+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Video Tular Kesesakan Jalan Raya Yang Teruk Menjelang Aidilfitri 2022 BUKAN Berlaku Di Lebuhraya Utara Selatan, Tetapi Di Indonesia

Benarkah...

Berlaku kesesakan yang teruk di Lebuhraya Utara Selatan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri lepas.

Sumber : Facebook / April & Mei 2022

Hasil

Kejadian sebenar kesesakan lebuh raya itu berlaku di Indonesia pada Mac 2022.

01/06/2022 02:32 PM

Penyelidik : Dhurga Jagan, Pelatih Praktikal dari USM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu video kesesakan yang teruk di sebuah lebuh raya.
  • Kejadian itu didakwa berlaku di Lebuhraya Utara Selatan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri lepas.
  • Kejadian sebenar berlaku di Indonesia.

(Nota: Artikel ini adalah mengenai isu yang tular sebelum sambutan Aidilfitri 2022. MyCheck menyiarkan artikel ini sebagai arkib dan rujukan di masa depan.)

 


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Kebenaran merentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri Mei lepas menjadi khabar gembira tidak terperi buat umat Islam di Malaysia.

Berbaki seminggu Aidilfitri, seawal dinihari, anak perantauan mula membanjiri lebuh raya-lebuh raya di negara ini untuk pulang ke desa tercinta.

Biarpun orang ramai bergerak secara berperingkat, namun jumlah kenderaan yang banyak turut menyebabkan kesesakan sehingga beberapa hari.

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu akaun Facebook menggunakan nama Tawan Selangor telah memuat naik video dengan kapsyen ‘TRAFIK LEBUHRAYA UTARA SELATAN SESAK’.

Pada kapsyen berkenaan turut disertakan satu pautan ke portal Berita Harian.

Video tersebut yang dimuat naik pada 30 April 2022 mencetuskan kebimbangan ramai kerana turut disertakan pautan ke laporan Berita Harian bertajuk‘Trafik di lebuh raya ke Utara, Timur sesak’.

Selain Tawan Selangor, stesen radio tempatan, Sinar menerusi laman Facebooknya SINARdotmy turut memuat naik video kesesakan lebuh raya yang sama dengan kapsyen : ‘Sangat menyeramkan jem macam ni nak balik raya’.

Hantaran yang dimuat naik pada 28 April 2022 itu telah mendapat lebih 12,000 respons, 3,000 komen dan lebih 821,000 tontonan (setakat laporan ini ditulis - 1 Jun 2022).

Sehingga kini masih ada yang menonton video berkenaan.

Bahkan ramai yang menyuarakan kebimbangan sekiranya terpaksa melalui kesesakan seumpama itu untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha pada Julai nanti.

Benarkah anak perantau yang pulang ke utara berdepan jem yang sangat teruk itu? Jangan melulu, biar MyCheck semak dahulu.

 


Sumber: Facebook TawanSelangor

 


Sumber: Facebook SINAR

 

APA YANG KAMI TEMUI

Video Dengan Audio Wanita Berbahasa Indonesia

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti video berkenaan.

Sebaik video dimainkan, kami mendengar audio seorang wanita bercakap dalam bahasa Indonesia.

Antara butiran percakapannya ialah : “Masha Allah, seram bangat macet ini guys, parah bangat ini, lihat, luar biasa, sungguh menyeramkan, inikah weekend?”.

Butiran percakapan dalam bahasa Indonesia itu sudah cukup menimbulkan tanda tanya benarkah kesesakan itu berlaku di Malaysia dan adakah ia dirakam oleh seorang individu rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia?

 

Gambar Sama Ditemukan Di InVid

Bagi mencari maklumat lanjut, kami memainkan video itu beberapa kali untuk cuba mengenal pasti papan tanda atau sebarang mercu tanda yang dapat memberi petunjuk mengenai lokasi lebuh raya berkenaan.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana video dirakam dari aras tinggi, yang menyukarkan kami melihat sebarang papan tanda.

Bahkan bangunan dan sawah padi yang kelihatan dalam video itu juga tidak mudah untuk dicam dan diingati kecuali seseorang itu berulang-alik dengan kerap menggunakan lebuh raya berkenaan.

Untuk membantu pencarian, kami menggunakan enjin carian InVid.

Hasilnya kami menemukan pelbagai gambar yang menunjukkan imej sama dengan imej yang dirakam dalam video di Facebook Tawan Selangor dan Sinar itu.

 


Sumber: Keyframes dari InVid

 

Kesesakan Berlaku Di Indonesia

MyCheck meneliti gambar-gambar berkenaan dan apabila klik pada gambar, ia membawa kami kepada beberapa artikel dari Indonesia antaranya portal berita online Indonesia, Okezone.

Menurut artikel Okezone bertarikh 25 April 2022, kesesakan lebuh raya tersebut dirakam di Jalan Tol Jagorawi iaitu 34 kilometer ke arah Jakarta pada 27 Mac 2022.

Anda boleh baca selanjutnya di sini.

 


Sumber: Okezone

 

Turut menyiarkan artikel berkaitan isu sama adalah beberapa lagi portal berita Indonesia iaitu Berita Satu dan medcom.id yang kesemuanya menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku di Indonesia sebelum Ramadan.

 

Pautan Di Video ‘TawanSelangor’ Dan Kapsyen Radio Sinar Cetus Kekeliruan

Hasil semakan MyCheck jelas mendapati bahawa kesesakan di lebuh raya memang berlaku namun ia adalah di Indonesia, bukan di Lebuhraya Utara Selatan seperti yang didakwa.

Apa yang mencetuskan kekeliruan adalah kapsyen pada video TawanSelangor yang mendakwa kejadian itu berlaku di Lebuhraya Utara Selatan selain pautan ke portal Berita Harian yang menyiarkan artikel mengenai kesesakan di beberapa lebuh raya.

Artikel yang disiarkan Berita Harian itu langsung tiada kaitan dengan video tular.

Selain itu perkongsian video oleh Radio Sinar dengan kapsyen ringkas tanpa menyatakan lokasi sebenar kesesakan itu juga telah membuatkan ramai warganet percaya bahawa ia berlaku di Malaysia.

 


Sumber: Facebook SINAR

 

KESIMPULAN

Semua pasti tahu Malaysia berbilang kaum. Saban tahun bersilih ganti perayaan untuk disambut.

Jadi usahlah menyebarkan video dengan dakwaan yang tidak benar sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman meraikan perayaan masing-masing.

Selalu semat di minda, tak pasti, jangan kongsi.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1. Facebook Tawan Selangor

2.  InVid

3. Trafik di lebuh raya ke Utara, Timur sesak, berita harian

4.  4 Fakta Video Viral Macet Parah di Tol Jelang Mudik Lebaran,  OKEZONE

5. Soal Video Viral Macet, Ini Penjelasan Jasa Marga, Berita Satu

6. Facebook Sinar Malaysia

7. Viral Video Horor Kemacetan Arus Mudik Lebaran 2022, Begini Faktanya, Malay News Indonesia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.