+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Minyak Pati Lavender Dan Tea Tree (Melaleuca) Boleh Ganggu Pertumbuhan Hormon Kanak-Kanak, Tidak Sesuai Untuk Bayi Berusia Tiga Bulan Ke Bawah

Benarkah...

Minyak pati boleh menyebabkan perubahan hormon dan pertumbuhan awal payudara kanak-kanak.

Sumber : Facebook / Ogos 2022

Hasil

Penggunaan minyak pati lavender dan tea tree (melaleuca) telah dikesan mengaruh (mencetus) reseptor estrogen yang mempengaruhi pertumbuhan hormon. 

23/08/2022 02:51 PM

SEKILAS FAKTA

  • Terdapat dakwaan menyatakan minyak pati pati lavender dan tea tree (melaleuca) boleh menyebabkan berlakunya perubahan hormon yang menyebabkan pembesaran payudara. 
  • Carian MyCheck mendapati pati lavender dan tea tree (melaleuca) telah dikesan mengaruh (mencetus atas mempercepat) reseptor estrogen.
  • Menurut Pusat Racun Negara (PRN), setiap individu mempunyai reaksi yang berbeza terhadap minyak pati.
  • Penggunaan minyak yang berlebihan pada kulit kanak-kanak berbahaya kerana kulit golongan itu lebih nipis dan boleh menyerap jumlah banyak.
  • Minyak pati tidak dapat mengubati penyakit namun ia mungkin dapat membantu memberi ketenangan kepada pesakit.


Sumber: Google

 

LATAR BELAKANG

Essential oil atau minyak pati sering kali dikaitkan sebagai alternatif rawatan lain selain mengambil ubat- ubatan.

Selain mendapat udara yang nyaman, menghidu minyak pati ini juga dikatakan mampu membantu melegakan tekanan dan menstabilkan hormon.

Minyak pati ini dijual bukanlah dengan harga yang murah, namun dek kerana manfaat yang sering diketengahkan, ramai yang membeli minyak ini untuk memperoleh kebaikan daripada bahan semula jadi ini.

Minyak pati ini juga dikatakan sebagai alternatif (dengan cara sapuan atau pemasangan wap) untuk si kecil kerana mereka belum boleh mengambil ubat-ubatan seperti ubat selesema dan batuk jika usia belum mencecah dua tahun.

 

MENGENAI DAKWAAN

Wujud dakwaan menyatakan minyak pati lavender dan tea tree (melaleuca) boleh menyebabkan perubahan hormon sehingga boleh membesarkan payudara kanak-kanak lelaki dan mengganggu perkembangan sperma.

 


Sumber: Twitter

 

Dakwaan ini pastinya akan memberikan kesangsian kepada ibu-ibu yang menggunakan minyak pati ini pada anak-anak mereka.

MyCheck semak dakwaan ini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apakah Itu Minyak Pati Atau Essential Oil ?

Menurut Dr Che Puteh Osman, seorang pakar kimia yang telah terlibat dengan penyelidikan mengekstrak dan menganalisis minyak pati sejak 2005, minyak pati atau biasa dikenali sebagai essential oil adalah sejenis minyak yang diekstrak daripada tumbuhan beraroma.

Ia mengandungi berpuluh sehingga beratus sebatian kimia daripada kelas terpenes, esters, aldehydes, ketones dan asid lemak.

Dr Che Puteh memberi contoh dalam satu botol minyak pati lavender sahaja mengandungi dua sebatian kimia utama iaitu linalool dan linayl acetate sekitar 50 peratus dan berpuluh sebatian kimia yang lain.

 

Kegunaan Minyak Pati

Minyak pati banyak digunakan dalam pembuatan kosmetik, sabun mandi, dan pewangi.

Wangian minyak pati yang dipasang melalui alat pelembab udara (diffuser) di kediaman atau di ruang pejabat dapat memberikan ketenangan dan menyegarkan udara sekeliling sekali gus meningkatkan ‘mood’ dan rasa lebih bersemangat.

Selain itu, sesetengah minyak pati merupakan insecticide (racun serangga) yang baik.

