012-232 8414 | mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu, MyCheck Dulu"

Gula-Gula ‘Soft Candy With Jam’ Sah Tidak Halal. Logo Halal Pada Botol Tidak Diiktiraf Jakim

Benarkah...

Gula-gula ‘soft candy with jam’ halal untuk dimakan berdasarkan logo halal yang terdapat pada botol produk.

Sumber : Twitter & Facebook / Sept 2022

Hasil

Produk itu tidak halal kerana mengandungi gelatin babi. Pengilang menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim.

16/09/2022 11:45 AM

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan di Twitter @Malaysiavirall bahawa gula-gula ‘soft candy with jam’ yang dijual dalam botol kecil adalah halal untuk dimakan walaupun tertulis perkataan ‘babi’ pada label pembungkusan makanan.
  • Bahagian Hab Halal Jakim sahkan pengilang produk berkenaan guna logo daripada badan halal luar negara yang tidak diiktiraf oleh mereka.
  • Kebanyakan produk makanan berasaskan gelatin yang dijual di pasaran tempatan diimport dari China atau Taiwan.


Sumber: Twitter

 

LATAR BELAKANG

Isu makanan halal merupakan perkara sensitif bukan sahaja melibatkan umat Islam di negara ini malahan negara lain yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Islam.

Penggunaan sesuatu bahan yang diragui kesahihan halal ke dalam sesuatu produk makanan boleh menimbulkan kemarahan umat Islam sekiranya perkara berkenaan tidak dinyatakan menerusi label pembungkusan dan sebagainya.

Sehubungan itu, penggunaan sijil pengesahan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi penentu sama ada sesuatu produk berkenaan sesuai dimakan oleh umat Islam di negara ini.

Malangnya, segelintir pengilang di negara luar seolah-olah tidak prihatin dengan isu halal dan menyalahgunakan logo halal dari negara masing-masing bagi memudahkan produk mereka dieksport ke luar negara terutamanya negara yang mempunyai majoriti orang Islam.

 

MENGENAI DAKWAAN

Satu akaun di Twitter menggunakan nama @Malaysiavirall telah memuat naik satu ciapan mempersoalkan bagaimana gula-gula ‘soft candy with jam’ dalam bentuk botol disahkan halal walaupun jelas tertera perkataan ‘pork’ atau babi pada label pembungkusan botol berkenaan.

Tertera kapsyen “Terang kot ditulis pork gelatin. Mcmana boleh dapat sijil halal?,” pada ciapan yang dimuat naik berserta gambar gula-gula ‘soft candy with jam’ itu.

Pemilik akaun twitter berkenaan menyatakan bahawa produk yang berasal dari luar negara itu turut meletakkan tanda halal dan mendapat sambutan hangat antaranya yang dijual di laman e-dagang Shopee sehingga ada beberapa produk yang hampir sama sudah terjual melebihi 26,000 botol.

Sehingga laporan ini ditulis (15 September 2022), ciapan berkenaan telah mendapat lebih 2,300 respons dan dikongsi lebih 3,000 pengguna Twitter.

Kami turut menemui hantaran seorang pengguna Facebook menggunakan nama akaun Syasya Eyrah yang berkongsi mengenai isu berkenaan dan meminta umat Islam supaya berhati-hati membeli produk sedemikian kerana ia disahkan tidak halal.

Selain itu, kami mendapati beberapa pengguna Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Community Roda Johor -CRJ dan Loveranggi ranggi turut memuat naik hantaran berhubung produk itu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Apa Itu Gelatin?

Sebelum kami membuat semakan lanjut, kita perlu memahami maksud perkataan ‘gelatin’ itu sendiri.

Menurut portal MyHealth, gelatin adalah sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen yang diperoleh daripada kulit, tulang atau ligamen (tulang rawan) haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau babi.

Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air).

Selain itu, ia boleh menyerap air sehingga 10 kali ganda daripada beratnya di dalam air.

Tujuan gelatin digunakan dalam industri pemprosesan makanan adalah sebagai bahan ramuan atau kondisioner makanan.

Gelatin mempunyai pelbagai fungsi dalam industri pemprosesan makanan termasuk bertindak sebagai agen penstabil dalam produk hasilan daging seperti sosej, agen pemekat dalam makanan bersos dan agen pembuih dalam produk susu terproses.

