012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Tiada Jaminan Air Zamzam Di Pasaran Adalah Tulen Kerana Ia Tidak Boleh Dieksport Atau Diperdagangkan

Benarkah...

Terdapat air zamzam tiruan di pasaran sehingga menyebabkan ramai masyarakat tertipu apabila membeli air zamzam yang tidak tulen.

Sumber : Facebook & WhatsApp / Julai 2022

Hasil

Arab Saudi larang eksport air zamzam ke negara luar dan mengesahkan terdapat sindiket air zamzam tiruan di Arab Saudi.

09/08/2022 01:25 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan menyatakan wujud air zamzam tiruan di pasaran tempatan.
  • Isu itu bukan dakwaan baharu dan pernah tular sejak awal 2015 berikutan kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan air zamzam dijual dan dieksport ke negara luar.
  • Semakan kami mendapati terdapat bukti uji kaji sampel air zamzam yang dijual di pasaran disahkan tidak asli serta tercemar.
  • Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan larangan penjualan air zamzam di negara ini sejak 2012 dan tiada pihak atau syarikat yang diiktiraf sebagai pengedar air zamzam dari Arab Saudi.
  • Jika terdapat produk air zamzam di pasaran tempatan mahupun dibeli secara terus dari Arab Saudi, ketulenannya masih boleh diragui kerana polis mengesahkan wujud kilang memproses air zamzam tiruan di Makkah.

 


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Air ‘zamzam’ berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud banyak atau melimpah-ruah.

Ia didapati daripada telaga mata air sedalam 42 meter yang terletak di kawasan Masjidil Haram, Makkah.

Bagi umat Islam, air zamzam adalah sebaik-baik air minuman kerana mempunyai pelbagai khasiat dan keistimewaan antaranya mengoptimumkan metabolisme tubuh, mengenyangkan, penawar kepada penyakit selain mempunyai keberkatan.

Disebabkan banyak kelebihan air zamzam khususnya dalam menyembuhkan penyakit, ramai yang cuba mendapatkan air tersebut untuk diminum.

Ada yang sanggup membeli di laman e-dagang atau mana-mana kedai barangan Arab yang menjual air zamzam.

Selain itu, setiap kali tiba musim haji, para jemaah boleh membawa pulang air zamzam menerusi prosedur tertentu dengan kebenaran kerajaan Arab Saudi.

Menurut laporan portal Astro Awani, jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi masing-masing tetapi akan diuruskan oleh pihak Tabung Haji.

 

MENGENAI DAKWAAN

 


Sumber: WhatsApp

 

Tular dakwaan di  laman sosial, aplikasi WhatsApp dan pelbagai portal informasi tempatan mengenai ramai pengguna telah tertipu ketika membeli air zamzam yang dikatakan tiruan.

Ramai berasa marah kerana harga bagi sebotol air zamzam bersaiz lima liter bukanlah murah malah mencecah ratusan ringgit.

Tujuan mereka membeli air itu biasanya adalah kerana betul-betul memerlukan contohnya untuk kegunaan ahli keluarga yang sedang sakit.

Ada pula yang mengaku sudah berkali-kali membeli air zamzam dan rasa tertipu apabila mendapat tahu yang sebenarnya air tersebut tidak dibenarkan dieksport dari Arab Saudi.

Hanya jemaah haji yang pulang ke tanah air sahaja yang dibenarkan membawa air zamzam.

Persoalannya jika dakwaan ini benar, air apakah sebenarnya yang terdapat di pasaran dan didakwa sebagai air zamzam itu dan dari sumber manakah ia diperoleh?

Biar MyCheck semak fakta sebenar di sebalik isu ini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

MyCheck mencari maklumat berkenaan isu yang didakwa itu menerusi enjin carian Google.

Menggunakan kata kunci ‘air zamzam tiruan’ kami menemukan banyak maklumat sepadan dengan dakwaan tersebut seperti gambar di bawah.

 


Sumber: Google

 

Larangan Eksport Air Zamzam Oleh Kerajaan Arab Saudi

MyCheck meneliti satu persatu setiap maklumat yang berkaitan.

