+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Garam BOLEH Kurangkan Rambut Gugur Tetapi Guna Dalam Kuantiti Sedikit

Benarkah...

Garam masakan boleh membantu mengawal kadar keguguran rambut.

Sumber : Twitter / Jun 2022

Hasil

Serbuk putih halus itu boleh membasmi kuman dan bagus untuk rambut tetapi ia perlu digunakan dalam kuantiti yang sedikit.

10/06/2022 11:51 AM

Penyelidik : Atira Khalisha Nor Adnan, Pelatih Praktikal dari UiTM 

SEKILAS FAKTA

  • Garam dikatakan boleh mengurangkan masalah rambut gugur.
  • Menurut pakar cara mudah itu berkesan tetapi garam perlulah digunakan dalam kuantiti yang sedikit.
  • Kajian mendapati kira-kira 20 hingga 30 peratus syampu di pasaran turut mengandungi garam atau nama saintifiknya ‘sodium chloride’.
  • Namun, penggunaan garam berlebihan boleh menyebabkan rambut menjadi kusut dan kering serta keguguran rambut yang lebih teruk.

 


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Rambut bagaikan mahkota berharga buat setiap individu terutama wanita. Rambut yang sihat mampu membuatkan seseorang itu tampil lebih yakin.

Namun, ada juga individu berhadapan dengan masalah keguguran rambut yang teruk sehingga menjejaskan penampilan dan mengganggu kehidupan seharian sehingga terpaksa berhabisan wang ringgit bagi mencari ‘penawar’nya.

Ada juga yang mencuba cara tradisional seperti menggunakan garam yang lebih mudah dan murah namun kesannya dikatakan setanding seperti menggunakan produk rambut yang dijual di pasaran.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tersebar beberapa ciapan di media sosial Twitter dan blog mengenai manfaat garam masakan dalam mengatasi masalah keguguran rambut.

Ciapan berkenaan dibuat oleh pemilik akaun menggunakan nama Jai.

Letak garam dalam shampoo yg kau memang guna sekarang. Ramai cakap helok beb. Jenis yg botak tengah ke boleh tumbuh and kurang rambut gugur,”. menurut Jai.

 


Sumber: Twitter dan blog keluarga.my

 

Bukan itu sahaja, terdapat juga dakwaan menyatakan penggunaan bahan masakan ini boleh menyingkirkan kelemumur, membuatkan rambut lebih segar dan dapat mengawal minyak berlebihan.

Memandangkan garam merupakan bahan yang mudah didapati, ramai individu sudah mencuba tips ini kerana dikatakan hanya memerlukan kos yang rendah dan hasil diinginkan juga cepat.

Benarkah garam boleh membantu mengembalikan keserian rambut seseorang dan tidak memudaratkan pengguna? Mari MyCheck semak.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Hasil carian di media sosial, penggunaan garam masakan untuk menguatkan rambut pernah dikongsikan pada 2017 oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Siti Zubaidah.

Bagaimanapun, kami tidak lagi menjumpai hantaran asal pemilik akaun tersebut dan hanya menemui akaun Saya Orang Johor yang berkongsikan tips berkenaan yang dikatakan diambil daripada Facebook Siti Zubaidah.

Hantaran tersebut telah mendapat respons ramai iaitu lebih 2,900 komen, 2,600 perkongsian dan 4,200 tanda suka (setakat laporan ini ditulis - 9 Jun 2022).

 


Sumber: Facebook

 

Kemudian, menggunakan enjin carian Google, MyCheck turut menemukan artikel yang turut berkongsi tentang manfaat garam untuk rambut.

 


Sumber: Google

 

Menggunakan carian rawak dengan kata kunci ‘garam rambut gugur’ di Twitter pula, terdapat banyak maklumat sama mengenai cara penjagaan rambut menggunakan garam.

Antara ciapan yang mendapat respons ramai ialah daripada @NaufalAntezem iaitu 4,984 perkongsian, 65 respons dan 3,555 tanda suka (setakat laporan ini ditulis - 9 Jun 2022).

Pengguna Twitter berkenaan turut berkongsi cara penggunaan garam bagi mendapatkan hasil diinginkan.

 


Sumber: Twitter

 

Rata-rata warganet mempersoalkan keberkesanannya namun ada juga yang sempat berkongsi kesan positif menggunakan garam di ruangan komen.

Semakan lanjut mendapati tips ini turut diguna pakai di negara luar termasuk Indonesia.

Anda boleh baca tips berkenaan antaranya di laman blog Nakita.

Meskipun tips penjagaan rambut ini sudah tersebar luas dan artikel mengenainya diterbitkan oleh beberapa laman blog seperti Loved by curls, Maskulin dan Keluarga, keberkesanannya masih menjadi tanda tanya kerana belum ada ulasan pakar rambut terhadap kesan jangka panjang penggunaannya.

 

Apa Punca Rambut Gugur?

Menurut portal My HEALTH,  kira-kira 100 helai rambut individu boleh gugur dalam sehari mengikut kitaran.

Namun jika keguguran rambut berlaku secara luar biasa sehingga kelihatan tipis dan botak, pasti ada yang tidak kena.

