+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Bukti Saintifik Sahkan MSG Jenama Ajinomoto Punca Pening Kepala, Darah Tinggi, Rambut Gugur Dan Kanser

Benarkah...

Bahan perasa Monosodium Glutamat (MSG) jenama Ajinomoto dikatakan memberi kesan kepada kesihatan antaranya pening kepala, keguguran rambut dan kanser.

Sumber :  WhatsApp / April 2022

Hasil

Penggunaan Ajinomoto diakui selamat oleh badan-badan keselamatan makanan antarabangsa.

02/06/2022 12:04 PM

SEKILAS FAKTA

  • Timbul dakwaan mengatakan bahan perasa MSG jenama Ajinomoto yang diletakkan dalam masakan berbahaya kepada kesihatan manusia.
  • Dikatakan bahan perasa itu boleh menyebabkan penyakit seperti kanser, pening kepala dan keguguran rambut.
  • Kebanyakan pihak berwajib mengenai keselamatan makanan antarabangsa telah mengkaji semula mengenai MSG dan mengesahkan ia adalah selamat untuk digunakan.  
  • Kandungan garam dalam MSG dikatakan lebih rendah berbanding sodium (garam)  biasa dengan nisbah 12 peratus garam dan 78 peratus glutamate. 
  • Tiada kajian klinikal yang mengaitkan penggunaan MSG dengan penyakit yang didakwa.

 


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Sebut sahaja Ajinomoto, semua pasti tahu kegunaannya sebagai pelengkap rasa.

Bagi kebanyakan individu, sesuatu masakan itu dikatakan seakan tidak ‘sempurna’ tanpa ditambah bahan perasa Ajinomoto.

Namun di sebalik ‘kelebihan’ Ajinomoto sebagai pelazat rasa, serbuk putih halus ini dikatakan masih menjadi tabu (taboo) kepada sesetengah masyarakat yang beranggapan penggunaannya hanya mendatangkan mudarat berbanding manfaat.

Ada juga berpendapat lebih elok jika menggunakan bahan perasa semula jadi seperti bawang dan ikan bilis serta ditambah secubit garam dan gula.

Mengapakah timbul perbezaan pendapat sedemikian, adakah masakan dengan menggunakan serbuk perasa Ajinomoto tidak baik dan memudaratkan kesihatan?

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: MyCheck

 

MyCheck menerima satu dakwaan mengatakan penambah perasa Ajinomoto memberi kesan mudarat kepada kesihatan manusia antaranya kepala menjadi cepat botak, berasa pening, cepat haus dan paling membimbangkan dikatakan penyebab kanser.

Sejauh mana kebenaran perkara ini, biar kami di MyCheck semak terlebih dahulu ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

Berdasarkan carian rawak menggunakan enjin Google, kami cuba mencari maklumat berkenaan dengan kata kunci ‘Kenapa Ajinomoto Bahaya’, ternyata memang ada maklumat sepadan yang kami jumpai menerusi laporan beberapa laman sesawang seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Google

 

Seterusnya kami meneliti setiap laman sesawang yang berkaitan dengan dakwaan itu bagi mengumpul maklumat yang kami perlukan.

 

Apakah Ajinomoto Dan Kandungannya?

Terlebih dahulu, kami semak maklumat berkaitan produk Ajinomoto untuk mengetahui kandungan yang digunakan dalam menghasilkan produk tersebut.

Menurut laman rasmi Ajinomoto produk tersebut merupakan sejenis bahan perasa yang dikenali sebagai MSG.

Penggunaan bahan ini amat popular dalam masakan untuk menyerlahkan lagi rasa ‘sedap’ sesuatu hidangan itu.

MSG sebenarnya ialah asid glutamik atau glutamat (sejenis asid amino), natrium dan air.

Glutamat ini juga boleh didapati secara semula jadi dalam makanan berprotein seperti daging, sayur-sayuran, hasil ternakan, dan susu. MSG dihasilkan melalui proses penapaian seperti membuat tapai, cuka dan yogurt.

Proses menghasilkan Ajinomoto bermula dengan penapaian ubi kayu atau tebu, diikuti dengan proses peneutralan dan penghabluran. Produk akhir merupakan kristal putih tulen yang mudah larut dalam makanan.