Menurut Dr Che Puteh, dakwaan ini terbukti melalui kajian piring petri menghalau serangga seperti semut, nyamuk dan lipas.

MyCheck juga ada membaca kertas kajian  yang Essential Oils and Health, dan kajian ini juga menunjukkan minyak pati boleh dipertimbangkan sebagai alternatif organik daripada menggunakan semburan sintetik.

 

Kaedah Pengekstrakan Yang Pelbagai

Dr Che Puteh menjelaskan, terdapat beberapa kaedah pengekstrakan minyak pati antaranya penekan sejuk, penyulingan wap, pengekstrakan pelarut, penyulingan dibantu gelombang mikro dan penyulingan hidro.

Kaedah yang paling biasa digunakan bagi mengekstrak minyak pati adalah distillation atau penyulingan menggunakan air (hydrodistillation) atau wap air (steam distillation).

 

Semula Jadi Tidak Semestinya Selamat

Menurut Pusat Racun Negara (PRN), setiap individu mempunyai reaksi yang berbeza terhadap minyak pati, begitu juga kesan terhadap ubat dan produk sintetik yang lain.

Ada individu yang mungkin mendapat reaksi alahan berbanding individu lain yang tidak mempunyai masalah dengan penggunaan dos atau bahan yang sama.

Selain itu, risiko untuk berlaku keracunan tetap ada dan ia bergantung kepada dos atau kepekatan, jenis dan cara penggunaan minyak pati tersebut.

 

Boleh Dihidu Namun Tidak Boleh Dimakan

Minyak pati yang mengeluarkan bau yang harum ini mungkin akan membuatkan si kecil untuk cuba memasukkannya ke dalam mulut.

Namun awas, tidak semua minyak pati boleh dimakan.

Laporan WebMD yang bertajuk More Kids Accidentally Poisoned by Essential Oils (Ramai kanak-kanak secara tidak sengaja diracuni minyak pati) menyatakan kanak-kanak mungkin cuba menelan minyak pati kerana mereka tertarik dengan bau minyak pati yang wangi.

Situasi menjadi buruk apabila rasa pahit minyak pati akan menyebabkan kanak-kanak tercekik dan minyak tersebut akan terus masuk ke saluran pernafasan serta paru-paru mereka.

Tambahnya, penggunaan minyak yang berlebihan pada kulit kanak-kanak berbahaya kerana kulit kanak-kanak lebih nipis dan boleh menyerap jumlah banyak.

Menurut PRN, kanak-kanak dan wanita mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kesan toksik berbanding individu biasa.

Secara umum, minyak pati mempunyai sifat larut lemak dan minyak pati sangat mudah diserap ke dalam badan melalui membran mukus dan kulit.

Sesetengah jenis minyak pati akan menyebabkan berlakunya kesan teruk seperti sawan, mengantuk, lemah otot dan koma jika ditelan walaupun hanya dalam jumlah lima mililiter.

Berikut merupakan infografik perkara penting yang harus diberi perhatian mengenai beberapa jenis minyak pati yang berisiko tinggi menyebabkan keracunan :

 


Sumber: Bernama

 

Minyak Pati Kepada Kanak-Kanak

Menurut maklumat yang terdapat dalam laman sesawang Hello Doktor,  Persatuan Pakar Naturopatik Amerika memaklumkan minyak pati hanya boleh digunakan kepada bayi yang berusia tiga bulan dan ke atas sahaja.

Nasihat tersebut diberikan kerana penggunaan minyak pati kepada bayi bawah tiga bulan boleh menjejaskan deria bau mereka.

Berdasarkan penyelidikan, bayi baru lahir mengenali ibunya melalui susu ibu dan penggunaan deria bau merupakan antara cara bayi baru lahir mengenali dunia.

Jadi, konflik bau yang kuat (daripada minyak pati) boleh mengganggu penyusuan bayi dan boleh merosakkan kulit bayi yang baru lahir

Seperti yang diketahui, kulit bayi yang baru lahir adalah lebih halus dan bersifat lebih sensitif berbanding orang dewasa jadi adalah tidak sesuai untuk diletakkan minyak pati yang bersifat 'kuat'.

