+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

JPJ TIDAK PERNAH Tawar Khidmat Lesen Memandu Tanpa Ujian Komputer Yang Boleh Diperoleh Hanya Dalam Tempoh Tiga Hari

Benarkah...

JPJ menawarkan khidmat lesen memandu tanpa ujian komputer yang mampu diperoleh hanya dalam tempoh tiga hari.

Sumber : WhatsApp, Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, Laman Web / Julai & Ogos 2022

Hasil

Ia merupakan sindiket pengeluaran lesen ekspres atau lesen ‘terbang’. JPJ minta orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap iklan sedemikian.

24/08/2022 11:54 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular beberapa iklan menjual ‘lesen terbang’ di media sosial menggunakan logo JPJ bagi menarik perhatian orang ramai.
  • Sindiket berkenaan menawarkan khidmat pengeluaran lesen memandu tanpa ujian komputer JPJ yang mampu diperoleh hanya dalam tempoh tiga hari.
  • Iklan tersebut adalah palsu. JPJ tidak pernah membuat tawaran sedemikian.
  • JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih.


Sumber: Facebook

 

LATAR BELAKANG

Lesen memandu adalah salah satu syarat yang diperlukan untuk memandu kenderaan.

Pengguna motosikal diharuskan memiliki lesen memandu B2 ataupun B sementara kereta diharuskan memiliki lesen memandu D atau DA.

Namun begitu, sebelum boleh memiliki lesen secara sah, anda perlu menjalani ujian berkomputer, menghadiri kelas di institut memandu serta ujian memandu yang dikelolakan oleh pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Lazimnya, pelajar memandu akan berasa gementar dan takut untuk menghadapi dua jenis ujian ini iaitu ujian undang-undang berkomputer dan ujian praktikal JPJ.

Jika anda gagal salah satu ujian, anda terpaksa mengulangi ujian yang gagal itu sehinggalah kesemua ujian tersebut lulus.

Setelah anda berjaya dalam semua ujian itu, barulah pegawai JPJ yang menilai anda akan memberikan kelulusan.

Lesen memandu adalah dokumen penting kerana ia adalah bukti pengiktirafan pihak berkuasa yang menandakan seseorang individu itu telah menjalani ujian yang mengesahkan beliau layak memandu kenderaan di jalan raya.

Atas dasar ini, kegagalan mempamerkan lesen memandu apabila diminta pihak berkuasa dianggap sebagai kesalahan serius yang boleh membawa kepada pelbagai hukuman mengikut akta ditetapkan.

 

MENGENAI DAKWAAN


Sumber: Facebook

 

Hanya dengan membayar sejumlah wang mengikut kategori lesen dikehendaki, orang ramai boleh mendapatkan lesen memandu secara pos tanpa melalui sebarang ujian.

Tawaran itu dikatakan didaftarkan secara terus di dalam sistem pangkalan data JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan berkenaan menawarkan lesen memandu dengan harga serendah RM250 hingga RM2,000 untuk orang ramai dengan jaminan ‘gerenti lulus’ dan tanpa menghadiri sebarang kelas di institut memandu dan ujian memandu oleh JPJ.

Tawaran mendapatkan lesen dengan cara mudah itu bukan hanya terhad untuk kereta dan motosikal sahaja, bahkan pelbagai jenis kenderaan termasuk muatan besar.

Platform media sosial digunakan bagi mempromosikan tawaran itu dan individu yang berminat hanya perlu memberikan gambar, dokumen dan maklumat peribadi serta membuat pembayaran secara dalam talian.

Pelanggan kemudian boleh mendapat lesen memandu itu dalam masa tiga hingga lima hari sahaja.

Iklan terbabit mendakwa lesen yang diperoleh adalah sah dan maklumat pelanggan akan dimasukkan ke dalam sistem JPJ bagi memudahkan urusan memperbaharui dokumen berkenaan dibuat setelah tamat tempoh.

Benarkah dakwaan-dakwaan sedemikian? Mari MyCheck semak untuk anda.

 


Sumber: Facebook

 

APA KAMI TEMUI?

Isu Lesen Terbang Bukan Perkara Baharu

MyCheck mulakan dengan mencari maklumat berkenaan kegiatan yang didakwa itu menggunakan pelbagai platform media sosial untuk mengumpul lebih banyak maklumat yang berkaitan.

