+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Air Minuman Jenama Delaffe Dari Korea Selatan Tiada Pengiktirafan Halal Jakim

Benarkah...

Air minuman jenama Delaffe yang dijual di kedai serbaneka francais Korea, CU Mart adalah tidak halal.

Sumber : Twitter / 2021 & 2022

Hasil

Minuman berkenaan tidak mendapat pengiktrafan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana mengandungi alkohol.

07/06/2022 02:52 PM

Penyelidik : Puti Iylia Maisarah Zol Azman, Pelatih Praktikal dari UiTM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di laman sosial satu hantaran pengguna Twitter mendakwa air minuman jenama Delaffe yang dijual di kedai serbaneka CU Mart tidak halal dan mengandungi alkohol.
  • Delaffe yang mempunyai lapan perisa, merupakan produk minuman paket yang diimport dari negara Korea Selatan.
  • Paket minuman yang dijual didapati tidak mempunyai logo halal Jakim.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Satu ketika dulu penggemar makanan Korea di Malaysia perlu ke Korea untuk menikmati makanan dan minuman negara itu.

Namun kini, makanan dan minuman Korea senang didapati di seluruh Malaysia terutama di Lembah Klang.

Pembukaan cawangan pelbagai jenis restoran dan kedai serbaneka dari Korea juga membolehkan peminat drama korea atau K-Drama dan muzik K-Pop merasai makanan yang sering dilihat di kaca televisyen.

Terbaharu, kedai serbaneka yang popular di Korea Selatan sejak zaman 90-an iaitu CU Mart, telah dibuka di Malaysia dengan menjual pelbagai hidangan termasuk minuman dan makanan ringan dari negara mereka.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial Twitter seorang pengguna akaun menggunakan nama Nana Wawa mendakwa produk minuman jenama Delaffe keluaran Korea Selatan yang dijual di kedai serbaneka CU Mart mengandungi kandungan spirit (arak).

Kapsyen yang disertakan dengan gambar berkenaan adalah seperti berikut:

"Skrg tgk story masih ramai org Islam minum Delaffe kt CU Mart ni.

Air ni sebenarnya ada spirit (Arak) kecuali coffee. Pekerja diorang tak alert ke pasal ni?

Kesian orang Islam kita kene tipu."

Hantaran yang dikongsi oleh pengguna Twitter Nana Wawa dimuat naik pada 23 November 2021 telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Sehingga tahun ini, minuman jenama Delaffe ini masih heboh diperkatakan dan masih ramai yang mempersoalkan status halal produk berkenaan.

Seorang pengguna Twitter menggunakan nama Shuhadasam turut berkongsi pendapat bahawa ramai yang membeli minuman Delaffe tanpa mengesahkan kandungannya sama ada halal atau tidak.

 


Sumber: Twitter

 

APA KAMI TEMUI?

Tiada Sebarang Logo Halal

MyCheck mulakan semakan menggunakan enjin Google. Taip sahaja ‘Delaffe’, terpapar banyak gambar minuman berkenaan dalam pelbagai jenis.

Namun, kami tidak dapat melihat paket air minuman itu dengan lebih terperinci, jadi MyCheck mengambil inisiatif untuk ke CU Mart bagi melihat dan meneliti minuman itu dengan lebih dekat.

Cawangan CU Mart yang kami kunjungi adalah di Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur.

Perkara pertama yang kami cari adalah logo halal.

Hasil penelitian kami mendapati tiada sebarang logo halal tertulis pada paket minuman itu sama ada dari Jakim atau badan pensijilan halal lain yang diiktiraf Jakim.

 


Sumber: MyCheck

 

Pelbagai Perisa

MyCheck mendapati air minuman tersebut mempunyai lapan perisa iaitu Watermelon Ade, Plum Ade, Peach Iced Tea, Blue Lemon Ade, Green Grape Ade, Hazelnut Flavour Coffee, Americano Sweet dan Black Americano.

Selain itu, minuman ini merupakan antara produk yang laris di kedai serbaneka itu.

 

Tulisan Dalam Bahasa Korea

MyCheck cuba untuk melihat kepada senarai bahan-bahan yang terdapat pada bungkusan air tersebut, namun malangnya ia ditulis dalam bahasa Korea.

Bagi menyelesaikan masalah ini, kami menggunakan aplikasi Google Lens bagi membantu kami membaca terjemahan bahasa Korea tersebut.

 

Terdapat Perkataan Alkohol Pada Kandungan Minuman

Melalui Google Lens, kami dapati terdapat perkataan alkohol pada salah satu minuman Delaffe perisa hazelnut.

Namun, apabila dilihat pada kandungan yang ditampal dalam bahasa Inggeris, kami dapati  penggunaan perkataan alkohol tidak pula diletakkan secara terperinci (pelekat ini digunakan apabila minuman diimport masuk ke Malaysia).

 


Sumber: MyCheck

 

Namun, ada dakwaan yang mengatakan terdapat perkataan 주정 atau jojeong yang membawa maksud spirit atau alkohol. Dakwan ini diambil daripada hantaran video Tiktok @Zetybaik.

