Kegiatan Campur Minyak Masak Bersubsidi Dengan ‘Minyak Sembahyang’ Memang Wujud. KPDNHEP Telah Ambil Tindakan

05/08/2022 03:45 PM

Benarkah...

Wujudnya kegiatan mencampurkan minyak masak bersubsidi dengan ‘minyak sembahyang’ iaitu minyak untuk kegunaan upacara sembahyang bagi orang bukan Islam dan dijual dengan harga yang tinggi.

Sumber : Facebook / Julai 2022

Hasil

Dakwaan wujudnya kegiatan itu adalah sahih dan ia turut dilaporkan beberapa media arus perdana. KPDNHEP ambil tindakan dan suspek telah ditahan. 

Penyelidik : Mazani CYS

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu hantaran di Facebook mendakwa seorang peniaga di Pulau Pinang ditahan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menyeleweng minyak masak bersubsidi.
  • Peniaga terbabit dikatakan mencampurkan minyak masak bersubsidi dengan minyak untuk tujuan sembahyang dan menjualnya dengan harga yang tinggi.
  • Dakwaan berkenaan adalah sahih dan laporan berita berkaitan isu itu turut disiarkan beberapa media arus perdana antaranya Sinar Harian dan Astro Awani.
  • Peniaga terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.
  • Minyak masak bersubsidi dijual dalam bentuk pek polibeg plastik 1 kilogram pada harga RM2.50.


Sumber: Bernama

 

LATAR BELAKANG

Kerajaan pusat memperkenalkan program minyak masak bersubsidi sejak Jun 2007 bagi memastikan golongan B40 (pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 sebulan) dapat membeli barang keperluan berkenaan pada harga rendah di pasaran tempatan.

Menurut laman sesawang KPDNHEP, kerajaan komited membantu golongan berpendapatan rendah membeli minyak masak berkenaan yang dijual pada harga RM2.50 bagi satu 1kg.

Laman sesawang berkenaan turut memaklumkan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi telah dikeluarkan pada setiap bulan bagi menampung kegunaan golongan berpendapatan rendah.

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu akaun menggunakan nama Video Lagu Jiwang di Facebook telah memuat naik hantaran mendakwa seorang lelaki melakukan kegiatan mencampurkan minyak masak dengan minyak untuk upacara sembahyang oleh masyarakat bukan Islam bagi mengaut keuntungan.

Hantaran yang dimuat naik pada 14 Julai 2022 turut disertakan dengan kapsyen ‘Demi Kaut Untung, Lelaki Campur Minyak Masak Dengan ‘Minyak Sembahyang’.

Ia mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya meninggalkan komen berbaur marah selain ada yang mempersoalkan apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berhubung kegiatan itu.

 


Sumber: Facebook

 

APA YANG KAMI TEMUI

Akaun Video Lagu Jiwang Kongsi Laporan Daripada Portal Beritaku1.Com

Langkah pertama MyCheck adalah meneliti hantaran di akaun Facebook Video Lagu Jiwang itu.

Sekali pandang jelas tertera tulisan kecil bertulis BERITAKU1.COM di bawah gambar pada hantaran tersebut.

Kebiasaannya tulisan kecil seperti itu menandakan ia adalah satu pautan yang boleh diklik untuk ke halaman atau portal lain.

MyCheck kemudian klik pada pautan itu dan ia terus membawa kami ke sebuah laporan dengan tajuk sama di portal Berita Ku yang memaparkan pelbagai berita terkini dan tular termasuk resipi masakan.

Dari sini dapat disahkan bahawa akaun Video Lagu Jiwang itu telah berkongsi laporan yang dikeluarkan oleh portal Berita Ku.

Namun benarkan laporan ini? MyCheck semak selanjutnya.

 

Laporan Adalah Sahih, Dipetik Daripada Astro Awani.

Tidak perlu menatal (scrolling) lanjut, sesiapa sahaja yang menekan pautan itu akan dapat melihat laporan oleh portal Berita Ku berhubung minyak masak itu.

Antara isi kandungan laporan itu adalah :

Menurut laporan Astro Awani, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, A Mogan, berkata seorang lelaki berusia 50-an ditahan di rumah teres di Taman Seri Murni, Sungai Dua.”

