+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kajian Buktikan Asap ‘Vape’ BOLEH Akibatkan Kematian Mengejut Pada Bayi

Benarkah...

Asap rokok elektronik atau vape boleh menyebabkan kematian mengejut kepada bayi.

Sumber : Facebook & WhatsApp / April  2022

Hasil

Pakar mendapati asap vape bukan sahaja membahayakan perokok atau pengguna, tetapi boleh mengancam keselamatan orang sekeliling khususnya kanak-kanak dan bayi.

30/06/2022 04:03 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan mengatakan asap ‘vaping’ boleh mengancam nyawa bayi kerana mengakibatkan kematian secara tiba-tiba.
  • Direkodkan sebanyak 100,000 bayi meninggal dunia dalam tempoh 50 tahun lepas akibat sindrom kematian bayi mengejut, komplikasi pramatang dan masalah kehamilan serta kelahiran lain akibat perokok.
  • Pakar sangkal stigma vape lebih selamat kerana tiada kandungan bahan kimia berbahaya seperti rokok biasa.
  • Menurut penyelidikan Center for Disease Control and Prevention (CDC) Amerika Syarikat mendapati 99 peratus cecair vape di pasaran sebenarnya mengandungi sejumlah nikotin walaupun produk berkenaan dilabel sebagai kosong peratus kandungan nikotin.
  • Kajian saintifik menemukan bukti kukuh bahawa rokok dan vape antara punca penyakit berkaitan respiratorik kronik yang mengancam nyawa.

 


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Rokok Elektronik (e-Cigarette) atau lebih dikenali sebagai vape adalah sebuah inovasi daripada bentuk rokok konvensional kepada rokok moden.

Ada yang berperisa Coca-Cola, aiskrim vanila, mangga, tembikai susu malah ada perisa 'Matcha' teh Thai.

Bunyi macam sedap, tambahan pula stigma masyarakat hari ini kebanyakannya beranggapan lebih baik hisap vape berbanding rokok.

Mana tidaknya, vape dianggap sebagai alternatif yang “kurang berbahaya” berbanding rokok biasa.

Adakah disebabkan persepsi “kurang berbahaya” ini yang menjadikan budaya vape seakan-akan diterima ramai, sehingga ada yang boleh bertoleransi apabila golongan wanita serta remaja malah pelajar sekolah rendah juga makin ramai yang turut terjebak.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima dakwaan asap ‘vaping’ boleh menyebabkan kematian bayi secara mengejut ataupun biasa disebut sebagai ‘sudden infant death syndrome’ (SIDS) dalam terma perubatan.

Dakwaan itu turut disertakan dengan pautan laporan oleh sebuah portal informasi semasa.

Bagaimanapun dakwaan itu seolah-olah diragui, mungkin kerana terbiasa dengan stigma bahawa vape lebih selamat berbanding rokok biasa.

Kami di MyCheck berpandangan isu ini perlu disemak untuk mendapat lebih maklumat sebagai justifikasi berserta kajian klinikal sebagai panduan kepada orang ramai.

 

APA YANG KAMI TEMUI

 


Sumber: Facebook

 

MyCheck membuka pautan yang diterima seterusnya meneliti di portal Odisi.my yang melaporkan dakwaan berkenaan.

Kami dapati laporan daripada pautan yang disertakan itu memetik perkongsian seorang doktor pakar kardiologi Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut laporan yang bertajuk 'Boleh Sebabkan Kematian Bayi Secara Tiba-Tiba, Bahaya ‘Vaping’ Bukan Kepada Penggunanya Sahaja', menjelaskan bahan cecair dalam vape yang bertukar kepada bentuk seperti asap apabila dihembus ke udara adalah berbahaya kepada orang-orang sekeliling. 

Mereka yang terdedah kepada persekitaran asap vape ini dikenali sebagai ‘second hand’ dan ‘third hand vaping’.

Dr Iskandar Mirza Amran turut memuat naik hantaran di akaun Facebooknya menerangkan tentang bahaya vaping terutamanya kepada kanak-kanak dan ibu mengandung.

 

Apa Itu Vape Dan Kandungannya

Sebelum kita rungkai lebih lanjut, adalah lebih baik untuk kami jelaskan terlebih dahulu apakah vape dan kandungannya.

Berdasarkan laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kamus Oxford mendefinisikan vape sebagai “an act of inhaling and exhaling the vapour produced by an electronic cigarette or similar device” (perbuatan menyedut dan menghembuskan wap yang dihasilkan oleh rokok elektronik atau peranti yang seumpamanya).

Perkataan vape juga boleh merujuk kepada alat peranti elektronik yang digunakan.

Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh American Lung Association (ALA), vape bukan sahaja mengandungi nikotin bahkan terdapat juga bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti carcinogens (karsinogen).

