+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Dakwaan Isi Minyak Petrol Pada Waktu Malam Boleh Tambah Kuantiti Minyak Dan Lebih Jimat Hanyalah Mitos

Benarkah...

Pengguna akan memperoleh kandungan minyak petrol yang lebih banyak jika mengisi kenderaan masing-masing pada waktu malam berbanding pada siang hari.

Sumber : Facebook / Julai 2022

Hasil

Tiada perbezaan mengisi minyak petrol pada waktu malam atau siang kerana suhu minyak petrol dalam tangki adalah sama.

17/08/2022 05:15 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu ciapan di Twitter mendakwa bahawa mengisi minyak petrol pada waktu malam lebih jimat kerana kandungan minyak akan menjadi padat dan pengguna akan memperoleh kuantiti minyak yang lebih banyak.
  • Dakwaan berkenaan bukanlah perkara baharu kerana ia sentiasa menjadi perbualan hangat di pelbagai platform termasuk media sosial sejak sekian lama.
  • Kenyataan tersebut adalah tidak benar kerana kemampatan minyak di dalam tangki adalah sama tidak kira siang atau malam.


Sumber: Qoala Malaysia

 

LATAR BELAKANG

Selain sumber makanan, minyak sama ada petrol atau diesel merupakan antara bahan keperluan penting bagi rakyat di negara ini.

Pemilikan kenderaan di Malaysia antara yang tertinggi di dunia telah mendorong kepada penggunaan minyak yang tinggi.

Menurut laporan portal berita MalaysiaGazette pada 19 Mei 2022, Malaysia antara 10 buah negara yang menjual minyak petrol dengan harga paling murah di dunia iaitu pada kadar 46.6 sen seliter.

Namun begitu, ekoran perlu menanggung pelbagai kos sara hidup selain petrol, ramai yang cuba mencari cara untuk melakukan penjimatan ketika mengisi minyak antaranya mengisi pada waktu malam kerana kandungan minyak akan menjadi lebih banyak.

Selain itu, terdapat juga beberapa dakwaan lain untuk meningkatkan kandungan minyak ketika mengisi minyak petrol seperti memasukkan pam minyak secara terbalik, mengepam minyak secara perlahan-lahan serta menggoyangkan kenderaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna Twitter menggunakan nama akaun Sicjer telah memuat naik ciapan mendakwa mengisi minyak petrol pada waktu malam atau selepas hujan lebih menjimatkan kerana pengguna akan memperoleh kuantiti minyak yang lebih banyak.

 


Sumber: Twitter

 

APA YANG KAMI TEMUI

Fahami Konsep Kecekapan Bahan Api / Minyak

Sebelum kita bercerita lebih lanjut mengenai petua penjimatan minyak petrol, kita sepatutnya memahami konsep kecekapan bahan api atau minyak.

Menurut sebuah laman sesawang automatif dari Australia, carsguide kecekapan bahan api bermaksud kemampuan sesebuah kenderaan untuk pergi pada jarak lebih jauh dengan menggunakan satu isian minyak petrol atau diesel.

Laman sesawang berkenaan memaklumkan sebarang kenderaan yang mampu pergi dalam jarak 100 kilometer (km) dengan menggunakan 6 liter minyak petrol atau jarak lebih kurang 16.5km bagi satu liter minyak petrol disifatkan sebagai kategori cekap penggunaan bahan api.

 

Isi Minyak Petrol Pada Waktu Malam Lebih Jimat Bukan Dakwaan Baharu

Dakwaan mengenai isu ini bukan perkara baharu dan telah diperkatakan sejak sekian lama, bahkan ia telah menjadi amalan bagi sesetengah pengguna untuk mengisi minyak hanya pada waktu malam.

Pengguna Twitter lain juga pernah memuat naik ciapan berhubung isu sama sejak 2012 antaranya anda boleh lihat di sini dan di sini.

Beberapa pengguna Facebook turut didapati membuat dakwaan sama antaranya di sini dan di sini.

 

Dakwaan Hanyalah Mitos

Semakan kami mendapati dakwaan mengatakan bahawa mengisi minyak petrol pada waktu malam mampu meningkatkan kuantiti minyak petrol dalam sesebuah kenderaan sebenarnya mitos semata-mata.

Hal berkenaan didedahkan oleh Pengarah Urusan Shell Malaysia Shairan Huzani Husain di Instagramnya iaitu pakcikshell menerusi satu video pendek mengenai ujian perbandingan mengisi minyak petrol pada sebelah siang dan malam dalam sebuah bekas tong besi.

 


Sumber: Instagram

 

Hasilnya, tiada sebarang perbezaan yang dicatatkan kerana tong besi berkenaan hanya boleh memuatkan 10 liter minyak petrol walaupun bacaan suhu udara yang dicatatkan adalah pada kadar 35 darjah Celcius pada sebelah siang dan 33 darjah Celcius pada sebelah malam.

