+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

SMS Tawaran Baucar RM100 Sebagai Pampasan Gangguan Elektrik Adalah Palsu

Benarkah...

Rakyat di negara ini yang mengalami masalah bekalan elektrik terputus pada 27 Julai lepas akan menerima baucar RM100 sebagai pampasan daripada TNB melalui TNG eWallet.

Sumber : SMS & Facebook / Ogos 2022

Hasil

Ia adalah makluman palsu. Pengguna TNB dinasihatkan agar berhati-hati dengan taktik penipuan terbaharu yang semakin berleluasa ketika ini.

10/08/2022 11:23 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular makluman menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) menyatakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan baucar berjumlah RM100 sebagai pampasan kepada rakyat yang terputus bekalan elektrik.
  • Makluman itu yang dihantar kepada pengguna menggunakan nombor aduan rasmi TNB iaitu 15454 tular beberapa hari selepas rakyat Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba pada 27 Julai 2022.
  • SMS yang menawarkan baucer Touch ‘n Go (TNG) eWallet itu merupakan satu penipuan.
  • TNB minta pengguna tidak menekan pautan yang terdapat pada SMS tersebut.
  • Scammer pernah menggunakan taktik penipuan pautan eWallet TNG sebelum ini.

 


Sumber: Tenaga Nasional Berhad

 

LATAR BELAKANG

Pada 27 Julai 2022, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik yang berlaku hampir tiga jam mulai pukul 12.39 tengah hari.

Gangguan bekalan elektrik berlaku di sebahagian besar kawasan Lembah Klang dan beberapa negeri yang berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt atau 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di semenanjung Malaysia.

 

MENGENAI DAKWAAN

MyCheck menerima satu infografik berbentuk peringatan bahawa pengguna dinasihatkan agar berhati-hati dengan penipuan SMS yang menawarkan pampasan berbentuk baucer eWallet daripada nombor TNB iaitu 15454.

Dalam infografik tersebut, terdapat dakwaan bertulis : “TNB: Rakyat yang terlibat putus bekalan elektrik akan menerima RM100 pampasan kepada setiap warganegara di TNG eWallet. Sila semak baki dan tuntutan anda di https://touchngologin.cc/”.

Malah, infografik yang dipercayai dimuat naik oleh TNB itu turut disertakan ayat agar jangan menekan pautan pada SMS itu.

Apa sebenarnya yang terjadi? MyCheck semak untuk anda.

 

APA KAMI TEMUI?

Pertama sekali, MyCheck mencari maklumat berkenaan SMS tawaran baucar RM100 sebagai pampasan gangguan elektrik di laman sosial seperti Facebook, Twitter serta Instagram namun tiada maklumat berkaitan yang dikongsikan warganet.

Kami turut menggunakan enjin carian Google untuk mengumpul lebih banyak maklumat berkaitan menerusi kata kunci “TNB Rebat RM100 + .SMS tawaran baucar” namun gagal menemukan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, kami hanya menemui berita-berita mengenai TNB memberi amaran atau penafian tentang penipuan SMS itu.

Apa yang MyCheck temui berkaitan kata kunci itu adalah berita tentang keputusan segera TNB memberi rebat 100 peratus secara sekali sahaja (one-off) bagi bil elektrik untuk Disember 2021 kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas akibat bencana banjir pada bulan berkenaan.

Malah, berita tersebut telah diterbitkan oleh akhbar arus perdana antaranya Utusan, Sinar Harian, Berita Harian, Harian Metro, Bernama serta Astro Awani.

 


Sumber: Google

 

MyCheck kemudiannya meneliti dan menekan pautan berkenaan bagi mencari maklumat lanjut.

Pautan tersebut membawa pengguna kepada satu laman sesawang, dipercayai mempunyai elemen ‘phishing’ untuk mendapatkan data peribadi pengguna.

Bagaimanapun, cubaan untuk mengakses laman sesawang tersebut tidak berjaya kerana mempunyai masalah sistem nama domain.

 

Jangka Masa SMS Palsu Tular

MyCheck percaya scammer menggunakan tempoh masa dua atau tiga hari selepas kejadian gangguan bekalan elektrik melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia pada 27 Julai 2022 bagi menjalankan kegiatan menyebarkan SMS palsu tersebut.

Untuk rekod, gangguan bekalan elektrik itu berlaku hampir tiga jam mulai pukul 12.39 tengah hari yang mana gangguan berlaku di sebahagian besar kawasan Lembah Klang dan beberapa negeri yang berpunca daripada kerosakan salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt atau 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di semenanjung Malaysia.

