+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Pengering Tangan, Tisu Atau Tuala Berisiko Sebarkan Bakteria Jika Tidak Diselenggara, Disanitasi Atau Diletakkan Di Tempat Yang Sesuai

Benarkah...

Penggunaan pengering tangan lebih berisiko berbanding tisu kertas kerana penyebaran bakteria lebih tinggi di udara.

Sumber : TikTok / Ogos 2022

Hasil

Mengeringkan tangan menggunakan apa jua barangan seperti mesin pengering, tisu kertas atau tuala boleh menyebarkan bakteria jika barangan itu tidak diselenggara, disanitasi dan diletakkan di tempat yang sesuai.

25/08/2022 04:27 PM

SEKILAS FAKTA

  • Satu video tular di Tiktok mendakwa pengering tangan tidak sesuai digunakan kerana ia membebaskan banyak bakteria ke udara sewaktu menggunakan peralatan berkenaan.
  • Semua permukaan yang kita sentuh sebenarnya mempunyai bakteria sekiranya ia tidak disanitasi.
  • Isu berkenaan merupakan isu lama dan ditularkan semula.


Sumber: Eltatrade.asia

 

LATAR BELAKANG

Sejak dari kecil, kita diajar untuk mencuci tangan selepas makan atau bermain bagi mengelakkan penyebaran bakteria atau kuman yang menjadi salah satu punca dijangkiti penyakit.

Selepas mencuci tangan, hampir kesemua daripada kita akan mengeringkan tangan yang basah menggunakan tuala, tisu kertas, atau mesin pengering tangan.

Pengggunaan pengering tangan semakin popular apabila peralatan berkenaan banyak dipasang di pelbagai tempat termasuk pejabat, sekolah dan pusat beli-belah.

Ramai dilihat memilih menggunakan pengering tangan berbanding tisu yang disediakan kerana beranggapan pengering tangan lebih bersih kerana tidak perlu menyentuh apa-apa permukaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Seorang pengguna TikTok menggunakan nama Phonesoap memuat naik satu video mendakwa pengering tangan tidak sesuai digunakan kerana mengumpul jumlah bakteria yang banyak.

Menerusi video berkenaan, seorang lelaki telah melakukan satu eksperimen dengan meletakkan sebuah bekas bulat kecil berisi pepejal dipercayai sabun berhampiran lubang angin pada pengering tangan di beberapa lokasi termasuk di panggung wayang dan stesen minyak.

Beliau kemudiannya menggoncangkan bekas kecil berkenaan sebelum memasukkannya ke dalam sebuah inkubator mudah alih.

Selepas tiga hari, lelaki itu mengeluarkan bekas berkenaan dan kelihatan tompokan kulat dipercayai bakteria timbul di permukaan pepejal di dalam bekas tersebut.

Beliau mencadangkan orang ramai untuk mengibas tangan selepas mencuci tangan bagi memastikan tiada kuman pada tapak tangan masing-masing.

 


Sumber: TikTok

 

APA YANG KAMI TEMUI

Phonesoap Adalah Syarikat Pengeluar Produk Pensanitasi Ultra Ungu

Perkara pertama yang kami lakukan adalah menyemak latar belakang pengguna TikTok berkenaan yang mempunyai lebih 251,000 pengikut (setakat laporan ini ditulis, 24 Ogos 2022).

Hasilnya, kami mendapati Phonesoap merupakan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenis produk pensanitasi ultra ungu (UV) seperti aksesori telefon bimbit termasuk pengecas, pensanitasi rumah dan beberapa produk pensanitasi yang lain.

Kebanyakan video dalam TikTok Phonesoap yang diasaskan oleh dua orang sahabat karib iaitu Wes LaPorte dan Dan Barnes itu banyak mempromosikan produk keluaran syarikat mereka.

Selain itu, mereka turut melakukan banyak eksperimen lain bagi mendedahkan kehadiran bakteria termasuk pada stereng kereta, tali pinggang keledar dan beberapa tempat lain.

 

Kehadiran Bakteria Dalam Pengering Tangan Bukan Isu Baharu

Semakan kami mendapati isu yang ditularkan dalam video berkenaan bukanlah perkara baharu kerana ia pernah disiarkan dalam beberapa portal hiburan seperti beautifulnara.com dan xtra.com.my.

Artikel daripada beautifulnara.com umpamanya memetik laporan kajian daripada Leeds University, United Kingdom yang diterbitkan pada 2014 dan disiarkan oleh beberapa portal berita di negara berkenaan Telegraph UK dan Independent UK.

 


Sumber: Xtra.com.my

 

Menerusi kajian bertajuk Microbiological comparison of hand-drying methods, penyelidik daripada Leeds University mendapati pengering tangan jet berkelajuan tinggi adalah 27 kali ganda berisiko menyebarkan kuman bawaan udara berbanding penggunaan tisu kertas yang kebiasaannya diletakkan di dinding tandas.

 


Sumber: Telegraph UK

 

Hasil kajian daripada Leeds University itu turut diterbitkan dalam beberapa laman sesawang jurnal penyelidikan termasuk sciencedirect.com dan national library of medicine.

 


Sumber: National Library of Medicine

 

Selain itu, kami turut menemukan pelbagai hasil kajian mengenai kehadiran bakteria dalam pengering tangan antaranya anda boleh lihat di sini, sini dan sini selain beberapa video pendek mengenai isu berkenaan di laman Facebook termasuk di sini dan di sini.