 

Penggunaan MSG Adalah Selamat

Syarikat Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) telah berulang kali mengesahkan keselamatan produk MSG yang mendapat kelulusan badan kawal selia dan saintifik yang lain dari seluruh dunia, termasuk Persatuan Perubatan Amerika (AMA), Jawatankuasa Saintifik Komuniti Eropah Untuk Makanan (SCF), dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO).

Komiti JECFA atau Aditif Makanan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah mengkaji semula mengenai MSG dan telah mengiktiraf MSG sebagai selamat untuk digunakan sama seperti gula, serbuk penaik, garam dan lada.

FDA turut mengklasifikasikan MSG di bawah kategori tiada had bagi penggunaan MSG sebagai bahan penambah perisa kerana badan-badan saintifik dan peraturan JECFA yang meletakkan MSG dalam kategori paling selamat iaitu ‘Pengambilan Harian Boleh Diterima (ADI)’ dan termasuk dalam kategori bahan yang tidak ditetapkan kadar had pengambilannya berdasarkan data kajian saintifik.

Tambahan pula, MSG adalah bahan perisa yang mempunyai sifat “Self-Limiting”.

Apabila jumlah yang betul telah digunakan semasa memasak, penambahan yang selebihnya hanya menyumbang sedikit atau tidak langsung kepada rasa makanan.

Malah, menambah terlalu banyak MSG boleh menyebabkan penurunan dalam kesedapan dan adalah membazir dari segi ekonomi.

 

Lebih Baik Daripada Garam?

Seterusnya kami menjumpai dakwaan yang mengatakan penggunaan MSG lebih baik daripada menambah garam ke dalam masakan.

Portal berita Sinar Harian melaporkan tular bebenang di Twitter yang menyatakan MSG lebih baik berbanding garam.

Seterusnya kami cuba menjejaki bebenang yang  dimaksudkan di laman Twitter dan menjumpai perbincangan seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: Twitter

 

Seorang pengguna akaun Twitter dengan nama @JazeeraJulaili yang mendakwa dirinya sebagai pakar pemakanan menghantar ciapan mengatakan kandungan garam dalam MSG lebih rendah berbanding sodium biasa dengan nisbah 12 peratus garam dan 78 peratus glutamate. Ciapan beliau mendapat 7,181 tanda suka dan 4,114 ulang ciap daripada pengikutnya di laman tersebut.

Menurut portal Neuroversiti yang memetik laporan seorang doktor perubatan Dr Rizal Abu Bakar, orang ramai seringkali memikirkan bahawa MSG lebih berbahaya kerana menyebabkan dahaga, darah tinggi, keguguran rambut, kanser serta menipu deria rasa.

Namun berdasarkan kajian dan pandangan daripada pakar-pakar kimia, MSG sebenarnya tidaklah berbahaya seperti yang diuar-uarkan.

Menurut Dr Rizal juga, MSG boleh menambah pengambilan nutrisi dengan cara meningkatkan selera makan terutama bagi warga emas dan kanak-kanak.

Kajian juga mendapati MSG mampu menggantikan garam dan gula dari segi penggunaan iaitu sebanyak 30 peratus.

MSG boleh seimbangkan rasa masin dan manis dalam masakan serta tidak perlu ditambah garam atau gula lagi.

 

Faktor Utama Penyakit Darah Tinggi, Rambut Gugur Dan Kanser

Tidak berhenti setakat itu, kami mencari punca utama penyakit darah tinggi, rambut gugur dan kanser serta sebab yang mengaitkannya dengan MSG atau Ajinomoto.

Menurut portal My Health My Life punca utama seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi adalah disebabkan gabungan beberapa faktor iaitu pengerasan saluran darah disebabkan proses penuaan, keadaan persekitaran yang tidak sihat dan kurang bersenam.

Faktor lain seperti dalam gambar di bawah.

 


Sumber: portal myhealthmylife

 

Menurut portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia pula, punca rambut gugur antaranya disebabkan masalah hormon, kesan sampingan ubatan, keturunan, jangkitan dan mereka yang menghidap penyakit auto imun iaitu liang rambut dimusnahkan oleh sel pesakit sendiri.

