+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Serbuk Teh TIDAK BOLEH Ubati Diabetes, Tiada Produk Boleh Menggantikan Ubatan Termasuk Insulin Untuk Rawat Penyakit Itu

Benarkah...

Satu produk berasaskan teh mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pengganti ubat diabetes dan boleh menurunkan paras gula dalam darah.

Sumber : Facebook  / Mei 2022

Hasil

KKM menafikan perkara ini dan menyatakan tiada produk boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes.

27/05/2022 12:50 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tersebar beberapa hantaran di Facebook mendakwa satu produk dengan nama  ‘TangYiQing’, boleh merawat penyakit diabetes.
  • Produk itu dikatakan mendapat pengiktirafan daripada Menteri Kesihatan.
  • Berdasarkan carian, ‘TangYiQing’, dikaitkan dengan sebuah perniagaan yang menjual produk kesihatan dari China berasaskan teh.
  • Poster berkenaan adalah maklumat palsu yang disebarkan dengan tujuan kepentingan perniagaan.
  • KKM menegaskan bahawa tidak pernah memperakukan mana-mana produk makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes.



Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Kadar penduduk Malaysia menghidap penyakit diabetes atau kencing manis meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta individu berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.

Malah, Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah penghidap diabetes yang tertinggi di Asia dan antara negara dengan jumlah pesakit diabetes yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Satu daripada lima rakyat Malaysia juga dikatakan menghidap penyakit jenis ini. Kami kongsikan infografik daripada KKM seperti di bawah.

 


Sumber: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Menurut maklumat yang terdapat di laman sesawang rasmi KKM, diabetes terjadi apabila paras gula dalam darah seseorang pesakit adalah tinggi daripada paras normal.

Penyakit ini berlaku apabila badan pesakit tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi atau insulin yang dihasilkan tidak dapat digunakan dengan sempurna.

Terdapat dua jenis penyakit kencing manis. Diabetes jenis satu adalah yang bergantung kepada suntikan insulin manakala diabetes jenis dua tidak bergantung kepada insulin.

Sebaliknya, menurut portal doctoroncall, diabetes jenis dua akan dibekalkan beberapa ubat oleh KKM antaranya seperti Biguanides, Meglitinides, Sulfonylureas dan lain-lain.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Facebook

Tersebar beberapa hantaran di Facebook menyatakan satu produk boleh digunakan untuk merawat penyakit diabetes.

Produk ini juga didakwa mendapat pengiktirafan daripada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Hantaran berbentuk gambar ini disertakan dengan kapsyen : ‘Advices for people with diabetes’ (Nasihat kepada penghidap kencing manis) dan ‘blood sugar return to normal’ (paras gula dalam darah kembali kepada normal).

Wujudkah produk sebegini? Mari kita semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Tulisan Pada Produk

MyCheck meneliti tulisan pada produk tersebut. Menggunakan teknik zoom dan kepakaran  bahasa cina ketua kami di MyCheck, kami dapati tulisan tersebut adalah ‘TangYiQing’.

Berdasarkan carian ‘TangYiQing’ kami dapati nama berkenaan dikaitkan dengan sebuah perniagaan yang menjual produk kesihatan dari China berasaskan teh.

Jadi kami teruskan dengan mencari jika ada gambar lain yang menunjukkan produk ini.

Hasilnya, kami menjumpai beberapa keping gambar produk ini bersama individu yang terlibat dengan Kementerian Kesihatan juga.

 

Produk Yang Sama ‘Dipegang’ Oleh Dr Noor Hisham

Dengan menggunakan kata kunci TanYiQing + Teh, kami menjumpai beberapa gambar yang menunjukkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut memegang produk yang sama seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Facebook Klinik Fong

 

Namun, kami dapati kapsyen pada gambar “If only their English is as good as their tea” yang terdapat pada hantaran Klinik Fong ini seperti membawa maksud tertentu.

Kapsyen ini seperti menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan produk tersebut.

Hasil semakan lanjut kami menemukan maklumat di bawah.

Satu hantaran daripada Facebook Dr Noor Hisham menyatakan bahawa poster berkenaan adalah maklumat palsu yang disebarkan dengan tujuan kepentingan perniagaan.

Turut tersenarai dalam hantaran tersebut adalah poster yang menunjukkan Khairy Jamaluddin memegang produk berkenaan.

 

Gambar Telah Disunting

MyCheck dapati gambar Khairy Jamaluddin dan Dr Noor Hisham telah disunting di bahagian objek yang dipegangnya.

Objek sebenar yang dipegang oleh Dr Noor Hisham adalah sebuah buku bertajuk Clinical Practice Guideline: Management of Type 2 Diabetes Mellitus (6th edition).

Buku ini telah dilancarkan oleh Dr Noor Hisham pada 6 Januari 2021 seperti laporan The Star ini.

 


Sumber: Facebook Noor Hisham Abdullah

 

Gambar buku berkenaan telah disunting kepada gambar sejenis produk berasaskan teh.

Kami sertakan satu lagi gambar lain yang telah disunting berkaitan produk ini seperti di bawah.

 


Sumber: Google

 

Oleh itu, jelas di sini gambar tersebut telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan kepentingan perniagaan seperti yang dikatakan oleh Dr Noor Hisham.

 

Penafian KKM

Perkara ini juga telah dinafikan oleh KKM. KKM menegaskan bahawa tidak pernah memperakukan mana-mana produk makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes.

KKM membuat penafian tersebut menerusi hantaran laman Facebook rasmi KKM.

 


Sumber: Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

 

KESIMPULAN

Setakat ini belum ada lagi teh yang disahkan dapat menyembuhkan penyakit diabetes.

Sila dapatkan nasihat daripada pakar kesihatan sebelum mengambil apa jua bentuk makanan atau minuman sampingan.

Kita sedia maklum diabetes dapat dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Cara paling mudah, kurangkan manis dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

  2. The Star “Dr Noor Hisham: Diabetics prone to suffer severe form of Covid-19”. Diterbitkan pada 30 Jan 2021.

  3. Facebook Klinik Fong

  4. Facebook Noor Hisham Abdullah 

  5. Code Blue. “Survey: 1.7 Million Malaysians Risk Three Chronic Conditions”. Diterbitkan pada 29 Mei 2020. 

  6. DoctorOnCall. “Angka Terus Meningkat, Orang Malaysia Masih Kurang Kesedaran Diabetes!”

  7. DoctorOnCall. “Bolehkah saya merawat penyakit kencing manis (Diabetes)?”

  8. Berita Harian. “Jumlah pesakit diabetes meningkat ketara - KP Kesihatan”. Diterbitkan pada 14 Nov 2020. 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.