+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kebanyakan Wang Palsu Berkualiti Rendah, Boleh Dikenal Pasti Dengan Cara Betul. BNM Saran Guna Kaedah ‘Rasa, Lihat, Sendeng Dan Periksa’

Benarkah...

Wang palsu dan wang sebenar sukar dibezakan disebabkan kecanggihan teknologi.

Sumber : Facebook / Mei 2022

Hasil

Kebanyakan wang palsu adalah berkualiti rendah dan boleh dikenal pasti jika diteliti menggunakan kaedah yang betul.

31/05/2022 10:35 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan wang palsu sukar dibezakan kerana kecanggihan teknologi kini.
  • Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) kebanyakan wang palsu berkualiti rendah dan boleh dikenal pasti jika diteliti dengan betul.
  • BNM turut mengeluarkan garis panduan ‘Rasa, Lihat, Sendeng dan Periksa’ untuk membantu orang ramai memeriksa ketulenan wang dengan kaedah yang betul.

 


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Wang palsu adalah wang yang dihasilkan tanpa milik negara atau kelulusan undang-undang kerajaan, biasanya dengan meniru mata wang itu dan menipu penerimanya.

Kegiatan atau sindiket wang kertas palsu bukanlah perkara baharu, namun berlaku di seluruh dunia dan kebiasaannya didalangi oleh beberapa individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah.

Orang ramai kadangkala keliru kerana mendakwa tiada perbezaan ketara di antara wang kertas palsu dan wang sebenar, namun jika dilihat secara lebih dekat, terdapat beberapa perbezaan di antara kedua-dua jenis wang berkenaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang individu dikenali dengan nama shaffiqzulkifle menerusi media sosial TikTok telah berkongsi satu video mengenai wang kertas sebenar dan palsu.

Beliau mendakwa sukar membezakan kedua-dua jenis wang kertas berkenaan kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir sama.

Video berkenaan telah ditonton oleh hampir 1.4 juta pengguna TikTok, selain menerima 154,200 respons serta 3,150 komen setakat laporan ini ditulis (30 Mei 2022).

Video berkenaan kemudiannya dikongsi oleh sebuah laman YouTube dikenali dengan nama pena Big Foot Malaya yang mendapat 15,074 tontonan sejak ia dimuat naik pada 28 Mac 2022.

 


Sumber: TikTok

 


Sumber: YouTube Big Foot Malaya

 

APA YANG KAMI TEMUI

Maklum Balas Bank Negara

Untuk laporan kali ini MyCheck mengambil langkah untuk terus menghubungi BNM bagi mendapatkan maklumat lanjut yang tepat.

Walaupun mengambil sedikit masa, kami berjaya mendapatkan maklum balas BNM berhubung isu ini.

 

Kebanyakan Wang Palsu Mempunyai Kualiti Rendah

Menurut BNM, tanggapan yang mengatakan wang palsu sukar untuk dikenal pasti adalah tidak benar kerana sebahagian besar mata wang palsu mempunyai kualiti yang rendah.

BNM memaklumkan pada tahun ini, sebanyak 99 peratus kes wang palsu adalah dalam kategori pemalsuan menggunakan pencetak berwarna.

Menurut BNM, orang ramai yang menerima wang disyaki wang palsu perlu terus meneliti wang yang diperoleh mereka untuk mengenal pasti ketulenannya.

Wang palsu yang berkualiti rendah akan dapat dikenal pasti dengan mata kasar.

 

Semak Ketulenan Wang Kertas Guna Kaedah ‘Rasa, Lihat, Sendeng dan Periksa’

Menjelas lanjut, BNM memaklumkan mereka telah mengeluarkan satu garis panduan mengenai cara mengenal pasti wang palsu dan wang sebenar menerusi kaedah ‘Rasa, Lihat, Sendeng dan Periksa’.

Berikut merupakan kaedah Rasa, Lihat, Sendeng dan Periksa'.

(i) Rasa kualiti dan ciri cetakan timbul wang kertas tulen.

• Wang kertas adalah bertekstur dan wang polimer diperbuat daripada plastik khas.

• Wang kertas dan wang polimer mempunyai kesan cetakan timbul pada potret

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama dan teks.

