+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Bukti Saintifik Sahkan Krim Pelindung Matahari Penyebab Kanser Kulit, Sebaliknya Ia Membantu Cegah Pigmentasi Dan Penuaan Kulit

Benarkah...

Pemakaian ‘sunscreen’ atau krim pelindung matahari boleh mengakibatkan kanser kulit.

Sumber : Twitter / Jun 2022

Hasil

Tiada bukti saintifik mengesahkan penggunaan krim berkenaan menyebabkan kanser kulit bahkan pemakaian secara konsisten membantu mencegah pigmentasi, merawat kulit kusam dan tanda penuaan.

23/06/2022 03:29 PM

Penyelidik : Atira Khalisha Nor Adnan, Pelatih Praktikal dari UiTM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan oleh pengguna Twitter bahawa krim pelindung matahari boleh merosakkan kulit muka dan menyebabkan kanser kulit.
  • Tiada bukti saintifik mengesahkan kanser kulit berpunca daripada penggunaan krim berkenaan.
  • Penggunaan krim itu secara konsisten sebenarnya boleh mengurangkan tanda penuaan dan kulit kusam.

 


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Produk penjagaan kulit menjadi salah satu keperluan bagi kebanyakan individu untuk memiliki kulit wajah yang sihat.

Penggunaan pelbagai jenis krim terutamanya krim pelindung matahari atau sunscreen antara yang sering digunakan baik lelaki mahupun wanita untuk melindungi kulit daripada sinaran ultraviolet (UV) yang boleh memberi kesan negatif kepada kulit.

Sinaran UV bukan sahaja datang daripada cahaya matahari tetapi juga penggunaan alat teknologi antaranya telefon pintar dan komputer.

Dikatakan penggunaan krim pelindung matahari ini boleh mencegah kemunculan pigmentasi pada kulit.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tersebar dakwaan di Twitter menyatakan penggunaan krim pelindung matahari boleh merosakkan kulit wajah.

Seorang pengguna akaun menggunakan nama Haziq #WarOnSunscreen memuat naik ciapan mendakwa kanser kulit di dunia turut meningkat sejajar dengan peningkatan penggunaan krim berkenaan.

Ciapan yang dimuat naik pada 7 Jun lepas itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai termasuk pakar dermatologi.

Sehingga kini, penggunaan krim itu masih hangat diperkatakan oleh segelintir individu kerana dikatakan penduduk di Asia Tenggara sudah mempunyai melanin semula jadi yang mencukupi yang mana bahan tambahan tidak diperlukan bagi melindungi wajah kulit.

Isu ini juga pernah dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter menggunakan nama Dear Leader yang mana individu ini membidas satu video dari TikTok yang menyarankan orang ramai untuk memakai krim pelindung muka.

 


Sumber: Twitter

 

Krim pelindung matahari tidak perlu kerana kulit orang Asia Tenggara mempunyai banyak melanin? Benarkah dakwaan tersebut? Jom MyCheck semak!

 

APA KAMI TEMUI?

MyCheck memulakan pencarian maklumat lanjut menggunakan enjian carian Google.

Menurut artikel dari laman sesawang SehatQ, kami menemukan penjelasan mengenai melanin.

Melanin merupakan pigmen yang menentukan warna pada kulit, rambut dan mata. Kuantiti sel melanin berbeza pada setiap individu menyebabkan terdapat pelbagai tona warna kulit manusia di dunia ini daripada cerah ke gelap.

Individu berkulit putih mempunyai jumlah melanin yang sedikit, manakala kulit gelap pula sebaliknya.

Justeru individu berkulit putih lebih berisiko menghidap kanser kulit dengan pendedahan sinaran UV secara terus.

Penggunaan krim pelindung matahari berupaya menapis sinaran UV yang berbahaya daripada sampai ke kulit dan membuat kerosakan kepada sel-sel kulit.

Krim berkenaan mempunyai pelbagai jenis Faktor Perlindungan Matahari (SPF) dan mengandungi bilangan berbeza bagi melindungi kulit daripada sinar UVB. Semakin besar nombor SPF, semakin tinggi perlindungannya kepada kulit.

 


Sumber: MyCheck

 

Kandungan SPF30 atau lebih tinggi biasanya akan disarankan untuk penggunaan harian sekiranya seseorang itu sering terdedah di bawah sinaran matahari secara langsung.

SPF dapat menyerap, memantul atau menyelerakkan cahaya UV.

 

Apa Kata Pakar Dermatologi?

