+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Air Lemon Panas TIDAK BOLEH Bunuh Sel Kanser

Benarkah...

Minum air lemon panas boleh membunuh sel kanser.

Sumber : Facebook / Julai 2022

Hasil

Tiada bukti saintifik sahkan minum air lemon panas boleh membunuh sel kanser, namun ia boleh dijadikan minuman alternatif bagi melawan penularan sel kanser.

26/07/2022 01:32 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular di Facebook dakwaan bahawa campuran buah lemon bersama secawan air panas boleh membunuh sel kanser.
  • Pakar kesihatan nafi minuman berkenaan boleh membunuh sel kanser.
  • Rawatan daripada doktor pakar dan amalan pemakanan sihat merupakan langkah terbaik untuk mencegah penularan sel kanser.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Saban tahun, sering kita dengar kematian akibat penyakit kanser.

Kanser atau barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan.

Menurut Penerbitan Perangkaan Sebab Kematian di Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan, kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di negara ini selepas penyakit jantung iskemik (ischaemic heart disease).

Kanser boleh dirawat namun proses rawatannya bukan sesuatu yang mudah kerana ia bergantung pada jenis kanser serta tahap kanser itu.

Kebanyakan pesakit kanser terutama di tahap akhir bukan sekadar ‘berperang’ melawan kesakitan namun berdepan cabaran untuk mencari penawar bagi menyembuhkan penyakit itu.

Selain perubatan moden, ramai cuba mencari kaedah rawatan kanser secara tradisional termasuk mengamalkan makanan tambahan daripada herba, sayuran, tumbuhan semula jadi dan buah-buahan.

Air daripada buah lemon juga antara yang dikatakan boleh membunuh sel kanser dan kepercayaan itu bagaikan telah ‘sebati’ dengan masyarakat sehingga ada yang meminum lemon dalam kuantiti yang berlebihan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Joerien Matagi telah berkongsi satu hantaran mengenai langkah untuk mencegah dan menghilangkan kanser termasuk meminum secawan air panas yang dicampur buah lemon.

Beliau mendakwa sekiranya kaedah berkenaan diamalkan bagi tempoh satu hingga tiga bulan, ia mampu membunuh sel kanser.

Joerien dikatakan membuat dakwaan itu berdasarkan kajian oleh penyelidik daripada Maryland College of Medicine, Amerika Syarikat yang mendedahkan kaedah berkenaan adalah seribu kali lebih baik daripada rawatan kemoterapi.

Selain itu, Joerien turut berkongsi beberapa petua lain termasuk minum tiga sudu minyak kelapa organik pada waktu pagi dan malam, selain mengelakkan pengambilan gula.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Lemon Dan Kanser Bukan Perkara Baharu

My Check membuat carian di media sosial dan mendapati dakwaan menyatakan air lemon boleh membunuh sel kanser sebenarnya bukan perkara baharu.

Ia hangat diperkatakan di media sosial sejak beberapa tahun yang lepas dan tular semula tahun ini, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Indonesia.

Anda boleh lihat perkongsian beberapa pengguna Facebook mengenai perkara itu antaranya seperti di sini, di sini dan di sini.

Selain itu, dakwaan mengenai isu yang sama boleh ditemui di beberapa blog atau laman sesawang seperti di sini, sini, sini, sini dan di sini.

 

Doktor Turut Buat Dakwaan Sama?

Bukan sahaja warganet dan masyarakat biasa, seorang doktor perubatan yang terkenal di media sosial, Doktor Noordin Darus juga pernah mengeluarkan kenyataan di laman YouTube peribadinya mendakwa minum air lemon boleh membunuh sel kanser.

Namun, jangan salah faham, menurut Dr Noordin, air lemon merupakan satu minuman tambahan yang boleh diminum penghidap penyakit itu sebagai usaha melawan sel kanser, bukan membunuh sepenuhnya sel kanser seperti dakwaan tular.

Antara penjelasan Dr Noordin adalah seperti berikut :

Air lemon ni antara satunya boleh membantu lawan kanser, saya ulang, membantu lawan kanser. Dia tak kata terus tembak, bunuh kanser macam kimo (kemoterapi) tu, kan, tetapi ramai dah mendapat manfaat, asalkan dia berasal daripada sitrik, fruits atau vegetables, citrus fruits atau vegetables yang rangup dan yang ada asid kat luar macam ni, memang dia ada impak untuk lawan kanser, terutama sekali kajian yang ‘confirm’ untuk kanser lidah, kanser paru-paru dan kanser kolon,”.

 


Sumber: YouTube

 

Memang benar Dr Noordin ada menyatakan manfaat meminum air lemon tetapi ia bukan untuk membunuh sel kanser itu sebaliknya untuk membantu melawan sel kanser.

MyCheck dapati ramai masyarakat yang sering salah faham dengan perkongsian daripada Dr Noordin seperti laporan yang pernah dikeluarkan kami pada 14 Disember 2021 yang bertajuk Air Kelapa, Lemon Dan Kangkung TIDAK BERKESAN Rawat Jangkitan Covid-19.

Menurut laporan itu, Dr Noordin didakwa mengatakan bahawa air kelapa, air lemon dan kangkung boleh menyembuhkan penyakit Covid-19.

Namun hasil semakan MyCheck mendapati kapsyen ‘Air Kelapa, Lemon Cegah Penularan Virus’ yang digunakan pada rakaman video Dr Noordin telah disunting sehingga memberi konteks salah kepada pengguna media sosial yang hanya melihat paparan itu tanpa menonton video penuh.

Dr Noordin sebenarnya memberi panduan cara menggunakan sumber semula jadi sebagai cara meningkatkan imuniti tubuh.

