+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Penderita ‘Kaki Gajah’ Bukan Alami Penyakit Misteri, Tetapi Dijangkiti Filariasis Limfatik Atau Penyakit Untut Bawaan Nyamuk

Benarkah...

Gigitan nyamuk membahayakan kerana ia boleh menyebabkan individu terkena penyakit misteri iaitu kaki membengkak luar biasa seperti kaki gajah.

Sumber : Facebook, WhatsApp / Jun  2022

Hasil

Kaki yang membesar seperti kaki gajah sebenarnya merupakan penyakit untut atau filariasis limfatik. Ia sejenis penyakit yang disebabkan oleh cacing filaria bawaan pelbagai jenis nyamuk.

12/07/2022 12:38 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan menyatakan individu yang mengalami kaki bengkak luar biasa atau membusung seperti kaki gajah adalah kerana terkena ‘sakit misteri’ selepas kaki digigit nyamuk.
  • Dakwaan itu diterima daripada orang awam yang berasa gusar serta ingin mengetahui kesahihannya serta apakah sebenarnya ‘penyakit misteri’ itu.
  • Penyakit kaki gajah atau dalam bahasa perubatan ‘elephantiasis’ sebenarnya berpunca daripada cacing berbentuk benang (pita) yang dipanggil filaria.
  • Nyamuk yang telah menggigit pesakit dijangkiti filariasis limfatik (penyakit untut) akan menyebarkan penyakit itu melalui gigitan kepada individu lain.
  • Filariasis limfatik menyebabkan pembesaran tidak normal di bahagian badan tertentu, kesakitan, kecacatan teruk dan stigma sosial.
  • WHO menyatakan sebanyak 863 juta orang di 47 negara seluruh dunia diancam oleh filariasis limfa yang juga menjadi penyebab utama individu hilang upaya kekal di seluruh dunia.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Tidak dapat dibayangkan perasaan individu yang menderita masalah tidak mampu berjalan akibat kaki yang dahulunya normal kemudian membengkak ke tahap luar biasa.

Bukan hanya mengalami perubahan fizikal akibat pembesaran kaki, namun kemampuan untuk bergerak juga terbatas selain rutin harian turut berubah 360 darjah membuatkan pesakit itu tidak mampu bekerja untuk menyara kehidupan.

Adakah keadaan ini merupakan sesuatu yang misteri atau sebenarnya penyakit kaki gajah ini ada kaitan dengan penyakit yang wujud mengikut teori perubatan?

Secara logik, jika digigit nyamuk biasanya kita akan berasa gatal, kulit menjadi kemerah-merahan dan hanya sedikit kesan bintat yang kemudiannya akan hilang beberapa minit sahaja.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai bahaya gigitan nyamuk yang boleh mengakibatkan kaki membengkak luar biasa seperti terkena penyakit misteri.

Dakwaan tersebut juga disertakan dengan gambar tiga individu dengan keadaan kaki mereka yang membengkak dua kali ganda berbanding saiz kaki sebenar mereka.

Pada gambar berkenaan tertulis ayat ‘Jangkitan ini dapat dikesan melalui simptom seperti demam, kesejukan, pening kepala dan kelesuan'.

Apakah punca sebenar keadaan yang dialami individu pengidap masalah kaki bengkak luar biasa ini?

Benarkah ia disebabkan nyamuk atau ada fakta lain di sebaliknya. Mari MyCheck semak terlebih dahulu ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck meneliti gambar yang diterima dengan menggunakan enjin carian Google untuk mengenal pasti sekiranya terdapat maklumat lain atau pautan yang berkaitan dengan gambar yang diterima.

Hasil carian kami seperti yang tertera dalam rajah di bawah. Dinyatakan kebarangkalian gambar itu berkaitan dengan ‘Lymphatic Filariasis’.

 


Sumber: Google Image Search

 

Apa itu ‘Lymphatic Filariasis’

Untuk mengumpul lebih banyak maklumat berkenaan dakwaan ini, kami mencari lebih banyak fakta tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘Lymphatic Filariasis’.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit atau Centres for Disease Control and Prevention  (CDC) Amerika Syarikat, ‘lymphatic filariasis atau dalam bahasa Melayu ‘filariasis limfatik’ dianggap sebagai penyakit tropika terabai atau Neglected Tropical Diseases (NTD).

Penyakit yang juga disebut sebagai ‘kaki gajah’ ini berpunca daripada cacing mikroskopik seperti benang yang hidup dalam sistem limfa manusia, yang berfungsi mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan serta kekebalan melawan jangkitan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),  sebanyak 863 juta orang di 47 negara di seluruh dunia diancam oleh filariasis limfatik dan memerlukan kemoterapi pencegahan untuk menghentikan penyebaran jangkitan parasit ini.

