+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Bill Gates BUKAN Pemilik Gudang Penyimpanan Vaksin Hope Consortium. Kehadiran Beliau Ke Gudang Itu Mei Lepas Hanya Untuk Lawatan.

Benarkah...

Bill Gates merupakan pemilik gudang penyimpanan vaksin Hope Consortium di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdasarkan kehadirannya di gudang itu pada Mei lepas. Beliau telah menyediakan berbilion dos vaksin cacar monyet.

Sumber : TikTok, Twitter / Jun 2022

Hasil

Bill Gates bukan pemilik Hope Consortium. Hartawan dan dermawan terkemuka itu hanya melakukan lawatan ke gudang itu untuk mengetahui proses penyimpanan vaksin Covid-19.

13/07/2022 02:55 PM

SEKILAS FAKTA

  • Hartawan dan dermawan terkemuka, Bill Gates telah melakukan lawatan ke gudang penyimpanan vaksin Hope Consortium di Abu Dhabi pada Mei 2022.
  • Lawatan itu telah disalah tafsir bahawa beliau merupakan pemilik Hope Consortium.
  • Beliau tidak pernah menyatakan mempunyai berbillion vaksin cacar monyet seperti yang ditularkan menerusi sebuah video TikTok.
  • Kenyataan Bill Gates mengenai penularan virus telah banyak kali diambil di luar konteks oleh beberapa pihak sehingga timbulkan kekeliruan kepada masyarakat.


Sumber: TikTok

 

LATAR BELAKANG

Bill Gates merupakan seorang jutawan terkemuka dan pengasas bersama syarikat perisian komputer Microsoft dari Amerika Syarikat.

Beliau sentiasa dikaitkan dengan teori penularan virus atau wabak penyakit sehingga dipanggil sebagai ahli sihir moden.

Di media sosial, Gates dituduh sebagai pencipta virus Covid-19 selain mendapat keuntungan hasil jualan vaksin dan turut dituduh sebagai dalang menghasilkan penyakit bagi mengawal populasi dunia.

Bill Gates dikatakan kononnya mampu membuat ramalan tepat mengenai kemunculan virus atau wabak penyakit baharu.

 


Sumber: Getty Images

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video yang dikongsi oleh seorang pengguna TikTok iaitu Muhamad Sobri Hamidun yang menggunakan nama pena tokbelalang7 mendakwa Bill Gates telah menyediakan berbillion vaksin cacar monyet kepada masyarakat dunia.

Pada video itu tertera ayat seperti berikut :

Jgn risau B.G (Bill Gates) dah stand by brbillion dose vax monkeyfox,”.

 


Sumber: TikTok

 

Kami bagaimanapun mendapati video asal telah dipadam oleh pemilik akaun TikTok tersebut, namun kami berjaya mendapatkan tangkap layar video berkenaan.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Bill Gates Bukan Pemilik Hope Consortium

Semakan kami mendapati video asal lawatan Bill Gates ke gudang penyimpanan vaksin Covid-19 terbesar di benua Asia iaitu Hope Consortium di Abu Dhabi itu telah disunting oleh segelintir pihak.

Kami membuat perbandingan video asal dengan video TikTok berkenaan dan mendapati terdapat beberapa perbezaan termasuk penambahan sebaris ayat pendek yang menggambarkan Bill Gates merupakan pemilik gudang berkenaan.

 


Sumber: YouTube dan TikTok

 

Kami berjaya menemui video asal klip lawatan Bill Gates ke gudang berkenaan yang disiarkan di laman Facebook Hope Consortium pada 19 Mei 2022.

 


Sumber: Facebook Hope Consortium

 

Selain itu, hasil lawatan Bill Gates ke gudang berkenaan turut dimuat naik di laman Twitter selain YouTube rasmi hartawan terkemuka tersebut.

 


Sumber: Twitter Bill Gates

 


Sumber: YouTube Bill Gates

 

Malahan, sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang berpangkalan di UAE iaitu The Nationalnews.com turut membuat satu hantaran di Facebook mereka mengenai lawatan Bill Gates ke Hope Consortium.