Melaui enjin carian secara rawak di Twitter mengenai dakwaan yang dibuat oleh Haziq #WarOnSunscreen, MyCheck mendapati seorang doktor dermatologi yang juga popular di media sosial, @dr_ingky membidas dakwaan lelaki itu dengan menyifatkan ia adalah satu nasihat yang tidak baik.

“This is dangerous advice. Skin cancer rates are the 10th most common cancer in Malaysia and accounts for 2.6% of all cancer cases.

“Melanin is a natural defense against UV rays but it's insufficient. There are hundreds of sunscreens in the market, you can find a suitable one,” menurut doktor berkenaan.

 


Sumber: Twitter

 

Ciapan itu turut mendapat perhatian ramai dengan lebih 4,985 perkongsian, 212 respons dan 7,790 tanda suka (setakat laporan ini ditulis, 22 Jun 2022).

Selain itu, turut memberi respons di Twitter mengenai dakwaan berkenaan adalah Pensyarah Perubatan di  Management and Science University (MSU) Dr Hafsah Sazali.

Menurut Dr Hafsah, setiap individu memiliki jumlah melanin yang berbeza dan terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kanser kulit.

MyCheck turut menghubungi Dr Hafsah untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Beliau memberitahu MyCheck, terdapat banyak bukti saintifik yang menunjukkan krim pelindung matahari mencegah kesan bahaya sinaran UV kepada kulit.

 


Sumber: Twitter

 

Kandungan Berbahaya Dalam Produk

Berdasarkan apa kami temui, dakwaan tentang krim pelindung matahari dan kanser kulit mungkin disebabkan pengguna Twitter tersebut keliru dengan bahan yang digunakan di dalam produk tersebut.

Pakar Perunding Dermatologi di Avisena Specialist Hospital Dr Kartini Farah Rahim telah memberi respons bahawa ia sebenarnya adalah berkenaan isu kontaminasi Benzene, iaitu satu bahan karsinogenik, yang ditemui di dalam pelbagai produk krim pelindung matahari di Amerika Syarikat.

Pada 2021, dengan menggunakan perkhidmatan makmal bebas, Valisure di Amerika Syarikat telah membuat laporan bahawa Benzene, suatu bahan yang boleh menyebabkan kanser telah dijumpai di dalam 78 daripada hampir 300 sunscreen yang diuji.

Benzene telah diklasifikasikan pada 1979 sebagai karsinogenik kepada manusia, yang boleh meyebabkan kanser darah sepeti leukemia dan myeloma dan pelbagai masalah yang lain.

“Benzene tidak sepatutnya ada di dalam sunscreen, ia adalah satu kontaminasi pembuatan atau pembekalan. Bukan sahaja sunscreen, malah makmal itu juga menjumpai Benzene di dalam hand sanitizer dan minuman ringan,” kata Dr Kartini Farah.

Tahukah anda juga, masalah kontaminasi Benzene ini bukan masalah khusus kepada krim pelindung matahari sahaja. 

Jadi untuk pengetahuan semua, Benzene boleh dijumpai secara semula jadi semasa pembakaran minyak, gas dan juga merokok.

 

Kemajuan Teknologi Mudahkan Penyakit Dikesan

Bagi mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci mengenai kadar peningkatan kanser kulit yang dikatakan meningkat sejak wujudnya krim pelindung matahari, MyCheck mendapatkan seorang lagi Pakar Perunding Dermatologi di Hospital Pakar An-Nur Bangi Dr Nur Ashikin Ahmad untuk mengulas isu tersebut.

 


Sumber: Hospital Pakar An-Nur

 

Menurut Dr Nur Ashikin, kadar kanser kulit dilaporkan meningkat disebabkan kesedaran orang ramai tentang simptom-simptom dialami dan kemajuan fasiliti kesihatan yang dapat mendiagnosis penyakit dengan lebih tepat dan mengesan lebih banyak kes barah kulit kanser dan bukan kanser.

Jika dulu mungkin sukar untuk mengesan kes kanser kulit kerana kekurangan pakar dalam bidang ini.

Bukan itu sahaja, ada banyak kajian dibuat oleh pengkaji-pengkaji antarabangsa membuktikan penggunaan krim pelidung matahari ini tiada langsung perkaitan dengan kanser kulit.