Bagi penyakit kanser pula, seorang doktor perubatan menerusi portal peribadinya delfadzil.blogspot menjelaskan punca utama kanser ialah merokok, genetik, jangkitan kuman, diet tinggi garam, kesan radiasi, imun rendah dan faktor persekitaran.

Selain itu Homage, sebuah portal perkhidmatan penjagaan pesakit kronik di Malaysia turut menjelaskan bahawa punca kanser adalah dipengaruhi pemakanan seperti daging merah dan ikan masin yang dikelaskan sebagai antara yang bersifat karsinogenik kepada manusia, makanan yang dijeruk, makanan berminyak serta bergoreng, makanan manis, alkohol dan tembakau.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semua maklumat yang kami kumpul, tidak terdapat bukti saintifik yang berasas bagi mengaitkan penggunaan Ajinomoto atau MSG jenama lain dalam masakan menjadi punca beberapa penyakit seperti yang didakwa.

Kebanyakan maklumat yang kami rujuk menjelaskan status produk MSG atau Ajinomoto diakui selamat serta disokong oleh badan-badan antarabangsa.

Malah di negara ini, Akta dan Peraturan Makanan 1985 mengklasifikasi MSG sebagai penambah perisa makanan yang dibenarkan.

Apa juga alasannya, kita sendiri tentukan produk makanan apa yang ingin kita ambil.

Tips yang kami peroleh dari Neuroversiti ialah patuhi sukatan yang digariskan pada produk, kurangkan makanan ringan dan makanan segera yang tinggi kandungan garam, kurangkan makan di kedai kerana kita tidak tahu berapa banyak sukatan, garam, gula mahupun MSG yang digunakan dan kurangkan makanan yang diawet atau dijeruk.

Selain itu kurangkan juga jumlah bahan perasa seperti sos tiram, sos tomato, sos cili dan kiub perasa ketika memasak.

Rasa tawar sedikit tidak mengapa atau nikmatilah keaslian rasa asli rempah-ratus, bawang dan lain-lain.

Kesimpulannya MSG atau Ajinomoto itu selamat dimakan, yang penting berpada-pada dalam penggunaannya kerana apa jua perkara yang berlebih-lebihan pasti ada mudaratnya.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Ajinomoto. Antara Mitos Dan Kebenaran Mana Satu Yang Nak Ikut?

  2. Punca Rambut Gugur Dan 12 Makanan Atasi Masalah Dari Berulang 

  3. Syida Menulis: 7 PUNCA RAMBUT GUGUR 

  4. MSG Penyebab Rambut Gugur?... - Hair Transplant Solutions

  5. Mari kenali MSG/Ajinomoto..SELAMAT UNTUK DIMAKAN! 

  6. Mengenai Keselamatan & Faedah MSG | Ajinomoto Malaysia   

  7. Ramai takut guna Ajinomoto dalam masakan, sedangkan dakwaan ia menyebabkan masalah kesihatan hanyalah mitos | The Reporter 

  8. Serbuk Pati Ayam Dan Ajinomoto Tu Samalah Weh......Bahan Perasa. 

  9. Ajinomoto. Antara Mitos Dan Kebenaran Mana Satu Yang Nak Ikut? - Resipi - Trending - Resipi - Rasa 

  10. Monosodium Glutamat (MSG) Racun Yang Sedap ? | MajalahSains 

  11. Monosodium glutamat (Ajinomoto) apa itu, kesan dan bagaimana untuk digunakan (Diet dan Pemakanan) 

  12. Ajinomoto : anda guna atau tidak – Rentas Asia 

  13. Facebook Pesanbonda 

  14.  MSG lebih baik berbanding garam, ini fakta menarik yang perlu kita tahu | Sinar Harian 

  15. Punca-punca tekanan darah tinggi | My Health My Life 

  16. Tekanan Darah Tinggi / Hipertensi - PORTAL MyHEALTH 

  17. Twitter JazeeraJulaili 

  18. Garam VS Monosodium Glutamat (MSG) – NEUROVERSITI 

  19.  delfadzil.blogspot.com 10-punca-berlaku-kanser 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.