Bacaan suhu minyak yang dicatatkan ketika beliau mengisi minyak petrol pada waktu siang dan malam adalah sama iaitu pada bacaan 33 darjah Celcius.

Video pendek berkenaan yang dimuat naik pada 27 Julai 2022 telah meraih lebih 22,278 tontonan.

Auta: tiada beza isi minyak malam atau siang sebab suhu minyak stabil dalam tangki,” menurut Shairan yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.

Video perkongsian Shairan itu turut dikongsi oleh beberapa laman sesawang bebas seperti thevocket.com, malaysiadateline.com, hotfm dan beritaperak.com.

 


Sumber: thevocket.com

 

Lebih menarik, Shairan turut berkongsi satu lagi video di laman Instagram beliau mengenai mitos bahawa meletakkan nozel pam minyak secara terbalik ketika mengisi minyak petrol membolehkan sesebuah kenderaan memperoleh kuantiti minyak petrol yang lebih banyak.

Setakat laporan ini ditulis (17 Ogos 2022), video berkenaan yang dimuat naik pada 12 April 2021 itu telah meraih lebih 61,000 tontonan.

 


Sumber: Instagram

 

Penjimatan Minyak Kenderaan Dipengaruhi Pelbagai Faktor

Seorang YouTuber (pengguna YouTube) dalam bidang automotif, Abang Gan menerusi saluran YouTube Pandu Laju menjelaskan terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan sesebuah kenderaan memperoleh penjimatan minyak petrol pada kadar terbaik.

Antaranya adalah melakukan servis berkala mengikut buku arahan servis kenderaan seperti menukar palam pencucuh, sentiasa memeriksa tekanan angin tayar kenderaan sekurang-kurangnya setiap dua minggu dan mengggunakan brek ketika perlu sahaja.

Petua lain adalah mengelakkan membawa muatan berlebihan atau barangan yang tidak perlu ketika memandu kenderaan, memandu kenderaan pada kelajuan yang konsisten dan memilih jenis minyak petrol yang betul.

 


Sumber: YouTube Pandu Laju

 

Seorang pengguna Twitter menggunakan nama akaun Ophiophagus Hannah turut berkongsi beberapa mitos penjimatan minyak yang kebiasaannya diamalkan oleh kebanyakan pemilik kenderaan walaupun ia tidak tepat.

Antara mitos berkenaan adalah pemilik kenderaan tidak digalakkan mengisi petrol ketika lori tangki petrol sedang memasukkan minyak ke dalam pam bawah tanah kononnya petrol yang diisi dalam sesebuah kenderaan akan menjadi berkeladak.

Kenyataan sebenar adalah setiap pam minyak mempunyai penapis khas yang menapis segala kekotoran sebelum petrol berkenaan dipam masuk ke dalam sesebuah kenderaan.

 

Terpedaya Dengan Iklan Yang Meragukan Mengenai Alatan Penjimatan Minyak

Pada zaman moden kini, kebanyakan syarikat mengiklankan pelbagai produk atau alatan penjimatan minyak kononnya ia mampu memberi lebih kilometer kepada kenderaan selain menjaga enjin bagi tempoh lama.

Disebabkan kenaikan harga minyak, ramai yang mempercayai dengan penjualan produk sedemikian, namun pada realitinya ia tidak memberi sebarang kesan dari segi penjimatan minyak petrol kepada kenderaan.

Malahan, kami turut menemui sebuah artikel bertajuk “Mitos alat penjimatan bahan api yang mengarut” yang diterbitkan oleh laman sesawang automotif tempatan yang terkenal di media sosial iaitu Mekanika.

 


Sumber: mekanika.com.my

 

Artikel oleh Mekanika itu sebenarnya merujuk kepada satu video di laman YouTube yang diterbitkan oleh majalah permotoran terkemuka dari United Kingdom, Fifth Gear.

Menerusi video bertajuk “Adakah gadget penjimatan minyak benar-benar berkesan?”, wartawan Fifth Gear mencuba beberapa alat penjimat minyak dan dipasang pada sebuah kereta yang didakwa mampu memberikan penjimatan minyak petrol.

Antara alat penjimat minyak berkenaan adalah sebuah magnet yang dipasang pada saluran minyak, alat penstabil voltan, alat elektronik kedua (Electronic Matching Unit).

Selepas dipasang, kereta ini hanya mampu mencatatkan 20.28km/liter. Selepas dipasang dengan magnet, alat ini gagal mengurangkan penggunaan petrol, malah penggunaan petrol meningkat sebanyak 2.64 peratus.