Selain itu, gelatin turut digunakan sebagai agen pelembut dalam produk bakeri dan aiskrim, agen pembentuk dalam gula-gula dan jelly, penjernih dalam produk minuman dan sari buah, selain bertindak memperbaiki struktur dan penstabilan dalam yogurt, keju, dadih serta mentega.

 

Tidak Semua Produk Makanan Menggunakan Gelatin Adalah Halal

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa tidak semua produk makanan dari luar negara yang menggunakan gelatin sebagai salah satu kandungan dalam produk mereka dan dibawa masuk ke negara ini, menggunakan bahan dari sumber yang halal.

Menurut laman sesawang harian post, terdapat dua jenis gelatin yang kebiasaannya didapati di pasaran iaitu gelatin bovine yang berasal daripada lembu selain gelatin porcine yang bersumberkan daripada khinzir.

Makanan yang mempunyai kandungan gelatin bovine boleh dimakan oleh orang Islam jika ia berasal dari lembu yang disembelih dan diuruskan dengan betul.

Namun gelatin bovine juga boleh diklasifikan sebagai tidak halal sekiranya ia dihasilkan daripada lembu yang tidak disembelih dan sumbernya adalah diragui.

Laman sesawang foodadditives.net pula menjelaskan gelatin porcine banyak digunakan di kebanyakan negara di dunia kerana harganya yang murah berbanding gelatin daripada sumber lain.

Penggunaan gelatin dalam industri makanan sebenarnya merupakan antara cabaran terbesar industri hab halal memandangkan 90 peratus daripada pengeluaran gelatin dalam pasaran dunia tidak dapat dipastikan status halal.

 


Sumber: foodadditives.net

 

Selain daripada gelatin tidak halal, umat Islam di negara ini sebenarnya mempunyai beberapa pilihan gelatin yang halal kerana menggunakan sumber yang dibenarkan dalam Islam.

Menurut laman sesawang productnation.co, gelatin adalah halal sekiranya sumber haiwan yang digunakan dalam pengeluarannya adalah daripada haiwan yang halal dimakan dan haiwan tersebut telah melalui proses sembelihan mengikut syariat Islam.

Selain itu, gelatin halal hanya didatangkan dalam bentuk serbuk seperti gula pasir atau gula perang tetapi lebih jernih warnanya daripada gula perang dan lebih kuning sedikit daripada gula pasir.

Ia juga sedikit halus daripada gula pasir tapi lebih kasar daripada gula kastor.

 


Sumber: productnation.co

 

Jakim Sahkan Soft Candy With Jam Tidak Halal

Kembali semula kepada persoalan utama, adakah gula-gula ‘soft candy with jam’ yang ditularkan di media sosial halal dimakan oleh umat Islam?

Jawapannya adalah tidak halal.

Bahagian Hab Halal Jakim menerusi hantaran di Facebook pada 11 September lepas mengesahkan 'soft candy with jam' adalah tidak halal.

Hal ini kerana logo Halal Food Council International Malaysia & Asia Region yang digunakan pada label pembungkusan produk berkenaan merupakan daripada badan halal luar negara yang tidak pernah diiktiraf oleh Jakim.

Justeru, penggunaan logo halal tersebut adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini,” demikian menurut hantaran dalam Facebook berkenaan.

Sehubungan itu, Bahagian Hab Halal Jakim menyarankan umat Islam di negara ini untuk meneliti terlebih dahulu label bungkusan sesuatu produk makanan sebelum melakukan sebarang pembelian.

 


Sumber: Bahagian Hab Halal Jakim

 

Persoalan utama yang timbul, bagaimanakah produk berkenaan begitu mudah dipasarkan di negara ini sehingga boleh dijual secara bebas terutamanya di laman e-dagang seperti Shopee.

 


Sumber: Shopee

 

Tindakan Tegas Salah Guna Logo Halal

Berdasarkan peraturan dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, semua makanan dan barang-barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal melainkan ia diperakukan halal oleh Jakim, Majlis Agama Islam Negeri.

