+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

IMF Tidak Pernah Keluarkan Kenyataan Malaysia Bakal Alami Dilema Ekonomi Dan Miliki Hutang Kedua Terbesar Di Asia Selepas Sri Lanka

Benarkah...

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) beri amaran bahawa Malaysia berada dalam dilema ekonomi yang besar dan menjadi negara yang mempunyai hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka. 

Sumber : Twitter & Facebook / Jun 2022

Hasil

IMF tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan isu tersebut. 

17/06/2022 06:37 PM

Penyelidik : Nik Nur Najla Nik Zaid, Pelatih Praktikal dari UiTM 

SEKILAS FAKTA

  • Tular hantaran di media sosial mendakwa IMF memberi amaran bahawa Malaysia berada dalam dilema ekonomi yang besar dan menjadi negara yang mempunyai hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka. 
  • Dakwaan tersebut dibuat oleh seorang pengguna Facebook yang bernama Zafrul Ismail tanpa fakta dan bukti yang kukuh.
  • IMF tidak pernah mengeluarkan kenyataan Malaysia bakal menghadapi dilema ekonomi seperti yang didakwa.
  • Malah IMF menyatakan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.75 peratus pada 2022.

 


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Apabila negara dilanda krisis ekonomi, rata-rata penduduk Malaysia akan berasa risau dan gelisah kerana ia merupakan sesuatu sektor yang besar yang mana ia melibatkan kemajuan ataupun kejatuhan sesebuah negara.

Selain negara berdepan masalah pandemik Covid-19, implikasi kemelut politik negara yang dilihat tidak berkesudahan ketika ini juga perlu dilihat kepada kesan jangka masa panjang ke atas ekonomi negara.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di media sosial Twitter mengenai dakwaan IMF memberi amaran bahawa Malaysia kini berada dalam dilema ekonomi yang besar dan menjadi negara yang mempunyai hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka.

Seorang pengguna Twitter Bigger balls/Membalak (@apanakdikato) telah memuat naik satu tangkap layar beserta kapsyen “Kan aku dh ckp sblm ni, lepas Sri Lanka ialah Malaysia. Dan mmg sdg on track,”.

Pada tangkap layar berkenaan, terpampang gambar seorang pembaca berita wanita dan imej wang selain turut boleh dilihat nama Zafrul Ismail yang dipercayai membuat naik hantaran asal tersebut. 

Hantaran yang dimuat naik pada 19 Mei 2022 itu telah mendapat hampir 6,000 perkongsian dan lebih 7,000 tanda suka (likes) (setakat laporan ini ditulis – 17 Jun 2022).

Hantaran berkaitan krisis ekonomi itu mencetuskan kegusaran segelintir rakyat kerana Malaysia baharu sahaja beralih ke fasa pemulihan sektor ekonomi selepas dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.

 

APA YANG KAMI TEMUI?

Langkah pertama MyCheck adalah menganalisis hantaran berkenaan termasuk setiap perincian yang tertera pada imej di hantaran tersebut.

 


Sumber: Tangkap layar video tular

 

Gambar kiri : Logo yang telah ditangkap layar melalui video berita yang tular.

Gambar kanan : Logo Awesome TV yang lebih jelas.

Logo di video tersebut merupakan logo Awesome TV. Menurut Wikipedia, Awesome TV merupakan sebuah stesen televisyen terestrial swasta digital bersiaran selama 24 jam pertama di Malaysia dan Kuala Lumpur.

Berita yang disiarkan merupakan Berita 7:57 di bawah Awesome TV. MyCheck mendapati video tersebut disiarkan di TikTok Berita 757 (@Berita757) yang bertarikh 22 April 2022.

 


Sumber: TikTok Berita 757

 

Menerusi video itu, dengan kapsyen Berita 7:57 | Jauhi rasuah, ambil iktibar apa yang berlaku di Sri Lanka telah mendapat 136 perkongsian, 37 komen dan 522 respons daripada pengguna TikTok (setakat laporan ini ditulis – 17 Jun 2022).

Ciapan tersebut mendapati bahawa berita video tersebut disiarkan pada 22 April 2022 (Jumaat). 

Selain itu, MyCheck juga menemukan hantaran pengguna Facebook yang bernama Zafrul Ismail dan pemilik tersebut menyiarkannya pada 18 Mei 2022.

 


Sumber: TikTok Berita 757

 

Melalui video tersebut di laman web Facebook, penyampai berita tersebut mengatakan bermula pada minit 0:01, “Malaysia sepatutnya mengambil iktibar dengan keadaan berlaku di Sri Lanka yang kini telahpun semakin tenat,”.

