badannya bertukar warna, namun ia memberi kebaikan yang sepatutnya diperlukan oleh bayi yang sedang menjalani proses tumbesaran.

Antara kapsyen yang ditulis Ashmiry berbunyi : “Perubahan warna (susu badan) menandakan tubuh badan saya menghasilkan apa yang sepatutnya Rubi perlu. Antibodi, lemak tambahan (susu badan) dan kebaikan tulen,”.


Sumber: Instagram

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil semakan kami mendapati gambar asal berkenaan yang disiarkan pada Januari 2022 sudah dipadam oleh pemilik akaun tersebut, namun kami berjaya menemui beberapa laman Instagram yang sempat berkongsi catatan asal Ashmiry seperti hottea mama.

Selain itu kami turut mendapati beberapa pengguna Facebook turut berkongsi gambar yang sama seperti mompreneur, black families do breastfeed, jupiter moon photo, hottea mama dan CPR Kids.

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 

Isu Jadi Perhatian Media Tempatan Dan Antarabangsa

Selepas gambar berkenaan tular, ia menjadi perhatian beberapa media tempatan dan antarabangsa termasuk akhbar kosmo.

Selain itu beberapa media antarabangsa turut melaporkan isu yang sama termasuk di United Kingdom seperti dailyrecord, cosmopolitan serta dailymail.

Susulan pendedahan gambar berkenaan, kami turut menemui satu lagi dakwaan sama daripada seorang ibu muda dari Monterrey, Mexico, Anna Cortez yang memaklumkan bahawa susu badannya bertukar menjadi hijau selepas dijangkiti Covid-19 pada Januari 2022.

Laporan mengenai isu ibu muda berkenaan telah disiarkan oleh beberapa media antarabangsa termasuk news18.com dari Australia, selain beberapa media dari United Kingdom seperti Daily Mail dan  Mirror.

 

Pandangan Pakar

Perubahan Warna Susu Ibu Disebabkan Pelbagai Faktor Antaranya Pemakanan

Menurut seorang pegawai dietetik, Nur Hafizah Muhd Sobri menerusi hantaran di Facebook, susu ibu boleh bertukar warna kepada hijau berkemungkinan disebabkan ibu berkenaan mengambil terlalu banyak sayuran yang mengandungi warna hijau seperti bayam, rumpai dan kailan.

Selain sayuran, makanan dan minuman yang berwarna hijau juga boleh menyebabkan susu ibu berubah menjadi warna berkenaan.

Menurut Nur Hafizah, susu ibu yang bertukar warna daripada putih kepada beberapa warna lain adalah selamat untuk diminum, namun beliau menasihatkan ibu yang menyusukan anak untuk mendapatkan pandangan doktor sekiranya warna susu badan mereka bertukar menjadi hitam atau coklat.

Beliau turut mendedahkan ubat kimoterapi adalah tidak sesuai untuk ibu yang menyusukan anak dan menyarankan mereka untuk mengepam susu badan bagi memastikan bayi mereka mendapat khasiat secukupnya.

 


Sumber: Facebook

 

Pandangan Nur Hafizah turut dikongsi oleh sebuah portal berkaitan kesihatan iaitu  healthline.com serta portal berkaitan kekeluargaan iaitu theasianparent.com yang mendedahkan pengambilan berlebihan sayuran berwarna hijau atau makanan yang mempunyai pewarna hijau menjadi punca susu badan ibu bertukar menjadi hijau.

Lebih menarik kami menemui sebuah artikel yang diterbitkan oleh university hospitals yang mencadangkan supaya para ibu yang dijangkiti Covid-19 untuk terus menyusukan anak mereka.

 

Tiada Bukti Saintifik Jangkitan Covid-19 Ubah Warna Susu Ibu

Berdasarkan semakan kami, tiada sebarang bukti saintifik yang boleh mengesahkan bahawa jangkitan Covid-19 akan menyebabkan perubahan pada warna susu ibu.

Beberapa badan semakan fakta yang menyemak dakwaan berkenaan juga mengkategorikan ia tidak tepat.

Badan semakan itu antaranya adalah USAToday, AFP Fact Check, thip.media, selain beberapa laman sesawang yang dikendalikan oleh mereka yang arif dalam bidang perubatan seperti Techarp.com.

 

Susu Ibu Jadi Penawar Covid-19?

Menurut artikel yang disiarkan Harian Metro yang memetik laporan portal South China Morning Post, pasukan penyelidik di Beijing mendapati susu ibu dipercayai dapat mencegah virus Covid-19.

Ia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidik di Beijing.

Selain itu dalam artikel sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan ibu harus terus menyusukan anak walaupun mereka dijangkiti Covid-19.

Anda boleh baca selanjutnya di sini.

 

KESIMPULAN

Kami mendapati dakwaan mengatakan susu ibu bertukar warna menjadi hijau disebabkan jangkitan Covid-19 adalah tidak benar.

Selagi tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan itu, usahlah kita mempercayainya.

Susu ibu terbukti mempunyai pelbagai khasiat serta antibodi yang baik untuk melindungi bayi daripada sebarang jangkitan penyakit.

Selain itu, pelbagai kajian mendapati proses penyusuan itu sendiri turut mengeratkan hubungan di antara ibu dan anak yang menyusu.

Jadi ibu-ibu, teruskan menyusu, jangan ragu-ragu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Instagram Ashmiry_

  2. Kebaikan susu ibu.Diterbitkan oleh MyHealth

  3. Instagram HotTea Mama

  4. Facebook Mompreneur

  5. Facebook Black Families Do Breastfeed

  6. Facebook Jupiter Moon Photo

  7. Facebook Hot Tea Mama

  8. Facebook CPR Kids

  9. Susu badan bertukar hijau selepas positif Covid-19.Diterbitkan oleh KOSMO

  10.  Mum's breastmilk turns green after she tests positive for Covid.Published by Daily Record UK

  11. Can COVID-19 change your breastmilk? This mum says hers turned green after she tested positive.Published by Cosmopolitan UK

  12. Mum reveals her breastmilk went GREEN when she got Covid but insists it's still safe for her baby.Published by Daily Mail UK

  13. Bizarre: Woman Claims Her Breast Milk Turned Neon Green After She Contracted Covid-19.Published by news18.com 

  14. Mother claims her breast milk turned neon green after she contracted Covid-19.Published by Daily Mail UK

  15. Mum's breast milk 'turned neon green colour after she and baby caught Covid'.Published by Mirror UK

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.