 

Minyak Pati Boleh Mengganggu Hormon

 


Sumber: Twitter

 

Dakwaan yang tular di laman sosial Twitter ini ada benarnya. Hasil carian MyCheck melalui bacaan di kertas kajian dan penulisan pakar di media sosial membuktikan dakwaan ini.

Satu siaran akhbar daripada endocrine society menyatakan Chemicals in lavender and tea tree oil appear to be hormone disruptors (bahan kimia daripada ekstrak lavender dan tea tree menjadi pengganggu hormon).

Ini Sains Beb (sosial media yang dikelolakan oleh pakar-pakar sains) dan Dr Che Puteh juga ada menyatakan bahawa beberapa laporan menunjukkan sesetengah kandungan minyak pati mampu mengganggu hormon.

Pati lavender dan tea tree (melaleuca) telah dikesan mengaruh reseptor estrogen. Ia disedari kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak lelaki mempunyai pembesaran payudara (gynecomastia) setelah penggunaannya.

Menurut penulisan yang terdapat di iluminasi.com yang memetik perkongsian seorang doktor, minyak lavender dan minyak teh juga dianggap membawa kepada keadaan yang disebut sebagai prepubertal gynecomastia, iaitu pertumbuhan tisu payudara yang tidak normal pada kanak-kanak lelaki.

Satu kertas kajian bertajuk Essential Oils and Health menunjukkan pati lavender dan tea tree (melaleuca) telah dikesan mengaruh reseptor estrogen.

Ia disedari kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak lelaki mempunyai pembesaran payudara (gynecomastia) setelah penggunaannya.

 

Minyak Pati Tidak Dapat Ubati Penyakit

Rata-rata beranggapan minyak pati yang semula jadi ini dapat mengubati penyakit tanpa perlu mengambil ubat yang diberikan oleh doktor.

 


Sumber: Facebook

 

Merujuk kepada penulisan Dr Che Puteh bertajuk Siri 10: Essential oil : Mitos dan Fakta, minyak pati tidak dapat mengubati penyakit namun ia mungkin dapat menenangkan pesakit.

Menurutnya, minyak pati yang secara umumnya menghantar isyarat kepada sistem olfaktori (deria bau) dan merangsang pengeluaran hormon baik seperti dopamine (hormon tenang) dan serotonin (hormon hati, tidur, makan dan lain-lain).

Oleh itu, penggunaan minyak pati terhadap pesakit membantu memberi ketenangan, meningkatkan toleransi terhadap kesakitan, mengurangkan tekanan, kemurungan dan kebimbangan sekali gus mengurangkan permintaan terhadap ubat tahan sakit. 

 

KESIMPULAN

Penggunaan minyak pati tidak salah jika dengan cara yang betul.

Namun, jangan hanya mahu mengikut trend dengan menggunakan atau menyapu minyak pati untuk semua perkara. Gunalah secara bersederhana.

Seperti juga semakan fakta, perbanyakkan pembacaan, buat kajian, lihat testimoni dan dapatkan pandangan pakar terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang produk, takut-takut kita yang menyesal kemudian hari.

Ingat, semula jadi tak semestinya selamat, mahal tak semestinya bagus!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Hati-Hati Menggunakan Essential Oil (EO) Untuk Bayi Anda. Ada Kesan Sampingan Yang Tersembunyi

  2. Twitter SyiiraAS 

  3. Facebook Ini Sains Beb ‘ Berhati-hatilah menggunakan essential oil (EO) untuk bayi anda…’ 

  4. Facebook Che Puteh Othman ‘ SIRI 1: APAKAH ESSENTIAL OIL (MINYAK PATI)?’ 

  5. Facebook Che Puteh Othman Siri 10: Essential oil : Mitos dan Fakta, 

  6. Jenis-jenis hormon bahagia

  7. Sebelum Beri Anak Essential Oil, Ini 7 Perkara Ibu Bapa Patut Tahu 

  8. Essential Oils and Health 

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.