+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Kenderaan Berlogo ‘UN’ Yang Tular Adalah Untuk Perarakan Hari Kebangsaan 2022, Tiada Kaitan Dengan Sebarang Ancaman

Benarkah...

Kenderaan tentera berlogo UN yg dirakam di Lebuhraya Seremban adalah petanda akan berlakunya situasi buruk yang akan memporak-perandakan Malaysia.

Sumber : Twitter / Ogos 2022

Hasil

Kenderaan itu adalah milik MALBATT yang berpangkalan di Port Dickson, Negeri Sembilan. Kemunculan kenderaan tersebut di lebuh raya adalah kerana dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk pertunjukan Hari Kebangsaan 2022.

01/09/2022 02:46 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular gambar kenderaan berlogo 'UN' kelihatan di Lebuhraya Seremban, Negeri Sembilan.
  • Kemunculan kenderaan itu dikatakan petanda akan berlakunya sesuatu yang buruk di Malaysia.
  • Kenderaan tersebut adalah milik MALBATT yang berpangkalan di Port Dickson.
  • Ia dilihat di lebuh raya kerana dalam perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur bagi perarakan Hari Kebangsaan 2022.


Sumber: MyCheck

 

LATAR BELAKANG

Terdapat pelbagai jenis aset ketenteraan yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawasi pertahanan negara.

Secara amnya, sesebuah negara akan mempunyai tiga cabang kententeraan iaitu perkhidmatan Darat, Laut dan Udara.

Aset-aset yang digunakan untuk sesuatu operasi ini biasanya akan dipamerkan kepada orang ramai sewaktu perarakan Hari Kebangsaan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular di laman sosial mengenai kemunculan kenderaan UN yang didakwa mencurigakan di Lebuhraya Seremban, Negeri Sembilan.

Seorang pemilik akaun Twitter menggunakan nama @Muhammad Arifin telah memuat naik ciapan berserta gambar dengan kapsyen :

friend forward dari highway seremban 22.08.22 10.:am.

Sesuatu yang bakal berlaku tidak lama lagi.

bersiap sedialah untuk kita semua yang menanti di hari2 yang mendatang,”.

 


Sumber: Twitter

 

MyCheck turut menemukan satu lagi ciapan di Twitter daripada @HazimMaleNurse yang menunjukkan tangkap layar ‘story’ berhubung dakwaan sama.

 


Sumber: Twitter

 

Hantaran tersebut berbunyi :

Puak2 yang suka porak perandakan negara orang ni dah ada kt Malaysia,Kalau korang rasa skrg tengah aman, damai, bole ootd (outfit of the day) sana sini, maksudnya korang masih dalam tidur yang lena,diorang ini semua da standby nak porak peranda negara kita,bukan nk bagi korang takut, just nak bgtau supaya kalau puak2 ni muncul ttba jd hero nak selamatkan negara tengah darurat,nnt takdela korang tertipu dengan tipu daya diorang ini,”.

Berdasarkan kapsyen, pengguna media sosial itu mendakwa kenderaan berwarna putih dengan logo UN tersebut akan memporak-perandakan keamanan negara.

Adakah dakwaan ini betul? Jangan panik, jom kita semak dahulu ya.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Akaun Twitter Telah Dipadam

MyCheck cuba mencari semula pengguna akaun Twitter menggunakan nama @Muhammad Ariffin yang memuat naik ciapan itu namun tidak menemukannya.

Berkemungkinan pengguna itu telah memadan akaunnya dan apa yang kami temukan hanyalah tangkap layar daripada ciapan beliau yang dimuat naik oleh seorang pengguna lain menggunakan nama akaun @JohnMYSreview.

Melalui carian kami, MyCheck dapati @JohnMYSreview merupakan seorang anggota tentera darat.

Beliau banyak membuat ciapan mengenai maklumat dan isu-isi tular berkaitan ATM.

Pengguna ini juga ada memuat naik ciapan menjelaskan keadaan sebenar seperti di bawah.

