+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

WhatsApp Tular Kejadian Gempa Bumi di Sabah dan Thailand Berserta Amaran Tsunami Adalah Informasi Palsu

Benarkah...

Berlaku gempa bumi kuat di Sabah dan Thailand serta keadaan luar biasa yang menjadi petunjuk akan berlaku Tsunami.

Sumber : WhatsApp / Julai 2022

Hasil

Jabatan Meteorologi Malaysia nafi dakwaan itu. Pihak berwajib negara lain juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

20/07/2022 09:52 AM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat satu dakwaan menyatakan berlaku gempa bumi kuat di Sabah dan Thailand yang membawa amaran Tsunami disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
  • Amaran Tsunami itu juga dikaitkan dengan kejadian ikan paus terapung di pantai Balik Pulau di Pulau Pinang serta banyak ikan yang muncul di kawasan darat di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
  • Dakwaan tersebut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp yang tidak diketahui sumbernya.
  • Hasil semakan MyCheck mendapati tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mana-mana pihak berwajib berkenaan kejadian seperti didakwa, malah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut menafikan perkara tersebut.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Keadaan cuaca panas, kering, sejuk, hujan serta ribut petir silih berganti ketika ini membuatkan orang ramai lebih peka serta berjaga-jaga dengan keadaan serta keselamatan di persekitaran mereka.

Perubahan cuaca yang tidak menentu ini juga berisiko terhadap sebarang kejadian bencana alam termasuk banjir.

Mana tidaknya, hujan berterusan dalam tempoh kurang empat jam juga mampu menyebabkan insiden tidak diingini berlaku di kawasan yang tidak pernah dinaiki air.

Antara yang terbaru kejadian banjir di Baling Kedah yang meragut tiga nyawa serta memusnahkan banyak rumah penduduk di kawasan berkenaan.

Berikutan itu, orang ramai sentiasa dinasihatkan agar berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutama jika berlaku hujan lebat berterusan sehingga paras air laut naik mendadak.

Tidak mustahil juga, risiko bencana lain seperti gempa bumi serta ancaman Tsunami.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

MyCheck menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa berlaku gempa bumi kuat di Sabah dan Thailand.

Selain itu beberapa keadaan luar biasa di kawasan pantai yang menjadi petunjuk bakal berlaku Tsunami.

Menerusi maklumat yang kami terima itu, turut dinyatakan juga bahawa terdapat beberapa ekor ikan paus yang terapung di pantai Balik Pulau di Pulau Pinang.

Mesej itu juga mengingatkan tentang beberapa kejadian luar biasa yang terjadi sejak beberapa hari lepas melibatkan kawasan pantai di Malaysia, Singapura dan Indonesia yang mana banyak ikan muncul di kawasan darat.

Keadaan tersebut turut dikaitkan dengan risiko ‘kedatangan’ Tsunami.

Sehubungan itu seluruh keluarga diingatkan agar bersedia serta tidak menghampiri kawasan pantai.

Maklumat dan dakwaan yang diterima ini pastinya menimbulkan rasa bimbang dan resah dalam kalangan orang ramai.

Apa pun biar MyCheck semak kesahihan dakwaan ini terlebih dahulu ya!

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck cuba membuat carian rawak menerusi enjin carian Google menggunakan kata kunci ‘Gempa Sabah-Tsunami’ bagi mendapatkan maklumat jika terdapat laporan awal berkenaan perkara itu dalam tempoh 24 jam atau beberapa hari hari lepas.

Maklumat berkaitan beberapa ekor ikan paus terapung di pantai Balik Pulau di Pulau Pinang serta ikan-ikan yang naik ke darat di pantai Malaysia, Singapura dan Indonesia juga cuba kami jejaki.

Bagaimanapun, hasil carian kami menerusi enjin carian Google tidak menunjukkan sebarang maklumat yang sepadan.

Ini bermakna informasi berkaitan dakwaan itu tidak dijumpai menerusi carian awal yang kami lakukan setakat laporan ini ditulis (19 Julai 2022).

 


Sumber: Google

 

Bukan Hebahan Rasmi

Seterusnya MyCheck meneliti maklumat yang diterima dari segi format sebaran mesej tersebut.

