+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minyak Masak Paket Bersubsidi Tidak Boleh Digunakan Untuk Tujuan Komersial Namun Pengecualian Diberikan Kepada Peniaga Kecil

Benarkah...

Perdana Menteri Ismail Sabri berkata peniaga kecil seperti penjaja dan penjual pisang goreng tidak boleh menggunakan minyak masak paket bersubsidi.

Sumber : TikTok & Facebook / Julai 2022

Hasil

Kenyataan Perdana Menteri itu tidak dikeluarkan sepenuhnya sehingga menimbulkan salah faham masyarakat. Minyak masak paket bersubsidi 1kg memang hanya untuk kegunaan isi rumah domestik namun setakat ini pengecualian diberikan kepada peniaga kecil.

03/08/2022 12:42 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular video memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata minyak masak paket bersubsidi tidak dibenarkan untuk para peniaga kecil atau penjaja.
  • Menurut Ismail Sabri adalah menjadi satu kesalahan jika peniaga kecil menggunakan minyak itu kerana ia tidak boleh digunakan secara komersial.
  • Video berdurasi 15 saat itu sebenarnya telah disunting pendek daripada video asal.
  • Dalam video penuh, memang Ismail Sabri menyatakan bahawa menjadi kesalahan sekiranya para penjaja atau peniaga kecil didapati menggunakan minyak masak paket bersubsidi kerana minyak tersebut tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial.
  • Namun atas dasar toleransi, kerajaan tidak mengeluarkan saman terhadap peniaga kecil yang menggunakan minyak paket tersebut.
  • Subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan paket atau polibeg 1kg serta tidak dibenarkan untuk kegunaan perniagaan komersial berskala besar.

 

LATAR BELAKANG

Isu kenaikan harga barangan memang hangat diperkatakan umum sejak kebelakangan ini.

Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan subsidi minyak masak dalam botol serta harga siling ayam dan telur ayam berkuat kuasa 1 Julai 2022, menimbulkan pelbagai reaksi para pengguna.

Masyarakat termasuk warganet menzahirkan pelbagai reaksi terhadap isu tersebut dan rata-ratanya mengeluh dengan menyifatkan ia akan membebankan lagi ramai rakyat terutama golongan B40.

Itu belum lagi ditambah dengan beban kos perbelanjaan yang meningkat secara mendadak yang amat dirasai semua pihak.

Untuk rekod, pada Jun lepas kerajaan mengumumkan subsidi bagi minyak masak jenis paket dengan isipadu 1 kilogram (1kg) akan diteruskan dalam usaha meringankan beban rakyat.

Subsidi yang ditanggung oleh kerajaan adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi 1kg sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9 bagi 1kg untuk kegunaan golongan B40.

Bagaimanapun subsidi bagi minyak masak tulen botol berkapasiti 2kg hingga 5kg dimansuhkan bermula 1 Julai.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu video yang dikongsikan oleh seorang lelaki menggunakan nama jason.yew di aplikasi TikTok berhubung isu minyak masak paket bersubsidi.

Video berdurasi 15 saat itu memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada sidang Dewan Rakyat bahawa minyak masak paket tidak dibenarkan kepada para peniaga atau penjaja.

Terpapar kapsyen “Penjaja pisang goreng tak boleh guna minyak masak paket - PM” pada video berkenaan.

Selain itu turut kelihatan tera air (watermark) stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menerusi video berkenaan, Ismail Sabri berkata peniaga pisang goreng yang menggunakan minyak masak paket adalah satu kesalahan memandangkan ia (minyak masak) tidak boleh digunakan secara komersial.

Berikut kami kongsikan kenyataan Ismail Sabri :

Pakcik makcik yang jual goreng pisang, mereka tidak boleh menggunakan minyak masak untuk kegunaan jual goreng pisang kerana itu salah. Sebab minyak masak paket ini tidak boleh untuk komersial, jadi salah, ”.

Benarkah penggunaan minyak masak paket bersubsidi ini salah buat para peniaga atau penjaja? Jom MyCheck semak.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Video Asal Yang Tular Di TikTok Telah Dipadam

Langkah pertama MyCheck adalah melakukan carian menggunakan klip video pendek itu.

