+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Demam Panas : Guna Tuala Atau Kain Basah Dengan Cara Yang Betul Boleh Turunkan Suhu Badan Dan Elakkan Serangan Sawan

Benarkah...

Risiko serangan sawan jika meletakkan tuala atau kain basah pada dahi anak yang mengalami demam panas.

Sumber : Facebook & WhatsApp / April 2022

Hasil

Penggunaan tuala atau kain basah pada dahi boleh dilakukan namun perlulah dengan cara yang betul bagi mengelakkan haba panas terperangkap dan membolehkan haba keluar.

24/06/2022 01:13 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan mengatakan penggunaan tuala atau kain basah perlu dielakkan ketika merawat anak demam panas kerana mengundang risiko sawan.
  • Dakwaan itu timbul selepas tular video TikTok seorang doktor yang menjelaskan cara meredakan demam panas menggunakan kaedah ‘jelum tanpa tuala’.
  • Kaedah jelum atau ‘tepid sponging’ memang digunakan sejak sekian lama oleh ramai orang termasuk pengamal perubatan, namun ada sesetengah pakar yang tidak menggalakkannya berdasarkan kajian tertentu.
  • Ada pakar yang berpendapat tiada masalah dengan kaedah jelum menggunakan tuala atau kain basah asalkan betul caranya serta tidak menghalang haba keluar.
  • Paling utama dapatkan nasihat doktor dan jangan biarkan suhu badan terlalu tinggi tanpa sebarang rawatan bagi mengelakkan sawan.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Demam panas memang biasa kita dengar, namun tidak bermakna boleh dipandang ringan.

Lebih-lebih lagi dalam situasi fasa peralihan ke endemik Covid-19 serta faktor cuaca yang tidak menentu menjadi antara punca ramai kanak-kanak dan orang dewasa mengalami demam.

Bila suhu badan mencapai tahap yang terlalu tinggi iaitu sekitar 38 hingga 40 darjah celsius, keadaan ini pasti amat membimbangkan lebih-lebih lagi jika berlaku kepada anak kecil.

Malah dalam sesetengah keadaan, demam panas ini menyebabkan suhu badan individu menjadi tidak seimbang sehingga ada yang perlu dimasukkan ke dalam wad.

Lebih membimbangkan apabila peningkatan suhu badan yang berlanjutan beberapa hari boleh menyebabkan seseorang itu diserang sawan.

Biasanya, selain memberi makan paracetamol, tindakan yang biasa dilakukan untuk meredakan panas badan ialah dengan mengelap tuala basah pada seluruh badan.

Ramai  juga yang meletakkan tuala atau kain basah pada dahi anak yang demam.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai risiko serangan sawan jika meletakkan tuala atau kain basah pada dahi anak yang mengalami demam panas.

Dakwaan itu turut disertakan dengan pautan ke satu artikel bertajuk Doktor Share Cara Jerlum Kepala Anak Bila Demam, Tak Perlu Tuala Basah! di portal Pa&Ma.

Portal Pa&Ma merupakan portal untuk ibu bapa muda yang menyediakan panduan kehamilan, kelahiran, pembesaran dan perkembangan anak dari kecil hingga ke alam persekolahan.

Benar atau tidak dakwaan itu, jom MyCheck semak!

 

APA YANG KAMI TEMUI

 

Video Asal Dari TikTok

Langkah pertama MyCheck menekan pautan yang diterima.

Memang benar terdapat satu artikel yang disiarkan di portal Pa&Ma itu, yang tajuknya sama seperti yang diterima menerusi WhatsApp.

Bersama artikel berkenaan turut disertakan satu video yang memaparkan seorang doktor sedang memberi penjelasan mengenai tuala basah dan haba.

Di bawah video itu terpapar lambang TikTok bersama nama akaun @klinikttdi_sgbesi.

MyCheck kemudian menekan ‘view profile’ pada video di dalam artikel itu dan ia membawa kami terus ke akaun TikTok Klinik TTDI Sungai Besi.

Jadi sumber asal dakwaan itu adalah dari akaun TikTok Klinik TTDI Sungai Besi.

