Wujud penjara khas yang mewah untuk orang kenamaan atau VIP di Malaysia.
Sumber : TikTok & WhatsApp / Ogos 2022
Gambar penjara mewah itu bukan terletak di Malaysia. Ia adalah Penjara Champ-Dollon di Switzerland, iaitu penjara kelima termewah di dunia.
SEKILAS FAKTA
LATAR BELAKANG
Penjara merupakan tempat tahanan bagi pesalah yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.
Ia biasanya digambarkan dengan suasana kelam, gelap dan terkurung di sebalik jeriji besi.
Berdekad lamanya, dikatakan semua banduan yang menjalani hukuman penjara akan menerima layanan sama, tidak kira apa jua latar belakang termasuklah golongan kenamaan atau VIP.
Namun, timbul dakwaan bahawa golongan VIP sebenarnya diberi layanan istimewa berbanding banduan dalam kalangan rakyat biasa.
Isu itu muncul sejurus selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke penjara Kajang mulai 23 Ogos lepas.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Untuk rekod, Najib merupakan bekas perdana menteri pertama di Malaysia yang dihukum penjara.
MENGENAI DAKWAAN
Tular sekeping gambar bilik mewah yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama D’eyo Adie mendakwa ia adalah penjara untuk VIP.
Pemilik akaun itu turut menulis kapsyen bahawa penjara atau bilik tahanan untuk VIP tidak sama dengan bilik banduan biasa.
Menurutnya, bilik penjara VIP mungkin aksesnya lebih hebat berbanding rumah orang awam, diberi kemudahan seperti televisyen, Internet, penyaman udara dan tilam berkualiti tinggi.
Setakat laporan ini ditulis (29 Ogos 2022), hantaran itu telah mendapat lebih 4,000 perkongsian serta lebih 2,000 komen warganet yang menzahirkan pelbagai reaksi termasuk mempersoalkan kewujudan penjara sedemikian.
Meskipun pemilik akaun Facebook itu tidak menyatakan penjara berkenaan adalah di Malaysia, namun ramai warganet mengaitkannya dengan Penjara Kajang kerana pemilik akaun Facebook itu memuat naik hantaran tidak lama selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
APA KAMI TEMUI?
Carian Melalui Google Image Search
MyCheck mengambil langkah untuk melakukan semakan menggunakan carian imej berbalik menerusi enjin Google (Google Reverse Image Search) untuk mengetahui dari manakah sumber gambar yang ditularkan tersebut.
Apa yang menariknya dengan hanya sekali semakan sahaja kami sudah menemui gambar yang sepadan sekali gus mendapat jawapan yang dicari.
Hasil carian jelas menunjukkan yang sebenarnya gambar suasana penjara mewah dan selesa itu bukan sel penjara di Malaysia sebaliknya gambar tersebut adalah sel di Penjara Champ-Dollon di Switzerland.
Jika diteliti gambar yang ditularkan oleh pemilik Facebook berkenaan, ia jelas serupa dengan gambar yang dipaparkan pada hasil carian berbalik menerusi Google yang MyCheck telah semak.
Wujudkah Penjara Yang Mewah Dan Selesa?
Persoalannya, benarkah wujud sel lokap yang begitu selesa dengan pelbagai kemudahan seolah-olah berada di sebuah apartment atau asrama pelajar.
Menurut laporan portal berita luar negara Olatorera.com, 'Bastoy Prison’ di Norway merupakan penjara tercantik di dunia dan terletak di sebuah pulau.
Lebih 100 penghuni ditahan di penjara itu serta ditempatkan di dalam rumah ladang.
Penghuni di situ akan bekerja di ladang tersebut selain menghabiskan masa bermain tenis, menunggang kuda, memancing dan berjemur di tepi pantai manakala gambar sel mewah Penjara Champ-Dollon, Switzerland yang ditularkan warganet itu pula merupakan penjara kelima tercantik dan selesa di dunia.
Penjara itu dibina pada 1977 dan mampu memuatkan 500 banduan.
Lebih 60 peratus daripada tahanan yang sedang ditempatkan di situ sedang menunggu perbicaraan.
Lokap tahanan mereka seperti sebuah bilik yang boleh menempatkan tiga orang banduan.
Suasana di dalamnya luas dan bersih dengan kemudahan asas untuk keselesaan banduan.