Berdasarkan semakan, video yang tular tersebut memang asalnya dari TikTok dan dimuat naik oleh pemilik akaun dengan nama jason.yew.

Kami menatal (scrolling) akaun TikTok milik lelaki berkenaan dan mendapati beliau gemar membuat klip video pendek memaparkan kenyataan ahli-ahli politik negara.

Bagaimanapun kami tidak dapat menemukan klip video tular itu, berkemungkinan ia  telah dipadam oleh pemiliknya.

Namun kami menjumpai klip video daripada jason.yew itu yang dikongsikan oleh seorang pengguna akaun Facebook menggunakan nama Mansor Man. Anda boleh lihat di sini.

 

Video Penuh Berdurasi Lebih 1 Minit

Kami kemudiannya melakukan pencarian di Facebook dan menemukan video  penuh kenyataan Ismail Sabri yang dikongsikan sebuah portal berita, Sumberkini. Anda juga boleh lihat video dan baca berita selanjutnya di portal Sumberkini di sini.

Berdasarkan video berkenaan memang benar Ismail Sabri ada membuat kenyataan itu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Namun video tersebut sebenarnya berdurasi lebih 1 minit yang memaparkan penjelasan lanjut mengenai penggunaan minyak masak bersubsidi oleh peniaga kecil dan penjaja termasuk peniaga goreng pisang.

Jadi ini bermakna, klip video yang tular itu telah disunting pendek sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

 

Apa Sebenarnya Kenyataan Ismail Sabri?

MyCheck mendengar keseluruhan video daripada Sumberkini itu dan kenyataan Ismail Sabri antaranya adalah :

Pakcik makcik yang jual goreng pisang, mereka tak boleh menggunakan minyak masak untuk kegunaan jual goreng pisang, itu salah.

Minyak masak paket ini tidak boleh untuk komersial, jadi salah. Tapi adakah penguat kuasa nak saman makcik tukang masak ni atau rampas minyak masak mereka? Nanti dituduh kita zalim pula kepada rakyat yang miskin ini, yang nak menjual kais pagi makan pagi ini.

Jadi bukan sesuatu yang mudah seperti ABC tetapi ada perkara-perkara yang kita perlu pertimbangkan,”.

Berdasarkan kenyataan Ismail Sabri itu memang benar beliau menyatakan bahawa menjadi satu kesalahan jika peniaga kecil atau beliau memberi contoh penjual pisang goreng menggunakan minyak masak bersubsidi itu kerana ia tidak boleh untuk kegunaan komersial.

Tetapi penjelasan lanjutnya memberi maksud bahawa kerajaan masih berkompromi dan mempunyai belas ihsan terhadap peniaga kecil dengan tidak mengambil sebarang tindakan mahupun mengeluarkan saman kepada mana-mana peniaga kecil yang menggunakan minyak berkenaan.

Menurut Ismail Sabri juga kerajaan perlu mempertimbangkan beberapa perkara sebelum mengambil tindakan lanjut dan akan melakukan yang terbaik untuk menangani perkara itu.

 

Penjelasan Ismail Sabri Di Facebook, Warganet Akui Video Tular Yang Disunting Pendek Penyebab Salah Faham

Ismail Sabri turut memuat naik hantaran penjelasan berserta video penuh kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung isu itu di Facebook rasminya.

Penjelasan Perdana Menteri itu mendapat lebih 7,200 reaksi, 1,600 komen dan perkongsian setakat laporan ini ditulis (2 Ogos 2022).

MyCheck turut menemukan komen daripada warganet yang mengakui salah faham ketika menonton video tular yang disunting pendek di TikTok.

 


Sumber: Facebook

 


Sumber: Facebook

 

Selain itu portal semakan fakta Sebenarnya.my, juga telah mengeluarkan penjelasan mengenai isu tersebut.

 

Pengecualian Untuk Peniaga Kecil?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi pada 6 Julai lepas berkata minyak masak paket 1kg bersubsidi hanya untuk kegunaan isi rumah dan tidak boleh dibeli atau digunakan bagi tujuan komersial seperti pengusaha restoran.