 

TNB Keluarkan Kenyataan

Susulan itu, TNB menerusi Facebook TNB Careline dan Twitter @Tenaga_Nasional telah berkongsikan informasi berkaitan kepada umum agar tidak menjadi mangsa penipuan SMS tersebut pada 1 Ogos 2022.

Dalam satu hantaran di Facebook TNB Careline, syarikat tenaga itu telah meminta pengguna untuk tidak mengklik pautan walaupun SMS dihantar daripada nombor TNB sendiri iaitu 15454.

Malah pihak TNB turut menasihati pengguna agar mengabaikan panggilan ataupun SMS yang diterima selain pengguna juga digesa untuk menyemak dengan TNB untuk mengesahkan sebarang maklumat.

 


Sumber: Tenaga Nasional Berhad

 

Scammer Pernah Guna Pautan TNG Perdaya Mangsa

MyCheck mendapati scammer sebelum ini pernah menggunakan taktik yang sama dengan menghantar makluman menerusi SMS bertulis : MySejahtera: bantuan kewangan khas Covid-19.

Malah kami dapati portal sebenarnya.my juga telah menguar-uarkan mengenai Waspada SMS Bantuan Khas Kewangan COVID-19 Dikreditkan Ke Akaun E-Wallet Touch ‘n Go.

Modus operandi scammer tersebut adalah melakukan penipuan ID penghantar 'GOV' menggunakan nama organisasi MySejahtera dengan menghantar SMS palsu yang turut disertakan pautan ke laman sesawang TnG palsu.

Mesej itu kononnya daripada aplikasi pengesanan kenalan Covid-19 rasmi kerajaan MySejahtera yang mana ia menunjukkan bahawa pengirim adalah "GOV" dan berhasrat untuk memberikan bantuan kewangan khas untuk Covid-19.

Pengirim tersebut akan meminta anda menyemak dan menuntut jumlah dengan mengklik pada pautan.

 


Sumber: Twitter

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Facebook Rasmi Cyber Crime Alert PDRM menyatakan bahawa pengguna yang mengklik pautan disediakan itu akan dibawa ke halaman eWallet TNG palsu.

Pengguna kemudiannya akan diminta memasukkan nombor telefon, pin enam digit dan OTP (one-time password) 6 digit yang dihantar ke nombor telefon mereka.

Butiran-butiran ini boleh membuatkan scammer berjaya mengakses kepada eWallet anda.

 


Sumber: Facebook

 

Susulan itu, MySejahtera mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak pernah menawarkan sebarang bantuan kewangan atau pembayaran kepada pengguna.

 


Sumber: Twitter

 

Dalam laporan berasingan, seperti dilaporkan Bernama dan Berita Harian, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu penipuan tawar Skim Bantuan Khas Covid-19 itu telah menyebabkan tiga mangsa kerugian berjumlah RM4,550.

Kesemua mangsa berumur antara 26 hingga 48 tahun menerima SMS menawarkan bantuan khas berjumlah RM500 yang akan dikreditkan ke dalam akaun mereka selepas mengisi butiran peribadi melalui pautan diberikan.

 

KESIMPULAN

Berhati-hatilah dengan taktik penipuan terbaharu yang semakin berleluasa ketika ini.

Selain itu ada baiknya jika pihak tertentu dapat memperbanyakkan bahan kesedaran berkaitan penipuan dalam talian untuk rujukan warga Malaysia.

Kita sebagai masyarakat pula perlu sentiasa cakna dan berwaspada. Jika belum pernah tertipu, jangan senang hati kerana pemangsa akan mencuba berbagai cara untuk memperdaya kita.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.TNB. “72,000 Pelanggan TNB Terima Rebat Bil Elektrik”

2.Facebook Rasmi Cyber Crime Alert PDRM

3.Facebook TNB Careline

4.Astro Awani. “SMS tawaran baucar RM100 sebagai pampasan gangguan elektrik adalah palsu - TNB”

5.Sebenarnya.my “Waspada SMS Bantuan Khas Kewangan COVID-19 Dikreditkan Ke Akaun E-Wallet Touch ‘n Go”

6.Bernama. “Tiga individu jadi mangsa taktik terbaharu penipuan tawar Skim Bantuan Khas Covid-19

7.Berita Harian. “Rugi RM4,550 ditipu Bantuan Khas COVID-19”

8.Twitter @Tenaga_Nasional

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.