Penderita penyakit ini biasanya akan mengalami lymphedema (bengkak di bahagian badan tertentu disebabkan pengumpulan cecair yang tinggi protein di dalam badan) dan elephantiasis.

Bagi pesakit lelaki pula, boleh berlaku pembengkakan skrotum (alat sulit lelaki) yang dipanggil hydrocele.

Filariasis limfatik menyebabkan pembesaran tidak normal di bahagian badan, kesakitan, kecacatan teruk dan stigma sosial. Ia juga adalah penyakit yang menjadi penyebab utama  individu hilang upaya kekal di seluruh dunia.

Menurut MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), satu pertiga pengidap penyakit tersebut tinggal di India, satu pertiga di kawasan Afrika dan selebihnya di Asia Tenggara, Pasifik dan Amerika.

 

Bukan Penyakit Misteri, Tapi Disebabkan Cacing

Apa yang dapat difahami berdasarkan penjelasan di atas adalah masalah pembengkakan luar biasa pada bahagian tubuh seseorang itu kemungkinan besar berkaitan dengan penyakit filariasis.

Bermakna penyakit ‘kaki gajah’ ini memang wujud dalam istilah perubatan dan bukannya sesuatu yang berunsur misteri tetapi berpunca daripada cacing parasit dari spesies yang dipanggil filaria.

Menurut portal MyHEALTH KKM, spesis cacing filaria yang terdapat di Malaysia ialah wuchereria bancrofti dan brugia malayi.

Parasit filaria dewasa akan hidup di dalam saluran sistem limfa manusia serta merosakkan fungsi sistem organ penting itu.

Jangka hayat cacing tersebut adalah antara empat hingga enam tahun serta mampu menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria yang akan hidup dalam salur-salur darah manusia.

Di seluruh dunia, terdapat tiga jenis parasit filaria yang menjadi punca penyakit kaki gajah iaitu cacing wuchereria bancrofti, cacing brugia malayi dan cacing brugia timori.

 

Nyamuk Sebagai Ejen Penyebar

WHO, CDC dan MyHEALTH KKM menjelaskan penyakit ini disebarkan oleh nyamuk yang telah menggigit individu dijangkiti parasit filaria dan membawa bersama mikrofilaria daripada darah pengidap kepada individu lain.

Mikrofilaria dalam darah itu diserap oleh nyamuk berkenaan yang kemudiannya akan bertukar menjadi larva dalam tempoh masa dua minggu di dalam badan nyamuk pembawa itu sebelum ia dipindahkan menerusi gigitan ke individu seterusnya.

Larva mikrofilaria kemudiannya bergerak memasuki saluran limfa individu, seterusnya berkembang menjadi cacing dewasa.

Penyakit ini juga disebarkan oleh pelbagai jenis nyamuk contohnya culex yang banyak terdapat di kawasan bandar dan separa bandar, anopheles pula di kawasan luar bandar dan aedes, kebanyakannya di negara-negara kepulauan Pasifik.

Berikut disertakan infografik kitaran lengkap jangkitan penyakit ini berdasarkan laman web rasmi CDC.

 


Sumber: Centres for Disease Control and Prevention (CDC) Amerika Syarikat

 

Gejala Filariasis Limfatik

Menurut WHO dan MyHEALTH KKM, penyakit filariasis limfatik ini menunjukkan tanda-tanda seperti pembengkakan setempat, demam, radang kemerahan dan kesakitan melampau pada kawasan yang dijangkiti.

Simptom umumnya adalah seperti demam, kesejukan, pening kepala dan kelesuan. Gejala ini berlaku pada anggota badan atau dalam skrotum (alat sulit lelaki) dan berkaitan dengan jangkitan kulat yang melampau.

Radang yang berlaku semasa serangan akut ini akan merosakkan saluran-saluran limfa yang kecil di dalam kulit dan mengurangkan keupayaan kulit menyerap cecair.

Selain itu, kulit menjadi keras dan tebal. Proses ini akan berterusan dan pembengkakan berpanjangan menyebabkan kulit kering.

Tanda kronik pula melibatkan limfoedema atau saluran limfa yang tidak berfungsi kerana saluran tersebut  akibat kehadiran cacing filaria dewasa.

Ia lebih kerap berlaku di bahagian anggota bawah badan, tetapi boleh juga berlaku pada buah dada, skrotum, penis dan tangan.

Selain itu boleh juga terjadi kehadiran darah dalam air kencing, hidrocele (pengumpulan cecair dalam pundi kencing), chylocele (kehadiran cecair limfa dalam tunika vaginalis) dan chyluria (kehadiran cecair limfa dalam air kencing).

 

Adakah Pesakit Berpeluang Untuk Sembuh?

Bak kata pepatah, setiap penyakit pasti ada penawarnya, maka adakah penyakit ini boleh disembuhkan?