MyCheck menelusuri kamus bahasa Korea Naver bagi mengetahui dengan lebih lanjut maksud perkataan itu.

 


Sumber: TikTok

 

Video di TikTok ini turut mendakwa kesemua perisa air minuman jenama berkenaan seperti Hazelnut Coffee, Peach Iced Tea, Plum Ade, Blue Lemon Ade, Green Grap Ade dan Watermelon Ade mempunyai kandungan spirit manakala hanya Americano Sweet dan Black Americano tidak mengandungi alkohol.

 


Sumber: MyCheck

 

Oleh itu, kami meneliti kandungan yang ada pada air minuman Delaffe perisa Black Americano dan Sweet Americano, hasilnya kami tidak menemui perkataan alkohol yang tertera di kedua-dua paket minuman ini.

Jadi, kami dapati benarlah dakwaan tersebut.

 

Maksud Spirit Dalam Minuman

MyCheck terus membuat carian rawak dalam talian menggunakan kata kunci ‘Spirit dalam minuman’ dan kami menemukan maksud spirit yang terkandung dalam minuman itu.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), spirit ialah cairan yg mengandungi alkohol yang mudah menyejat atau terbakar, ia juga diklasifikasikan sebagai campuran etanol dan metanol yang boleh digunakan sebagai bahan api dan pelarut.

 

Apa Pula Kata Jakim?

Isu halal dan haram antara perkara yang sering MyCheck terima untuk disemak.

MyCheck juga sentiasa menghubungi pihak Jakim untuk mendapatkan maklumat dan pengesahan lanjut selain membuat semakan di portal jabatan berkenaan.

Bahkan dalam laporan MyCheck bertajuk ‘Biskut Digestive Jenama Mcvitie’s Tiada Pengiktirafan Halal Jakim’ yang disiarkan pada 7 April 2022 juga ada terdapat penjelasan lanjut berhubung status halal ini.

MyCheck kongsikan kembali kenyataan Jakim dalam laporan itu di bawah subtopik APA KAMI TEMUI :

Pihak Jakim memaklumkan, pengesahan produk halal di negara ini adalah berasaskan logo halal yang tertera pada bungkusan sesuatu produk di pasaran.

Jelas Jakim, jika sesuatu produk itu mempunyai logo halal pada pembungkusannya, pengguna boleh membuat pengesahan lanjut dengan menyemak nama syarikat yang tertera pada produk itu menerusi laman web www.halal.gov.my.

Namun, sekiranya produk itu tidak mempunyai sebarang logo halal pada pembungkusannya, semakan melalui portal itu tidak perlu dilakukan kerana ia bermaksud produk berkenaan bukan pemegang sijil halal.

Bagaimanapun perlu diingat bahawa logo halal pada bungkusan sahaja tidak mencukupi jika status halal sesuatu produk itu sudah ditarik balik atau tamat tempoh.

Maka sebagai pengguna bijak, sebelum membeli pastikan terdapat logo halal terlebih dahulu dan buat semakan di laman web Jakim bagi menentusahkan yang produk tersebut masih pemegang sijil halal yang sah.

Jika tiada sebarang logo yang tertera pada bungkusan produk maka adalah dinasihatkan untuk tidak membelinya.”

Berdasarkan penelitian MyCheck sendiri di CU Mart, memang tiada sebarang logo halal tertera pada paket minuman berkenaan.

 

Kenyataan CU Mart

Dalam mencari jawapan daripada pihak CU Mart sendiri, kami menemui beberapa hantaran yang dikongsi oleh warganet berkenaan jawapan CU Mart terhadap isu halal air minuman Delaffe yang dijual. 

 


Sumber: Twitter

 

Seorang pengguna Twitter dengan nama Euqilaysia telah menghantar mesej kepada CU Mart mengenai status halal produk berkenaan.

Berdasarkan hantaran yang dikongsi, pihak CU Mart masih dalam proses permohonan bagi mendapatkan sijil halal dan bahan produk yang dikeluarkan menggunakan bahan dan kandungan segar daripada kilang yang diiktiraf halal.

Bagaimanapun, CU Mart ada menyatakan bahawa tidak semua produk yang dijual di rak snek dan minuman ringan dari Korea adalah halal.

 

KESIMPULAN

Apabila melibatkan isu halal dan haram sesuatu makanan, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk memastikan apa yang dimakan berasal daripada sumber yang halal.

Majoriti penduduk Malaysia yang kebanyakannya adalah umat Islam juga perlu cakna terhadap aspek kandungan pemakanan agar kita tidak salah informasi.

Semak dahulu jika ragu, elak sebar yang palsu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter UNawwa

  2. TikTok @Hellohelmi

  3. TikTok @Zetybaik

  4. kclub.uitm

  5. CU Mart akui minuman delaffe tidak mengandungi halal  The Rakyat Post

  6. Baverage and industrial use, European Renewable Ethanol

  7. Hukum Pewarna Makanan 20 peratus alkohol, pejabat mufti wilayah persekutuan

  8. Twitter nhzlzanah

  9. Twitter NrShafawany

  10. Twitter Shuhadasam

  11. Dongseo Wellbeing Corporation 

  12. Nice to CU halal ke tak 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.