Anda boleh lihat iklan berkenaan antaranya di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini

Malah kami dapati iklan tersebut boleh didapati menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram serta di laman sesawang seperti lesenjpj.com.

Sebenarnya isu kegiatan menjual lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah atau dikenali sebagai lesen ‘terbang’ dan lesen ‘kopi-o’ ini bukanlah suatu perkara yang baharu.

Tawaran yang dibuat melalui media sosial itu sudah tentu boleh memerangkap orang ramai yang terdesak mahu membuat lesen memandu dengan cara yang mudah dan bayaran yang murah.

Menatal (scrolling) lanjut, MyCheck turut mendapati selepas digempur pihak berkuasa khususnya oleh PDRM, isu berkenaan yang pernah hangat pada 2018 menjadi senyap seketika, apatah lagi apabila sejumlah besar dalang sindiket ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Sering kali akhbar media arus perdana mahupun portal berita melaporkan berkaitan berita tersebut. Anda boleh membacanya di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini.

Bagi mendapat kepastian, MyCheck bertindak menghubungi tiga nombor berbeza yang tertera pada iklan-iklan di laman media sosial, bagaimanapun kesemuanya tiada maklum balas.

 

Khidmat Lesen Terbang Kembali Hangat Diiklankan

Kini selepas sekian lama, keadaan itu kembali berulang, menerusi kewujudan agensi yang menawarkan khidmat penghasilan lesen memandu tulen tanpa perlu menduduki sebarang ujian.

Malah sindiket-sindiket ini secara beraninya mempromosikan iklan dengan menggunakan logo JPJ bagi menarik perhatian orang ramai.

 


Sumber: Facebook

 

Biarpun taktik sindiket terbabit sebelum ini sudah didedahkan namun ia tidak menjejaskan mereka, malah krisis kewangan yang wujud akibat pandemik Covid-19 nampaknya membuka ruang untuk sindiket berkenaan kembali bertapak, malah semakin berani apabila secara terbuka mengiklankan ‘khidmat’ mereka di media sosial, WhatsApp dan Telegram.

Apa yang dikhuatiri, memiliki lesen ekspres seumpama ini mendedahkan pembeli itu kepada risiko dan bahaya tersendiri, apabila kemampuan mereka memandu tidak diuji mengikut prosedur sepatutnya.

 


Sumber: Facebook

 

Mangsa Berisiko Terjerat Tipu Daya Scammer

Pernahkah anda terfikir, dengan cara pelanggan perlu berurusan dan membuat pembayaran terus secara transaksi di dalam talian sahaja bagi mendapatkan lesen memandu, mereka berisiko ditipu oleh scammer sehingga menyerahkan duit atau maklumat peribadi.

Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada scammer untuk lebih mudah menjalankan tugas mereka.

Lihatlah senario dalam kehidupan harian masyarakat hari ini yang banyak terdedah kepada aktiviti penipuan dalam talian oleh sindiket yang mengambil kesempatan daripada kebocoran data peribadi untuk mendapatkan duit orang ramai melalui pelbagai bentuk penipuan atau scam.

 

Cepat Percaya, Panik Punca Ramai Terjerat

Sebagai buktinya, dalam sektor perbankan Internet, scammer berusaha memancing data sulit seperti maklumat di dalam sistem, kewangan dan maklumat sensitif lain untuk digunakan dalam melakukan penipuan atau akses akaun pengguna.

Sindiket boleh menyamar sebagai pegawai bank, membuat panggilan peribadi atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) menggunakan sumber rasmi bank seperti logo bank bagi meyakinkan mangsa.

Kadangkala, mangsa diberikan pautan laman web tertentu untuk memasukkan maklumat peribadi seperti kad pengenalan, akaun bank dan nombor pin akaun bank.

Bagi sektor perniagaan dalam talian pula, mangsa tertipu dengan membayar barang, pakej percutian atau pelancongan tidak wujud atas dasar percaya tanpa membuat semakan.

Kes seumpamanya berlaku terhadap mangsa yang mendapat panggilan daripada pegawai telekomunikasi untuk membayar bil telefon tertunggak dengan segera atau servis akan dihentikan.

Dalam situasi lain, ada mangsa diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai polis memberitahu terbabit kes salah laku dan membabitkan tindakan lanjut pihak mahkamah.