 

Orang Asia Tenggara Juga Digalakkan Menggunakan Krim Pelindung Matahari

Mengenai dakwaan bahawa orang Asia Tenggara tidak perlu memakai krim pelindung matahari kerana dikatakan mempunyai melanin yang mampu menapis sinaran UV, Dr Nur Ashikin menjelaskan, mana-mana individu sebenarnya digalakkan untuk mempraktikkan penjagaan kulit dengan memakai krim pelindung matahari.

Menurut beliau, walaupun individu itu telah menggunakan payung, memakai topi atau baju berlengan panjang ketika keluar, memakai krim berkenaan adalah penting bagi melindungi kulit daripada terkena sinaran UV.

“Krim pelindung matahari dapat mengurangkan kadar penuaan kulit seperti adanya tompok hitam tidak sekata yang boleh membuatkan wajah kelihatan kusam selain boleh mengelakkan daripada terkenanya kanser kulit.

“Walaupun hanya duduk di dalam kereta atau rumah, adalah disarankan untuk memakainya kerana UV masih boleh tembusi cermin,” menurut Dr Nur Ashikin.

Dr Kartini turut menekankan menggunakan krim berkenaan dalam kuantiti mencukupi sepanjang hari kerana kebanyakan pengguna mendedahkan diri mereka kepada cahaya matahari terik dengan lebih lama dan menyangka produk pelindung matahari memberi pelindungan sepenuhnya terhadap radiasi UV sepanjang hari tanpa mengulangi penyapuan.

 

Saranan Penggunaan Krim Pelindung Matahari

Mengikut kajian, 2 miligram (mg) atau bersamaan dengan anggaran setengah sudu kecil krim pelindung matahari untuk disapukan pada permukaan muka dan leher sudah mencukupi.

Bagi permukaan lengan dan setiap kaki pula bersamaan dengan satu sudu kecil.

 


Sumber: MyCheck

 

Selain itu, individu berkulit sensitif digalakkan memakai physical sunscreen kerana ia akan memantulkan balik cahaya tersebut dan tidak ada bahan kimia yang akan sebati dengan kulit berbanding chemical sunscreen yang menukarkan cahaya matahari bahaya kepada tidak bahaya.

Pengguna boleh membezakan physical sunscreen atau chemical sunscreen melalui kandungan yang terdapat pada label botol.

Physical sunscreen mengandungi zinc oxide atau titanium dioxide manakala chemical sunscreen pula mengandungi avobenzone, octinoxate, octisalate atau oxybenzone.

Krim pelindung matahari juga perlu diulang pemakaiannya setelah kulit berpeluh atau melakukan aktiviti seperti berenang.

Pemakaian krim pelindung matahari juga mesti diamalkan oleh golongan berisiko seperti penghidap kanser kulit, pesakit yang mengambil ubat imunosupresi contohnya penerima transplan organ dan pekerja yang terdedah kepada cahaya matahari terik berpanjangan.

 

KESIMPULAN

Tidak ramai di Malaysia yang sedar tentang kepentingan untuk melindungi kulit daripada sinaran UV untuk mencegah kanser kulit.

Lapisan ozon yang semakin menipis menyebabkan lebih banyak cahaya UV sampai ke permukaan bumi dan ini boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Oleh itu, langkah-langkah tertentu perlu diambil oleh individu untuk mengurangkan risiko kanser kulit.

Penggunaan krim pelindung matahari dalam aktiviti seharian amat penting kerana ia mampu membendung daripada terkenanya kanser kulit dan tanda penuaan.

Jangan mudah terperdaya dengan khabar angin yang anda dengar tanpa memeriksanya terlebih dahulu kerana risau boleh memudaratkan kesihatan.

Kalau ragu, MyCheck dahulu ya. Ingat, mencegah itu pastinya lebih baik daripada mengubati!

-- MY CHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. 5 Important Reasons to Wear Sunscreen Daily

  2. Alasan Perlu Memakai Sunscreen di Dalam Ruangan

  3. Sinar Ultraviolet: Pengertian, Jenis, Manfaat dan Bahayanya pada Kesehatan

  4. Kenali Jenis-jenis Melanin dan Cara Meningkatkannya

  5. Mengenal Warna Kulit Manusia, Kenapa Begitu Beragam?

  6. Indeks Ultra Ungu (UVI)

  7. 7 Manfaat Melanin bagi Kulit, Melindungi dari Sinar UV?

  8. UV Penyebab Kanser Kulit

  9. Twitter Haziq #WarOnSunscreen

  10. Twitter Dear Leader

  11. TikTok @SkinHolicbyShiro

  12.  Twitter @dr_ingky

  13. Twitter @hafsah_sazali

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.