+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pokok Dukung Anak Diiktiraf Sebagai Rawatan Kepada Penyakit Jaundis

Benarkah...

Pokok dukung anak mampu merawat penyakit jaundis atau kuning bayi.

Sumber : TikTok  / Julai 2022

Hasil

Terdapat banyak kajian mengesahkan dakwaan ini. 

06/07/2022 04:51 PM

SEKILAS FAKTA

  • Satu hantaran daripada pengguna TikTok memberi petua untuk menghilangkan penyakit jaundis atau ‘kuning’ bayi yang baru lahir. 
  • Penyakit kuning bayi biasanya berlaku apabila organ dalaman bayi seperti hati belum cukup matang dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna selepas dilahirkan.
  • Tumbuhan dukung anak kebiasaannya tumbuh di kawasan tanah yang agak keras, seperti di celah retakan simen.
  • Carian MyCheck mendapati dukung anak merupakan spesies tumbuhan herba berubat dan termasuk dalam 10 tanaman herba berpotensi di bawah projek Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA).
  • Tumbuhan ini telah diguna secara tradisional dalam perubatan Ayurveda lebih 2,000 tahun lalu.
  • Akarnya yang masih segar adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning jaundis terutamanya pada bayi yang baru lahir.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Kerap kali kita terdengar bayi yang baru lahir akan terkena jaundis atau biasanya dikenali masyarakat sebagai penyakit ‘kuning’.

Bacaan jaundis yang tinggi membuatkan sesetengah bayi ditahan di wad dan ada juga yang terpaksa berulang-alik ke Klinik Kesihatan hampir setiap hari bagi mengambil bacaan ‘kuning’ bayi.

Bagi ibu yang baru melahirkan anak, keadaan ini pasti amat meletihkan. Tambahan pula, melihat keadaan anak yang kerap tidur apabila terkena sakit kuning membuatkan hati ibu tidak senang.

Pelbagai cara dan alternatif akan dicuba bagi menurunkan paras bacaan kuning bayi secepat mungkin sama ada melalui ubat-ubatan dan juga secara tradisional.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna TikTok memuat naik ciapan memberi petua untuk menghilangkan kuning bayi yang baru lahir.

Petua berkenaan adalah dengan menggunakan pokok dukung anak.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Pengguna Banyak Kongsi Tips Kesihatan Tradisional

Langkah pertama MyCheck adalah dengan melihat kepada latar belakang pengguna TikTok tersebut.

Hasil semakan kami mendapati pengguna ini bukanlah seorang yang mempunyai latar belakang dalam perubatan tradisional, namun beliau ada berkongsi petua rawatan tradisional menerusi beberapa video TikToknya.

Bagaimanapun adakah maklumat yang dikongsikan itu mempunyai kajian saintifik yang boleh membuktikannya? Jom kita telusuri maklumat berkaitan penyakit dan tumbuhan ini dahulu.

 

Apakah itu Penyakit Kekuningan Pada Bayi Baru Lahir?

Penyakit kuning atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai jaundis namun masyarakat lebih mengenalinya sebagai ‘sakit kuning’ atau ‘demam kuning’.

Menurut Pensyarah dan Pakar Genetik Jabatan Pediatrik Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Surini Yusoff, jaundis biasanya berlaku apabila organ dalaman bayi seperti hati belum cukup matang dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna selepas dilahirkan.

Beliau menjelaskan di dalam hati bayi terdapat sejenis bahan yang dinamakan bilirubin yang berwarna kuning.

Bilirubin terbentuk daripada pemecahan sel-sel darah merah di dalam badan dan apabila semakin banyak sel darah merah pecah molekul bilirubin akan bertambah.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), 50 peratus bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kelahiran.

Biasanya jaundis akan menyebabkan kulit, mata dan mulut bayi berwarna kuning. Keadaan ini sememangnya akan menjadi kebimbangan kepada ibu bapa.

 


Sumber: Google

 

Kebiasaannya, jika paras jaundis tinggi, bayi tersebut akan diletakkan di bawah cahaya atau sinar ultra ungu khas yang berfungsi untuk menukarkan bilirubin berwarna kuning ke dalam keadaan yang lebih mudah larut dan dikeluarkan melalui najis. Rawatan tersebut dipanggil fototerapi.