Memetik laporan Astro Awani, Nanta menegaskan bahawa minyak masak paket tidak boleh digunakan oleh perniagaan atau restoran pada skala yang besar namun pengecualian ini diberikan kepada peniaga kecil.

Pada 18 Julai 2022 pula, isu minyak masak paket bersubsidi ini kembali diperkatakan di Dewan Rakyat apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanyakan kepada Ismail Sabri berhubung tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan kaya.

 

Benarkah Peniaga Atau Penjaja Tidak Boleh Guna Minyak Masak Paket?

MyCheck kemudiannya membuat tinjauan terhadap minyak masak paket 1kg bersubsidi yang dijual di pasaran.

Apa kami temui adalah memang benar bahawa minyak masak paket itu hanyalah untuk kegunaan isi rumah sahaja dan bukannya untuk kegunaan berniaga.

Di bahagian bawah bungkusan itu, jelas tertera label “minyak masak paket adalah untuk kegunaan isi rumah tempatan sahaja dan tidak boleh dieksport”.

Menerusi perkongsian daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), kerajaan telah memperuntukkan minyak masak bersubsidi 1kg adalah untuk kegunaan isi rumah domestik dan terdapat had pembelian.

Had pembelian yang ditetapkan adalah bertujuan untuk memastikan lebih ramai isi rumah dapat menikmati subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

 


Sumber: KPDNHEP

 

Selain itu, KPDNHEP juga turut berkongsi grafik dalam bentuk kartun untuk menjelaskan lagi mengenai hal ini.

 


Sumber: KPDNHEP

 

Hanya Minyak Masak Paket 1kg Dapat Subsidi Kerajaan

Sebenarnya bermula November 2016, subsidi harga minyak masak hanya diberikan kepada bungkusan paket atau polibeg 1kg.

Pelaksanaan itu dibuat menerusi Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Bagaimanapun minyak masak tulen botol berkapasiti 2kg hingga 5kg dimansuhkan subsidi bermula 1 Julai.

Ini menyebabkan harga jualannya tidak dikawal dan melambung serta berbeza antara satu premis dengan premis yang lain.

Kerajaan kekalkan pemberian subsidi bagi minyak masak paket 1kg adalah tidak lain bertujuan bagi memastikan rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak masak bagi kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50 bagi satu kg.

 


Sumber: KPDNHEP

 

Ismail Sabri menerusi Berita Harian bertarikh 22 Jun berkata subsidi minyak masak berpaket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Jelasnya, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021, sekali gus menafikan dakwaan mengatakan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, kami kategorikan dakwaan tersebut sebagai bercampur.

Ini kerana memang benar Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tersebut namun ia tidak secara keseluruhan sehingga menyebabkan salah faham dan mencetuskan panik orang ramai terutama peniaga kecil sehingga ada yang mula bimbang akan dikenakan saman dan tindakan undang-undang.

MyCheck menyedari isu kenaikan harga barangan terutama berkaitan makanan ini pasti menjadi perhatian masyarakat kerana ia berkait dengan kelangsungan hidup.

Namun setakat ini kerajaan masih mempunyai ihsan dan bertoleransi dengan peniaga kecil-kecilan dengan tidak mengambil tindakan undang-undang biarpun minyak masak paket bersubsidi itu memang tidak dibenarkan untuk kegunaan perniagaan komersial.

Perdana Menteri juga berkata akan melakukan yang terbaik sebelum mempertimbang apa-apa tindakan. Jadi janganlah kita cepat melatah, apa kata kita tunggu dan lihat dulu ya.

Apa pun sebagai pengguna teknologi tanpa sempadan yang bijak, seharusnya kita lebih peka dengan sebarang maklumat yang diterima. Seperti biasa ingat pesan MyCheck, Jangan Sebar Melulu, MyCheck dahulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.TikTok Jason Yew

2.Facebook Mansor Man

3.Facebook Ismail Sabri Yaakob

4.Sebenarnya.my

5.Sumberkini.my

6.Facebook KPDNHEP

7.Berita Harian. “Kerajaan kekal subsidi minyak masak berpaket”

8.Astro Awani. “Subsidi minyak masak hanya untuk bungkusan 1 kg - KPDNHEP”

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.