 

Perbezaan Pendapat Daripada Syarikat Pengeluar Pengering Tangan

Pelbagai kajian dijalankan oleh para penyelidik mengenai isu ini namun dipertikaikan oleh syarikat pengeluar pengering tangan kerana mereka mendakwa dana daripada kajian sedemikian kebiasaannya disokong oleh syarikat pengeluar tisu tangan.

Selain itu, mereka turut mempertikaikan penggunaan tisu tangan kerana beratus-ratus pokok terpaksa ditebang bagi menghasilkan tisu dalam kuantiti yang banyak.

Contohnya, sebuah pengeluar pengering tangan dari India, Euronics mendakwa kos penggunaan tisu kertas mempengaruhi keuntungan daripada segelintir perniagaan seperti di restoran atau hotel.

Selain itu, kami turut menemui satu artikel yang diterbitkan oleh worlddryer mengenai fakta dan mitos berhubung penggunaan pengering tangan bertajuk

Factor Myth: Hand Dryers Spread Germs yang ditulis oleh pengurus kejuruteraan syarikat berkenaan, David Fisher.

Menerusi artikel berkenaan, Fisher memaklumkan kajian yang menyimpulkan bahawa pengering tangan menyebarkan bakteria kebiasaannya dijalankan menerusi ujian yang sengaja direka.

Beliau turut mendakwa kebiasaannya bakteria diletakkan di atas sarung tangan dan di bawah pergerakan udara sesebuah pengering tangan.

Fisher turut menegaskan sebarang pergerakan di permukaan udara akan menyebabkan partikel bakteria bergerak ke seluruh tandas yang kemudiannya akan disedut masuk ke dalam saluran pernafasan manusia.

 

WHO, CDC Sokong Penggunaan Pengering Tangan

Lebih menarik kami turut menemui sebuah artikel dari United Kingdom terbitan blowmotion yang mendakwa dua badan kesihatan terkemuka dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit CDC menyokong penggunaan pengering tangan.

Menurut artikel berkenaan yang ditulis oleh Rick Farrell, WHO menyokong penggunaan pengering tangan walaupun ia tidak sepenuhnya berkesan membunuh virus seperti Covid-19.

WHO menjelaskan tiada bukti kukuh menunjukkan pengering tangan berisiko tinggi menyebabkan jangkitan sesuatu virus kepada orang lain.

 


Sumber: Blowmotion UK

 

Sebaliknya, WHO menyarankan orang ramai supaya kerap mencuci tangan menggunakan sabun yang berasaskan alkohol sekurang-kurangnya 30 saat.

Menurut Farrell, CDC turut bersetuju dengan penggunaan pengering tangan walaupun pelbagai kajian berhubung penggunaan pengering dan tisu kertas menunjukkan keputusan yang berbeza.

Malahan, CDC menerusi laman sesawang mereka mendedahkan tiada bukti saintifik yang kukuh bagi menentukan sama ada penggunaan tuala tangan atau pengering tangan berkesan dalam mengurangkan kehadiran bakteria di tapak tangan.

Menurut CDC, bakteria lebih mudah terdedah apabila tangan kita basah dan tiada masalah sekiranya kita ingin menggunakan tisu kertas atau pengering tangan untuk mengeringkan tangan kita.

 


Sumber: cdc.gov

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikan dakwaan bahawa penggunaan pengering tangan lebih berisiko berbanding penggunaan tisu kertas atau tuala bersih adalah bercampur.

Ini kerana walaupun terdapat kajian yang mengesahkan kehadiran bakteria pada pengering tangan, penggunaan tuala bersih atau tisu tangan turut boleh menyebabkan jangkitan bakteria sekiranya ia tidak disanitasi dengan betul.

Setiap pengguna mempunyai pilihan sama ada menggunakan pengering tangan, tuala atau tisu kertas kerana barangan berkenaan mempunyai fungsi yang sama.

Namun, soalan paling penting, sudahkah anda mencuci tangan hari ini?

Amalkan mencuci tangan dengan kerap, kerana sifat malas mencuci tangan sudah tentu akan mengumpul lebih banyak bakteria berbanding memikirkan bakteria pada alat pengering semata-mata.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. TikTok Phonesoap

  2. Bagaimana Tangan Boleh Dijangkiti Bakteria Apabila Menggunakan Pengering Tangan Di Tandas.Diterbitkan oleh Beautifulnara.com

  3. Pengering Tangan Dalam Tandas Ada Bakteria?Diterbitkan oleh xtra.com.my

  4. Hand dryers 'splatter' users with bacteria, scientists warn.Diterbitkan oleh Telegraph UK

  5. Hand dryers splatter bacteria into air and onto users, report warns.Published by Independent UK

  6. Microbiological comparison of hand-drying methods: the potential for contamination of the environment, user, and bystander.Published by  sciencedirect.com

  7. Microbiological comparison of hand-drying methods: the potential for contamination of the environment, user, and bystander.Published by National Library of Medicine

  8. Eco-friendly hand dryerover tissue papers and paper dispensers.Published by Euronics India

  9. Fact or Myth: Hand Dryers Spread Germs.Published by worlddryer.com

  10. WHO, CDC & The Government Back The Use Hand Dryers.Published by Blowmotion UK

  11. Coronavirus disease (COVID-19) advice for the public: Mythbusters.Published by WHO

  12. Frequent Questions About Hand Hygiene.Published by CDC

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.