Pada minit ke 0:08, “Malah dibebani dengan hutang melampau selain dilaporkan muflis, nasib negara berpopulasi lebih 20 juta penduduk yang mempunyai destinasi pelancongan antara terbaik dunia kini terikat dengan bebanan hutang yang tinggi. Malah tidak lain dan tidak bukan, isu rasuah faktor utama kehancuran itu selain kegagalan pengurusan sistem kewangan,”.

Seterusnya di minit 1:05, “Semua pihak termasuk perdana menteri, barisan kabinet, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia jangan ambil mudah berhubung gejala rasuah, perlu sedar risiko yang bakal hadapi sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan serius.

Tidak mustahil, Malaysia juga berpotensi untuk berdepan dengan krisis seumpama ini sekiranya isu rasuah dalam penjawat awam tidak dibendung.

Rata-rata ahli politik dan penjawat awam mungkin dalam keadaan terlalu selesa dengan pelbagai kemudahan dan insentif yang diterima malah ada kalanya dilihat tidak wajar berbanding dengan perkhidmatan yang diberikan kebanyakan mereka. Biarlah ada rasa jijik jika mendengar tentang isu rasuah sekali gus perkasakan nilai integriti di negara ini.

Berita 757 mahu rakyat Malaysia khususnya ahli politik di negara ini termasuk penjawat awam tidak lagi mengamalkan budaya rasuah. Renung dan lihatlah apa yang sudah berlaku pada Sri Lanka dan jadikanlah iktibar,”.

Apa yang boleh disimpulkan melalui video tersebut, ia cuma menyatakan Malaysia seharusnya mengambil iktibar dengan krisis ekonomi yang menimpa terhadap Sri Lanka kerana masalah rasuah serta hutang yang banyak.

Tidak ada sebarang kenyataan yang mengatakan bahawa Malaysia akan mengalami dilema ekonomi dan mempunyai hutang negara kedua yang terbesar selepas Sri Lanka.

Selain itu, penjelasan tersirat yang ingin disampaikan adalah untuk menjauhkan diri daripada budaya rasuah kerana ini satu budaya yang dapat menghancurkan ekonomi negara serta tidak patut dibuat oleh semua orang kerana ia perbuatan yang sangat keji.

Kemudian, MyCheck melakukan carian berbalik di Google dengan menggunakan kata kunci ‘Malaysia mengalami dilema ekonomi’.

Kami berjaya menemukan satu portal iaitu Premium Sinar Harian yang menyatakan dalam artikel portal tersebut yang bertajuk ‘Malaysia Bukan Sri Lanka’.

Menerusi kenyataan tersebut yang ditulis oleh Ab Jalil Backer yang merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar), struktur ekonomi negara Malaysia jauh lebih baik dari Sri Lanka dan tidak sama sekali menghampiri negara terbabit.

Beliau juga menyatakan “Struktur ekonomi negara jauh lebih baik dari Sri Lanka. Selain mempunyai sumber bahan api, makanan dan bekalan elektrik sendiri dan stabil. Malaysia juga mempunyai rizab mata wang yang kukuh berikutan kenaikan harga minyak dunia dan eksport barangan,”.

Susulan daripada itu, semakan menerusi di portal IMF dan media lain juga tidak menemukan sebarang catatan yang mengatakan bahawa negara Malaysia bakal menjadi Sri Lanka.

MyCheck juga ada menemukan satu artikel daripada portal Berita Harian Online bertajuk Malaysia tidak akan jadi seperti Sri Lanka.

 


Sumber: Berita Harian Online

 

Jika dilihat pada artikel tersebut yang dikeluarkan pada 20 April 2022 yang berbunyi : 

Jadi, kebarangkalian Malaysia menjadi seperti apa yang berlaku kepada ekonomi Sri Lanka pada ketika ini adalah amat jauh sekali dan krisis ekonomi di Sri Lanka dijangka tidak memberi kesan langsung memandangkan pendedahan Malaysia dari segi perdagangan antarabangsa adalah sangat rendah,”.

Penjelasan daripada Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin dan Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menunjukkan butiran-butiran yang sangat lengkap dan jelas mengenai isu yang diperkatakan ini. Jelas sekali bahawa Malaysia tidak akan mengalami krisis ekonomi seperti Sri Lanka.

Bukan itu sahaja, IMF juga ada menyatakan seperti diterbitkan dalam portal BERNAMA menerusi artikel ini bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.75 peratus pada 2022, dipacu oleh permintaan dalam negeri dan permintaan luar yang terus kukuh, yang dikeluarkan pada 19 Mei 2022.