Menurut laporan portal Harian Metro hmetro.com.my yang diterbitkan pada Jun 2015, tindakan undang-undang terhadap syarikat atau individu yang menjual air zamzam di negara ini perlu diambil bagi menghentikan segera pengkomersialan air tiruan berkenaan.

Perkara itu disuarakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Seri Fahad Abdullah Alrashid yang kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan kerana mendakwa air zamzam yang dijual mereka adalah tulen.

Menurutnya, tindakan menjual air zamzam itu jelas melanggar undang-undang dan peraturan rasmi Arab Saudi yang melarang pengeksportan air zamzam ke luar negara.

Perkara itu ‘terbongkar’ setelah muka depan akhbar Harian Metro melaporkan sekurang-kurangnya tiga jenama air zamzam yang dijual di negara ini diragui ketulenannya.

Malah ujian kimia yang dilakukan mendapati satu daripada jenama berkenaan sudah tercemar.

Ujian dilakukan di Melaka Biotechnology Corporation (Biotech Melaka) terhadap tiga sampel air zamzam yang dijual di pasaran pada harga RM6 hingga RM10 sebotol untuk 350 mililiter (ml) dan 500ml.

 


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

 

Kilang Proses Air Zamzam Tiruan Di Melaka?

Seterusnya kami cuba mencari dan mengumpul maklumat dari manakah air zamzam tiruan seperti yang diuji oleh syarikat Biotech itu.

Maklumat-maklumat yang kami peroleh menyatakan bahawa terdapat sebuah kilang tempatan di Melaka yang menjalankan kegiatan memproses air zamzam untuk dipasarkan di negara ini.

Dakwaan tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook pada 2015  berserta beberapa keping gambar yang menunjukkan aktiviti memproses air zamzam di sebuah premis yang kelihatan tidak teratur serta mencurigakan.

Bagaimanapun kami tidak dapat menjejaki semula pengguna Facebook berkenaan.

 


Sumber: Facebook

 

Seterusnya kami cuba mencari sekiranya terdapat sebarang maklum balas dikeluarkan oleh pihak berwajib berkenaan perkara ini.

Berdasarkan laporan sebuah portal rangkaian kedai halal Azzainmart yang memetik laporan akhbar Sinar Harian pada April 2015, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menafikan perkara itu.

KPDNHEP bersama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) telah menyiasat dakwaan pengguna Facebook itu dan mereka tidak menjumpai lokasi atau sebarang bukti berlaku kegiatan seperti yang digambarkan dalam hantaran Facebook individu tersebut.

 

Wujud Sindiket Proses Air Zamzam Tiruan, Tetapi Bukan Di Malaysia

Jika difikirkan, gambar-gambar yang tersebar boleh mengukuhkan bukti kegiatan tersebut wujud, namun jika pihak berkuasa sudah melakukan siasatan dan menafikan kejadian berkenaan di Melaka, jadi sebenarnya kegiatan tersebut berlaku di mana?

Semakan kami seterusnya membawa ke sebuah portal tempatan Arab Saudi Gulf News yang telah melaporkan bahawa kilang zamzam tiruan di kota Makkah ditumpaskan.

Laporan yang diterbitkan pada Mac 2015 itu menjelaskan kilang yang terletak di Khalidiya, Makkah diserbu selepas polis menyiasat secara terperinci.

Maklumat awal diperoleh berikutan aduan seorang pengunjung yang mendapati semua botol zamzam yang dibelinya di Makkah daripada peniaga jalanan adalah palsu dan diisi air paip biasa.

Apa yang membuat kami pasti dakwaan wujudnya sindiket memproses zamzam di Melaka adalah tidak benar ialah apabila gambar yang dikongsikan beserta tuduhan itu adalah sama dengan gambar yang tertera dalam laporan portal berita Arab Saudi itu.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga warga Asia dan seorang Arab yang sedang mengisi 600 botol air paip yang tidak boleh diminum untuk dijual sebagai air zamzam.

Polis turut merampas 16,000 kotak bagi membungkus air botol atau zamzam tiruan berkenaan.

