+6012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Gambar Tular Saluran Paip Pembetung Kotor Dan Berkarat Bukan Di Kelantan Tetapi Di Thailand

Benarkah...

Paip pembetung yang menyalurkan air kepada semua rakyat Kelantan kotor dan berkarat sehingga menyebabkan penduduk menerima air tidak bersih.

Sumber : Facebook, TikTok, Twitter / Ogos 2022

Hasil

Paip pembetung itu bukan di Kelantan atau mana-mana negeri di Malaysia sebaliknya ia adalah pembetung di Thailand yang lama dan tidak lagi digunakan.

08/09/2022 03:00 PM

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu hantaran di Facebook berserta gambar sebuah paip pembetung yang kotor dan berkarat.
  • Dikatakan paip itu yang menyalurkan air ke rumah semua penduduk di Kelantan.
  • Pembetung itu sebenarnya di Thailand. Ia tidak lagi digunakan sejak 2016.


Sumber: majalahsains.com

 

LATAR BELAKANG

Air merupakan keperluan asas paling penting yang digunakan dalam kehidupan seharian kita antaranya untuk diminum, memasak, membasuh pakaian dan mandi.

Penggunaan air yang telah dirawat di loji rawatan air bukan sahaja mengelakkan kita daripada dijangkiti penyakit seperti taun dan-cirit birit, tetapi juga memastikan setiap individu dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna.

Terdapat dua jenis air yang boleh digunakan untuk minuman iaitu air mentah dan air yang dirawat.

Air mentah adalah air tawar yang terdapat secara semula jadi seperti air hujan, air sungai, air tasik dan air di dalam tanah.

Air yang dirawat pula adalah air yang diperoleh daripada sumber air mentah tetapi menjalani rawatan tertentu di loji rawatan air sebelum selamat digunakan.

 

MENGENAI DAKWAAN

Tular satu hantaran gambar di laman Facebook menerusi akaun Viral Terkini Malaysia yang berkongsi sebuah saluran paip pembetung yang kotor dan berkarat yang didakwa digunakan untuk menyalurkan air kepada penduduk di negeri Kelantan.

Hantaran Facebook itu turut mendakwa paip berkenaan berusia 12 tahun ke atas.

Beginilah rupa paip air yang membawa air ke rumah di sekitar Kelantan… 

Paip pembekal yg usianya 12 tahun ke atas…

Air paip adalah punca penyakit yang paling dipandang rendah, sarat dengan logam berat, racun perosak, fluorida, klorin dan produk farmaseutikal, dsb," menurut hantaran Facebook itu.

Kebanyakan warganet memberikan komen mendakwa beberapa kerajaan negeri di negara ini tidak mengambil langkah serius untuk menangani masalah air kotor di negeri masing masing.

Beberapa warganet turut mencadangkan supaya setiap rumah memasang alat penapis air.

Setakat laporan ini ditulis (7 September 2022), hantaran itu telah mendapat 70 komen, 51 perkongsian dan 167 respons.

 


Sumber: Facebook

 

Selain hantaran di laman Facebook berkenaan, kami turut menemukan gambar yang sama di sini, sini dan di sini.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Langkah pertama yang kami ambil adalah dengan menggunakan carian imej berbalik bagi menyemak kesahihan gambar berkenaan.

Hasilnya, kami mendapati gambar asal sebenarnya diambil daripada hantaran Facebook Metropolitan Waterworks Authority (MWA), Thailand yang disiarkan pada 1 Mei 2017.

Menurut hantaran Facebook tersebut, paip pembetung air itu tidak lagi digunakan sejak April 2016 selepas ia dialihkan dari Lat Krabang, pinggir bandar timur Bangkok.

MWA memaklumkan tompokan kekuningan di dalam paip pembetung itu wujud kerana ia tidak digunakan untuk tempoh yang lama, namun syarikat berkenaan memberi jaminan bahawa air yang disalurkan kepada pengguna domestik di negara itu terutama di ibu negara adalah selamat digunakan.

