Vaksin Moderna mengandungi racun perosak.
Sumber : Twitter & Facebook / Mei 2022
Vaksin jenis itu tidak mengandungi racun perosak dan selamat digunakan untuk suntikan vaksinasi.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Vaksin Moderna dikeluarkan oleh syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat, ModernaTX Inc dan ia digunakan untuk suntikan vaksinasi bagi mencegah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.
Di Malaysia, vaksin Moderna digunakan PICK dan telah diluluskan kegunaannya secara bersyarat oleh NPRA Kementerian Kesihatan Malaysia.
Vaksin Moderna yang digunakan di Malaysia ketika ini dikeluarkan oleh Rovi Pharma Industrial Services S.A yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol.
MENGENAI DAKWAAN
Tular dakwaan menerusi beberapa hantaran di Facebook termasuk pengguna bernama Hazel Corlett yang mendakwa vaksin Moderna mengandungi racun perosak.
Selain itu, dakwaan berkenaan turut boleh dilihat di sini, sini dan di sini.
Dakwaan itu yang berasal dari laman sesawang realrawnews.com mendedahkan pasukan petugas khas Amerika Syarikat telah menyerbu gudang penyimpanan vaksin Moderna pada 2 Mei 2022 dan memusnahkan 250,000 bebuli (botol kecil) yang mengandungi vaksin berkenaan.
Malah, hasil kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan Penyelidikan Perubatan Tentera Amerika Syarikat mendakwa 10 daripada 60 bebuli berkenaan mengandungi beberapa bahan yang terkandung dalam racun perosak seperti cypermethrin, resmethrin dan synthetic pesticides.
APA YANG KAMI TEMUI
Tiada Kandungan Racun Perosak
Hasil semakan kami mendapati tiada bukti saintifik yang mengatakan bahawa vaksin Moderna mengandungi racun perosak seperti yang dilaporkan di dalam artikel berkenaan.
Malahan laman sesawang Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat menerusi laman sesawang mereka FDA turut melampirkan sekeping dokumen mengenai bahan-bahan yang terdapat dalam vaksin Moderna.
Menurut FDA, bahan-bahan yang terkandung dalam vaksin berkenaan adalah selamat digunakan.
Bahan-bahan berkenaan adalah : messenger ribonucleic acid (mRNA), lipids (SM-102, polyethylene glycol [PEG] 2000 dimyristoyl glycerol [DMG], cholesterol, 1,2-distearoyl-sn-glycero-3- phosphocholine [DSPC]), tromethamine, tromethamine hydrochloride, acetic acid, sodium acetate trihydrate dan sucrose.
Pandangan Pakar
Pihak kami cuba mendapatkan respons daripada NPRA bagi mengulas mengenai dakwaan berkenaan namun gagal.
Kami bagaimanapun menemui satu lampiran dokumen oleh NPRA mengenai penggunaan vaksin Moderna yang jelas selamat digunakan dan tidak mengandungi sebarang bahan berbahaya.
Pihak kami turut menemui beberapa laman sesawang yang mendedahkan keberkesanan vaksin Moderna terutamanya dalam mencegah penularan Covid-19 termasuk CNN, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Washington Post.
Laman Sesawang realrawnews Tidak Boleh Dipercayai
Semakan kami mendapati sumber berita daripada portal realrawnews.com tidak boleh dipercayai kerana kebanyakan laporan mereka adalah berbentuk satira atau rekaan semata-mata.
Malahan kebanyakan laman semakan luar negara seperti oneindia.com turut mendedahkan bahawa laporan daripada realrawnews adalah berbentuk satira yang disebarkan sebagai berita sahih oleh golongan antivaksin sebelum menjadi tular di media sosial.
Selain laman sesawang oneindia.com, kami turut menemui satu lagi laman semakan luar negara iaitu factcheck.dispatch.com yang mengesahkan laporan kehadiran racun perosak dalam vaksin Moderna adalah tidak benar sama sekali.
Lebih menarik, mereka turut mendapatkan penjelasan daripada profesor jabatan mikrobiologi dan imunologi Universiti Columbia Vincent Racaniello yang mengesahkan dakwaan berkenaan adalah palsu.
“Vaksin berkenaan (Moderna) telah diberikan kepada jutaan manusia dan sekiranya ia mengandungi pyrethroids (bahan dalam racun perosak) kesan sampingannya (kepada manusia) amat teruk. Ini tidak benar (sama sekali),” jelasnya yang dipetik menerusi laman sesawang tersebut.
Selain itu, kami turut menemui beberapa laporan berhubung isu sama yang disiarkan dalam beberapa laman semakan fakta lain termasuk USATODAY dan snopes.com.
KESIMPULAN
MyCheck Malaysia mengklasifikan dakwaan berkenaan adalah tidak benar kerana kami tidak menemui sebarang bukti sahih yang mengaitkan kehadiran racun perosak dalam vaksin Moderna.
Malahan laporan daripada laman sesawang realrawnews.com itu sendiri boleh dipertikaikan kerana ia sekadar berbentuk hiburan semata-mata dan bukan diambil daripada sumber yang dipercayai.
Nasihat kami, jadilah masyarakat yang cakna dengan keadaan yang berlaku di sekeliling kita.
Berita tidak sahih sentiasa ada di sekeliling kita setiap hari dan semak dahulu sebarang informasi diterima sebelum menyebarkannya kepada orang lain.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Military Finds Pesticides in Moderna Covid-19 Vaccines,Published by Realrawnews.com
FDA finds Moderna's Covid-19 vaccine is safe and effective in younger kids.Published by CNN
The Moderna COVID-19 (mRNA-1273) vaccine: what you need to know.Published by WHO
FDA says Moderna vaccine for youngest children is safe and effective.Published by Washington Post
Fact check: Pesticides in Moderna Covid-19 vaccine? Published by oneindia.com
Fact Check: Does the Moderna COVID Vaccine Contain Pesticides?Published by The Dispatch.com
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.