Menerusi video berkenaan, Gates mendedahkan beliau kagum dengan usaha yang dilakukan oleh UAE dalam membangunkan sebuah gudang penyimpanan vaksin Covid-19 yang memberi manfaat kepada manusia dalam menghadapi penularan wabak berkenaan.

Hope Consortium merupakan kerjasama di antara pihak kerajaan UAE dan syarikat swasta melibatkan Jabatan Kesihatan Abu Dhabi selain beberapa pihak swasta seperti Abu Dhabi Ports, Etihad Cargo, Rafed, Maqta Gateway and SkyCell.

 

Bill Gates Dan Propaganda Mengenai Teori Covid-19

Isu kontroversi Bill Gates dengan teori penularan virus atau wabak penyakit bukanlah perkara baharu kerana nama beliau pernah dikaitkan dengan isu sama oleh pelbagai pihak sehingga beliau didakwa sebagai ahli sihir moden.

Antaranya adalah dakwaan kewujudan pandemik baharu selepas Covid-19 dan usaha terancang untuk menyebarkan vaksin berkenaan ke benua Eropah dan Amerika Utara.

Selain itu, Gates turut dikatakan kerajaan di benua Eropah dan Amerika Utara perlu bersedia dengan perancangan tersusun segelintir pihak untuk penyebaran virus cacar monyet.

Kenyataan Gates sebenarnya merujuk kepada usaha yang perlu dilakukan untuk sesebuah negara  dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi ancaman wabak dan bukannya penularan wabak berkenaan.

 

Badan Semakan Fakta Sahkan Video Disunting

Video lawatan Bill Gates ke gudang Hope Consortium di Abu Dhabi itu turut disemak oleh pelbagai badan semakan fakta Indonesia dan mengesahkan video TikTok berkenaan telah disunting.

Mereka turut menjelaskan bahawa Bill Gates tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jutawan berusia 66 tahun itu memiliki gudang penyimpanan vaksin Covid-19.

Badan semakan fakta berkenaan antaranya adalah AFP, Masyarakat Anti Fitnah Indonesia (MAFINDO) dan Kompas.com.

Kesemua mereka mengesahkan bahawa Bill Gates sekadar melawat gudang Hope Consortium.

Yayasan Bill & Melinda Gates yang diasaskan oleh Gates bersama bekas isterinya, Melinda Gates turut menafikan Gates merupakan pemilik gudang berkenaan.

 

KESIMPULAN

Bill Gates sememangnya seorang jutawan yang dikenali dengan sifat dermawan terutamanya melibatkan isu kesihatan global seperti virus Covid-19 dan cacar monyet.

Malangnya kenyataan beliau sering disalah tafsir dan disebarkan tanpa pengesahan.

Adalah lebih baik kita mendapatkan pengesahan daripada mereka yang berkenaan daripada berkongsi fakta yang tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan atau mencetuskan panik masyarakat.

Di kala dunia sedang bertarung dengan penularan pandemik atau virus penyakit yang belum berkesudahan seperti Covid-19 dan cacar monyet, usahlah kita menularkan berita yang tidak tepat kerana ia hanya akan menimbulkan kegusaran masyarakat umum.

Ingat, terlajak sebar buruk padahnya. Jika ragu, MyCheck dahulu.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. TikTok Tokbelalang7

  2. Facebook Hope Consortium

  3. Twitter Bill Gates

  4. YouTube Bill Gates

  5. Facebook TheNationalNews

  6. Catatan sebar dakwaan palsu bahawa 'Bill Gates telah menyediakan berbilion vaksin cacar monyet'.Diterbitkan oleh AFP Semakan Fakta

  7. CEK FAKTA: Benarkah Bill Gates Telah Menyiapkan Miliaran Vaksin Cacar Monyet?Diterbitkan oleh Kompas.com

  8. [SALAH] Bill Gates Menyiapkan Miliaran Vaksin Cacar Monyet.Diterbitkan oleh MAFINDO

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.