MWA merupakan sebuah syarikat bekalan air di bawah Kementerian Dalam Negeri Thailand.

 


Sumber: Facebook

 

Sumber Air Untuk Kegunaan Domestik

Setiap hari kita menggunakan air bersih yang dibekalkan kepada rumah dan kediaman kita namun adakah kita tahu daripada manakah sumber air berkenaan?

Menurut laman sesawang the patriot asia, sumber air yang disalurkan untuk kegunaan pengguna domestik diperoleh daripada kawasan empangan yang diwartakan sebagai loji simpanan air dan ia dikawal selia oleh syarikat air di peringkat negeri.

 


Sumber: thepatriots.asia

 

Laman sesawang data.gov.my pula mendedahkan terdapat 106 buah empangan yang kebanyakannya bukan sahaja berfungsi sebagai loji simpanan air tetapi turut bertindak sebagai empangan untuk tujuan pertanian, stesen jana kuasa hidroelektrik dan rekreasi.

Antara contoh empangan yang digunakan sebagai loji simpanan air adalah Empangan Asahan di Melaka, Empangan Semenyih (Selangor) dan Empangan Kahang (Johor) manakala bagi tujuan pertanian adalah Empangan Air Kuning di Selangor dan Empangan Muda di Kedah.

Empangan bagi tujuan jana kuasa hidroelektrik pula adalah Empangan Batang Ai di Sarawak dan Empangan Tenom di Sabah manakala bagi tujuan rekreasi pula adalah Empangan Putrajaya dan Empangan Ayer Keroh di Melaka.

 


Sumber: data.gov.my

 

Proses Rawatan Air Bagi Kegunaan Domestik Dan Industri

Sebelum bekalan air dibekalkan kepada pengguna domestik, terdapat pelbagai proses yang perlu dilalui bagi memastikan ia bebas daripada sebarang kotoran dan selamat digunakan bukan sahaja untuk kegunaan domestik tetapi juga bagi pelbagai industri di negara ini.

Sebuah laman blogspot iaitu nikmatair.blogspot.com memaklumkan terdapat sembilan proses rawatan air mentah di loji rawatan air sebelum ia dapat disalurkan bagi kegunaan harian.

Ia melibatkan proses penyaringan, pengudaraan, koagulasi dan flokulasi, sedimentasi, penapisan, penyahkuman dan pelarasan pH, fluoridasi.

Selepas proses fluoridasi iaitu proses mencampurkan air bersih dengan bahan kimia sodium fluoride bertujuan membekalkan air dengan kandungan fluorida sebelum ia diagihkan kepada pengguna domestik menerusi tangki air jernih yang terletak di loji rawatan air.

Fluorida adalah untuk membantu menjaga kebersihan gigi dan mencegah kaviti pada gigi kanak-kanak.

 


Sumber: nikmatair.blogspot.com

 

Adakah Air Mentah Yang Dirawat Benar-Benar Bersih?

Mungkin ramai daripada kita tertanya-tanya adakah air mentah yang dirawat di loji rawatan air sebelum disalurkan kepada pengguna domestik di negara ini benar-benar bersih?

Ada yang berpandangan air yang dibekalkan di negara ini adalah bersih kerana telah melalui proses rawatan air yang sesuai dan ada yang memberikan jawapan sebaliknya.

Kami menemui satu laporan berita yang diterbitkan oleh Berita Harian pada 2018 mengenai kualiti air bersih yang dibekalkan kepada pengguna di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Mohd Ridhuan Ismail, air terawat yang dibekalkan kepada orang ramai di negara ini mematuhi standard kualiti minimum yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan kepada Garis Panduan Kualiti Air yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Beliau turut memaklumkan KKM memperkenalkan Program Kebangsaan Kawalan Mutu Air Minum (PKKMAM) sejak 1983 untuk memantau kualiti air yang dibekalkan oleh operator air.

“Bagi memastikan kualiti air sentiasa selamat dan terjamin, tindakan pemantauan dijalankan secara berterusan oleh semua pihak terbabit iaitu operator air, KKM dan SPAN.