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa vape yang menggunakan voltage tinggi mempunyai kandungan formaldehyde (bahan kimia yang berbahaya pada tubuh manusia).

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin pula menjelaskan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan daripada vape akan disedut pengguna, sedangkan wap itu mempunyai sifat sama seperti asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser.

Selain itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ashok Zachariah Philip turut berpendapat kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok konvensional juga terdapat di dalam vape.

Paling membimbangkan portal My Positive Parenting melaporkan hasil penyelidikan oleh Center for Disease Control and Prevention (CDC) mendapati bahawa 99 peratus cecair vape sebenarnya mengandungi sejumlah nikotin walaupun produk berkenaan dilabel sebagai kosong peratus kandungan nikotin.

 

Kaitan Vaping Dan Orang Sekeliling

Seterusnya MyCheck mencari hantaran yang dimuat naik oleh Dr Iskandar Mirza di Facebooknya bagi mendapatkan maklumat lanjut kaitan antara pengguna vape dan orang lain yang terdedah dengan asap vape.

Pakar Kardiologi itu menjelaskan istilah yang dimaksudkan dengan first hand vaping ialah perokok elektronik itu sendiri, second hand vaping pula merupakan individu yang menyedut asap atau wap vaping oleh first hand vaping.

Third hand vaping pula adalah individu yang menyentuh atau mendapat kesan daripada asap atau wap vaping yang melekat pada permukaan seperti baju, dinding, permaidani dan permainan kanak-kanak.

Menurut Dr Iskandar Mirza, disebabkan itu bau asap atau wap vaping serta rokok kekal dalam tempoh lama pada badan perokok, bilik mahupun kereta.

Oleh itu second hand vaping dan third hand hand vaping tidak terlepas daripada mendapat kesan sampingan kimia sama ada melalui sedutan (bernafas) dari udara atau melalui kulit (sentuhan).

Keadaan ini lebih berbahaya bagi bayi dan kanak-kanak yang gemar memasukkan objek seperti permainan ke dalam mulut, seterusnya toksin di permukaan tercemar dengan asap vape itu senang masuk ke dalam badan mereka.

Perkongsian di Facebook beliau turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warganet dengan lebih 3,000 perkongsian.

 

Kesan Vaping Terhadap ‘Second Hand, Third Hand Vaping’

Beliau menjelaskan, apa yang merisaukan ialah second hand dan third hand vaping boleh mendapat kanser, penyakit jantung, kerosakan paru-paru serta asma.

Malah kesan itu juga boleh memberi risiko kelahiran bayi pramatang, kematian di dalam kandungan dan kematian bayi secara tiba-tiba.

Selain itu, menurut laporan kajian oleh pakar dari CDC, kanak-kanak dan bayi amat berbahaya jika terdedah kepada asap vape walaupun yang berkadar kepekatan rendah.

Bahan kimia di dalam asap vape yang dihidu oleh golongan ini atau jika terdedah kepada permukaan tercemar (oleh asap vape) boleh menjejaskan perkembangan otak dan paru-paru mereka.

Menurut portal kajian respiratori respiratory-research.biomedcentral.com beberapa sebatian dikesan dalam asap vape seperti logam dan silika hasil daripada pemanasan dan pengeluapan cecair vape yang bertindak balas dengan propilen glikol dan gliserol.

Asap yang mengandungi sebatian kimia itu bersifat karsinogen serta boleh memberi kesan kepada saluran pernafasan seperti keradangan, kemerosotan fungsi kardiovaskular dan ketoksikan.

Bayangkan jika anak kecil dan bayi terhidu asap ini? My Check sertakan juga rajah seperti di bawah sebagai gambaran yang menjelaskan kandungan asap yang dihasilkan apabila seseorang itu menghisap vape.

 


Sumber: respiratory-research.biomedcentral.com

 

Perbandingan Antara Rokok Biasa Dan Vape

Sekumpulan penyelidik dari Queens University, Belfast Ireland mendapati kajian terhadap perokok biasa dan penghisap vape tidak ada bezanya, malah penghisap vape lebih berisiko mendapat kerosakan paru-paru akibat jangkitan bakteria yang jauh lebih teruk.

Kajian itu menjelaskan beberapa dapatan klinikal sebelum ini juga membuktikan bakteria-bakteria seperti haemophilus influenza, streptococcus pneumoniae, staphylococcus aureus dan pseudomonas aeruginosa yang menyebabkan jangkitan pulmonari pada salur paru-paru atau bengkak.

Jangkitan kronik juga boleh berlaku sekiranya bakteria terlalu banyak di dalam paru-paru sehingga membentuk lapisan biofilms yang sangat sukar disingkirkan oleh badan secara semula jadi.

Ia juga tidak berkesan dengan sebarang bentuk antibiotik yang akhirnya akan menyebabkan paru-paru itu terus menjadi perumah kepada bakteria berbahaya.