Suasana Penjara Beri Pemulihan Terbaik Kepada Tahanan
Menurut portal Buzznick, penjara yang dilengkapi dengan kemudahan yang dianggap mewah ini diwujudkan bagi memastikan setiap banduan dapat memanfaatkan masa mereka sepenuhnya semasa dalam tempoh tahanan reman serta sedang menunggu perbicaraan kes.
Banyak aktiviti masa lapang yang dibenarkan contohnya bersenam di gimnasium, memasak serta memakai pakaian sendiri dan bukannya uniform penjara.
Selain itu, ia dikatakan dapat membantu mengurangkan kos operasi serta tenaga kerja pengurusan penjara tersebut.
Mungkin ia kelihatan seperti memberi kemewahan kepada penjenayah, namun dari sudut yang lain suasana penjara yang sedemikian boleh menjadi pusat pemulihan terbaik kepada tahanan.
Erti kata lain, ia menggalakkan kerjasama antara banduan supaya mereka dapat menyesuaikan diri apabila dibebaskan kelak.
Sistem seperti di asrama yang digunakan di penjara ini juga dapat mengelakkan masalah-masalah lain seperti kes banduan berulang yang akhirnya akan menyebabkan peningkatan bilangan banduan dan kepadatan penjara serta kecenderungan tekanan melampau sehingga mencederakan diri serta orang lain.
Terdapat 10 Penjara Termewah Dunia
Menurut portal majalah Libur, terdapat penjara yang lebih selesa daripada rumah kediaman.
Ada penjara yang dilengkapi tilam empuk, ruang yang selesa dengan fasiliti yang lengkap termasuk layanan yang baik.
Banduan juga diberi banyak latihan atau kemahiran untuk persediaan kembali ke dalam kalangan masyarakat setelah bebas.
Selain itu, terdapat sel penjara yang turut dilengkapi dengan kemudahan gimnasium bahkan ada penjara yang turut menawarkan keistimewaan seperti orang luar boleh menemani pesalah di dalam penjara.
Berikut kami kongsikan 10 penjara termewah di dunia menurut portal Libur.
1. Penjara Bastoy, Norway
2. HMP Addiewell, Scotland
3. Otago Correction Facility, South Island, New Zealand.
4. Penjara Aranjuez, Sepanyol
5. Penjara Champ-Dollon, Switzerland
6. JVA Fuhlsbuettel, Jerman
7. Sollentuna Prison, Sweden
8. Penjara Halden, Norway
9. Justice Center Leoben, Austria.
10. Penjara Wanita Pondok Bambu, Indonesia
Selain itu, kami sertakan artikel di Forbes dan Scoop Whoop untuk bacaan anda.
Bagaimana Pula Situasi Penjara di Malaysia?
Jadi bagaimana pula suasana di penjara Malaysia.
Adakah terdapat sel khas yang ‘mewah’ untuk golongan tertentu?
Berdasarkan semakan kami, terdapat 47 buah penjara di seluruh Malaysia, iaitu 18 buah di Semenanjung dan 9 buah lagi di Sabah dan Sarawak.
Penjara Kajang yang dibina pada 1975 merupakan penjara terbesar di Malaysia manakala Penjara Sungai Buloh merupakan penjara termoden yang dilengkapi alat keselamatan berteknologi tinggi dibina pada 1996.
Penjara Sungai Buloh dibina bagi menggantikan Penjara Pudu yang telah lama dibina pada 1891 dan kini tinggal kenangan.
Setiap sel penjara di negara ini biasanya digambarkan dengan keadaan suram dan tidak selesa.
Pengguna TikTok Faizalmurad atau @abangpejan berkongsi suasana atau realiti sebenar di dalam penjara Kajang berdasarkan pengalaman peribadinya ketika membuat liputan media pada 2017.
Menerusi video berdurasi 7 minit 45 saat di TikTok tersebut, beliau menjelaskan keadaan di penjara tidak seperti apa yang orang ramai sangkakan.
Banduan di penjara bebas bergerak dalam kawasan penjara dan tidaklah dikurung 24 jam sehingga langsung tidak melihat dunia luar.
Malah, ketika dia sampai di penjara tersebut, terdapat banduan yang sedang berlegar-legar di kantin tetapi masih lagi dalam pemantauan warden penjara.
Terdapat dua blok bangunan yang mengasingkan banduan lelaki dan wanita.