Jadi penting di sini untuk setiap daripada kita mendengar dengan teliti dan sehingga habis sesuatu perkongsian atau penjelasan daripada seseorang itu agar tidak salah faham atau salah konteks.

 

Badan Semakan Fakta Nafi Keberkesanan Air Lemon Rawat Kanser

Kami turut menemui beberapa badan semakan fakta yang pernah membuat semakan isu yang sama dan kesemua mereka menafikan kaedah berkenaan berkesan dalam membunuh sel kanser.

Di negara jiran misalnya, badan semakan fakta yang telah membuat laporan akan dakwaan itu adalah Detik.com, tempo.co serta liputan6.com yang pernah menerbitkan laporan mengenai isu ini pada 2019.

Malah badan semakan fakta antarabangsa lain seperti The Hindu, Boom, AFP, Politifact serta The Snopes juga telah menerbitkan laporan mengenai isu ini dan mengklasifikasikan sebagai tidak benar.

Menurut Ketua Umum Yayasan Kanker Indonesia Prof Dr Aru Wisaksono Sudoyo, tiada bukti sahih mengatakan kaedah berkenaan berkesan dalam merawat kanser.

"Air lemon sehat sebatas vitamin C yang terkandung di dalamnya. Tetapi sama sekali tidak efektif untuk (memusnahkan) kanker (kanser)," jelasnya menerusi laman semakan fakta berkenaan,”.

 


Sumber: tempo.co

 


Sumber: AFP Fact Check

 

Pandangan Pakar Perubatan

Seorang doktor perubatan dari Indonesia iaitu Dr Sepriani Timurtini Limbong yang kini bertugas di Karolinska Institutet, Sweden mengesahkan bahawa lemon bukanlah penyembuh kanser, namun merupakan makanan alternatif kepada pesakit kanser.

Karolinska Institutet merupakan antara universiti penyelidikan perubatan terkemuka di dunia.

Kalau sudah terdiagnosis dengan kanker (kanser), pengobatannya harus disesuaikan dengan stadium dan kondisi pasien (pesakit) itu sendiri.

Jadi, (buah) lemon hanya sebagai terapi suportif (sokongan) yang sifatnya tidak wajib. Jadi boleh digunakan dan boleh juga tidak,” jelas Dr Sepriani yang dipetik menerusi laman sesawang klikdokter.com.

 


Sumber: Klikdokter.com

 

Sebuah pusat penyelidikan kesihatan di Amerika Syarikat  Pusat Kajian Kesihatan Nasional turut mendedahkan bahawa tiada bukti saintifik mengaitkan buah lemon sebagai kaedah rawatan penyakit kanser.

 


Sumber: National Center For Health Research

 

Kajian yang dikeluarkan oleh pusat berkenaan mendedahkan walaupun lemon dan buah citrus mempunyai beberapa elemen untuk merawat kanser namun kajian terhadap manusia belum pernah dijalankan.

 

Kaedah Rawatan Pesakit Kanser

Sementara itu, laman sesawang hellodoktor mencadangkan tiga kaedah rawatan kepada pesakit kanser iaitu yang pertama menerusi pembedahan membuang sel kanser.

Rawatan kedua adalah kemoterapi iaitu menggunakan ubat untuk menyerang dan membunuh sel-sel kanser, namun pesakit berkenaan akan mengalami beberapa kesan sampingan yang teruk seperti muntah, rambut gugur, hilang kesuburan atau sakit kepala.

Satu lagi rawatan kanser yang biasa digunakan adalah radioterapi yang melibatkan penggunaan gelombang radio untuk membunuh sel kanser yang terdapat di dalam badan pesakit.

 

KESIMPULAN

Air lemon memang ada manfaatnya antaranya membuang toksin dalam badan, melancarkan sistem pencernaan, mencegah batu karang dan mengurangkan paras kolesterol namun ia tidak boleh membunuh kanser.

Jika anda atau insan terdekat diuji dengan penyakit kanser, yakinlah bahawa masih ada harapan untuk sembuh.

Paling penting segera dapatkan rawatan daripada pakar perubatan dan barulah mencari makanan alternatif antaranya air lemon itu sebagai tambahan untuk kesihatan badan.

Kuantiti air lemon yang diambil juga perlulah dengan nasihat doktor atau pakar perubatan ya, kerana jika berlebihan boleh memberikan kesan negatif seperti yang disiarkan menerusi portal hellodoktor ini.

Apa jua pilihan kita, biarlah dengan pertimbangan sewajarnya.

Jangan sampai tersilap cara, kanser belum sembuh, datang pula sakit lain seperti peribahasa sudah kering terjemur pula, sudah garing kena ramas pula yang bermaksud berturut-turut mendapat kesusahan.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Facebook Joerien Matagi

  2. Facebook Komuniti Kanser Payudara

  3. Facebook Melatisarihq

  4. Facebook Fanny Lie

  5. AIR LEMON PANAS PEMBUNUH KANSER.Diterbitkan oleh CekguNorazimah.com

  6. Petua pemusnah Sel Kanser dengan air lemon panas.Diterbitkan oleh sedapnya-makan.com

  7. Lemon panas tanpa gula elak kanser.Diterbitkan oleh pesonapengantin.my

  8. Benarkah Lemon Mampu Mematikan Sel-Sel Kanser?Diterbitkan oleh sehinggit.blogspot.com

  9. YouTube Dr. Noordin Darus

  10. Cek Fakta Kesehatan: Minum Air Lemon Hangat Musnahkan Sel Kanker.Diterbitkan oleh liputan6.com

  11. Do Lemons Prevent Cancer?Published by center4research.org

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.