Namun, selain mendapatkan rawatan klinikal, pelbagai rawatan alternatif akan diusahakan bagi memulihkan jaundis pada bayi dengan kadar segera.

 

Kenali Tumbuhan Dukung Anak

MyCheck percaya setiap daripada kita pasti pernah menjumpai dan melihat tumbuhan ini.

Menurut laman sesawang KKM, dukung anak ini kebiasaannya tumbuh di kawasan tanah yang agak keras, seperti di celah retakan simen.

Ia banyak ditemui di kawasan tanah terbiar, di tepi-tepi jalan atau di kebun-kebun sayur serta kawasan rumah termasuk di dalam pasu bunga.

Tumbuhan ini tumbuh sehingga 50-70 sentimeter (cm) tinggi dan mudah dikenali daripada lenggainya (buah yang kulitnya keras dan memecah dua seperti kacang) yang kecil dan melanjut sepanjang sisi bawah daunnya.

Batangnya berwarna hijau atau merah bergantung kepada spesies.

Daun berbentuk bulat lonjong, berwarna hijau (atau merah), bersaiz kecil (2 hingga 3 cm panjang) dan tersusun di sepanjang tangkai daun. Buahnya pula terbentuk di bawah setiap pelepah daun.

Masih tak boleh bayangkan? Kami kongsikan gambar tumbuhan ini yang diambil sendiri oleh MyCheck kepada anda.

 


Sumber: MyCheck

 

Maklumat Terperinci Mengenai Dukung Anak

Menurut Portal MyHealth, tumbuhan dukung anak atau nama saintifiknya Phyllanthus adalah merupakan spesies tumbuhan herba berubat.

Tumbuhan ini boleh dijumpai di kawasan beriklim tropika seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand serta di negara China dan Amerika Selatan.

Ia terdiri dari pelbagai jenis dan kebanyakan spesis yang terdapat di Malaysia adalah dari jenis P. amarus, P. niruri, P. urinaria dan P. debilis.

 

Benarkah Dukung Anak Boleh Digunakan Untuk Rawatan?

MyCheck berjaya menjumpai satu buletin yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), tumbuhan ini sebenarnya merupakan salah satu herba yang popular.

Malah, tumbuhan dukung anak telah tersenarai antara 10 tanaman herba berpotensi di bawah projek Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) kategori Pembangunan Produk Herba Bernilai Tinggi.

Menurut MARDI, tumbuhan ini telah diguna secara tradisional dalam perubatan Ayurveda lebih 2,000 tahun (Ayurveda adalah perubatan tradisional yang berasal dari India).

 

Jenis Penyakit Yang Boleh Dirawat Menggunakan Dukung Anak

Berdasarkan maklumat yang terdapat menerusi portal KKM, tumbuhan dukung anak di Malaysia banyak digunakan untuk merawat penyakit berkaitan buah pinggang dan hati seperti jaundis dan hepatitis B.

Akarnya yang masih segar adalah penawar yang berkesan untuk jaundis terutamanya pada bayi yang baru lahir.

Selain itu, ia juga digunakan untuk merawat penyakit kulit, kencing manis, tekanan darah tinggi dan batu karang.

Namun, pasti ada tertanya-tanya ada tak kajian untuk membuktikan dakwaan ini? Jom MyCheck selidik lagi.

 

Laporan Kertas Kajian

Menggunakan kata kunci Phyllanthus iaitu nama saintifik bagi tumbuhan ini, MyCheck menjumpai beberapa kajian yang dijalankan pada peringkat tempatan dan juga antarabangsa.

Satu kertas kajian oleh sekumpulan pengkaji antarabangsa yang dimuat naik dalam portal science direct menunjukkan tumbuhan dukung anak ini termasuk dalam senarai ubatan tradisional yang digunakan untuk rawatan penyakit kuning.

 


Sumber: Science Direct

 

Seorang doktor di Public Policy Research Centre (PPRC), India juga menyatakan dalam kertas pembentangannya pada 2015 bahawa tumbuhan ini mampu menyembuhkan Infective hepatitis in children atau jaundis.

 

Bagaimana Dukung Anak Boleh Merawat?