Hasil kajian ini juga membuktikan bahawa maklumat yang mengatakan menghisap vape lebih baik daripada rokok adalah mitos yang disebarkan tanpa sebarang bukti yang berasas.

 

Bagaimana Kematian Mengejut Boleh Berlaku

Jika asap rokok dan vape kedua-duanya bahaya maka sebagai ibu bapa perlulah lebih berhati-hati serta mengelakkan anak kecil serta bayi terdedah dengan asap rokok mahupun vape termasuk permukaan yang tercemar oleh bahan toksik berkenaan.

Seperti yang dilaporkan dalam '32nd tobacco-related Surgeon General’s report' lebih daripada 100,000 bayi telah meninggal dunia dalam tempoh 50 tahun yang lepas akibat sindrom kematian bayi mengejut, komplikasi pramatang, komplikasi berat lahir rendah dan masalah kehamilan lain kesan daripada tabiat merokok ibu bapa.

Pakar Perubatan Respiratori Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Norzila Mohamed Zainudin menjelaskan jika orang dewasa bernafas dalam tempoh 15 atau 16 kadar pernafasan seminit, kanak-kanak pula akan bernafas pada kadar yang lebih tinggi antara 40 hingga 50 seminit.

Ini berikutan bentuk paru-paru mereka yang lebih kecil dan masih dalam peringkat perkembangan.

Maka mereka akan menyedut lebih banyak asap perokok yang dihembus ke persekitaran.

Situasi ini menjadikan mereka berkali ganda lebih terdedah kepada bahaya asap toksik daripada aktiviti vaping atau rokok biasa.

Portal doctoroncall turut melaporkan terdapat kes-kes kematian bayi secara mengejut dan apabila disiasat dengan lebih terperinci melalui autopsi yang dilakukan ke atas mayat bayi tersebut, paru-paru mereka mempunyai kandungan nikotin yang tinggi.

Bukan itu sahaja, kadar kotinin yang dicatatkan juga tinggi. Kotinin adalah kandungan nikotin teroksida yang dikesan dalam badan seseorang atau erti kata lain, ia merupakan penanda biologi yang direkodkan di dalam darah seorang perokok pasif.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah dikumpul melalui semakan kami, dakwaan berkenaan adalah berasas serta disokong dengan bukti-bukti berdasarkan kajian pakar perubatan.

Jadi, persepsi bahawa 'vaping' lebih baik daripada merokok bolehlah kita sama-sama perbetulkan demi kebaikan dan kesihatan bersama.

Lebih baik kita tinggalkan tabiat yang tidak sihat yang boleh mengancam nyawa insan tersayang.

Mencegah lebih baik daripada mengubati dan nasihat kami di My Check agar janganlah dek kerana tabiat yang tidak sihat kita memperjudikan nyawa dan masa depan anak-anak.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Bahayanya Kalau Bayi Dan Anak Kecil Terdedah Pada Sisa Asap Rokok Walaupun Tak Dihisap Dalam Rumah! 

  2. Apakah keburukan asap vape-Saya ibu pada 5 org ank, saya nk-DoctorOnCall 

  3. taklimat dan penjelasan isu rokok elektronik dan vape 

  4. Mengulas Bahaya Asap Vape Bagi Pengguna dan Orang di Sekitarnya | Hello Sehat 

  5. Vape: Apa yang Ibu Bapa Harus Tahu - Positive Parenting 

  6. https://www.astroawani.com/berita-dunia/bayi-maut-akibat-keracunan-cecair-vape-197920 

  7. Perceptions of Harm to Children Exposed to Secondhand Aerosol From Electronic Vapor Products, Styles Survey, 2015 

  8. Electronic Cigarettes Are a Source of Thirdhand Exposure to Nicotine - PMC 

  9. IRSYAD AL-FATWA KE-63: HUKUM PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK/VAPOR 

  10. Kongsi Kajian Saintis Gambar Scan Paru-Paru Akibat Hisap Vape - XTRA 

  11. Bukti Vape Lebih Tak Selamat Berbanding Rokok Tembakau | Iluminasi 

  12. Adakah vape satu alternatif yang bagus untuk menggantikan rokok tembakau? | Iluminasi 

  13. Bila budaya vape menyerap dalam masyarakat 

  14. Boleh Sebabkan Kematian Bayi Secara Tiba-Tiba, Bahaya ‘Vaping’ Bukan Kepada Penggunanya Sahaja-Odisi 

  15. 6 Kematian Misteri Penyakit Paru-Paru Dilaporkan Akibat Tabiat Vape 

  16. https://www.lung.org/quit-smoking/e-cigarettes-vaping/lung-health

  17. Electronic Cigarettes Are a Source of Thirdhand Exposure to Nicotine - PMC 

  18. Is vaping better than smoking? - On Health 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.