Laporan oleh portal Berita Ku itu jelas menyatakan ia memetik sumber daripada portal berita Astro Awani.

Umum mengetahui Astro Awani merupakan antara media arus perdana di negara ini dan pastinya apa yang disiarkan oleh portal itu adalah berdasarkan sumber yang sahih.

Bahkan menurut Kajian Tahunan Institut Kajian Berita Digital Reuters 2022, Astro Awani berada di tempat pertama sebagai jenama media di Malaysia yang paling dipercayai. Anda boleh baca selanjutnya di sini.

Mungkin ramai warganet yang tidak perasan bahawa hantaran yang dikongsikan di akaun Video Lagu Jiwang itu berupa satu pautan dan jika diklik anda boleh membaca laporan penuh yang biasanya disertakan bersama sumber laporan itu.

 

Laporan Terperinci Di Portal Astro Awani, Berita Sama Juga Disiarkan Media Arus Perdana Lain

Menggunakan enjin carian Google, MyCheck melakukan semakan di portal berita Astro Awani dan menemukan laporan berhubung campuran minyak masak itu.

Laporan berkenaan yang  bertajuk “Campur minyak masak subsidi dengan 'minyak sembahyang' untuk kaut untung” disiarkan Astro Awani pada 12 Julai 2022.

Menurut laporan itu, seorang lelaki ditahan kerana dipercayai menyeleweng minyak masak bersubsidi dengan mencampurkannya dengan 'minyak sembahyang' untuk dijual pada harga lebih tinggi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pulau Pinang A Mogan berkata suspek berusia 50-an ditahan ketika serbuan di rumah teres di Taman Seri Murni, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.

Laporan berkenaan turut menyebut tujuan lelaki tersebut berbuat demikian adalah bagi membolehkannya menjual minyak masak berkenaan pada harga di antara RM6 hingga RM8 bagi 1kg berbanding harga subsidi iaitu RM2.50 bagi kuantiti sama.

Selain Astro Awani, semakan kami mendapati laporan berkaitan isu itu turut disiarkan beberapa media arus perdana lain antaranya Harian Metro dan Bernama.

 


Sumber: Astro Awani

 


Sumber: Harian Metro

 

Beberapa media alternatif seperti Warta Rakyat dan Buzzkini.com juga ada menyiarkan laporan mengenai isu sama.

 

Tindakan Seleweng Minyak Masak Bersubsidi Bukan Perkara Baharu

Sebenarnya sesiapa yang sering mengikuti isu berkaitan minyak masak ini pasti mengetahui bahawa isu penyelewengan minyak masak bukanlah satu perkara baharu.

Terdapat segelintir peniaga menyeleweng penjualan minyak masak bersubsidi dengan menggunakan pelbagai taktik seperti mencampurkannya dengan beberapa bahan lain seperti bahan pewarna selain menyeludup barangan keperluan berkenaan.

Motif tindakan sedemikian adalah semata-mata mendapatkan keuntungan berlipat ganda memandangkan minyak masak bersubsidi di negara ini mendapat permintaan yang tinggi daripada beberapa negara jiran termasuk Thailand dan Indonesia disebabkan harganya yang jauh lebih murah.

Sebagai contoh, memetik laporan Astro Awani, kerajaan Indonesia telah menetapkan harga minyak masak pada harga Rp14,000 atau bersamaan RM4.20 bagi satu liter.

 


Sumber: Astro Awani

 

Selain itu, laporan The Star mendedahkan peniaga turut menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran, Thailand terutamanya Selatan Thailand memandangkan harga minyak masak di sana boleh mencecah sehingga 77Baht bagi seliter minyak masak.

 


Sumber: The Star

 

Saban tahun, media tempatan mendedahkan pelbagai kejayaan pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan agensi kawalan sempadan negara dalam membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran.

Antaranya adalah Berita Harian, Sinar Harian, The Sunday Daily dan Free Malaysia Today.

 

Kandungan Minyak Masak Biasa Dengan ‘Minyak Sembahyang’ Hampir Sama?

MyCheck turut membuat semakan bagi membandingkan kandungan minyak masak biasa dengan minyak sembahyang yang kebiasaannya digunakan oleh penganut agama Buddha dan Hindu di negara ini.

