+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Fenomena Aphelion TIDAK Beri Sebarang Kesan Negatif Kepada Kesihatan Manusia

Benarkah...

Fenomena Aphelion menjadikan cuaca di Malaysia lebih sejuk, seterusnya mengakibatkan individu terdedah kepada beberapa penyakit seperti selesema dan sesak nafas.

Sumber : WhatsApp / Jun 2022

Hasil

Fenomena Aphelion merupakan kejadian biasa yang berlaku setiap tahun dan bukan punca perubahan cuaca sejuk yang melampau. Ia tidak memberi sebarang kesan kepada kesihatan manusia.

05/07/2022 02:17 PM

SEKILAS FAKTA

  • Fenomena Aphelion terjadi apabila kedudukan bumi berada paling jauh dari matahari dan kebiasaannya berlaku pada awal Julai setiap tahun.
  • Ia berlaku setiap tahun disebabkan peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbit yang berbentuk eliptikal (bujur seperti telur).
  • Fenomena berkenaan tidak menyebabkan seseorang individu mendapat penyakit seperti selesema, batuk dan sesak nafas.


Sumber: WhatsApp

 

LATAR BELAKANG

Fenomena Aphelion merupakan satu keadaan yang mana kedudukan bumi berada paling jauh dari matahari dan kebiasaannya berlaku pada 3 atau 4 Julai setiap tahun.

Menurut Planetarium Negara, pada tahun ini, fenomena Aphelion dijangka berlaku pada 4 Julai sekitar pukul 3.10 petang waktu Malaysia.

Difahamkan, ketika itu bumi akan berada pada jarak 152,098,455 kilometer dari matahari berbanding dengan jarak 147,105,052 kilometer ketika ia berada di titik perihelion atau titik paling dekat dengan matahari pada 4 Januari lepas.

Ia merupakan perkara semula jadi yang berlaku setiap tahun disebabkan peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbit yang berbentuk eliptikal.

 


Sumber: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu mesej di WhatsApp mendakwa cuaca di Malaysia akan berubah menjadi lebih sejuk sehingga 22 Ogos ini disebabkan fenomena Aphelion.

Mesej berkenaan mendakwa perubahan cuaca kepada lebih sejuk menyebabkan seseorang individu mudah terdedah kepada beberapa penyakit seperti selesema, batuk, sesak nafas dan lain-lain.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya memperbanyakkan pengambilan vitamin atau makanan tambahan bagi menguatkan sistem imun badan.

 


Sumber: WhatsApp

 

APA YANG KAMI TEMUI

Tidak Beri Kesan Kepada Kesihatan Manusia

Hasil semakan kami mendapati fenomena Aphelion sebenarnya tidak memberi kesan kepada kesihatan manusia kerana ia bukan satu virus sebaliknya kejadian semula jadi seperti perubahan cuaca harian.

Dipetik daripada laporan KOSMO, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah menjelaskan fenomena berkenaan merupakan kejadian semula jadi dan tidak memberi ancaman kepada manusia.

Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena berkenaan sebenarnya dijangka berlaku pada 4 atau 5 Julai ini dan bukannya Januari seperti yang ditularkan dalam mesej berantai berkenaan.

 


Sumber: Kosmo

 

Laporan mengenai perkara berkenaan turut disiarkan dalam akhbar Harian Metro, Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa laman sesawang bebas seperti lobakmerah.com dan dailyrakyat.com.

 


Sumber: Harian Metro

 


Sumber: Utusan Malaysia

 

Mesej Berantai Dari Indonesia

Semakan lanjut MyCheck mendapati mesej berantai itu sebenarnya berasal dari Indonesia.

Ia tular pada Februari lepas dan tular kembali baru-baru ini.

 

Pengesahan Beberapa Badan Semakan Fakta

Menerusi enjin carian Google, kami turut menemukan artikel berhubung isu sama disiarkan beberapa badan semakan fakta.

Kesemua badan semakan berkenaan mengkategorikan mesej berantai tersebut sebagai tidak benar.