Selain itu, sesuatu produk hanya boleh diperakukan halal oleh badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

Semakan kami mendapati Halal Food Council International Malaysia & Asia Region yang digunakan pada label gula-gula viral berkenaan tidak diiktiraf oleh Jakim.

Untuk rekod, sehingga 1 Disember 2020, Jakim hanya mengiktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara yang terdiri daripada 46 buah negara.

 


Sumber: Jakim

 

Berdasarkan laporan Harian Metro yang diterbitkan pada 2019, Ketua Pengarah Jakim ketika itu, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menegaskan suatu pertubuhan perbadanan yang didapati cuba mengelirukan pengguna dengan status halal boleh didenda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama.

Menurut beliau mana-mana individu yang menggunakan logo halal palsu juga boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara bagi kesalahan pertama, yang diputuskan berdasarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011.

Mohamad Nordin menerusi laporan sama turut memaklumkan bahawa syarikat atau pengeluar makanan di negara ini digalakkan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jakim bagi memastikan makanan yang dikeluarkan menepati piawaian dari segi kebersihan selain kandungan yang disahkan dari sumber halal.

“Setakat ini tiada peraturan yang mewajibkan mana-mana syarikat untuk mendapatkan SPHM dari Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

 

Isu Gelatin Tidak Halal Dalam Produk Makanan Bukan Perkara Baharu

Penggunaan gelatin tidak halal dalam produk makanan di negara ini bukanlah perkara baharu kerana ia pernah tular sebelum ini.

Sebagai contoh pada 2020, Bahagian Hab Halal Jakim menerusi hantaran di Facebook mereka mengesahkan bahawa produk ‘Brown Sugar Bubble Tea Ball’ dari Taiwan adalah tidak halal kerana mengandungi gelatin babi.

 


Sumber: Jakim

 

Sebelum itu, kecoh di laman sosial mendakwa gula-gula ‘white rabbit’ turut disahkan tidak halal kerana berdasarkan kajian makmal terdapat kehadiran gelatin babi walaupun label pembungkusan tidak menyatakan dengan jelas kandungan gula-gula berkenaan.

 

KESIMPULAN

Ada logo halal sudah tentulah ia halal. Ramai antara umat Islam yang beranggapan sebegitu.

Namun tahukah anda bahawa adanya logo halal tidak semestinya halal.

Memang benar, logo halal menjadi petunjuk paling mudah bagi pengguna Muslim untuk memilih sesuatu produk terutama makanan.

Bagaimanapun anda tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya keyakinan dan kebergantungan terhadap logo ini semata-mata kerana ia boleh ditiru, untuk menipu dan memperdaya.

Islam bukan sahaja menuntut umatnya untuk mencari makanan daripada sumber yang halal tetapi juga sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan.

Jadilah pengguna Muslim yang cakna. Semaklah logo halal sebelum membeli sesuatu produk dan pastikan ia diiktiraf Jakim.

Elak rasa waswas, makan pun puas!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN

  1. Gelatin dalam makanan.Diterbitkan oleh portal MyHealth

  2. Gelatin: Fungsi, Sumber & Jenama Gelatin Halal Di Malaysia Yang Disahkan Oleh JAKIM.Diterbitkan oleh Harian Post

  3. Facebook Bahagian Hab Halal JAKIM

  4. Facebook Syasya Eyrah

  5. Jelas kandungan ada pork gelatin tapi letak logo halal JAKIM, hati-hati beli produk soft candy with jam.Diterbitkan oleh mingguan wanita

  6. Isu Tular Status Halal Produk Soft Candy With Jam.Diterbitkan  oleh Azzainmart.com

  7. Gula-gula ‘Soft Candy With Jam’ tidak halal.Diterbitkan oleh themerdekatimes.com

  8. Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia

  9. Facebook Community Roda Johor - CRJ

  10. Facebook Loveranggi ranggi

  11. Boleh didenda RM5 juta.Diterbitkan oleh Harian Metro

MyCheck Malaysia

Tingkat 9, Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur

012-232 8414

mycheckofficial@mycheck.my

"Jangan Sebar Melulu,
MyCheck Dulu"

© 2022 MyCheck Malaysia. All Rights Reserved.