Video @klinikttdi_sgbesi itu mendapat lebih 37,000 tanda suka dan 17,000 perkongsian (setakat laporan ini ditulis, 23 Jun 2022).

 

Boleh Guna Tuala Atau Kain Basah Tetapi…

Kami seterusnya melihat dan mendengar sendiri video penerangan doktor tersebut dari akaun TikTok berkenaan.

Doktor tersebut menjawab pertanyaan pengguna mengenai mengapa perlu elak menggunakan tuala untuk menjelum anak.

Jelas doktor itu, bukan tidak boleh gunakan tuala basah namun cara yang lebih efisien dan mudah ialah jelum kepala anak dengan air menggunakan tangan tanpa tuala basah, setiap lima minit.

Cara itu dikatakan lebih tepat kerana air terus meresap dan haba boleh keluar dari bahagian kepala yang panas dengan lebih mudah tanpa sebarang halangan bagi menurunkan suhu serta mengelakkan sawan tarik atau kekejangan.

Selain itu anak juga akan lebih selesa berbanding jika diletakkan tuala basah di kepala atau dahi, yang biasanya akan merimaskan mereka.

Berdasarkan penerangan doktor itu, apa yang disampaikan sebenarnya ialah boleh menggunakan tuala atau kain basah untuk mengelap badan anak, namun jangan dibiarkan kain tersebut di atas dahi kerana ia akan menyebabkan haba panas terperangkap di bawah kain itu.

 


Sumber: TikTok

 

Sawan Dan Puncanya

Sebelum itu, penting untuk kita ketahui apakah yang dikatakan dengan serangan sawan serta puncanya.

Menurut portal Pediatric Oncall demam merupakan antara punca serangan sawan sekiranya suhu badan terlalu tinggi.

Prof Madya Dr Shahrul Azmin Md. Rani dari Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan sawan merujuk kepada fenomena pada badan manusia apabila terdapat cetusan elektrik yang melanda sel-sel otak dan menyebabkan gangguan pada fungsi otak.

Cetusan elektrik ini boleh menyebabkan gangguan kepada deria rasa, pergerakan, malah boleh menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri.

Demam yang berpanjangan dengan suhu badan yang amat tinggi boleh menyebabkan sawan demam.

Bagaimanapun, ada juga sawan yang berpunca daripada jangkitan kuman di dalam otak dan faktor genetik.

Selain itu simptom awal yang sering dialami seseorang yang terdedah kepada sawan ialah mudah keliru, mengalami kekejangan otot dan tidak sedarkan diri.

 

Apa Perlu Dilakukan Jika Berlaku Sawan Di Rumah?

Kaedah rawatan bagi sawan secara amnya bergantung kepada punca seseorang itu diserang sawan.

Contohnya jika disebabkan demam panas, rawatannya adalah dengan menurunkan suhu pesakit tersebut.

Jika pesakit mengalami sawan disebabkan jangkitan kuman dalam otak pula, pesakit perlu mengambil ubat bagi menghentikan jangkitan itu.

 

Kaedah ‘Tepid Sponging’ Atau Jelum Guna Tuala Basah

Jadi memang jelas jika individu mengalami demam yang tinggi, suhu badan perlu diturunkan bagi mengelakkan sawan.

Carian kami seterusnya mendapati doktor menasihati agar menggunakan kaedah ‘tepid sponging’ atau menekap perlahan-lahan badan serta bahagian kepala anak yang demam menggunakan tuala atau kain basah bagi menurunkan suhu.

Menurut perkongsian seorang doktor perubatan yang dikenali sebagai Dr Hana di laman Facebooknya, kaedah ‘tepid sponging’ atau bahasa mudahnya jelum anak yang demam dengan menggunakan tuala basah amat membantu menurunkan panas yang tinggi selain dibantu dengan memberi sirap paracetamol.

Jelasnya, cara yang betul ialah jelum dan angkat tuala basah itu dan boleh menggunakan air pada suhu bilik.

Langkah itu perlu dibuat berulang kali sehingga suhu badan menurun. Jangan dibiarkan sahaja tuala basah itu pada dahi anak kerana haba akan terperangkap sekali gus menyebabkan suhu panas badan tidak turun.