Akibat terlalu panik, percaya dan terdesak, mangsa melakukannya dalam keadaan sedar tanpa berfikir panjang.

 

JPJ Banyak Terima Laporan

JPJ sedia maklum mengenai iklan lesen terbang ini di media sosial dan ada menerima aduan orang awam.

Menurut JPJ, sebarang lesen tanpa ikut prosedur latihan dan ujian JPJ adalah tidak sah.

Sebelum ini, JPJ merekodkan 187 kes aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sepanjang 2018 hingga 2020 melibatkan lesen palsu.

Jadi sebagai langkah membanteras masalah penipuan tersebut, JPJ menubuhkan Jawatankuasa Khas Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk membendung isu jenayah siber antara dua agensi berkenaan.

Tujuan utama jawatankuasa tersebut adalah mengenal pasti dan mengambil tindakan membendung isu jenayah siber.

Jawatankuasa akan menghantar maklumat kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Cyber Security.

Selain itu, ada juga Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman (JKSD) peringkat jabatan untuk menangani isu dan aktiviti pengeluaran lesen memandu tidak sah.

Malah Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia bertarikh 10 Ogos 2022 telah menasihatkan orang ramai bahawa agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih.

 


Sumber: Facebook

 

Pemilikan Lesen Tidak Sah Boleh Dikenakan Hukuman

Jangan sesekali cuba berurus niaga dengan penjual lesen terbang.

Ini kerana jika anda didapati memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan, anda akan disiasat di bawah Seksyen 114, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan, anda boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Harian Metro bertarikh 13 September 2018 pernah melaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan pernah membongkarkan sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah yang mana kementerian itu mengesyaki kira-kira 14,000 lesen terbang dikeluarkan sejak 2016 hingga 2018. Anda boleh membacanya di sini.

Malah sekiranya anda berhasrat mengemukakan aduan, boleh layari laman jpj.spab.gov.my, atau e-mel: aduantrafik@jpj.gov.my atau aduanintegriti@jpj.gov.my.

Ketahuilah, tiada jalan pintas bagi mendapatkan lesen memandu selain anda perlu menjalani ujian memandu mengikut prosedur ditetapkan.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan maklumat yang telah MyCheck semak, sindiket lesen terbang sememangnya wujud namun ia bukan ditawarkan atau diiklankan oleh JPJ.

JPJ tidak pernah membuat tawaran yang too good to be true atau terlalu indah untuk menjadi kenyataan itu.

Berdekad lamanya sejak kewujudan kenderaan dari zaman nenek moyang kita sehinggalah hari ini, semua individu perlu melalui beberapa ujian dalam tempoh yang ditetapkan untuk mendapatkan lesen.

Sebagai bakal pemandu kenderaan, sentiasalah beringat-ingat supaya tidak terpedaya dengan pelbagai iklan mendapatkan lesen dengan cara mudah.

Pepatah Melayu menyatakan jerat tidak pernah lupakan pelanduk, tetapi pelanduk lupakan jerat yang bermaksud orang sering lupa adanya bahaya yang sentiasa mengancam.

Selain itu, jika anda terrniat untuk mendapatkan lesen terbang kerana lebih mudah dan cepat, ingatlah, di sebalik ribuan nyawa di jalan raya saban hari, tidak mustahil adanya insan yang kita sayangi.

Jangan kerana kita atau mereka pemilik lesen terbang yang tidak diikitraf kemahiran memandu, nyawa orang yang anda sayangi pula ‘terbang melayang’.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

1.Malaysia Gazette. “JPJ buru 14,417 pemegang lesen terbang” Diterbitkan pada 13 September 2018.

2.Paultan. “Pemandu atau penunggang tanpa lesen akan terus dihadapkan ke mahkamah, kenderaan turut disita” Diterbitkan pada 11 Mei 2016.

3.Buzz Kini. “Rakyat Malaysia Kantoi Guna Lesen Terbang Di Australia” Diterbitkan pada 25 April 2022.

4.Sinar Harian. “Rugi lebih RM1,800 angkara lesen terbang” Diterbitkan pada 22 Februari 2022.

5.Harian Metro. “Pemegang lesen terbang ada sebulan sahaja!” Diterbitkan pada 13 September 2018.

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.