Dalam artikel tersebut, sudah terang lagi bersuluh menyatakan sektor kewangan Malaysia “kekal berdaya tahan” yang mana ia menunjukkan bahawa sektor ekonomi negara Malaysia masih berada di fasa yang selamat dan tidak sama sekali seperti Sri Lanka.

Sehubungan itu, MyCheck mendapati terdapat data yang dikeluarkan oleh The Global Economy yang menunjukkan “Government debt as percent of GDP in Asia.”

Terdapat 18 negara tersenarai dalam data itu.

 


Sumber: The Global Economy

 

The Global Economy merupakan satu portal yang berkhidmat untuk penyelidik, ahli perniagaan, ahli akademik dan pelabur yang memerlukan data ekonomi yang boleh dipercayai di negara asing.

Portal ini telah dicipta pada 2004 dan kami percaya bahawa data dan maklumat yang terdapat dalam portal ini sangat relevan dan boleh dipercayai.

Menerusi data terkini iaitu pada 2021, data itu menunjukkan bahawa Jepun mempunyai hutang tertinggi dengan 245.12 peratus dan Sri Lanka berada di tangga yang ke-lima.

Di manakah kesahihan yang menunjukkan Sri Lanka merupakan negara pertama yang memiliki hutang terbesar di Asia? Jadi terbuktilah ia tidak benar sama sekali.

Apa yang kita boleh lihat,  Malaysia tidak berada di dalam senarai data tersebut yang mana ia menunjukkan bahawa hutang Malaysia masih terkawal dan tidak mempunyai masalah untuk membayar hutang.

Selain itu, terdapat juga data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia yang memaparkan National Summary Data Page For Malaysia yang dikemas kini pada 23 Mei 2022.

Data yang ditunjukkan pada halaman ini sepadan dengan data yang diterangkan pada Lembaga Buletin Piawaian Penyebaran Tabung Kewangan Antarabangsa (DSBB).

 


Sumber: Bank Negara Malaysia

 

Bagaimana pula dengan Malaysia? Apa yang tertera di dalam jadual tersebut, hutang luar negara (external debt) kita berjumlah RM269.25 bilion, yang menunjukkan 97 peratus dalam Ringgit Malaysia. 

Menurut Investopedia, hutang luar negara ialah bahagian hutang negara yang dipinjam daripada pemberi pinjaman asing melalui bank perdagangan, kerajaan atau institusi kewangan antarabangsa. Jika sesebuah negara tidak dapat membayar balik hutang luar negara, ia akan menghadapi krisis hutang.

Sekiranya sesebuah negara gagal membayar balik hutang luar negaranya, ia dikatakan berada dalam keingkaran kedaulatan.

 

Bagaimana Dengan Keadaan Rizab Antarabangsa (International Reserves) Kita? 

Rizab antarabangsa kita sihat pada RM472.6 bilion. Kita telah mengurangkan dengan pendedahan yang rendah kepada hutang luar negara iaitu kurang daripada 3 peratus dalam mata wang asing.

 

Apakah Rizab Antarabangsa (International Reserves)?

Berdasarkan Investopedia, rizab antarabangsa ialah dana pertukaran bank pusat antara satu sama lain di peringkat antarabangsa.

 

Bagaimana Pula Perbandingan Dengan Sri Lanka?

Sri Lanka mempunyai hutang sebanyak US$56.3 bilion dalam hutang luar negara kepada pemberi pinjaman mengikut data pada 2021.

Berbanding Malaysia, hutang luar negeri kita ialah 97 peratus dalam MYR (Ringgit Malaysia) dan hanya 3 peratus dalam mata wang asing.

 

KESIMPULAN

Kami mendapati bahawa dakwaan yang mengatakan Malaysia mengalami dilema ekonomi dan mempunyai hutang kedua terbesar di Asia selepas Sri Lanka adalah tidak benar.

Bahkan IMF pun tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan isu tersebut.

Memang benar, sektor ekonomi merundum sejak kewujudan pandemik Covid-19 tetapi, perlu diingat bahawa ini bukan menjadi ‘lampu hijau’ untuk kita membuat spekulasi tentang ekonomi Malaysia sehingga mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1. BERNAMA, “IMF yakin ekonomi Malaysia akan berkembang sebanyak 5.75 peratus pada tahun 2022

2. Premium Sinar Harian, “Malaysia bukan Sri Lanka

3. Video tular di Facebook

4. The Global Economy Data Government debt as percent of GDP in Asia

5. BNM National Summary Data Page For Malaysia

6. Infografik Sri Lanka’s Foreign Debt

7. Berita Harian Online, “Malaysian Tak Akan Jadi Seperti Sri Lanka

8. Investopedia, maksud external debt.

9. Investopedia, maksud rizab antarabangsa.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.