Maklumat dari KKM menunjukkan satu kajian mengesahkan bahawa ekstrak dukung anak daripada jenis P.niruri mempunyai kesan untuk melindungi organ badan terutamanya hati dan buah pinggang (jaundis berkait dengan organ hati seperti yang dijelaskan sebelum ini).

Selain itu, terdapat kajian yang menunjukkan dukung anak juga mempunyai kesan yang memberangsangkan dalam melawan virus Hepatitis B. Hepatitis B berkait rapat dengan jaundis kerana kedua-dua penyakit ini berkaitan dengan organ bahagian hati.

Juga, menurut pengumpulan dokumentasi perubatan oleh sekumpulan penyelidik tempatan, agen antivirus yang terdapat dalam tumbuhan tersebut mampu untuk merencatkan virus hepatitis B.

Ekstrak dari P.niruri memberi kesan menghalang pembentukan hablur kalsium oksalat yang dapat membantu dalam merawat penyakit batu karang sama ada batu buah pinggang ataupun batu hempedu.

Menurut MARDI pula, dukung anak mengandungi pelbagai kumpulan bahan kimia seperti, phenolics, lignans dan xylans yang mungkin boleh membantu dalam merawat atau mengawal penyakit-penyakit yang telah dinyatakan seperti di atas.

 

Cara Rawatan Menggunakan Dukung Anak

Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang digunakan untuk menyembuhkan jaundis menggunakan tumbuhan dukung anak ini.

Kami kongsikan antara cara-cara yang telah dikumpul oleh sekumpulan pengkaji seperti di bawah :

  1. Lima batang tumbuhan dukung anak diramas dalam air dan dijadikan air mandian bayi. Bayi dimandikan sebanyak satu atau dua kali sehari pada sebelah pagi dan petang sehingga sembuh. 

  2. Secekak tumbuhan dukung anak direbus hingga mendidih, dibiar menjadi suam atau dicampur dengan air sejuk sebelum dimandikan pada bayi sehari sekali (waktu pagi) selama tiga hari atau dua kali sehari pada waktu pagi dan petang sehingga sembuh. 

  3. Daun pokok dikisar dan ditapis. Air yang dikisar dicampur bersama air mandian dan digunakan untuk kegunaan sekali sehari. 

Tumbuhan ini juga boleh dicampur dengan daun pokok lain untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit selain jaundis. Anda boleh dapatkan lebih maklumat menerusi kertas kajian ini.

 

KESIMPULAN

Jika kita lihat pada tumbuhan ini, siapa sangka ia sebenarnya mempunyai 1001 penawar kepada manusia.

Tumbuhan yang selama ini kita anggap sebagai ‘rumput’ yang dicabut, ditebas sebenarnya mampu untuk dikomersialkan.

Tak percaya? Sila lihat pada laman e-dagang. Ada yang  menjual tumbuhan ini dengan harga serendah RM1.50 sebatang. Jadi, ia bukan sebarang ‘rumput’ ya.

Kami faham, pelbagai usaha dan ikhtiar akan dicuba apabila sesuatu penyakit terkena pada si kecil.

Tak salah jika kita mencuba rawatan menggunakan tumbuhan namun lakukan semakan dan dapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu.

Pastikan maklumat itu sahih, disokong pula kajian daripada pakar bidang berkaitan agar rawatan itu benar-benar boleh menyembuhkan bukan memudaratkan cahaya mata anda.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Dukung Anak - PORTAL MyHEALTH

  2. https://www.researchgate.net/profile/Beng-Jin-Chee/publication/332223279_Dukung_Anak/links/5ca71c274585157bd323074e/Dukung-Anak.pdf

  3. Plants used for the treatment of icterus (jaundice) in Central India: A review - ScienceDirect

  4. BAYI KUNING: KETAHUI PUNCA DAN CARA RAWATAN YANG BETUL - Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia 

  5. Kulapuk berdebu – penyakit utama dukung anak yang ditanam di Malaysia 

  6. Plants used for the treatment of icterus (jaundice) in Central India: A review - ScienceDirect 

  7. (PDF) Phyllanthus fraternus ….Jaundice plant Biological and medicinal properties 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.