“Bahkan, di peringkat rawatan air di loji-loji, operator air sentiasa memastikan proses rawatan yang berkesan dan menganalisa parameter fizikal, kimia dan mikrobiologi kualiti air secara berterusan supaya mematuhi standard,” katanya.

SPAN merupakan sebuah badan kawal selia teknikal yang berfungsi mengawal selia perkhidmatan-perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia, Putrajaya dan Labuan.

 

Penggunaan Alat Penapis Air Di Rumah Masih Relevan?

Mungkin di antara kita yang tidak yakin dengan kualiti air terawat yang disalurkan kepada pengguna di negara ini sehingga mereka mengambil keputusan memasang alat penapis air bagi memastikan air ditapis dan benar-benar bersih daripada sebarang bendasing atau bahan pencemar air.

Kami menemui sebuah artikel bertajuk Adakah Penapis Air Satu Keperluan yang ditulis oleh Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah iaitu Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor.

Menerusi laman sesawang peribadinya, minda2tinta.com, beliau menjelaskan bahawa seseorang individu membeli alat penguji kebersihan air di rumah untuk menguji kualiti air dari masa ke semasa.

Kaedah kedua adalah memasang satu penapis air sahaja yang diletakkan di luar rumah untuk menapis semua air yang sampai ke dalam rumah.

Dr Mohd Rushdan yang memegang pelbagai jawatan seperti pensyarah kehormat fakulti perubatan di beberapa institut pengajian tinggi awam berkata tiada keperluan bagi seseorang individu yang berdepan masalah kewangan memasang alat penapis air sekiranya mereka yakin bahawa kawasan perumahan mereka mempunyai sistem rawatan air yang baik.

Mereka bagaimanapun digalakkan membeli alat pengukur kebersihan air yang boleh didapati pada harga yang berpatutan bagi menguji kehadiran pencemar-pencemar utama air.

“Tidak ada kajian kukuh yang menunjukkan bahawa orang yang menggunakan penapis air lebih sihat daripada orang yang tidak menggunakan penapis air, di kawasan di mana rawatan air dijalankan dengan baik.

“Di Malaysia, proses rawatan air di kebanyakan tempat adalah baik dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia berpandukan kepada garis panduan dari WHO.

Beliau pada masa turut mengingatkan masyarakat umum bahawa penggunaan alat penapis air mempunyai kekurangan dan masalahnya yang tersendiri seperti kos yang tinggi, perlu penyelengaraan yang tetap, menukar penapis dan sebahagian daripada sistem penapisan ini juga menapis bahan-bahan mineral dan zat-zat yang diperlukan oleh badan manusia.

 


Sumber: minda2tinta.com

 

KESIMPULAN

Umum mengetahui Kelantan dan isu air begitu sinonim.

Pelbagai usaha telah dilakukan namun ia bukan perkara mudah kerana melibatkan dana yang tinggi dan tugas yang besar.

Ketika isu ini masih menjadi buah mulut dan rungutan rakyat Kelantan kerana belum berpenghujung sejak hampir 30 tahun, janganlah ada yang membangkitkan lagi kerisauan penduduk.

Jadilah individu yang berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat bermaksud berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu perbuatan antaranya menyebarkan perkara tidak benar sehingga mencetuskan kebimbangan dan huru-hara dalam masyarakat.

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Facebook Viral Terkini Malaysia

  2. Facebook Metropolitan Waterworks Authority

  3. Sumber air di Malaysia.Diterbitkan oleh The Patriots Asia

  4. Senarai empangan di Malaysia mengikut fungsi

  5. Proses rawatan dan bekalan air ke rumah.Diterbitkan oleh Nikmatair.blogspot.com

  6. SPAN sokong kenyataan menteri, air paip selamat diminum terus.Diterbitkan oleh Berita Harian

  7. Adakah penapis air satu keperluan?Diterbitkan oleh minda2tinta.com

  8. Ini adalah foto paip air di Thailand, bukan di Malaysia.Diterbitkan oleh AFP Semakan Fakta

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2024 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.