Antara badan semakan fakta berkenaan ialah timesindonesia, liputan6.com dan beritasatu.com dari Indonesia.

Badan semakan fakta lain termasuk rappler.com (Filipina), standard checkpoint (Kenya) dan namibia fact check dari Namibia selain beberapa laman sesawang seperti Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional.

 

Pandangan Pakar

Seorang ahli fizik Zamir Mohyedin menerusi laman Twitter turut mendedahkan mengenai kedudukan matahari tidak berada di kedudukan pusat dalam orbit bumi.

Beliau yang bertugas di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjelaskan kedudukan bumi akan berubah kepada kedudukan maksimum (Aphelion) dari Matahari dan kadang kala bumi berada pada kedudukan minimum (Perihelion).

“Adakah kita sedang berada pada kedudukan Aphelion? Tidak. Kita telah melepasi kedudukan Perihelion pada 4 Januari lalu. Aphelion akan berlaku pada awal bulan Julai nanti,” katanya.

 


Sumber: Twitter

 

Majalah Sains menerusi Twitter turut menerangkan mengenai perbezaan di antara fenomena Aphelion dan Perihelion selain turut menafikan fenomena Aphelion akan menyebabkan cuaca sejuk melampau sebagaimana ditularkan dalam mesej berantai berkenaan.

Fenomena Aphelion berlaku apabila bumi berada paling jauh dari Matahari di orbitnya, manakala fenomena Perihelion berlaku apabila bumi berada paling hampir dari matahari di orbitnya.

Fenomena Perihelion berlaku pada awal Januari manakala fenomena Aphelion berlaku pada awal Julai setiap tahun.

Majalah Sains menerusi ciapan sama turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan pengambilan air sepanjang masa dan bukan pada masa tertentu sahaja.

 

KESIMPULAN

Pelbagai faktor mempengaruhi perubahan cuaca namun penyebaran berita yang tidak benar seperti ini akan mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum.

Sebaiknya, dapatkan pandangan pakar terutamanya bahagian meteorologi mengenai perubahan cuaca yang berlaku di sekeliling kita dan tindakan awal yang boleh diambil untuk menghadapi situasi berkenaan.

Jangan mudah membuat kesimpulan bagi perkara yang kita tidak pasti!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Fenomena Aphelion tidak beri sebarang ancaman.Diterbitkan oleh KOSMO

  2. Fenomena Aphelion 4 Julai ini.Diterbitkan oleh Harian Metro

  3. Dakwaan sejuk ekstrem akibat Aphelion dinafi.Diterbitkan oleh Utusan Malaysia

  4. Suhu sejuk tiada kaitan fenomena Aphelion.Diterbitkan oleh Berita Harian

  5. “Kejadian normal setiap tahun” – Tular Fenomena Aphelion, Ini 4 Perkara Yang Korang Perlu Tahu.Diterbitkan oleh lobakmerah.com

  6. Tiada Kena Mengena Dengan Fenomena Aphelion, Ini Rupanya Sebab Kenapa Cuaca Lebih Sejuk di Malaysia Sejak Kebelakangan Ini.Diterbitkan oleh dailyrakyat.com

  7. CEK FAKTA: Fenomena Aphelion Sebabkan Suhu Dingin.Diterbitkan oleh timesindonesia

  8. Cek Fakta: Tidak Benar Informasi Cuaca Dingin Akibat Fenomena Aphelion yang Terjadi Besok Jam 05.27.Diterbitkan oleh liputan6.com

  9. BMKG: Hoax, Informasi Suhu Dingin Indonesia karena Fenomena Aphelion.Diterbitkan oleh beritasatu.com

  10. FALSE: Aphelion phenomenon will cause colder weather.Published by rappler.com

  11. Viral 'aphelion phenomenon' message warning of very cold weather misleading.Published by The Standard

  12. No, we will not be experiencing an aphelion until August.Published by Namibiafactcheck

  13. Twitter Zamir Mohyedin

  14. Twitter Majalah Sains

  15. Facebook Planetarium Negara

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.