 

(ii) Lihat wang kertas dengan berlatarbelakangkan cahaya putih dan perhatikan ciri-ciri berikut :

• Potret tanda bayang 3-dimensi, tanda pandang telus dan garisan lurus

benang keselamatan (wang kertas).

• Tanda dan tingkap pandang telus (wang polimer).

 

(iii) Sendengkan wang kertas untuk melihat ciri warna/corak yang berubah-ubah

pada jalur holografik dan benang keselamatan iaitu :

• Perubahan warna pada benang keselamatan.

• Motif Bunga Raya yang kelihatan bergerak-gerak pada wang kertas RM100

apabila disendengkan.

 

(iv) Periksa wang kertas menggunakan peralatan yang mudah seperti:

• Menggunakan kanta pembesar untuk melihat tulisan teks bersaiz mikro.

• Menggunakan peranti cahaya ultraungu (ultraviolet atau UV) untuk melihat

unsur cahaya kalimantang dua warna, teks dan logo, benang serat

keselamatan (merah, kuning dan biru).

 


Sumber: Bank Negara Malaysia

 


Sumber: Bank Negara Malaysia

 


Sumber: Bank Negara Malaysia

 

Kadar Pemalsuan Wang Kertas Palsu Pada Tahap Rendah

Selain itu BNM memaklumkan, kadar pemalsuan mata wang mencecah 0.3 bahagian bagi sejuta wang dalam edaran (0.3 parts per juta atau PPM) pada 2021.

Dalam kata lain, bagi setiap 10 juta keping wang tulen dalam edaran, hanya tiga keping adalah palsu.

Kadar ini merupakan rekod terendah negara kita dan juga jauh lebih rendah daripada kadar penanda aras pemalsuan antarabangsa sebanyak 15 PPM.

Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Mohd Shahar Abdullah menerusi laporan Berita Harian memaklumkan berdasarkan perangkaan BNM, kadar pemalsuan mata wang yang dikesan adalah 1.4 helai bagi setiap juta (ppm) pada 2016 dan 1.2 helai (2019) manakala separuh pertama 2020 ialah 1.0.

"Sekiranya wujud aduan mengenai edaran mata wang palsu, ia boleh dikemukakan kepada polis untuk siasatan lanjut," jelasnya.

 

Tangani Penggunaan Wang Palsu Tanggungjawab Bersama

Bagi membanteras penggunaan wang palsu, BNM meminta orang ramai memainkan peranan penting dengan membuat laporan polis jika menjumpai mata wang disyaki palsu selain tidak menyimpan atau membuang wang tersebut.

Ini akan membantu siasatan pihak berkuasa dalam membanteras pemalsuan mata wang.

BNM turut menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial.

Orang ramai juga disaran untuk mengesahkan maklumat yang diterima secara terus dengan pihak berkuasa seperti BNM.

 

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Gunakan Wang Palsu

Menurut BNM, seseorang individu yang disabitkan kesalahan memalsukan atau menggunakan mata wang palsu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Bagi kesalahan memiliki mata wang palsu pula, pesalah boleh dijatuhi hukuman sehingga 7 tahun untuk wang syiling dan 10 tahun untuk wang kertas.

 

KESIMPULAN

Penggunaan wang palsu bukan sahaja menjejaskan imej negara di mata dunia malahan boleh menghilangkan kepercayaan pelabur luar untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan mereka.

Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dengan menggunakan wang kertas tulen yang diiktiraf oleh pihak berkuasa seperti BNM.

Bagi mereka yang ragu-ragu dengan wang yang diterima, terus periksa dan gunakan kaedah yang disaran BNM.

Jika wang berkenaan benar-benar palsu, cepat-cepat lapor kepada pihak berkuasa, bukan sekadar ‘kecoh’ di media sosial ya!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok Shaffiq Zulkifle

  2. Kadar pemalsuan ringgit rendah, terkawal.Diterbitkan oleh Berita Harian

  3. Reading: My Ringgit - A new mobile app to learn about Malaysian banknotes by Bank Negara Malaysia Share: My Ringgit - A new mobile app to learn about Malaysian banknotes by Bank Negara Malaysia

  4. Langkah-langkah pengendalian mata wang Malaysia.Diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia



 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.