Jelas kelihatan maklumat itu bukan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Dari segi frasa ayat serta maklumat tertera juga didapati tidak tersusun, malah boleh dikatakan tidak lengkap.

Berdasarkan pemerhatian kami di MyCheck, pihak MetMalaysia biasanya akan mengedarkan hebahan gempa bumi yang lengkap dengan tarikh serta masa kejadian termasuk bacaan magnitud sebaik sahaja terdapat kejadian gempa bumi kuat atau lemah.

 


Sumber: WhatsApp

 

Tiada Sebarang Laporan Gempa Bumi Terbaharu Di Laman Rasmi (MetMalaysia)

Seterusnya, MyCheck membuat semakan di laman rasmi MetMalaysia untuk mendapatkan kemas kini terbaharu oleh pihak berkenaan berhubung kejadian gempa bumi.

Namun apa yang kami temui hanyalah kemas kini sehingga tarikh 17 Julai 2022 dan tiada sebarang maklumat seperti yang didakwa.

 

Ketua Pengarah MetMalaysia Nafi Dakwaan Tular

Bagi mendapatkan pengesahan lanjut daripada MetMalaysia, MyCheck kemudian cuba menghubungi Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau menerusi WhatsApp kepada MyCheck telah menafikan dakwaan tular serta menyifatkan ia adalah palsu.

 


Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

 

Laman Informasi Gempa Bumi Seluruh Dunia

Kami juga cuba menyemak maklumat gempa bumi bagi Sabah, Thailand, Singapura dan Indonesia di laman volcanodiscovery.com iaitu sebuah portal kemas kini situasi gempa bumi global melibatkan pelbagai negara di dunia beserta data yang menyeluruh bagi sesebuah negara atau kawasan.

Maklumat yang kami peroleh juga tidak sepadan dengan dakwaan yang diterima.

Kemas kini terkini bagi Sabah, Singapura, Thailand dan Indonesia pada 19 Julai yang kami peroleh adalah seperti berikut :

Sabah : 'There were no significant confirmed earthquakes in or near Sabah in the past 24 hours'.

Singapura : 'There were no significant confirmed earthquakes in or near Singapore in the past 24 hours'

Thailand :  'Strongest quake today: Mag. 2.3 | 81 km W of Tachilek, Tachileik District, Shan State, Myanmar (Burma) - 10 hours ago'

Indonesia : 'Strongest quake today (moderate): Mag. 4.8 | Aru Sea, 180 km SW of Nabire, Papua, Indonesia - 19 minutes ago'

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami kumpul dan semak, dakwaan berlaku gempa bumi kuat di Sabah dan Thailand serta keadaan luar biasa yang menjadi petunjuk akan berlaku Tsunami adalah tidak benar.

Maklumat berkaitan bencana alam dan kejadian menakutkan seperti gempa bumi dan Tsunami bukanlah sesuatu yang boleh dianggap remeh, jauh sekali dijadikan bahan gurauan.

Lebih-lebih lagi dakwaan menerusi aplikasi WhatsApp tersebut tidak disertakan dengan sebarang gambar atau video kejadian.

Jangan mudah mempercayai sesuatu berita tanpa adanya bukti atau sebarang kenyataan rasmi pihak berwajib mahupun laporan media berkenaan sesuatu perkara itu.

Nasihat kami di MyCheck, sekiranya anda menerima sebarang maklumat terutamanya dalam bentuk kenyataan tanpa ada sumber rujukan, lebih baik semak informasi tersebut terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya kepada orang lain.

Ingat ya, jangan sebar melulu, semak fakta anda terlebih dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. https://www.met.gov.my/  

  2. Latest Earthquakes in Sabah, Malaysia, Today: Past 24 Hours

  3. Latest Earthquakes in Thailand Today: Past 24 Hours). 

  4. Quake Info: Weak Mag. 2.7 Earthquake - 26 km Southwest of Atambua, Kabupaten Belu, East Nusa Tenggara, Indonesia, on Tuesday, Jul 19, 2022 at 4:55 pm (GMT +8) 

  5. Singapore Earthquakes Today: Latest Quakes Past 24 Hours

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.