 


Sumber: Twitter

 

Menurut beliau, kenderaan dengan logo ‘UN’ tersebut adalah kenderaan dari Batalion Malaysia atau dikenali sebagai MALBATT.

Beliau menambah, semua kenderaan dengan logo ‘UN’ yang berada di atas jalan raya di Malaysia adalah kenderaan tentera pengaman Malaysia.

Jom kita semak kewujudan batalion dan apakah yang dimaksudkan dengan ‘UN’ ini.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Menggunakan salah satu kemahiran semakan fakta, kami mencari maklumat melalui carian imej berbalik.

Setelah menggunakan teknik ini, berikut adalah apa yang kami jumpa.

 


Sumber: Google

 

Berdasarkan simbol ‘UN’ pada kenderaan tersebut, carian menunjukkan UN membawa maksud United Nation atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang ditubuhkan pada 1945 dan dianggotai sebanyak 193 negara.

Antara tugas utama PBB adalah untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Terdapat perjanjian antara negara anggota untuk menghantar tentera negara masing-masing bagi membantu negara yang bergolak.

 

MALBATT Bermaksud Malaysian Battalion

Menerusi artikel oleh Sinar Harian, MALBATT adalah singkatan daripada Malaysian Battalion atau Batalion Malaysia.

MALBATT telah menjalankan misi pengaman di United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sejak 2007.

Malah, anda boleh lihat di laman sesawang UNIFIL ini yang menunjukkan Malaysia adalah antara 10 teratas dalam senarai ‘military contributor’.

 


Sumber: UNIFIL

 

Jadi, satu persoalan telah dirungkai di sini, kenderaan yang berlogo ‘UN’ tersebut berkait dengan MALBATT.

 

MALBATT Berpangkalan Di Port Dickson

Sebagai persiapan ke Lubnan, MALBATT akan menjalani 'Force Integration Training' (FIT) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Malah, kenderaan tentera yang tular tersebut adalah kenderaan yang digunakan dalam misi MALBATT tersebut.

Ya, misi tersebut di Lubnan, namun kenderaan tersebut diguna pakai di Malaysia sebagai persiapan familiarization atau penyesuaian anggota tentera yang bakal bertugas di negara yang terlibat dengan misi tersebut nanti.

 

Kenderaan Digerakkan Untuk Pertunjukan Hari Kebangsaan 2022

MyCheck berjaya mendapatkan jawapan mengapa kenderaan ini dilihat berada di lebuh raya.

Salah seorang daripada kami terlibat secara langsung dengan sambutan Hari Kebangsaan 2022 dan kami dapati kenderaan tersebut turut terlibat dalam perarakan aset-aset negara.

Jadi, inilah sebab mengapa kenderaan tersebut kelihatan di lebuh raya Seremban, ia sebenarnya sedang dalam perjalanan dari Port Dickson ke Kuala Lumpur untuk perarakan Hari Kebangsaan 2022.

Kami kongsikan beberapa keping gambar yang diambil oleh MyCheck sewaktu berlangsungnya raptai Hari Kebangsaan 2022 baru-baru ini.

 


Sumber: MyCheck

 

KESIMPULAN

Janganlah khuatir jika ternampak kenderaan pasukan pengaman di kawasan anda.

Kita sedia maklum, tugas pasukan ATM sudah semestinya untuk menjaga pertahanan negara, jadi mengapa pula mereka akan membuat porak-peranda.

Hormatilah pasukan ini yang berkorban masa, tenaga bahkan nyawa demi negara.

Jika anda tidak mampu membuat pengorbanan besar seperti mereka, mari lakukan pengorbanan kecil tanpa memerlukan jiwa kental mahupun semangat waja iaitu menahan diri daripada menyebarkan berita palsu.

Janganlah kerana mahu mendapatkan content atau #FYP di media sosial, anda pula yang mencetuskan porak-peranda dan ancaman kepada negara.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Twitter HazimMaleNurse

  2. Sinar Harian “Misi Pengaman Malbatt”.  

  3. UNIFIL

  4. United Nation - about us

  5. United Nation- Our Works

  6. Twitter @JohnMYSreview

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.