+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

PDRM Sahkan Belum Ada Kes Penipuan ‘Sim Swap’ Di Malaysia Setakat Ini

Benarkah...

Satu penipuan melalui telefon dikenali sebagai Sim Swap Fraud dikatakan sudah berlaku di Malaysia.

Sumber : Facebook  / Mei 2022

Hasil

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan belum ada kes dilaporkan di Malaysia setakat ini.

03/06/2022 02:02 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tersebar satu hantaran di WhatsApp menyatakan penipuan berteknologi tinggi dikenali sebagai Sim Swap Fraud kini berlaku di Malaysia.
  • PDRM mengesahkan dakwaan taktik penipuan baharu yang dikenali Sim Swap di Malaysia adalah palsu.
  • Dakwaan adalah mesej kitar semula kerana pernah tular pada awal tahun ini.
  • Di Malaysia penipuan yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar. 


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Berita mengenai penipuan dalam talian acap kali kedengaran.

Pelbagai jenis kes penipuan dalam talian antaranya Macau Scam, penipuan pinjaman, pelaburan, Love Scam dan sebagainya.

Menurut statistik CyberSecurity Malaysia di MyCERT, sebanyak 2,323 kes penipuan dalam talian telah berlaku di Malaysia setakat April 2022. 

Kami kongsikan graf daripada MyCERT seperti di bawah.

Terjemahan: Statistik Laporan Kejadian (Penipuan Internet) mengikut kes bagi Januari hingga April 2022

 


Sumber :MyCERT

 

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa yang terpedaya dengan helah ini terdiri pelbagai peringkat umur dan pekerjaan.

Modus operandi digunakan dalam usaha memanipulasi mangsa antaranya termasuk ugutan dan tekanan.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: WhatsApp

 

Tersebar satu hantaran di WhatsApp menyatakan satu penipuan berteknologi tinggi sedang berlaku kini yang telah mengakibatkan kerugian kepada orang ramai.

Hantaran yang berstatus forwarded ini mendakwa seseorang telah menerima panggilan daripada pihak tertentu yang bertanyakan tentang status vaksin.

Pemanggil berkenaan meminta pihak yang dihubungi untuk menekan nombor satu jika sudah menerima suntikan vaksin dan dua jika belum.

Selepas menurut arahan dengan menekan nombor satu, telefon (talian) telah disekat dan maklumat perbankan dalam talian telah dipindahkan.

Hantaran tersebut turut mendakwa penipuan berteknologi tinggi ini dikenali sebagai Sim Swap Fraud.

Wujudkah penipuan jenis ini? Jom MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Sim Swap Fraud

Menurut European Union Agency for Cybersecurity, penipuan Sim Swap ini telah dilaporkan sejak 2017 lagi.

Sim yang dimaksudkan adalah kad sim yang terdapat dalam telefon bimbit kita. Manakala swap pula bermaksud penukaran.

Sebenarnya, prosedur Sim Swap ini memang wujud bagi sebab-sebab yang sah (valid) seperti masalah kad sim yang rosak atau hilang.

Selain itu, sim swapping ini juga digunakan untuk menghubungkan telefon bimbit dengan sim yang berbentuk eSIM. Penggunaan eSIM ini sedang meningkat naik di luar negara kini.

 

Jadi Bagaimana Ia Berlaku?

Pemangsa akan mengumpul maklumat mangsa melalui media sosial dengan menggunakan teknik memancing data (phishing) dan lain-lain.

Seterusnya, pemangsa akan menghubungi pembekal perkhidmatan dan menyamar sebagai mangsa.

Pemangsa akan meminta pihak pembekal perkhidmatan untuk menukar nombor telefon mangsa kepada kad sim yang terdapat di telefon bimbit milik pemangsa dengan menggunakan alasan kad sim mereka rosak atau hilang.

Apabila penyamaran itu berjaya, telefon bimbit milik mangsa akan kehilangan sambungan ke rangkaian dan mangsa tidak dapat membuat atau menerima panggilan telefon.

Sebaik sahaja ini berlaku, pemangsa mempunyai kawalan ke atas nombor telefon mangsa termasuklah dapat mengases kod akses akaun mangsa.

Proses ini juga dijelaskan melalui infografik di bawah.

 


Sumber: Security National Bank

 

Video mengenai penipuan ini juga boleh ditonton di sini. Risau? Jom kita tengok apa komen PDRM.

Belum Ada Kes Yang Berlaku Di Malaysia

Berita Harian pada 15 Januari melaporkan PDRM mengesahkan dakwaan taktik penipuan baharu yang dikenali Sim Swap di Malaysia adalah palsu.

"Itu semua maklumat palsu dan tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi berkenaan," menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din yang dipetik dalam laporan itu.

Mohd Kamarudin turut menasihati orang ramai untuk berhenti menyebarkan maklumat tidak benar bagi mengelak kegusaran awam.

Menurut beliau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana balai polis berdekatan.

 

Akaun Boleh Diakses Melalui Cara Lain

PDRM menjelaskan walaupun tiada kes Sim Swap di Malaysia, namun di Malaysia apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar.

Fail ini dikatakan mengandungi aplikasi berbahaya iaitu apabila pengguna memuat turun aplikasi tersebut, penjenayah akan dapat mengakses data mengenai perbankan Internet milik mangsa dan kemudiannya digunakan untuk memindahkan wang.

Berita ini juga disiarkan di portal berita The Star.

 

KESIMPULAN

MyCheck menghadapi sedikit kesukaran dalam penghasilan laporan ini kerana kami dapati kurangnya sumber rujukan yang dihasilkan dari Malaysia.

Jadi, sebagai inisiatif kami berpandukan artikel dan poster dari luar negara sebagai rujukan.

Oleh itu, adalah baiknya jika pihak-pihak yang tertentu dapat memperbanyakkan bahan kesedaran berkaitan penipuan dalam talian untuk rujukan warga Malaysia.

Berbalik kepada kes penipuan Sim Swap ini, walaupun ia belum dilaporkan di Malaysia, namun kita perlu sentiasa berwaspada.

Jangan senang hati kerana pemangsa akan mencuba berbagai cara untuk memperdaya kita.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. MyCERT “Statistik Laporan Kejadian (Penipuan Internet) mengikut kes bagi tahun 2022

  2. Majlis Keselamatan Negara (MKN) “Waspada dengan modus operandi penipuan dalam talian” 

  3. European Union Agency for Cybersecurity “ Beware of the Sim Swapping Fraud!” diterbitkan pada 6 Disember 2021.

  4. YouTube “ How SIM Swapping Works” diterbitkan pada 31 Ogos 2019

  5. Berita Harian “Taktik penipuan Sim Swap tidak wujud” diterbitkan pada 15 Januari 2022

  6. The Star “ Bukit Aman denies existence of 'SIM swap' scam in the country” diterbitkan pada 16 Januari 2022. 

  7. Norton “What is SIM swapping? SIM swap fraud explained and how to help protect yourself”. 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.