Punca yang seringkali dikaitkan dengan keguguran rambut termasuklah penggunaan produk rambut yang salah, pemakanan, stres, perubahan hormon, kesan ubat-ubatan dan faktor keturunan.

Namun bagi kaum lelaki, 90 peratus punca keguguran rambut berpunca daripada keturunan.

Jika ada salah seorang daripada anggota keluarga mempunyai masalah rambut, 50 peratus daripada generasi tersebut akan turut mengalaminya manakala jika tidak ada yang menghadapi masalah sedemikian, peluang keguguran rambut adalah kira-kira 20 peratus.

Public Health Malaysia melalui perkongsian di Facebooknya ada berkongsi tentang cara menguji masalah rambut gugur supaya masyarakat cakna dengan masalah yang dihadapi.

 


Sumber: Facebook

 

Apa Pula Kata Pakar?

MyCheck berjaya mendapatkan respons daripada doktor pemulihan rambut bagi mengulas dakwaan ini.

Menurut Doktor Aly Alias Stephen Nah yang telah menceburi bidang ini lebih daripada 10 tahun, garam masakan adalah bagus untuk mengurangkan aktiviti mikrob bagi membasmi kuman yang mana ia boleh menggalakkan rambut menjadi lebih elok.

Bahkan, kira-kira 20 hingga 30 peratus syampu di pasaran juga mengandungi garam dengan menggunakan nama saintifik ‘sodium chloride’.

MyCheck turut meneliti dua jenis syampu yang berlainan jenama dan mendapati memang terdapat perkataan ‘sodium chloride’ pada bahagian kandungan (ingredients) di belakang kedua-dua botol syampu berkenaan seperti gambar di bawah.

 


Sumber: MyCheck

 

Namun Dr Aly Alias menjelaskan rambut boleh menjadi kusut dan kering sekiranya garam digunakan dalam kuantiti berlebihan seterusnya boleh menyebabkan keguguran rambut.

Jadi dengan memasukkan garam ke dalam syampu dengan kerap bukanlah langkah yang bijak dan boleh menimbulkan masalah lain.

 

Cara Atasi Masalah Rambut Gugur

Omega-3 sangat bagus terutama untuk kaum wanita kerana kebanyakan kandungannya datang daripada ikan yang menghasilkan minyak seperti salmon, kod dan jelawat. Ia bagus untuk menggalakkan rambut menjadi lebih sihat dan membantu keseimbangan hormon.

Bagaimanapun, ikan jenis ini dikatakan agak mahal harganya.

Justeru orang ramai digalakkan membeli suplemen omega-3 yang boleh didapati di pasaran bagi mendapatkan zat-zat yang serupa.

Selain itu, cara penjagaan rambut mestilah betul iaitu hanya membasuh rambut menggunakan syampu secara selang sehari kerana dikhuatiri bahan kimia yang terdapat di dalam sesuatu produk syampu itu terlalu kuat.

Kita juga dibolehkan untuk membasuh rambut setiap hari tetapi hanya dengan air sahaja tanpa menggunakan apa-apa produk iaitu dimulakan dengan air suam dan diakhiri dengan air sejuk.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan semakan, kebanyakan syampu terutamanya syampu semula jadi mengandungi garam namun dalam kuantiti yang sedikit.

Rambut perlulah dijaga sebaik mungkin supaya tidak rosak dan menelan kos rawatan yang lebih banyak kelak.

Jika rambut kering, adalah dinasihatkan untuk menggunakan perapi, serum dan masker rambut.

Sekiranya keguguran rambut berlaku secara luar biasa pula, sila dapatkan nasihat pakar agar mahkota berharga anda dapat diselamatkan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Campur Bahan Ini Waktu Bersyampu, Petua Berkesar Atasi Rambut Gugur, Gatal & Kelemumur

  2. Petua Guna Air Garam Rupanya Boleh Atasi Rambut Gugur, Berminyak & Berkelemumur!

  3. Garam Dalam Syampu Dah Jadi Trend Baru, Ini 4 Sebab Kenapa Ramai Sangat Yang Suka!

  4. Manfaat Garam untuk Rambut Ternyata Bisa Berikan Perubahan Luar Biasa Ini, Sayang Banget Kala Sampai Dilewatkan

  5. 12 Punca Rambut Gugur Bagi Lelaki & Wanita Yang Anda Perlu Tahu

  6. Rambut Gugur

  7. Tujuh (7) Punca Rambut Gugur Yang Wajib Semua Wanita Tahu

  8. Does Sea Salt Work For Hair Loss? (How To Use)

  9. Guna Garam Jika Mahu Atasi Masalah Rambut Gugur

  10. Benarkah Keramas Pakai Garam Bermanfaat Untuk Rambut? Ini Kata Riset

  11. Manfaat Garam untuk Rambut Bebas Ketombe Serta Risiko Bahaya Pengguaannya

  12. Facebook Saya Anak Johor

  13. Twitter NaufalAntezem

  14. Twitter Jai

  15. Facebook Public Health Malaysia

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.