Alat penstabil voltan yang dipasang pada plug kuasa 12 volt dengan nama Viabtor dan dipasang pada socket kuasa 12v atau pencucuh rokok pula dikatakan mampu menstabilkan voltan di dalam litar eletrik kereta dan memberikan penjimatan minyak petrol sebanyak 10 peratus.

Hasil ujian yang dijalankan mendapati bacaan penggunaan minyak selepas dipasang ialah 20.25km/liter petrol dan ia sebenarnya meningkatkan penggunaan petrol.

Kesimpulannya, pengenalan pelbagai jenis alat penjimat minyak sebenarnya tidak membantu pengguna untuk mendapatkan jumlah jarak yang maksimum dengan penggunaan satu isian petrol penuh.

 

Kewujudan Kereta Eletrik Dan Kereta Hibrid Ubah Mitos Penjimatan Bahan Api

Sejajar dengan kecanggihan teknologi pada zaman moden ini, kita dapat menyaksikan pelbagai pengeluar kenderaan di seluruh dunia seperti Mercedes Benz, BMW, Tesla dan beberapa syarikat automotif lain bersaing mengeluarkan kenderaan yang menghasilkan kecekapan bahan api terbaik seperti kereta eletrik dan kereta hibrid.

Menurut sebuah laman sesawang automatif, Pandu Laju kenderaan hibrid dikategorikan sebagai kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman untuk memacu penjana elektrik yang akan menjana motor elektrik.

Enjin pembakaran dalaman yang digunakan adalah petrol atau diesel.

Motor petrol kebiasaannya menjadi sumber tenaga utama dalam kereta hibrid manakala motor elektrik sebagai tenaga tambahan.

Namun, ada sesetengah kereta hibrid dipacukan 'dua enjin' (pembakaran dalaman dan motor elektrik) serentak.

Hibrid Plug-In (PHV) pula ialah kenderaan yang digerakkan motor petrol, motor elektrik, atau kedua-duanya dan pek bateri lebih berkuasa yang membolehkan kereta hibrid itu dipandu lebih 30km menggunakan kuasa elektrik bateri secara tunggal.

Kereta elektrik pula digerakkan sepenuhnya menggunakan motor elektrik sebagai kuasa utama daripada pek bateri boleh cas dan mampu dipandu hingga 400km dan lebih.

Masalah utama yang menghalang pengguna kenderaan di negara ini untuk memiliki kenderaan elektrik atau hibrid adalah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kekurangan stesen pengecas kereta terutamanya di kawasan luar bandar atau pedalaman.

Selain itu, beberapa faktor lain turut mempengaruhi pemilikan kenderaan berkenaan termasuk harga jualan yang mahal, jarak penggunaan bateri kereta tidak konsisten dengan jarak pemanduan selain masa mengecas bateri kereta yang mengambil tempoh agak lama.

 

KESIMPULAN

Penyebaran mitos pengisian minyak petrol bukanlah perkara baharu namun telah berlarutan sejak sekian lama.

Sekiranya kita cakna, kita tidak akan mudah percaya dengan pelbagai mitos yang sebenarnya tidak memberi sebarang faedah dalam mendapatkan penjimatan minyak pada tahap maksimum.

Seperti tubuh badan manusia, mana-mana kenderaan seperti motosikal atau kereta perlu diservis sekiranya ia sudah mencapai suatu tempoh tertentu.

Tiada gunanya kita melakukan pelbagai petua yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya termasuk membeli pelbagai jenis alat penjimat minyak jika kita sendiri tidak menjaga dan melakukan servis secara berkala terhadap kenderaan masing-masing.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter Sicjer

  2. Fuel efficiency explained.Published by carsguide Australia

  3. Instagram Pakcik Shell

  4. Pagi Atau Malam? Pak Cik Shell Bongkar Mitos Waktu Terbaik Untuk Isi Minyak.Diterbitkan oleh The Vocket

  5. Rugi isi minyak waktu siang, Pak Cik Shell bongkar lagi mitos waktu terbaik untuk isi minyak.Diterbitkan oleh malaysiadateline

  6. PAGI ATAU MALAM? PAK CIK SHELL BONGKAR MITOS WAKTU TERBAIK UNTUK ISI MINYAK.Diterbitkan oleh Hotfm

  7. Jimat isi minyak waktu malam, Pak Cik Shell bongkar mitos waktu terbaik untuk isi minyak.Diterbitkan oleh Beritaperak.com

  8. YouTube Pandu Laju

  9.  Twitter Ophiophagus Hannah

  10. MITOS ALAT PENJIMATAN BAHANAPI YANG MENGARUT.Diterbitkan oleh Mekanika

  11.  #TahukahAnda: Apakah Beza Kereta Hibrid, Hibrid Plug-In (PHV) dan Kereta Elektrik (EV)?Diterbitkan oleh pandu laju

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.