Jawapannya ya boleh.

Bagi pengidap filariasis limfatik yang kronik, penjagaan kebersihan adalah penting untuk mencegah jangkitan sekunder dan radang sistem limfatik.

Pembengkakan kecil yang berlaku terhadap bahagian badan tertentu boleh dipulihkan dengan rawatan. Namun, pembengkakan yang besar mungkin boleh diperbaiki melalui pembedahan yang rumit tetapi menghasilkan pembaikan terhad.

Menurut MyHEALTH KKM, sebanyak lapan negeri yang mempunyai kawasan-kawasan endemik filariasis limfatik iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Semua negeri tersebut diberi tumpuan khusus dalam Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan di bawah kelolaan KKM dengan kerjasama WHO.

Strategi program ini adalah untuk menghentikan transmisi jangkitan filariasis dan mengawal morbiditi pesakit filariasis limfatik.

Melalui program ini pemberian ubat skala besar dijalankan melibatkan penduduk di kawasan endemik yang dijalankan setiap tahun untuk lima pusingan.

Dua jenis ubat dalam bentuk tablet iaitu Diethylcarbamazine (DEC) dan Albendazole diberikan bagi memastikan generasi akan datang bebas daripada elephantiasis, hydrocele dan lain-lain unsur jangkitan filariasis limfatik dengan memutuskan kitaran jangkitan antara nyamuk dan manusia.

Kedua-dua ubat tersebut diberikan serentak di bawah kawal selia D.O.T (Direct Observation Therapy). Dua jenis ubat digunakan kerana ia lebih berkesan jika dibandingkan dengan penggunaan hanya satu jenis ubat.

Bagaimanapun, terdapat kesan sampingan am seperti pening, sengal badan, kelesuan, demam, mual dan muntah.

Ia dikaitkan secara positif dengan tahap dan kepadatan mikrofilaria dalam darah.

Reaksi ini biasanya berlaku di awal rawatan dan kebiasaannya tidak berlanjutan lebih dari tiga hari manakala, kesan sampingan setempat pula adalah gumpalan kecil pada skrotum atau radang kemerahan pada kawasan kulit di mana jangkitan berlaku.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, keadaan kaki bengkak luar biasa itu disebabkan penyakit filariasis limfatik dan bukan penyakit misteri.

Dari segi perubatan penyakit tersebut berpunca daripada bawaan nyamuk yang menjadi penyebar vektor cacing filaria.

Parasit atau cacing itu berupaya merosakkan sistem limfatik manusia yang membawa kepada kerosakan limfa seterusnya menyebabkan pembengkakan tidak normal pada bahagian badan tertentu yang telah dijangkiti parasit filaria.

Bagi penghidap penyakit kaki gajah kronik, mereka berdepan risiko kehilangan upaya kekal kerana tidak mampu bergerak disebabkan perubahan atau kecacatan fizikal yang teruk.

Nasihat kami di MyCheck, sekiranya ada sebarang kemusykilan, lebih baik kita semak dahulu sebelum menilai atau membuat andaian sendiri.

Mungkin masih ramai yang tidak tahu kewujudan penyakit yang dianggap ‘misteri’ ini tetapi ada kaedah rawatan dan penjelasan dari sudut perubatan yang boleh kita jadikan pengetahuan serta panduan.

Jika sebelum ini kita hanya faham bahawa nyamuk pembawa denggi sahaja, mungkin kali ini kita boleh lebih berhati-hati dengan serangga kecil ini yang mampu membawa jangkitan lain yang lebih teruk.

Jangan lupa, jaga kebersihan diri dan persekitaran kediaman anda supaya tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk! Cegahlah sebelum parah!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. 5 Penyakit yang Bisa Terjadi akibat Gigitan Nyamuk Halaman all - Kompas.com

  2. Jenis Nyamuk dan Bahayanya bagi Kesehatan, Kenali untuk Pencegahan Penyakit - Hot Liputan6.com  

  3. Filariasis - NORD (National Organization for Rare Disorders)

  4. Institut Penyelidikan Perubatan - Sejarah 

  5. Strategi PEFLK hentikan penularan-HMetro 

  6. Filariasis Limfatik (Penyakit Untut) - PORTAL MyHEALTH 

  7. Lymphatic filariasis in Peninsular Malaysia: a cross-sectional survey of the knowledge, attitudes, and practices of residents - PMC 

  8. Lymphatic filariasis in Asia: a systematic review and meta-analysis | SpringerLink 

  9. Lymphatic filariasis in Asia: a systematic review and meta-analysis | SpringerLink 

  10.  'Saya pun mahu kahwin, ada anak' - Kosmo Digital 

  11. Medic.USM-Vektor Nyamuk di Malaysia 

  12. CDC - Lymphatic Filariasis

  13. Lymphatic filariasis 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.