 


Sumber: Gulf News

 

Air Zamzam Sudah Lama Dilarang Penjualannya Di Malaysia

Sebenarnya kerajaan Arab Saudi telah melarang pengeksportan air zamzam ke mana-mana negara sejak 2012 lagi.

Ini bermakna Malaysia juga tidak menerima bekalan air zamzam dari Arab Saudi, apatah lagi untuk tujuan komersial.

Menurut portal hmetro.com.my, larangan penjualan air zamzam di negara ini bukan perkara baharu.

Rakyat Malaysia perlu akur dengan pendirian negara pengeluar iaitu Arab Saudi yang melarang air zamzam dijual ke mana-mana negara asing termasuk Malaysia.

Portal Berita Harian pula melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan setakat ini tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Ini kerana, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub mengikut Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah kami semak, ternyata larangan penjualan air zamzam sudah lama berkuat kuasa.

Tambahan pula setiap air minuman yang dijual di negara ini perlu melalui prosedur tertentu serta mendapat kelulusan KKM terlebih dahulu.

Jadi sekiranya sejak 2012 lagi ada dalam kalangan kita yang membeli air zamzam yang dijual di pasaran tempatan maka ketulenan air zamzam itu boleh diragui kerana negara pengeluar iaitu Arab Saudi melarang produk itu dieksport ke negara luar.

Malah jemaah haji dan umrah juga mendapat bekalan air zamzam secara percuma sekembalinya mereka ke tanah air.

Ini bermakna jemaah juga tidak mempunyai kapasiti untuk mendapatkan sendiri air zamzam dari Arab Saudi.

Maka, jika ada pihak yang mempunyai peluang memesan air zamzam secara terus dari Arab Saudi, ketulenannya juga masih boleh diragui memandangkan terdapat sindiket air zamzam tiruan di negara pengeluar itu.

Sekiranya anda mendapat air zamzam tulen maka ia adalah sesuatu yang amat menguntungkan, namun jika sebaliknya bimbang nanti ia mendatangkan mudarat kepada kesihatan kerana tidak diketahui dari sumber manakah air itu diambil.

Hati-hati membeli dan dapatkanlah maklumat serta sumber yang sahih dalam apa juga urusan anda.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Selama ini teguk apa? Ramai tertipu beli air zam zam palsu di laman e-dagang... Baru tahu hanya jemaah haji dan umrah boleh bawa balik - Viral | mStar 

  2. Tiada lesen import, dagang: Air zamzam dijual di Malaysia diragui tulen - KKM 

  3. Tiada pengedar air zam zam di Malaysia - KKM - Kosmo Digital 

  4. Tiada syarikat di Malaysia dapat lesen import, jual air zam zam 

  5. Awas Tiruan! Jangan Beli Air Zam Zam Di Kedai Atau Dalam Talian 

  6. Kenyataan Akhbar KPK 6 Januari 2020 – Penjelasan Isu Larangan Penjualan Air Zam-Zam Di Pasaran 

  7. Elak beli air zam zam di pasaran tempatan - KKM | Astro Awani 

  8. Panas: Tips Cara Mengenali Air Zam Zam Asli Vs Palsu 

  9. Air zam zam dijual dalam negara tidak tulen – KKM — MYKMU.NET

  10. Ada sebab air zamzam tidak boleh dibawa pulang - Kosmo Digital

  11. Larangan jual air zam zam sejak 2012 

  12. Sejak 2012 Malaysia dah larang jual air zam-zam... apa puncanya?

  13. Tiada isu berbangkit jemaah tidak dibenar bawa pulang air zamzam - Ahmad Marzuk | Astro Awani 

  14. Air zamzam masih dijual secara online 

  15. Awas Peniaga Air Zam-Zam! - Semasa | mStar

  16. Pengedar Air Zam Zam Terus Dari Mekah

  17.  Zam-Zam.My - Pembekal Makanan Sunnah Harian Anda | Facebook 

  18. Fake Zamzam water factory busted in Saudi holy city of Makkah 

  19. 6 cerita viral kat Malaysia yang sebenarnya palsu | SOSCILI 

  20. Sindiket Proses Air Zam Zam Di Melaka Tidak Benar | AzZainMart 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.