Kami mendapati bahan utama yang digunakan adalah sama iaitu minyak sawit, namun minyak sembahyang tidak boleh dimakan kerana ia telah dicampur dengan pewarna merah dan kebiasaannya digunakan untuk menyalakan pelita dan digunakan dalam upacara keagamaan penganut beragama Buddha dan Hindu di negara ini.

Selain itu, minyak sembahyang sememangnya dikeluarkan dalam bentuk botol dan bukannya dalam pek polibeg plastik kerana ia digunakan dalam kuantiti yang banyak oleh penganut bukan beragama Islam di negara ini ketika melakukan aktiviti keagamaan masing-masing.

 


Sumber: MyCheck

 

Berbeza dengan minyak masak biasa, ia terdiri daripada minyak sawit biasa yang boleh dimakan dan dibungkus dalam pek polibeg plastik seberat 1kg.

Selain itu, minyak masak dalam bentuk kampit turut melalui beberapa proses tapisan di kilang pengeluaran serta mendapat perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

 

Kerajaan Tanggung Kos Subsidi Tinggi Tampung Minyak Masak Kampit 1kg

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laman sesawang Jabatan Perdana Menteri, kos perbelanjaan untuk program subsidi minyak masak telah meningkat kepada RM4 bilion pada tahun ini berbanding masing-masing sebanyak RM500 juta pada 2020 dan RM2.2 bilion pada tahun lepas.

Beliau menjelaskan bahawa minyak masak yang disubsidi oleh pihak kerajaan adalah sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan, iaitu melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan.

Ismail Sabri turut menambah bahawa subsidi yang ditanggung oleh pihak kerajaan bagi minyak masak kampit 1kg adalah RM2.50 bagi 1kg berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00 bagi kampit 1kg.

 

KESIMPULAN

Aktiviti penyelewengan dan penyeludupan minyak masak bersubsidi sering kita dengar dan boleh dikatakan berlaku saban tahun.

Permintaan yang tinggi dek kerana harganya yang murah, minyak masak kampit 1kg juga mudah diperoleh peniaga daripada pihak pengilang, sekali gus memudahkan mereka melakukan penyeludupan terutama ke negara jiran.

Rakyat sepatutnya membantu kerajaan membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dapat menikmati barangan keperluan itu pada harga murah.

Jadilah warganegara yang amanah dan bertanggungjawab terutama di kala rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga barangan asas ketika ini.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. MINYAK MASAK BERSUBSIDI RINGANKAN BEBAN RAKYAT.Diterbitkan oleh KPDNHEP

  2. Instagram Astro Awani

  3. Campur minyak masak subsidi dengan 'minyak sembahyang' untuk kaut untung.Diterbitkan oleh Astro Awani

  4. KPDNHEP P.Pinang bongkar kegiatan pemborong seleweng minyak masak bersubsidi.Diterbitkan oleh Bernama

  5. Seleweng minyak masak bersubdisi, campur dengan minyak sembahyang [METROTV].Diterbitkan oleh MetroTV

  6. KPDNHEP Pulau Pinang bongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi.Diterbitkan oleh Warta Rakyat

  7. Seleweng Minyak Masak Subsidi Campurkan Dengan Minyak Sembahyang Demi Keuntungan.Diterbitkan oleh Buzzkini.com

  8. Indonesia tetapkan harga minyak masak.Diterbitkan oleh Astro Awani

  9. Cooking oil smuggled out of Kelantan widely sold in southern Thailand, say locals.Published by The Star

  10. Seleweng minyak masak paket bersubsidi, jual kepada syarikat biodiesel.Diterbitkan oleh Berita Harian

  11. KPDNHEP tumpas cubaan seleweng minyak masak di Sandakan.Diterbitkan oleh Sinar Harian

  12. KPDNHEP patahkan cubaan seludup 17,000 kg minyak masak.Diterbitkan oleh The Sun Daily

  13. Seleweng minyak masak peket ke negara jiran, lesen 15 syarikat ditarik.Diterbitkan oleh Free Malaysia Today

  14. Facebook Video Lagu Jiwang

  15. Demi kaut untung, lelaki campur minyak masak dengan minyak sembahyang.Diterbitkan oleh Beritaku1.com

© 2020 MyCheck. Hak Cipta Terpelihara.