Keadaan menuju ke sel-sel tahanan pula memang agak suram dan gelap.
Menurut pengguna tersebut di kanan kiri lorong sempit itulah letaknya sel-sel bagi banduan ditempatkan dan boleh dilihat menerusi jeriji besi yang menjadi ‘pintu’ sel mereka.
Seramai tiga atau empat banduan akan diletakkan bersama-sama di dalam satu sel yang menjadi tempat mereka tidur.
Selain blok bangunan yang menempatkan sel-sel tahanan, terdapat pelbagai lagi kemudahan lain seperti surau, bilik- bilik yang dilengkapi komputer untuk banduan mengikuti pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Di sana juga ada kemudahan tempat pembelajaran kemahiran dan vokasional termasuk bidang agama.
Video penjelasan beliau itu juga dimuat naik dengan kapsyen Rasa mcm tak ada pulak terserempak Sel Penjara VIP dekat Kajang.
Sementara di Twitter pula, seorang pengguna @Sir_Azri pula ada memuat naik ciapan menjelaskan sel VIP di penjara Kajang adalah sebuah bilik berasingan dengan banduan lain.
Kemudahan lain seperti kipas siling, tilam dan bantal termasuk tandas tanpa pintu.
Jika benar seperti apa yang digambarkan bermakna tiada yang istimewa bagi banduan VIP melainkan hanya diasingkan daripada banduan lain.
Kenyataan Jabatan Penjara Malaysia
Berikutan tersebarnya dakwaan gambar sel penjara mewah bagi golongan VIP yang kononnya akan menempatkan Najib seperti kata warganet, Jabatan Penjara Malaysia turut tampil memberi maklum balas ringkas berkenaan perkara tersebut.
Jabatan itu menerusi hantaran di laman Facebook rasminya telah menafikan dakwaan tersebut dan meminta agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat palsu berkenaan.
KESIMPULAN
Sudah menjadi stigma kebanyakan masyarakat bahawa penjara adalah tempat yang amat menggerunkan, seumpama ‘neraka’ di dunia.
Benar, kebebasan banduan terkongkong, rutin harian hanya di sebalik pagar tinggi namun banduan tidaklah dikurung 24 jam, makanan disediakan bahkan ada aktiviti termasuk pelbagai bentuk latihan kemahiran diberikan.
Harus diingat penjara bukannya tempat bercuti, namun ia tirai besi untuk hukuman, pemulihan diri dan rohani, sudah tentu ia tidak seindah seperti ketika di luar penjara.
Pendekatan serta polisi setiap negara dalam menguruskan tahanan jenayah juga adalah berbeza.
Di Malaysia juga tiada kurangnya, walaupun tidak mewah dan selesa dengan dekorasi ala hotel, namun apa yang penting matlamat membina masa depan yang lebih cerah sebaik sahaja banduan dibebaskan tercapai.
Kebanyakan bekas banduan menjadi insan berguna dan berjaya mencapai pelbagai kejayaan seperti menamatkan pengajian di dalam tahanan sehingga peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah serta menjadi usahawan berkemahiran tinggi.
Paling utama bekas banduan berubah menjadi lebih baik dan belajar daripada kesilapan, penyebar maklumat palsu pula bagaimana?
Jangan menunggu untuk meringkuk di tirai besi barulah hendak menangisi.
Biasakan semak fakta anda terlebih dahulu, Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dahulu!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
Tiada layanan istimewa untuk Najib, kata Jabatan Penjara | Free Malaysia Today (FMT)
Top 5 Most Luxurious Prisons In The World - Olatorera For Greater Nigeria
Bocor gambar bilik penjara VVIP Najib, ini jawapan segera Jabatan Penjara
Sel penjara 'kayangan' di Switzerland bukan di Malaysia - Kosmo Digital
Semua Banduan Dilayan Sama Rata, Tiada Layanan Istimewa – Jabatan Penjara Malaysia
TikTok @abangpejan : Rasa mcm tak ada pulak terserempak Sel Penjara VIP dekat Kajang
Buzznicked: This Luxury Prison In Austria Is Cushy Enough To Get Locked Up In
Forbes: Bastøy: Norway’s Island Prison Where Inmates Work, Ski And Watch TV
Scoop Whoop: 12 Prison Cells That Are More Luxurious Than Your College Hostel Room
© 2023 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.