Perkongsian Dr Hana juga ada dikongsikan di portal Pa&Ma.

 


Sumber: Portal Pa&Ma

 

Kajian Pakar

Apabila memikirkan tentang demam pada kanak-kanak terutama ‘high grade fever, perkara pertama yang akan dilakukan biasanya memberikan paracetamol dan jelum.

Kedua-dua cara itu adalah untuk mengurangkan demam pada kanak-kanak dan juga mengelakkan sawan.

Namun, menurut garis panduan terbaharu oleh National Institute For Health & Clinical Excellence (NICE), ‘tepid sponging’ adalah tidak digalakkan dalam menurunkan suhu badan kanak-kanak kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka.

Walaupun dengan melakukan ‘tepid sponging’ dapat menurunkan suhu badan dengan cepat, namun ia hanyalah untuk tempoh yang singkat sahaja.

The American Journal of Emergency Medicine pada 1997 juga telah mengeluarkan satu kajian untuk mengkaji keberkesanan antara ‘tepid sponging’ dan antipyretic (ubat demam yang menurunkan suhu).

Dalam kajian tersebut, dua kumpulan kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan A yang diberikan ubat antipyretic tanpa ‘tepid sponging’ dan kumpulan B yang diberikan ubat antipyretic beserta kaedah ‘tepid sponging’.

Setelah dua jam pemantauan dilakukan, hasil kajian mendapati bahawa kanak-kanak dalam kedua-dua kumpulan tidak menunjukkan perbezaan suhu yang signifikan.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, ia adalah pelbagai dan bercampur.

Namun kesimpulan yang boleh dibuat adalah apabila seseorang itu mengalami demam dengan suhu yang tinggi, rawatan segera perlu diberikan untuk menurunkan suhu dan mengelakkan risiko lain terutamanya serangan sawan.

Untuk menurunkan suhu badan pesakit pula ia bergantung kepada tahap demam dan keadaan pesakit terlebih dahulu.

Pelbagai langkah sesuai boleh diambil seperti kaedah ‘tepid sponging’ atau jelum.

Tidak salah untuk menjelum badan dengan tuala basah atau hanya menggunakan tangan tanpa kain basah namun jangan ada sebarang material yang menghalang haba panas keluar dari badan.

Selain itu harus diingat individu yang demam perlulah diberikan antipyretic seperti paracetamol, bukan sekadar kaedah jelum semata-mata.

Jika demam berlarutan pula segeralah berjumpa doktor kerana apa sahaja berkaitan kesihatan dan rawatan, konsultasi daripada mereka yang lebih arif tentunya yang paling selamat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Doktor Share Cara Jerlum Kepala Anak Bila Demam, Tak Perlu Tuala Basah! 

  2. TikTok @klinikttdi_sgbesi

  3. Should cooling methods such as fanning and tepid sponging be used to manage pyrexia? | Nursing Times

  4. https://www.indianpediatrics.net/feb2009/133.pdf  

  5. https://bit.ly/3OwKWqr 

  6. https://www.cochranelibrary.com/central/doi/10.1002/central/CN-00102379/full 

  7. https://www.cochranelibrary.com/central/doi/10.1002/central/CN-00146595/full 

  8. PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN - Keberkesanan Tepid Sponging, Antipyretic Dalam Pencegahan Sawan Demam atau Febrile Fit *Warning 

  9. Tips Petua Meredakan Demam Panas Kanak-Kanak Dan Dewasa | Iluminasi 

  10. The Patriots - SAINS DI SEBALIK LETAK KAIN BASAH ATAS... | Facebook 

  11. Ramai Letak Tuala Basah Atas Kepala Anak Demam, Doktor Ini Dedah Risikonya - Oh! Media 

  12. Tepid Sponging 

  13. Cara Cepat Turunkan Suhu, Jerlum Dan Angkat. Jangan Biar Tuala Atas Kepala Anak 

  14. Facebook Dr Hana 

  15. Febrile Convulsions Patient Education : Diseases and Conditions | Pediatric Oncall 

  16. Sakit Sawan – HCTM

  17.  Memahami penyakit sawan & epilepsi - PORTAL MyHEALTH 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.